Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perubahan politik selepas pilihan raya umum (PRU) bukanlah sesuatu yang boleh disebut sebagai revolusi. Ia juga bukan satu tsunami. Ia diperbesar-besarkan kehebatannya oleh pihak yang mendukung perubahan, dan begitulah sebaliknya.

Ia cuma persoalan penjenamaan bagi tujuan tertentu.

Perubahan selepas PRU ke-14 sebenarnya kecil kalau dibandingkan dengan gegaran Krakatoa yang menenggelamkan pulau, menghanyutkan pantai dan melenyapkan langit putih.

Apatah lagi untuk disebutkan sebagai revolusi, meskipun mahu disebut revolusi tanpa darah.

Ia adalah hanya satu peralihan politik. Peralihan daripada watak-watak lama kepada watak yang baru, yang lebih lawa dan segak. Juga peralihan lenggok bahasa dan gaya. Dari muzik pop ke rock. Daripada joget ke dangdut. Dari budu ke keju. Dari makan bersila kepada makan atas meja.

Revolusi Iran pada 1979 digerakkan oleh pelbagai aliran kelompok. Ia mengorbankan jiwa orang awam mulanya sebelum membuka pintu untuk pemimpin dalam buangan, Imam Khomeini, kembali ke Iran selepas hidup dalam buangan di Paris.

Saat itu Parti Tudeh, Parti Komunis, sekularis, sosialis bergabung dan berkongsi aspirasi kalimah perubahan yang diimpikan sekalian lama.

Imam Khoimeini hanyalah faktor terakhir revolusi. Faktor yang mencetuskan revolusi sebenarnya daripada pelbagai aliran pemikiran.

Mereka sudah berjuang bertahun-tahun. Matlamat mengenyahkan regim Shah Iran dan Dinasti Pehlavi yang korup telah menyatukan rakyat.

Revolusi yang senyap

Peralihan kuasa daripada satu tampuk kekuasaan kepada satu tampuk kekuasaan lain yang masih baru biasanya sangat rapuh. Setiap kumpulan saling memperkukuhkan kedudukan mereka.

Suara dan nada rakyat dapat disatukan. Namun suara dan nada pimpinan hadapan sesuatu kumpulan utama tidak mudah untuk bersatu. Masing-masing memiliki kesombongan dan membawa idealisma yang diyakini.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran menguasai jentera kerajaan - yang semasa tempoh revolusi dikendalikan kerajaan diketuai Mehdi Bazargan. Beliau dilantik sendiri oleh Imam Komeini. Setelah itu, berlaku perebutan kuasa di antara pasukan Pengawal Revolusi dengan jentera kerajaan.

Akhirnya, Mehdi berundur dan Pengawal Revolusi semakin kukuh. Pasukan Pengawal Revolusi mempunyai kuasa dan pengaruh untuk mentadbir Iran sepenuhnya selepas itu.

Mereka menentukan dasar dan pendekatan yang kemudian dipilih kerajaan.

Penggantungan perlembagaan negara adalah kemuncak penguasaan Pengawal Rrevolusi dan semua rakan kongsi revolusi yang kemudian menjadi seteru politik, disingkirkan.

Ramai pimpinan revolusi Iran dari aliran sekular, komunis dan lain-lain melarikan diri dari Iran bagi mengelak tekanan kerajaan.

Seperti juga Revolusi Bolshevik, saat tersungkurnya Nicholas II dan terbunuhnya penasihat gila Nicholas II, Rasputin, itu hanyalah permulaan perubahan struktural. Ia hanya mukadimah revolusi.

Revolusi yang sebenarnya adalah revolusi yang senyap dan kedua. Inilah revolusi sebenarnya kerana melibatkan struktural negara terutamanya dalam konteks perlembagaan yang menjadi pegangan negara. Feudalisme kepada demokrasi. Sekular kepada teologi. Persekutuan kepada kesatuan.

Saling mencurigai

Perubahan itu bukan setakat perubahan pemegang kuasa politik, tetapi bagaimana kuasa politik itu dikerat-kerat atau dicincang sehingga terbentuk rupa baru kuasa politik. Daripada autokrasi kepada oligarki, atau ramai, atau pelbagai.

Revolusi senyap ini biasanya akan mengorbankan nilai setiakawan dan kebersamaan semasa revolusi pertama.

Di situlah titik kritikal yang akan mencorakkan masa hadapan negara. Revolusi ini akan menyingkirkan segala unsur dan perkara yang pernah menyatukan sebelum itu.

Kesetiaan berubah kepada saling curiga-mencurigai. Mesyuarat bersama mula jarang-jarang berjalan. Lebih banyak berahsia daripada berkongsi rasa dan maklumat. Terasa sentiasa diintip dan dikejar. Tiada lagi ketenangan dan kesenangan seperti dahulu meski pernah bersama-sama miskin, ditangkap dan dipenjara.

Revolusi pada tahap ini berfungsi memperkukuhkan kuasa yang sudah ada di tangan. Jika perlu singkirkan kawan seperjuangan, saat inilah ia dilakukan.

Revolusi menuntut pengorbanan. Jika kawan berpotensi menjadi lawan, ia harus disingkirkan!

Sepanjang sejarah revolusi, pemegang kuasa akan lebih menentukan perjalanan perjuangan. Perjuangan era berkuasa dengan sebelum berkuasa tidak selalunya seiring jalan.

Suasana sudah berubah. Banyak perhitungan semasa belum berkuasa tidak lagi sesuai selepas kuasa berada dalam tangan.

Stalin menghantar pembunuh upahan bagi menamatkan riwayat musuh politiknya, Leon Trotsky. Walhal kedua-dua adalah pendukung kuat Revolusi Bolshevik. Trotsky - yang terbuang ke beberapa negara - menulis buku ‘The Revolution Betrayed’ bagi mengkritik dasar Stalin.

Bolshevik membawa kepada perang saudara dan serangan daripada Hitler.

Politik revolusi di Cuba pula, Fidel Castro terpaksa menghantar Che Guevara ke Congo dan Bolivia atas helah membantu saudara revolusi di luar Cuba.

Proses pengulangan

Pada realitinya kedua-dua mereka mempunyai fikiran dan pendekatan untuk memerintah yang berbeza. Akhirnya Guevara terkorban di Bolivia. Castro terus kekal berkuasa di Cuba sehinggalah adiknya Raul mengambil alih jawatan presiden.

Dua contoh tadi memadai untuk memahami bentuk revolusi.

PRU ke-14 bukanlah satu revolusi seperti Perancis, Bolshevik, Iran ataupun China. Ia adalah satu tahap perubahan yang masih kecil, namun tetaplah memberi makna. Ini kerana ia melibatkan keberanian mengubah paradigma politik dalam tempoh yang panjang.

Sejarah adalah perulangan sejarah. Perulangan yang tidak diambil iktibar atau pembelajaran. Sejarah revolusi atau perubahan politik di luar negara boleh diambil pengajaran buat kita dalam membuat andaian-andaian pada masa akan datang.

Andaian itu yang mempunyai justifikasi atau asas yang kukuh. Bukan suatu andaian yang emosi dan hujah yang dangkal.

Perubahan yang berlaku di Malaysia amatlah tidak mustahil mengulangi proses seperti yang dihuraikan sebelum ini.

Dalam proses pengukuhan pemegang tampuk kekuasaan, rakan kongsi adalah pesaing pada masa yang sama. Pemegang tampuk kekuasaan akan memastikan kuasa dapat dipegang secara berterusan.

Penunggu dan rakan kongsi kekuasaan mencari ruang dan peluang.

Apakah akan berlaku revolusi senyap kedua dalam PH selepas PRU ke-14? Siapa tikam siapa? Siapa khianati siapa? Insya-Allah sambungan tulisan ini akan menjelaskannya satu per satu.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS