Paling Popular
Terkini

Kita bacakan al-Fatihah untuk kesemua yang gugur di tembak mati dalam masjid oleh Brenton Harrison Tarrant di Christchurch, New Zealand pada Jumaat 15 Mac lalu. Kepada yang cedera kita harapkan mereka akan sembuh cepat. Kepada keluarga yang tewas dan cedera kita sampaikan simpati dan salam takziah. Amin.

Satu dunia heboh. Pembunuhan dalam masjid ini telah dirakam secara terus menerus untuk tontonan dunia. Klip tembak mati ini sama seperti klip mainan video yang berjuta-juta peminatnya.

Klip Christchurch ini menular ke seluruh pelosok - kota, kampung dan desa. Klip ini menular ke seluruh dunia. Justeru, dunia jadi heboh. Media menghebohkan lagi. Para politikus mengeluarkan pandangan sepuluh sen mereka. Di Malaysia pun kita sama heboh.

Tup tup kita dengar ada negara melarang dan mengharamkan penyebaran klip Christchurch. Kerajaan New Zealand mengancam warganya dengan 10 tahun penjara jika memiliki klip ini. Ikut. Ikut. Kita pun ikut sama.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan arahan untuk melarang warga Malaysia - anak semua bangsa, bangsa semua agama - dari menonton dan menularkan klip ini. Kah, kah, kah.

Saya ketawa kah kah kah kerana arahan dan larangan sedemikian samalah seperti mencurahkan gula ke Pantai Tanjung Keling dengan harapan air laut akan manis.

Biar saya nyatakan secara jujur. Sebelum saya terbaca larangan SKMM, saya yang tidak memiliki telefon pintar. Tetapi seorang kawan telah memperaga klip ini. Saya hanya menonton hingga ke tembakan maut ke tiga. Mata dan hati saya tidak sanggup melihat.

Kenapa saya tidak memiliki kesanggupan untuk menonton hingga klip ini tamat?

Bila klip video 'mak datin terlampau' terbit beberapa tahun dahulu saya tidak tercari-cari untuk menontonnya. Saya hanya mendengar kehebohan yang klip ini wujud. Bila klip China doll didakwa berkaitan dengan Anwar Ibrahim muncul saya ada menonton kerana saya diminta membuat propaganda memperlekeh klip ini. Begitu juga dengan klip terkam, yang juga didakwa melibatkan Anwar Ibrahim. Sayalah yang bertanggung jawab menangkis dan melawan klip ini.

Menonton klip bukan asing untuk saya.

Tapi saya juga tidak begitu berminat menonton porno atau laman seks dalam Internet. Jauh sekali saya berahi untuk menonton filem porno Jerman. Saya akan sama seperti perangai Nik Abduh kalau saya katakan yang saya ini langsung tidak pernah melihat klip porno.

Saya tahu saya ini bukan insan suci. Tetapi saya tidak membuat sesuatu bukan kerana ada larangan. Hidup saya berpandukan falsafah “dilarang melarang”. Perbuatan saya berasaskan fikrah yang rasional.

Justeru, saya memiliki sebab musabab kenapa saya tidak menonton habis klip tembak mati Christchurch. Atau kenapa saya tidak gelabah mencari klip mak datin terlampau. Atau baru-baru ini ketika pilihan raya kecil di Port Dickson, saya tidak sibuk mencari klip anak muda yang didakwa menaja lima kempen Anwar.

Meninggalkan era moden

Berita menjadi ‘hot’ dan heboh kerana dikatakan wujudnya klipnya sedang melancap. Saya langsung tidak ambil pot.

Filem dan video adalah dunia saya. Ini ilmu yang saya tuntut dan saya pelajari. Justeru saya tahu sebanyak sedikit tentang teori dan praktik filem dan video.

Saya bukan seorang ‘voyeur’. Voyeur dalam bahasa Perancis bermakna mengintai. Sosok voyeur akan mendapat nikmat keberahian seksual apabila mengintai. Anak muda kita cekap kerana berjaya melahirkan perkataan baru “skodeng” yang sama makna dengan voyeur. Saya bukan mat skodeng. Saya bukan kaki intai.

Bagaimana dengan filem?

Menonton filem hakikatnya kita mengintai. Apa yang berbeza ialah kita mengintai naratif filem itu secara beramai-ramai dalam panggung. Kita tidak melakukan secara rahsia-rahsia sambil tangan meraba-raba dalam kain sarung. Tengok wayang tidak sorok menyorok. Kita menonton secara terbuka.

Justeru menonton filem bukan satu penyakit seperti yang dihinggapi oleh semua mat skodeng.

Apa sangkut paut antara voyeur, mat skodeng dengan pembunuhan yang dilakukan oleh Brenton di Christchurch. Pada hemat semua ini kait berkait. Apa yang berlaku adalah tanda dan makna yang kita wajib fahami.

Pembunuhan di Christchurch adalah tanda jelas bahawa kita kini dalam zaman pasca moden. Kita telah meninggalkan era moden.

Biar saya surahkan di sini. Pada tahun-tahun 70-an dahulu, juga ketika saya belajar ilmu filem, ada satu genre filem yang paling dicari. Yang dicari tapi tak jumpa-jumpa. Genre ini dipanggil snuff film. Apa dia filem snuff?

Filem snuff dikatakan menggambarkan kematian ganas yang terjadi kepada pelakon. Mati dalam filem snuff adalah mati yang betul mati. Bukan mati lakonan. Peluru atau pisau dalam filem snuff adalah peluruh hidup dan pisau tajam. Darah yang meleleh dari leher pelakon bukan dakwat merah atau sos tomato tetapi darah manusia.

Dikatakan, kononnya filem ini difilemkan di Amerika Latin. Ini kerana di Amerika Latin harga nyawa amat murah. Filem ini dikatakan bergerak bawah tanah. Ketika belajar saya dan kawan-kawan mencari filem snuff ini dari Southhall hingga ke Soho London. Tapi tak jumpa. Ia menjadi mitos untuk perbincangan pelajar filem.

Apa yang saya tulis ini adalah budaya filem - budaya mengintai dan budaya skodeng – sebelum Ronald Reagan membebaskan Internet untuk kegunaan ramai. Internet mengubah semuanya. Teknologi mengubah rupa bentuk dunia. Teknologi mengubah budaya kita semua.

Jangan kita lupa bahawa filem snuff pertama yang menggemparkan dunia berlaku di Iraq. Pada awal Ogos 2004 dilaporkan seorang agen CIA telah ditangkap di utara Iraq. Mamat ini dipakaikan pakaian oren penjara. Tangan ikat ke belakang. Mencangkung bongkok seperti seekor kambing kemudian lehernya dipotong dengan pisau. Semua difilemkan untuk dimasukkan ke dalam Internet. Dunia gempar. Ini filem sahih lagi afdal. Inilah filem snuff pertama keluaran kumpulan Islam Iraq yang ditonton warga dunia.

Mitos filem 'snuff' telah terbarai

Kemudian pada 4 Februari 2015 dunia terperanjat melihat bagaimana seorang pemandu kapal terbang warga Jordan telah dikurung dalam sangkar besi kemudian dibakar hidup-hidup. Klip keluaran gerakan Islam ini menular dunia.

Pada 6 Julai dilaporkan bagaimana 19 orang wanita Yazidi dikurung dalam sangkar besi dan dibakar hidup-hidup. Pembakaran hidup-hidup ini dilakukan di hadapan tonton ratusan orang ramai. Kesalahan yang dilakukan oleh perempuan ini ialah mereka enggan bersetubuh dengan wira pejuang ISIS. Pembakaran ini berlaku di wilayah Kurdistan Iraq/Syria.

Menurut agensi berita pada 3 Julai 2017 satu pasukan pejuang ISIS telah membakar hidup-hidup 12 orang tahanan mereka. Orang tawanan ini telah disimbah minyak sebelum dibakar hidup-hidup. Ini berlaku di Kirkuk, utara Iraq. Tawanan ini ditangkap kerana cuba melarikan diri dari wilayah kawalan ISIS.

Tujuan saya merakamkan kembali babak-babak ganas dan ngeri ini untuk membuktikan bahawa apa yang berlaku di Christchrch itu bukan satu yang baru. Apa yang baru hanyalah Brenton telah menggunakan kamera badan GoPro dan merakamkan setiap tembakan yang dilakukan. Dia berpindah dari bilik ke bilik. Semua dirakam.

Sahih lagi afdal Brenton adalah pembuat filem snuff untuk dunia. Kita tidak mengintai-intai atau menyorok untuk menonton. Malah sebuah stesen TV di Australia telah menayangkan secara rasmi filem Brenton ini. Mitos filem snuff telah terbarai.

Teknologi telah membantu Brenton untuk memberi peluang kepada dunia melihat pembunuhan dalam ‘real time’. Di Christchurch garis pemisah antara video game dan realiti dunia semakin kabur. Kita tidak tahu lagi mana yang benar dan yang mana hanya permainan. Yakinlah ini tanda-tanda jelas kita kini dalam dunia pasca moden.

Mati ditembak, mati ditikam, mati dibunuh, lelehan darah manusia , kepala putus dipenggal, manusia disembelih, manusia dibakar hidup hidup kini menjadi kebiasaan baru, new normal.

Kebiasaan baru telah dibawa oleh teknologi. Kita melihat ombak tsunami walau pun bukan dalam masa yang sama. Kita melihat sosok terbarai dilanggar kereta. Kita melihat Pak Itam gugur berdarah ditembak oleh polis orang putih Amerika. Ini imej kebiasaan baru.

Semua imej-imej ini menjadikan kita lali dengan keganasan. Lali dengan kematian. Lali dengan limpahan darah. Kita melihat bagaimana soldadu Amerika dari udara menembak mati warga Iraq di tepi jalan. Kita melihat imej pak cik terjun dari bangunan World Trade Center yang sedang terbakar. Semua ini menjadikan kebiasaan baru satu kebiasaan.

Satu ketika dahulu kita akan terperanjat. Hati dan jiwa kita akan terganggu apabila melihat wilayah kebuluran di Afrika. Kita juga akan menutup mata menjauhkan pandangan dari melihat keganasan di hadapan mata. Kini tidak lagi.

Kini ribuan akan datang menonton jantan yang dibogelkan untuk dirotan punggungnnya di Karachi atas nama Islam. Ribuan berkumpul di Banda Acheh untuk menjadi saksi anak muda homoseksual dirotan.

Semua ini adalah kebiasaan baru. Justeru bila SKMM mengeluarkan larangan agar klip pembunuhan dalam masjid di Christchurch jangan ditularkan. Saya ketawa kah kah kah. SKMM tidak sedar bahawa kita kini dalam era pascamoden.

Semua yang sedang berlaku adalah sebahagian dari budaya pascamoden. Kalau kita makan durian mustahil kita tidak mahu bau durian. Kalau kita makan lada mustahil kita tidak mahu rasa pedas.

Kebiasaan baru datang dalam pakej bersama teknologi kamera GoPro. Tapi seperti saya, kita masih ada pilihan. Tutup TV dan padamkam Internet. Jangan tonton. Tak perlu arahan. Tak perlu larangan. Gunakan akal. Khalas. END


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS