Paling Popular
Terkini

Keputusan China untuk menjemput wakil-wakil diplomatik ke Xinjiang merupakan perkembangan yang menarik.

China yang begitu kuat dan besar biasanya tidak begitu mengendahkan apa-apa kritikan luar. Mereka rasa tidak perlu tunduk kepada siapa-siapa.

Bagaimanapun, kali ini Beijing agak terasa dengan tekanan yang dibawa mengenai isu Xinjiang.

China, seperti mana-mana negara lain, harus diteliti secara objektif. Tidak wajar untuk kita membuat penilaian yang tidak berasaskan fakta.

Namun, rasanya cukup tepat jika dikatakan secara amnya, langkah-langkah terkini yang diambil oleh China dalam mendepani isu Uighyur di Xinjiang lebih bersifat kosmetik dari substantif.

Sejarah konflik di Xinjiang memang lama dan rumit ceritanya, dan kontroversi berkenaan kem-kem di Xinjiang semakin bertambah sejak bertukar pemimpin Parti Komunis di Xinjiang pada tahun 2016.

Banyak juga laporan yang diterbitkan berkenaan keseksaan yang parah dan mengerikan dalam kem-kem ini.

Malaysia adalah sebuah negara kecil, dan sudah tentu kebolehan kita untuk mempengaruhi dasar China terhadap rakyat Uighyur agak terhad.

Bagaimanapun, ini bukan bermaksud Malaysia langsung tiada peranan dalam isu ini.

Seperti yang kini jelas ternampak, apabila masyarakat antarabangsa berani bersatu bersuara berkenaan isu Xinjiang, ada juga kesannya.

Sekadar publisiti sahaja?

Terlalu awal untuk katakan bahawa tekanan antarabangsa ini telah berjaya membuahkan perubahan di Xinjiang.

Kalau kita meneliti senarai wakil-wakil diplomatik yang dijemput ke Xinjiang (Pakistan, Venezuela, Cuba, Mesir, Kemboja, Rusia, Senegal, Belarus, Arab Saudi, Algeria, Maghribi, Lubnan, Singapura, Vietnam, Laos, Myanmar, Bangladesh, Turkmenistan, Georgia, Hungary dan Greece), kita boleh lihat bahawa hampir semua negara ini bukanlah negara-negara yang ada rekod cemerlang dalam soal hak-hak asasi.

Ada juga antara negara-negara ini yang ada hubungan rapat dengan China atau bergantung kepadanya.

Ketam mengajar anak berjalan lurus

Lawatan Putera Makhota Arab Saudi Mohammad bin Salman ke China, yang beliau mengumumkan pelaburan ASD$10 bilion juga, harus diteliti. 

Pelaburan ini diiringi dengan kenyataan Mohammad bin Salman yang mempertahankan langkah-langkah China di Xinjiang, dengan menyatakan China memang ada hak untuk menentang ‘keganasan’.

Mohammad bin Salman 

Hujah-hujah ini memang bernilai untuk China, tetapi kurang dari segi nilai moralnya.

Hujah-hujah dari bakal Penjaga Dua Tanah Suci boleh dilihat sebagai pengkhianatan yang cukup besar terhadap jutaan Muslim marhaen.

Reputasi Mohammad bin Salman sudah cukup tercemar di mata masyarakat antarabangsa ekoran pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi. Isu ini sentiasa menghantui beliau di mana sahaja beliau pergi.

Pelaburan Mohammad bin Salman di China dibuat selepas pelaburan AS$20 bilion di Pakistan.

Jamal Khashoggi

Di sebalik kegawatan tragedi pembunuhan Khashoggi, Pakistan tetap memuliakan Mohammad bin Salman dengan menganugerahkannya senapang bersalut emas

Negara-negara besar seperti ini boleh bersatu apabila terdesak untuk memaparkan kekuatan ekonomi dan politik, tetapi dari segi moral, apa jua kredibiliti yang dulu dipunyai kian terhakis.

Pendekatan perkauman MCA

Bagaimana kita di Malaysia harus mendekati isu ini?

Sekurang-kurangnya seorang ahli politik, Ketua Biro Agama MCA Perak Jimmy Loh, nampaknya setuju dengan pandangan Putera Makhota Arab Saudi.

Loh membantah perjumpaan menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa dengan Word Uighur Congress serta Uighur American Association bulan lepas.

Bosan sahaja untuk melihat seorang lagi pemimpin Persatuan Cina Malaysia mengkritik seorang menteri beragama Islam kerana prihatin dengan Muslimin di China.

Pendekatan kolot macam inilah yang sering menghalang usaha-usaha untuk membina perpaduan sejati di Malaysia.

 Kalau perkara sama yang dilakukan kepada orang Uighur dilakukan kepada orang Cina di Arab Saudi contohnya, mungkin Loh akan terlompat-lompat nak pula tentera dihantar ke Arab Saudi.

Sebagai negara berbilang kaum, kita perlu henti lihat semua benda melalui lensa warna kulit. Kita mesti hentikan sama sekali sebarang kecenderungan untuk orang Cina menganggap China sebagai ‘abang’, atau orang India untuk melihat negara India sebagai ‘abang’.

Negara-negara ini bukan abang kita. Kita sudah lihat cara di mana kerajaan BN dahulu yang dianggotai MCA telah membenarkan China mengeksploitasi Malaysia melalui projek-projek berat sebelah seperti ECRL.

Peluang untuk pembinaan bangsa

Memang tidak wajar untuk membiarkan sifat perkauman mempengaruhi pendirian kita dalam mana-mana perdebatan.

Sama ada kita negara yang besar ataupun kecil, kita bertanggungjawab untuk bercakap benar, dan membantu sedaya upaya saat umat manusia di serata dunia ditindas dan diseksa.

Kita harus berusaha menzahirkan sebuah masyarakat yang kaum Cina bangkit pertahan Rohingya, kaum Muslim mempertahankan bangsa Tamil di Sri Lanka, kaum Hindu mempertahankan rakyat Palestin dan sebagainya.

Perkara ini penting bukan kerana ia merupakan solidariti kemanusiaan global sahaja, tetapi juga kerana ia sebahagian daripada langkah kita dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu di tanah air ini.

Ini merupakan antara langkah-langkah pertama yang boleh kita ambil untuk mewujudkan rakyat yang empati, melangkaui warna kulit, dan menghargai titik-titik persamaan yang dikongsi oleh kita bersama.


NATHANIEL TAN adalah pengarah media dan komunikasi di EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, moderasi, inovasi dan kerapian.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS