Paling Popular
Terkini


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) telah membuat usul untuk menghapuskan hukuman mati untuk semua kesalahan. Susulan dengan cadangan ini, semua pelaksanaan hukuman mati telah ditangguhkan (moratorium) sehingga usul ini diluluskan di parlimen dan berkuat kuasa. Kerajaan juga ada mempertimbangkan agar hukuman penjara minimum 30 tahun sebagai ganti kepada hukuman mati mandatori. Usul ini berkemungkinan besar akan dibentang untuk diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat pada bulan Mac ini.

Saya melihat bahawa perkembangan ini tidak baik untuk sebuah negara yang sepatutnya mengutamakan kedaulatan undang-undang, melindungi masyarakat awam dan menghukum para penjenayah. Lebih-lebih lagi, slogan rule of law (kedaulatan undang-undang) sering dilaung-laungkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini.

Memansuhkan hukuman mati jelas bertentangan dengan prinsip rule of law.

Sebab-sebab hukuman mati perlu dikekalkan:

i. Pengutamaan kepentingan awam.

Banduan akhir yang sedang menunggu hukuman mati adalah hanya lebih kurang 0.00039 peratus (1,281 orang) daripada jumlah keseluruhan (33 juta orang) rakyat Malaysia. Sepatutnya hak asasi dan keselamatan masyarakat majoriti rakyat Malaysia diutamakan, bukannya penjenayah-penjenayah.

Perkara 5 dalam Perlembagaan Persekutuan telah mempertanggungjawabkan kerajaan untuk melindungi nyawa setiap rakyat Malaysia, dan ini tentunya termasuk dalam tanggungjawab untuk menghukum para pembunuh.

Menurut kaji selidik atas talian yang telah dibuat oleh akhbar New Straits Times, 82 peratus menyokong agar hukuman mati dikekalkan dan menentang sebarang usaha untuk menghapuskannya. Manakala petisyen atas talian “Do not abolish death penalty” yang digerakkan oleh Protect Malaysia untuk menyokong pengekalan hukuman mati sudah mencapai lebih 60,000 sokongan.

ii. Pencegahan jenayah yang berkesan.

Undang-undang yang ketat dan tegas bertindak sebagai jenayah yang berkesan dengan menanamkan rasa takut dan gerun kepada mereka yang berniat untuk melakukan sesuatu kesalahan jenayah. Sudah semestinya hukuman mati merupakan pencegah jenayah yang sangat berkesan kerana melibatkan sesuatu yang paling berharga kepada seseorang, iaitu nyawa.

Sebagai contoh, hukuman mati telah dihapuskan di United Kingdom (UK). Sejak dari pemansuhan hukuman mati di negara itu, jenayah membunuh telah meningkat secara mendadak dan mengundang pelbagai masalah lain pula.

iii. Wang pembayar cukai tidak seharusnya dibazirkan.

Kita selalu terdengar bahawa kerajaan, terutamanya menteri kewangan selalu ‘merintih’ bahawa hutang negara berada pada kadar yang sangat kritikal, lalu pelbagai potongan dibuat kepada peruntukan untuk pelbagai sektor terutamanya pendidikan dan kesihatan. Maka, rentetan dari keadaan terdesak sebegini, kerajaan sepatutnya menyalurkan kewangan negara bagi perkara-perkara yang bermanfaat dan berbaloi, berbanding untuk digunakan untuk menyara hidup para pelaku jenayah serius.

Jika hukuman mati dimansuhkan, maka kehidupan penjenayah serius ini perlu ditangguh sepanjang hayat mereka di dalam penjara. Kos bagi menyara hidup seorang banduan adalah RM41 sehari. Justeru, jika dibuat pengiraan bagi banduan akhir seramai 1,281 orang selama 30 tahun, maka kosnya adalah RM575 juta.

Wang pembayar cukai ini seharusnya boleh digunakan untuk perkara-perkara yang lebih bermanfaat seperti penambahbaikan infrastruktur pendidikan dan kesihatan, pemberian biasiswa, pemerkasaan untuk penguatkuasaan undang-undang dan lain-lain.

iv. Undang-undang Islam.

Hukuman mati adalah hukuman yang disyariatkan dalam Islam bagi kesalahan-kesalahan tertentu. Ini termasuk bagi jenayah membunuh. Misalnya, hukuman qisas iaitu bunuh seharusnya dibalas bunuh jika berjaya dibuktikan tanpa sebarang keraguan dan jika tidak mendapat kemaafan dari pihak keluarga mangsa, melalui diyat. Sebahagian besar dari konsep ini selaras dengan seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang menetapkan hukuman mati bagi kesalahan membunuh.

Sepatutnya kerajaan perlu sedaya upaya ke arah penyempurnaan undang-undang Islam terutamanya bagi jenayah bunuh, bukannya hapuskan terus. Apakah ada cubaan untuk menyimpangkan undang-undang yang sedia ada dari undang-undang Islam?

v. Keperluan hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan serius.

Kisah-kisah tragis yang melibatkan pembunuhan kejam kanak-kanak semestinya menyentuh hati kita semua. Sejak lima tahun yang lalu, sebanyak 9,781 kes kanak-kanak telah dilaporkan hilang di seluruh negara. Banyak kes kehilangan kanak-kanak masih lagi belum selesai, mereka masih lagi gagal ditemui. Jika mereka ini ditemui mati dan pembunuh dikenal pasti selepas usul pemansuhan hukuman mati ini diluluskan, apakah kita sanggup melihat rintihan keluarga mereka?

Malah, kes-kes pembunuhan kejam seperti kes Adib, Kevin Morais, Sosilawati, Stephen Wong, Ahmad Kamil, Ng Yuk Tim, Annie Kok Yin Cheng dan Chee Gaik Yap masih lagi belum diselesaikan. Pembunuh mereka masih lagi bebas. Apakah ada keadilan buat mereka nanti?

vi. Konflik kepentingan

Undang-undang negara tidak seharusnya dibenarkan untuk dimanipulasi oleh pihak berkepentingan melalui NGO-NGO yang kononnya ingin menepati standard antarabangsa.

Perjuangan menuntut pemansuhan hukuman mati agak meragukan motifnya. Disyaki bahawa sesetengah NGO dan individu yang terlibat mempunyai kepentingan tersendiri. Hal ini demikian kerana ada ‘pejuang-pejuang’ ini adalah peguambela yang mewakili penjenayah-penjenayah yang sedang menghadapi pertuduhan yang boleh membawa kepada hukuman mati.

Ini adalah konflik kepentingan yang sangat besar.

Konklusi

Oleh itu, kita menuntut beberapa perkara kepada kerajaan Malaysia:

i. Hentikan moratorium terhadap perlaksanaan hukuman mati dihentikan secara serta merta.

Hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah hendaklah dilaksanakan. Kerajaan selaku badan eksekutif tidak berhak untuk mengganggu, menangguhkan atau melengah-lengahkan hukuman yang telah diputuskan.

ii. Batalkan pembentangan rang undang-undang bagi menghapuskan hukuman mati.

Hukuman mati perlu dikekalkan dan kebebasan kepada para hakim untuk menentukan hukuman berdasarkan fakta-fakta kes secara keseluruhan harus diberikan.

iii. Berikan pendedahan dan ketelusan mengenai kepentingan pihak yang terlibat.

Siasatan dan pendedahan terhadap menteri-menteri dan ahli-ahli politik yang mempunyai latar karier sebagai peguambela perlu dilakukan secara telus, sama ada ada perkaitan langsung atau tidak langsung dengan 1,281 orang banduan akhir bagi mengelakkan bias dan konflik kepentingan.


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS