Paling Popular
Terkini
story images
story images

Syukur apabila krisis pencemaran toksik di Pasir Gudang berjaya dikawal atas kerjasama semua agensi serta sokongan komuniti sekitar.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengisytiharkan bahawa air Sungai Kim Kim kini selamat daripada toksik berbahaya.

Susulan itu juga pusat rawatan awal pencemaran di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) telah ditutup dan penduduk telah dibenarkan pulang.

Kerajaan akan terus memantau sungai ini untuk tempoh dua minggu lagi bagi memastikan ia benar-benar telah bebas kandungan toksik.

Krisis ini tentulah satu wake-up call (seruan bangkit) kepada kita semua. Sungai Kim Kim bukanlah satu-satunya sungai di negara ini dan Sungai Kim Kim bukanlah satu-satunya sungai yang tercemar di negara ini.

Bezanya hanya satu, pencemaran di Sungai Kim Kim mempunyai hubungan kesan langsung terhadap diri kita, maka kita bangkit tersedar dan bertindak.

Sungai Kim Kim hanyalah satu daripada 51 batang sungai di negara ini yang disenaraikan pada hujung tahun lepas oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai tercemar berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2017.

Kesan amalan puluhan tahun

Johor merupakan antara negeri dengan bilangan sungai paling banyak tercemar di negara ini – khususnya yang berada dalam kategori Kelas 4 (hanya untuk tujuan pengairan, Sungai Kim Kim dalam ketegori ini) dan kategori Kelas 5 (air yang tercemar teruk).

Terdapat pola yang jelas apabila kita melihat senarai sungai tercemar ini, kebanyakannya terletak di kawasan bandar yang mengalami proses urbanisasi yang tinggi seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang – namun, beberapa sungai-sungai di negeri lain juga tidak bebas pencemaran.

Meskipun semua maklum bahawa pencemaran ini adalah kesan daripada amalan yang berlaku sejak puluhan tahun di negara ini, namun saya bersyukur apabila kerajaan negeri Johor memilih untuk tidak lepas tangan dengan mengatakan ini berlaku sebelum pentadbiran kami.

Kerajaan negeri Johor mengambil sepenuh tanggungjawab bersama kerajaan persekutuan untuk meningkatkan kualiti air di semua sungai-sungai di negeri ini.

Sebagai masyarakat yang secara tradisinya sangat akrab dengan sungai, pencemaran ini sangatlah mendukacitakan. Orang Melayu telah menjadikan sungai sebagai laluan perhubungan sejak ratusan tahun lamanya.

Sungai juga merupakan nadi utama kepada tradisi kita apabila banyak pusat kegiatan ekonomi dan perdagangan berpusat di muara-muara sungai – sebagaimana kebanyakan kota-kota lain di Asia Tenggara dan dunia amnya.

Maka adalah malang apabila kita menyerahkan sungai-sungai kita sebagai korban pembangunan. 

Kisah sungai di Korea Selatan

Namun, demikian juga yang berlaku di serata dunia. Tradisi dan budaya tidak mampu mengekang urbanisasi. Lihat sahaja India, negara paling kuat memberi penekanan kepada tradisi Hinduism yang mempercayai kemurnian Sungai Ganges/ Ganga, namun sungai ini juga antara yang paling tercemar di dunia.

Barangkali ini yang kita harus belajar daripada beberapa buah negara maju lain yang berjaya mengekalkan kemajuan pembangunannya dan pada masa yang sama menikmati keindahan sungai mereka.

Pastinya antara contoh terbaik ialah projek mega ‘mengembalikan’ Sungai Cheonggyecheon yang merentasi kota Seoul, Korea Selatan.

Sungai Cheonggyecheon merupakan sungai yang penting dalam sejarah masyarakat Korea, khususnya di Seoul. Namun kemudiannya sungai ini menjadi tempat kumuhan apabila kota Seoul mula membangun, khasnya selepas Perang Dunia Kedua.

Tiga puluh tahun kemudian, kerajaan Korea kemudiannya memilih untuk menutup sungai ini dengan membina lebuh raya di atasnya. Maka hilanglah sungai ini bukan sahaja daripada pandangan mata orang ramai, malahan juga daripada sejarahnya juga.

Sungai Cheonggyecheon di Korea Selatan

Pada awal 2000, Datuk Bandar Seoul, Lee Myung-Bak, membuat keputusan untuk membongkar kembali lebuh raya utama di tengah kota Seoul yang sibuk untuk menjelmakan kembali Sungai Cheonggyecheon.

Projek ini tidak diterima dengan mudah oleh penduduk, khususnya para pengguna lebuh raya ini dan para peniaga di sepanjang 5.8 kilometer laluan sungai tersebut.

Mereka berdemonstrasi menentang projek ini. Pihak berkuasa akhirnya mengadakan lebih 4,000 mesyuarat bersama komuniti setempat sehingga mencapai kata sepakat.

Projek ini akhirnya berjaya diselesaikan dalam 29 bulan (dari 2002 hingga 2005) yang melibatkan kos sebanyak 380 billion Won dengan 700,000 orang pekerja.

Kini, Sungai Cheonggyecheon kembali menjadi nadi kepada kehidupan masyarakat Seoul. Setiap hari dianggarkan lebih 60,000 pelawat mengunjungi kawasan ini.

Banyak aktiviti ekonomi, sosial dan kebudayaan dianjurkan sepanjang laluan sungai ini. Lee Myung-Bak yang dikritik atas ideanya ini, kemudiannya menjadi Presiden Korea Selatan pada 2008.

Meskipun konservasi sungai di kota bukan asing di negara ini, contohnya projek River of Life di Kuala Lumpur dan Sungai Segget di Johor Bahru, namun projek ini masih jauh berbeza daripada segi skala penglibatan komuniti dengan projek di Seoul ini.

Bagi menjayakan sebarang usaha konservasi sungai – dan apa projek awam sekalipun – ia harus tidak terpisah daripada sokongan komuniti. Tanpa sokongan masyarakat, projek seumpama ini akan gagal.

Maka, barangkali, dengan wake-up call ini, sudah tiba masanya untuk kita kembali menghubungkan sungai kita dengan masyarakat tapi kali ini bukan dengan pencemarannya sebaliknya dengan sejarah tradisi serta kebanggaannya – yang mengadunkan tradisi dengan urbanisasi.


SHEIKH OMAR ALI merupakan Adun Paloh dan Setiausaha Publisiti DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS