Paling Popular
Terkini

Jika kita Google “mengapa orang mencipta berita palsu”, antara jawapan yang kita dapat: Berita palsu bersifat sensasi yang penciptanya mahu dikongsi ramai orang secara atas talian.

Lantas dia menjana pendapatan iklan berdasarkan kejayaan menembusi sasaran. Erti kata lain dapat trafik Internet.

Sensasi yang dimaksudkan termasuklah yang tidak masuk akal seperti wanita berkahwin dengan makhluk asing dari planet Marikh dan mendapat anak atau Elvis Presley masih hidup. Percaya atau tidak, ada juga orang yang percaya.

Satu lagi sebab yang dihuraikan ialah ia bertujuan menjatuhkan seseorang tokoh awam atau parti politik mahupun syarikat.

Umum tahu itu juga mendatangkan ganjaran kepada orang yang mencipta berita palsu. Mungkin juga lebih lumayan daripada pendapat iklan.

Baru-baru ini saluran berita Singapura – Channel News Asia – menyiarkan dokumentari terbitannya berjudul “The truth about fake news” atau kebenaran mengenai berita palsu. Judul yang menarik. Sama padan dengan dokumentari itu sendiri yang bagi saya bukan sahaja menarik bahkan bagus.

Dengan membuat penyelidikan sendiri sambil menemubual pakar serta orang yang terlibat dengan rekaan dan penyebaran berita palsu di Eropah dan Asia ia menyimpulkan berita palsu sebagai ancaman besar yang dihadapi dunia masa kini.

Perlu diingati berita palsu yang dibincangkan dalam dokumentari itu ialah berita palsu yang benar-benar palsu, bukan berita benar yang dituduh palsu.

Menurut pakar yang ditemubual, orang yang gemar menyebarkan berita palsu yang mereka terima ialah golongan yang bangga mendapat sesuatu berita lebih awal daripada orang lain.

Dia juga menjadi yang terdahulu untuk memberitahu orang lain. Lalu dia cepat memanjangkan berita itu. Ertinya dia akan kongsi berita itu dengan orang lain secepat mungkin.

Itu secara ringkas yang mengakibatkan masalah global masa kini, dibantu dengan teknologi.

Dokumentari itu menghuraikan pelbagai langkah yang dirangka dan diambil beberapa negara untuk memerangi gejala misinformation. Turut dijelaskan pelbagai langkah dan kaedah yang digubal dan dilaksana oleh syarikat gergasi syarikat seperti Facebook dan Google.

Dalam erti kata lain ada perundangan termasuk undang undang keras serta sistem teknologi tinggi untuk mengesan dan menghalang berita palsu.

Namun kesimpulannya ialah walaupun semua itu membantu, berita palsu masih wujud dan akan terus wujud. Hakikatnya berita palsu lebih senang dicipta dan disebar daripada dihalang, apatah lagi melupuskannya.

Bola di kaki kita

Daripada kesimpulan itu diutarakan satu lagi kesimpulan iaitu semuanya terpulang kepada kita – si penerima berita palsu dan pengguna media sosial.

Kita sendiri yang mesti pastikan mana berita palsu mana berita benar dan dengan dibantu media.

Menurut pakar yang ditemuramah dalam dokumentari itu, media perlu tampil untuk mendapat kembali kedudukannya sebagai badan yang berwibawa. Hanya dengan kewibawaan berita yang dibawa oleh media akan diyakini dan dipercayai masyarakat. Kepercayaan terhadap berita palsu akan berkurangan.

Tidak dinafikan antara sebab berita palsu dipercayai umum ialah orang ramai sangsi terhadap media. Di Malaysia umpamanya apa yang dipanggil media arus perdana hilang kepercayaan masyarakat kerana bertindak sebagai propagandis dan bukannya media bebas yang adil. Ini berlaku untuk sekian lama.

Akibatnya orang ramai lebih percaya dengan khabar angin dan surat layang ketika media sosial belum wujud. Surat layang kerap berterbangan pada musim pemilihan parti politik khususnya Umno. Itu kita cerita pada masa lain.

Seperti dikatakan tadi, bola di kaki kita, si penerima dan pengguna media sosial.

Menerusi dokumentari Channel News Asia kita diberitahu di Indonesia ada gerakan yang dijalankan aktivis dan badan bukan kerajaan khusus untuk menangani masalah berita palsu.

Antaranya program “Cek dulu”. Ertinya orang ramai mesti periksa dulu berita yang diterima sebelum mempercayainya dan berkongsi dengan orang lain. Cek sumber berita itu.

Satu lagi program ialah Think before you share atau fikir sebelum kongsi.

Saya setuju itu yang perlu kita lakukan – periksa dulu dan fikir dulu. Jangan percaya melulu dan kongsi.

Bagi saya logik mesti memainkan peranan utama apabila kita menerima sesuatu “berita” walau bagaimanapun ia nampak “meyakinkan”.

Jika satu berita yang terlalu bagus untuk dipercayai kemungkinan besar ia berita palsu. Contohnya satu syarikat besar akan beri RM1,000 kepada setiap orang setiap bulan.

Atau si polan yang mahu meraih sokongan rakyat “dilaporkan” berkata dia antiagama dan akan meruntuhkan tempat ibadah.

Secara logik walaupun jika si polan itu benar benar anti agama (tak kiralah agama apa pun) adakah dia akan mengumumkan secara terbuka akan hasratnya itu?

Umpama orang berperang, tidak logik dia akan memberitahu perancangannya kepada semua orang terlebih dahulu.

Saya cukup setuju dengan slogan di Indonesia – 'cek dulu' dan tentunya think before you share.




MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS