Paling Popular
Terkini

Pertama kali saya dengar istilah “bohong sunat” ialah masa menonton filem komedi P Ramlee - Madu Tiga.

Jamil (lakonon P Ramlee) membohongi isterinya (lakonan Zaharah Agus) bahwa dia terbabit dalam kemalangan. Dilanggar lori katanya. Ketika isterinya ke dapur untuk buat kopi, bapa mertua Jamil (lakonan Ahmad Nisfu) bertanya bagaimana dia boleh dilanggar lori.

Jawab Jamil: “Langgar bohong pak. Bohong sunat.”

Anda tahu cerita itu seterusnya. Lucu dan kelakar .

Bohong sunat pun kerap dikaitkan dengan lucu dan kelakar. Tapi kesimpulan lazimnya bohong sunat dilafaz untuk menyelamatkan diri. Nak hidup.

Tidaklah saya tahu sama ada kata kata Nik Abduh Nik Aziz pada rakaman audio yang heboh diperkatakan baru baru ini boleh diklasifikasikan sebagai bohong sunat.

Yang saya tahu berikutan hujah Nik Abduh dan pemimpin PAS mempertahankan tindakannya. PAS dituduh membuat pembohongan sesuatu yang mematuhi syariah. Dalam bahasa Inggeris shariah compliance.

Namun ini bukan mengenai Nik Abduh mahu pun pasal bohong pematuhan syariah, istilah baru itu.

Nik Abduh

Berbalik kepada bohong sunat. Istilah lama yang kerap dan masih digunakan dan kerap ditanya kepada para agamawan.

Saya Google dan mendapati informasi ini. Menurut beberapa ustaz, tidak ada (istilah) bohong sunat dalam Islam. Bagaimana pun menurut mereka memang ada pengecualian berdusta atau berbohong.

Tetapi kata para ustaz ini bukan bermakna ia sunat dilakukan sehingga dapat pahala atau ganjaran. Yang dibolehkan atau pengecualian diberi berbohong mengenai perkara tertentu dan dalam keadaan tertentu.

Cukup setakat itu sebelum saya dituduh cuba berkhutbah tanpa tauliah agama.

Untuk tahu secara terperinci sila Google “bohong sunat.” Atau buat carian di Youtube. Ada nama nama besar antaranya Ustaz Azhar Idrus yang memberi penjelasan.

Bercakap mengenai berbohong, memang susah untuk memastikan atau mengesan bila seseorang berbohong. Apatah lagi jika orang itu selamba dan “cool” ketika berbohong. Orang yang cukup meyakinkan.

Alat kesan bohong

Namun ada alat pengesan pembohongan, lie detector atau polygraph test. Biasanya digunakan oleh pihak berkuasa dalam menyiasat jenayah .

Ujian poligraf mengesan pembohongan menerusi tindak balas, gerak geri dan perasaan orang yang diuji. Ujian dijalankan dengan mengaju beberapa soalan.

Secara am seseorang yang berbohong dikatakan akan gelabah, gugup dan gementar bila disoal. Lantas degupan jantungnya pantas. Semua ini dicatat dan dirakam.

Tetapi jika orang yang diuji tenang dan mengawal perasaan dengan baik walaupun dia menipu dan berbohong catatan tidak akan menunjukkan panik, gugup dan gementar. Kemungkinan besar dia akan lulus ujian mengesan pembohongan.

Dalam erti kata lain ujian poligraf boleh diatasi. Pembohong yang cekap boleh mengalahkannya. Beat the system, kata Inggeris.

Hakikatnya tidak ada ujian atau prosidur yang mencatat kejayaan 100 peratus dalam mengesan si pembohong.

Melainkan si pembohong itu seperti Pinocchio, “budak” yang hidungnya akan bertambah panjang setiap kali dia berbohong.

Tapi itu cerita dongeng.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS