Disebalik lakaran dan kebebasan.....
"It is the core of our culture that the most sacred things can be subjected to criticism, laughter and satire," Roger Kppel, editor of Germany's Die Welt newspaper, told the Observer. "If we stop using our right to freedom of expression within our legal boundaries then we start to develop an appeasement mentality." Laporan Guardian London 7 Februari 2006
Sebagai seorang liberterian saya akan menyokong apa sahaja pandangan dari sesiapa sahaja walaupun pandangan itu bercanggah/bertentangan dengan apa yang saya percayai. Saya juga menyokong dan akan terus memperjuangkan hak kebebasan bersuara , sama ada dari individu atau dari kumpulan. Hak ini adalah hak asasi kita sebagai warga dunia.
Hak kebebasan bersuara yang kita miliki hari ini bukan datang tanpa perlawanan dan perjuangan. Ratusan kepala telah dipenggal, ribuan badan telah terpenjara dan melaut air mata telah tercurah sebagai batu tanda perjuangan untuk mendapatkan hak kebebasan bersuara ini.
"It is the core of our culture that the most sacred things can be subjected to criticism, laughter and satire," Roger Kppel, editor of Germany's Die Welt newspaper, told the Observer. "If we stop using our right to freedom of expression within our legal boundaries then we start to develop an appeasement mentality." Laporan Guardian London 7 Februari 2006
Sebagai seorang liberterian saya akan menyokong apa sahaja pandangan dari sesiapa sahaja walaupun pandangan itu bercanggah/bertentangan dengan apa yang saya percayai. Saya juga menyokong dan akan terus memperjuangkan hak kebebasan bersuara , sama ada dari individu atau dari kumpulan. Hak ini adalah hak asasi kita sebagai warga dunia.
Hak kebebasan bersuara yang kita miliki hari ini bukan datang tanpa perlawanan dan perjuangan. Ratusan kepala telah dipenggal, ribuan badan telah terpenjara dan melaut air mata telah tercurah sebagai batu tanda perjuangan untuk mendapatkan hak kebebasan bersuara ini.
Hak kebebasan untuk bersuara ini adalah kemenangan yang telah diteroka dari Zaman Pencerahan hingga ke hari ini. Kemenangan ini adalah hak milik kita bersama. Hak kebebasan bersuara ini adalah tanda ketamadunan kita sebagai warga dunia. Kita semua wajib mempertahankan hak-hak asasi ini.
Tetapi saya tidak menyokong apa yang telah dilakukan pada 30 September 2005 oleh akhbar Jyllands-Posten dari Denmark. Pandangan saya ini seolah-olah melanggar prinsip kebebasan yang saya anuti. Sebenarnya tidak. Untuk saya tidak wujud kebebasan yang mutlak. Hak kebebasan bersuara wajib datang bersama tanggungjawab. Tanggung jawab ini pula bergantung kepada hubungan ekonomik dan politik ketika itu.
Ekonomi dan politik
Hak kebebasan kita juga memiliki hukum-hukum dan syarat-syarat sosial yang pada masa dan ketikanya tidak mungkin akan dilintasi. Tetapi ini tidak pula bermakna syarat dan hukum sosial ini akan terus membeku. Hukum-hukum dan syarat sosial yang wujud di sekeliling kita hari ini lahir dari asas ekonomi.
Keadaan dan perubahan ekonomi dan politik akan merubah syarat sosial ini; akhirnya syarat dan hukum ini akan terputus untuk dilintasi. Hukum dan syarat-syarat baru pula akan timbul. Ini adalah hukum dialektika perjalanan alam ini.
Manusia akan terus menunda untuk memecahkan hukum yang lama. Perubahan dan perombakan pasti akan berlaku. Tidak ada satu pun hukum sosial dalam alam ini yang akan wujud untuk selama-lamanya. Para seniman, pemikir dan pemula adalah golongan yang akan menolak bingkai-bingkai sosial untuk memperluaskan lagi ruang pembudayaan kita bersama.
Gerakan seni 'avant garde' adalah contoh terbaik untuk melihat bagaimana hukum-hukum sosial diduga dan cuba dipecahkan. Cara baru melihat, menulis, melukis dan melakar semuanya telah diteroka oleh para seniman 'avant garde' dan para pemula. Tetapi jangan silap sangka 12 lakaran yang keluar pada bulan September dahulu dalam harian Jyllands-Posten, bukan satu gerakan seni lakaran 'avant garde'. Ianya juga bukan satu gerakan pemula. Malah lakaran ini tidak memiliki seni jauh sekali unsur humor.
Dari apa yang saya teliti, 12 lakaran ini telah menggambarkan cita-cita untuk menghina, mengutuk dan memperlekeh satu kepercayaan. Malah apa yang kelihatan dari lakaran ini adalah kecetekan fikrah pelukisnya yang hanya memiliki pandangan serong lagi terhad terhadap agama Islam.
Akhbar dan majalah mingguan berhaluan kanan di Eropah telah cuba menunjukkan solidariti terhadap apa yang telah dilakukan oleh Jyllands-Posten. Sebuah mingguan di Perancis, harian di Itali, Sepanyol dan Switzerland telah mengulang cetak 12 lakaran ini untuk pembaca mereka. Hujah yang diajukan ialah mereka berhak untuk menerangkan kepada para pembaca mereka tentang 'apakah bendanya ' yang sedang diheboh-hebohkan ini.
Kelihatan dayus
Akhbar dan media puak kanan ini juga telah berhujah bahawa hak kebebasan akhbar adalah salah satu dari jalur utama dalam pembudayaan Eropah. Jika mereka tidak mencetak dan menyebarkan gambar ini, maka seperti yang dinyatakan oleh Roger Koppel, ketua pengarah majalah Die Welt kepada akhbar mingguan Observer kota London 'kita akan dilihat dayus....'
Sebenarnya keinginan untuk bersuara bebas dan hak bersuara bebas itu bukan hanya monopoli masyarakat Eropah atau Amerika. Warga dunia semuanya mengakui dan menghormati hak ini. Tidak semestinya saya yang tinggal di negara dunia ketiga ini tidak memahami, tidak dapat menilai atau akan gagal menghayati konsep hak kebebasan bersuara ini.
Sesiapa yang memiliki pandangan bahawa warga dunia ketiga tidak perlu hak kebebasan bersuara, maka mereka adalah kaum kanan suku sakat dan kaum kerabat Sharon, Hitler, Mussolini dan Tojo.
Ketika saya menulis ini, dunia masih digemparkan dengan tindakan-tindakan bantahan, protes dan demonstrasi. Kelihatan bantahan dan demonstrasi ini masih belum reda dan berkemungkinan berpanjangan. Lalu ditimbulkan persoalan apakah kerana lakaran ini warga Arab dan penganut agama Islam sanggup berdemonstrasi dan melakukan pelbagai bentuk 'keganasan'.
Di sini saya ingin membawa pandangan bahawa bantahan terhadap 12 lakaran ini wajib dibaca dan dilihat dalam konteks politik dunia hari ini. Ada sejarah latar yang lebih luas yang sedang membarakan kemarahan penganut agama Islam. Harus kita sama-sama sedari, lukisan wajah Nabi Muhammad s.a.w ini bukan sesuatu yang baru dalam tradisi seni Islam. Jika kita pergi ke muzium di Syria, Iraq atau Turki, kita akan melihat wajah Nabi Muhammad yang telah dilukis di zaman kerajaan Mongol dahulu. Terdapat juga lukisan-lukisan wajah Nabi Muhammad ini yang bermotifkan ayat-ayat suci al-Quran.
Di Iraq dan di Iran, saya sendiri telah melihat potret Sayidina Ali sepupu dan menantu Nabi Muhammad, bergantungan di dalam restoran. Malah wajah Imam Ali ini telah dijadikan hiasan rantai untuk dipakai di leher. Justeru, apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah lukisan wajah Nabi Muhammad ini bukan sesuatu yang baru dan mengejutkan dalam pembudayaan Islam.
Tetapi lakaran dalam akhbar Denmark itu bukan merayakan kesucian satu agama tetapi bertujuan untuk mempersendakan satu kepercayaan. Ini bezanya.
Latar sejarah
Di sini kita wajib melihat sejarah latar yang telah menimbulkan kemarahan warga Arab dan penganut agama Islam. Jika kita gagal melihat latar ini, maka kita semua akan gagal untuk memahami tindakan yang sedang berlaku hari ini. Apa sahaja yang berlaku di dalam dunia kita ini memiliki latar dan sejarahnya. Malah sejarah itu sendiri ada sejarahnya.
Untuk saya, latar sejarah utama yang menjadikan warga Arab dan penganut agama Islam begitu marah terhadap kuasa Anglo-Amerika dan negara-negara Eropah Barat hari ini ialah kewujudan entiti Israel. Semenjak tahun 1948, apabila sebahagian bumi Palestin telah diagihkan kepada kaum Zionis dan didirikan entiti Israel maka bermula pertentangan yang berterusan di antara warga Arab dengan Israel dan semua puak yang menyokong Israel.
Kewujudan Zionis Israel di bumi Palestin tidak dapat diterima bukan sahaja oleh rakyat Palestin dan Arab sendiri, malah tidak dapat diterima oleh sesiapa sahaja yang memiliki kesedaran tentang apa yang betul dan apa yang salah. Memang benar ada beberapa kerajaan Arab dan beberapa pemimpin Palestin sendiri yang bersedia menerima kewujudan Zionis Israel. Al-Fatah yang mendominasi Palestine Liberation Organanisation telah sanggup bekerjasama dengan Zionis Israel.
Tetapi lihat hasilnya Al-Fatah telah dicampakkan ke dalam tong sampah sejarah oleh rakyat Palestin dalam pilihan raya baru-baru ini. Kewujudan entiti Zionis Israel di bumi Arab inilah
yang menjadi tabir latarbelakang kepada semua krisis yang kita lihat hari ini.
Kita tidak perlu berdolak-dalik atau pura-pura tidak faham atau pura-pura mencari-cari sebab musabab kenapa warga Arab dan penganut Islam berlaku 'ganas' tindakan mereka, walhal yang dicetak hanya 12 lakaran? Apakah mereka ini bebal? Atau apakah warga Arab dan penganut agama Islam tidak memiliki naluri untuk tersenyum, ketawa dan berhumor?
Soalan seperti ini telah saya baca dari laman-laman akhbar dari Eropah. Untuk jawapannya, saya meminta kita semua membuka tabir latar yang lebih luas dan lihat pula apa yang telah terjadi ke atas Iraq, sebuah lagi negara Arab.
Sayugia diingati, di bumi Iraq inilah bermulanya salah satu dari jalur tamadun manusia yang kita sama-sama alami sebagai manusia hari ini. Ketika saya menulis, negara Iraq telah menjadi padang jarak padang tekukur. Dari sebuah negara yang termaju, kini Iraq telah menjadi negara papa kedana dengan rakyat dan penduduknya diporak-perandakan oleh perang.
Siapa yang melancarkan perang ini? Mari kita sama-sama bertanya kepada ketua pengarang harian Jyllands-Posten apa yang sedang dibuat oleh 530 orang soldadu Denmark di Iraq ? Adakah mereka datang ke sana untuk mencari bahan untuk membuat lakaran atau sedang mengikuti satu pertandingan melukis? Kalau datang untuk melukis, kenapa perlu membawa senjata dan kereta perisai?
Akhbar-akhbar Eropah yang telah mencetak 12 lakaran itu dikatakan memiliki pegangan falsafah yang kuat terhadap hak kebebasan bersuara. Akhbar-akhbar ini juga dikatakan begitu telus cita-cita mereka untuk memberi tahu 'apa bendanya ' yang sedang berlaku dalam dunia ini kepada pembaca mereka. Lalu saya ingin bertanya, sudahkah para pembaca Jyllands-Posten ini
diberitahu bahawa lebih dari 100,000 rakyat Iraq telah tewas terkorban kerana menjadi mangsa senjata tercanggih tentera Anglo-Amerika.
Kebebasan akhbar
Apakah akhbar-akhbar di Eropah ini telah memberitahu kepada pembaca mereka yang setia tentang bagaimana Fallujah, sebuah kota kecil di Iraq telah diserang dengan napalm? Sudahkah akhbar-akhbar yang bebas bersuara ini mengadakan banci untuk mengira berapa ratus ribu kanak-kanak Iraq yang telah mati kerana kekurangan makanan dan kekurangan bekalan ubat-ubatan
kerana dasar 'sanction' yang telah dikenakan ke atas Iraq semenjak tahun 1991?
Mungkin yang mati dan gugur ini adalah warga Arab yang wujudiah mereka tidak dapat disamakan dengan nilai tinggi wujudiah warga Eropah. Jika ini patukannya, maka saya ingin bertanya, sudahkah diberitahu kepada para pembaca yang budiman tentang jumlah soldadu Eropah yang telah gugur di Iraq.
Saya juga memahami sensitiviti warga Eropah yang tidak ingin melihat gambar darah dan mayat di cetak di laman akhbar. Tetapi kenapa gambar keranda dan gambar pengebumian mereka juga dilarang dari dicetak di akhbar. Kenapa ketua-ketua pengarang akhbar-akhbar ini tidak menjerit-jerit membantah dan menonggengkan buntut kepada George W. Bush?
Hari ini semua akhbar Eropah dan Amerika sibuk melaporkan tentang 'bahaya' dan 'mala petaka' yang akan melanggar kita semua kerana senjata nuklear Iran. Di sini saya ingin mencelah dan bertanya kenapa akhbar Jyllands-Posten tidak melaporkan tentang senjata dan bom nuklear yang dimiliki oleh zionis Israel.
Apakah akhbar-akhbar ini terlupa untuk menjadi telus dan bertanggung jawab kepada pembaca mereka dengan memberitahu bahawa senjata nuklear Israel ini telah sedia wujud dan siap siaga untuk meledak. Kenapa akhbar-akhbar ini tunggang langgang dan sibuk membuat laporan tentang 'mala petaka' yang akan dibawa oleh senjata nuklear Iran , walhal senjata ini tidak wujud.
Pusing punya pusing dan cari punya cari, maka kita akan sampai kembali kepada zionis Israel. Tidak dapat tidak, huru-hara dan porak peranda yang sedang berlaku di negara Arab dan Afghanistan pada ketika ini semuanya berpunca dari kehadiran entiti zionis Israel di Palestin.
Melalui perancangan licik, kaum zionis telah mengadakan hubungan dan bekerjasama intim dengan kabal neo-con. Dua kumpulan berhaluan kanan inilah yang sedang menguasai Rumah Putih.
Dalam dunia uni polar hari ini, sesiapa yang menguasai Rumah Putih akan menguasai arah tuju kekuatan bala tentera Amerika Syarikat. Kuasa imperial Amerika ini masih lagi mendapat sokongan kuat dari kuasa Anglo dan sekutu-sekutunya. Kuasa Anglo-Amerika inilah yang sedang menjadi kepala 'lanun' untuk mengharu birukan Palestin, Iraq dan Afghanistan.
Hari ini kaum zionis dan kabal neo-con sedang merancang untuk menyerang Iran. Kemarahan warga Arab dan penganut agama Islam terhadap 12 lakaran yang menghina Nabi Muhammad ini telah menyebabkan terbakarnya bangunan kedutaan Denmark di Beirut dan di Damsyik. Kini seperti dalam perancangan, warga dunia akan melihat warga Arab dan penganut agama Islam sebagai 'ganas'.
'Keganasan' ini sedang cuba dipisahkan dari latar dan konteks persejarahan yang menimbulkan keganasan ini. Ganas ini cuba diperlihatkan muncul secara tiba-tiba tanpa sejarah dan latar belakang. Warga Palestin, warga Iraq dan warga Afghanistan dilihat sebagai warga yang tidak bertamadun dan menolak ciri-ciri kemodenan yang dibawa oleh budaya konsumerisme Anglo- Amerika.
Penganut agama Islam juga diperlihatkan sebagai insan yang mundur, primitif dan tidak tahu menilai hak kebebasan bersuara.
Untuk melupuskan hujah-hujah ini saya hanya ada satu perkara yang ingin saya nyatakan kepada si ketua pengarang akhbar Jyllands-Posten. Saya ingin memberitahu bahawa tanpa ilmu pengetahuan dari warga Arab yang telah menemui benih gandum dan menemui teknik penapaian gandum barulah dunia mengenal alkohol. Tanpa penemuan ini tidak mungkin beer Carlsberg yang menjadi eksport utama negara Denmark itu wujud.
Jadi, kita tidak perlu angkuh kerana kita semua pinjam meminjam sebagai warga dunia dan berhutang budaya kepada anak semua bangsa.

