Terliur apam balik

Opinion  |  Abdullahjones
Diterbitkan  |  Dikemaskini

Setiap malam, Mas Lutfi - kawan saya di Jakarta itu - akan setia menunggu penjaja makanan lalu di depan rumahnya. Dia akan membeli makan malam daripada penjaja tersebut.

Bukan malas memasak tetapi Mas Lutfi membeli makanan daripada penjaja hanya kerana beliau tahu betapa penjaja terbabit amat mengharapkan jualannya laris.

Dengan membeli makan malam daripada penjaja itu Mas Lutfi telah membantu ekonomi rakan senegaranya.

Kerana itu juga jika kamu ke rumah teman-teman yang sedikit senang di Indonesia, kamu akan dapati mereka mempunyai beberapa pekerja yang menjaga rumahtangga mereka.

Ada yang menyapu sampah, ada yang membersihkan laman, dan juga yang hanya menunggu arahan untuk disuruh ke mana-mana.

Hal ini berlaku hanya kerana mereka yang mempunyai pendapatan sedikit lebih daripada yang lain-lain akan sedaya upaya menyediakan kerja untuk teman senegara walau bagaimana kecil sekalipun sumbangan mereka.

Mereka dibayar murah, namun setidak-tidaknya mereka ada pendapatan tetap.

Di India pula kamu akan dapati betapa buruh binaan yang ramai diperlukan hanya untuk satu tugasan ringan. Mengangkat batu bata misalnya.

Jika mengunakan jentera tugas itu jauh lebih mudah, namun di sana kamu akan dapati mereka lebih senang menggunakan tenaga manusia.

"Memanglah, mereka negara miskin, mana mampu membeli jentera," kata kamu.

Sebenarnya mereka mampu, namun jika jentera digunakan maka ramai buruh akan kehilangan kerja dan mereka tidak senang hati melihat rakyat sendiri kehilangan mata pencarian.

Begitulah semangat setiakawan mereka dalam membantu rakan senegara dan ia memang ada pada sesetengah penduduk dunia.

Dengan sedikit usaha mereka menyumbang kepada pembinaan insan dan negara masing-masing. Tidak hairanlah apabila kita selalu kagum dengan sikap cinta mereka kepada negara.

Mereka akan tegas mempertahankan apa saja tindakan yang dirasakan sebagai pencerobohan ke atas kedaulatan wilayah masing-masing.

Lihat bagaimana marahnya rakyat Indonesia apabila kita memaparkan tarian barongan pada satu makalah mempromosi Malaysia tempoh hari.

Di Malaya ini kerajaan mengesa pekerja mereka - dan yang terbaru, pekerja dari sektor swasta - agar mengenakan pakaian batik pada setiap khamis sebagai usaha untuk memajukan industri yang kini suram.

Melalui usaha itu kerajaan berharap ianya dapat menyemarakkan industri batik tempatan.

Kami kemudian menyarankan agar kerajaan juga mengeluarkan arahan supaya batik yang dipakai itu hendaklah daripada buatan tempatan.

Biar batik hasil tangan anak negeri kita yang melekat pada badan rakyat kita.

(Ada pula teman yang mengatakan bahawa ungkapan "arahan" adalah terlalu keras, sebaliknya "cadangan" dirasakan lebih lembut. Kami berpendapat dalam kes batik, arahan adalah diperlukan.)

Apabila ini berlaku maka penerap batik yang mendapat upah hanya apabila ada permintaan, akan ada kerja. Budak pencelup batik tidak lagi merewang hisap gam kerana tidak ada kerja.

Budak perempuan tukang warna batik juga boleh bernafas lega sebab dapat berbelanja di pasar malam dengan penuh keyakinan.

Tauke pasar malam pula mendapat perniagaan yang lebih baik.

Tauke batik tentu saja lebih murah senyuman dan tidak lagi marah-marah tidak tentu hala dek tekanan memasarkan barangan keluaran mereka.

Apa yang lebih penting, kesenian batik kita tentu akan bertambah maju dan tidak mati tanpa nisan seperti yang sedang berlaku sekarang.

Sekonyong-konyong datanglah Cikgu Amir si sahabat kami dengan bangganya mengatakan bahawa beliau lebih rela memakai batik dari luar kerana katanya lebih murah dan mudah dikendali.

Tidak renyah adalah perkataan beliau mengenai batik buatan luar tersebut.

Dia memuji tanpa usul periksa tentang bagusnya hasil kerja orang luar sambil bersahaja menjatuhkan karya anak tempatan kita.

"Di luar hanya dengan RM30 kita akan dapat sehelai batik, tapi di Malaya ini, kainnya saja dah RM100, upah dah RM70," kata beliau mempertahankan penderhakaan terhadap seni dan budaya tempatan.

Seperti yang kami katakan, beliau seorang guru yang gajinya dibayar oleh negara. Ditambah pula beliau orang yang bertanggungjawab ke atas beberapa buku teks sekolah menengah dalam negara ini.

Semestinya beliau dibayar untuk tugas itu juga oleh negara batik mudah renyah ini.

Namun kerana tidak adanya cinta kepada negara, beliau melihat RM140 beza sehelai baju batik sebagai beban untuk beliau dalam meluahkan rasa sayang kepada negeri yang banyak berbudi ini.

Beliau rela melihat penerap batik termenung menunggu tempahan. Apabila sanggup melihat belia-belia kita merewang menghisap gam kerana tiada kerja, dan beliau tergamak membiarkan budak perempuan tukang warna batik terliur pada apam balik jagung lebih di pasar malam Kampung Atas Tol di Kuala Terengganu.

Tauke pasar malam yang perniagaannya hanya beruntungkan penat juga tentu akan menjadi pembengis dan senang triggered apabila ditegur penguat kuasa majlis perbandaran.

Tidak hairanlah apabila terlalu sering kita dapati video pergaduhan peniaga pasar malam dengan penguat kuasa majlis perbandaran menjadi tular.

Tauke batik juga mungkin akan memaki-hamun menteri yang tidak mempromosi hasil keluaran kilang mereka.

Perbuatan yang kita lihat kecil yakni tidak memakai batik keluaran tempatan sebenarnya mempunyai implikasi yang sangat besar.

Mencintai negara dalam apa hal sekalipun akan membuahkan hasil yang kadang-kadang tidak terbayang dek kepala benjol kita ini.

Jangan hanya mencintai negara apabila menang bola dan membencinya apabila tewas. Cinta mesti tidak berbelah bahagi dan wajib kelihatan bodoh. Sementelah pula memang begitu sifatnya cinta, bodoh dan terburu.

Mengenai Cikgu Amir, beliau tidak tahu batik RM30 yang beliau beli itu berada pada kelas paling bawah di negara itu. Jika beliau benar-benar tahu akan batik, maka beliau tidak akan mampu membelinya di negara jiran kita.

Mereka adalah pandai batik dan kesenian mereka juga adalah amat baik namun bukan itu yang mahu kita perkatakan.

Apa yang mahu kita utamakan ialah kecintaan kepada apa saja buatan dalam negara kerana hanya kita sajalah yang boleh memaju atau memundurkan negara ini.

Kita telah menumbangkan kerajaan yang kita rasa jahat (dan menaikkan sebuah kerajaan yang kelihatan sedikit dungu dan lembam, namun itu adalah modal untuk artikel yang lain).

Maka kita juga bertanggungjawab memajukan apa saja industri dalam negara kita.

Ini saja jalan bagi membantu ekonomi rakan-rakan kita yang gigih berusaha. Apabila kamu bantu mereka, kamu juga membantu negara.

Ia suatu sifir mudah bagi seorang patriot dan menjadi terlalu payah pada seorang penderhaka seperti Cikgu Amir.

Jika terlihat budak berjualan di lampu isyarat misalnya, belilah jika mampu. Mungkin kelihatan lekeh namun usaha sedikit inilah yang akan membantu banyak pihak.

Hendak menyuruh kamu membeli lukisan tempatan, kamu semua miskin. Maka jalan untuk kamu menghargai pelukis kita ialah dengan jangan membeli lukisan luar yang kamu jumpa di tempat-tempat memerangkap pelancong itu.

Biasanya lukisan itu akan lebih mahal bingkainya berbanding karya. Mahal tali daripada lembunya.

Jangan mengharapkan politikus kerana mereka bukanlah pencinta negara yang tulen. Politikus dan penyokong mereka selamanya akan meletakan partai di atas segalanya.

Hakikat inilah yang perlu kamu semua faham. Sampai kematu jari kami menaip fasal ini tapi yang kamu nampak hanya kami ini anti-Melayu, anti-Islam, liberal tak ingat dan sekutu DAPig.

Sikit-sikit nak report. Sikit-sikit nak demo. Kemudian menyandar tengok pada drama pukul 7. Jenis muka tak malu. Mengaku pembela bangsa dan agama, tapi tak buat apa-apa selain menggaru celah paha.

Menteri jadi pelawak kamu raikan. Dek sebatang rokok kamu berpaling tadah, kemudian mengaku sebagai penyokong pembaharuan. Jenis **** kecik. Semuanya nak segera dan mahukannya sekarang. Tidak mahu rugi hatta untuk negara sendiri.

Podahlah!

Negara ini dibina bata per bata. Satu persatu. Dan kitalah yang paling layak membangunkanya.

Artikel kali ini dihiasi oleh foto-foto di majlis perasmian pameran AKAR di Rumah Seni Selangor.

Artis yang terlibat ialah pengarca, Mat Ramli Mansor, Anasuha Suhairi dan Arina Kiswantoh.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penyair, penulis, peminat foto dan si bodoh yang mencintai negaranya.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.