Paling Popular
Terkini

Sepanjang pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sama ada sebagai perdana menteri keempat mahupun sekarang, amat jarang rakyat melihat beliau begitu emosi semasa mengadakan sidang media.

Bagaimanapun, baru-baru ini sewaktu sidang media pengumuman penarikan kembali tanda tangan untuk menerima Statut Rom, beliau jelas kelihatan begitu marah sehingga wartawan yang hadir dapat merasakan bahang kemarahan tersebut. 

Mana tidaknya, ini merupakan satu tamparan yang hebat kepada Mahathir selaku ketua kerajaan dan tindakan kerajaannya dipersoal sehingga terpaksa ditarik semula.

Perdana menteri pada 5 April ketika mengumumkan kerajaan tarik diri dari Statut Rom.

Sudah pasti ini merupakan sesuatu yang mengaibkan baginya, bukan sahaja di peringkat nasional malah di peringkat antarabangsa. Ini melahirkan persepsi seolah-olah kerajaan tidak cekap dan berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan.

Rakyat semua memahami Mahathir, bahawa beliau seorang yang sangat teliti dan bijak. 

Peristiwa ini menjejaskan imej serta reputasi beliau, maka sudah pasti beliau tidak dapat menerimanya.

Bagi saya, ini bukanlah salah Mahathir semata-mata tetapi salah menteri luar dan penasihat-penasihat beliau yang gagal memberi penjelasan yang jelas kepada Mahathir dan juga rakyat secara keseluruhannya.

Sudah pasti dengan bebanan kerja yang menimbun dan berat, Mahathir akan banyak bergantung kepada kebijaksanaan menteri-menteri dan penasihat-penasihat beliau kerana ini adalah kewajipan mereka untuk membuat penelitian yang rapi sebelum memberikan sesuatu input kepada perdana menteri. Kecuaian menteri akan mengakibatkan keputusan yang salah dan bencana kepada negara.

Kuasa raja-raja

Peristiwa ini membawa satu pengajaran dan pemahaman yang besar kepada rakyat bahawa kuasa Majlis raja-raja bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng atau powerless

Selama ini, mungkin rakyat faham bahawa raja hanyalah sekadar simbol adat semata-mata dalam upacara rasmi negara. 

Tetapi apa yang berlaku ini telah membuktikan bahawa raja-raja mempunyai kuasa yang besar yang boleh mempengaruhi keputusan kerajaan.

Raja-raja dan Statut Rom

Banyak pihak yang membicarakan soal imuniti raja-raja terhadap empat kesalahan jenayah yang dinyatakan dalam Statut Rom. 

Sebenarnya, persoalan dan kerisauan yang lebih besar ialah soal kedaulatan negara. Tindakan menandatangani Statut Rom ini akan membolehkan campur tangan asing dalam hal ehwal negara.

Seperti yang sedia maklum, setiap kerajaan yang berdaulat mempunyai kuasa bebas dalam hal ehwal negaranya sendiri tanpa dikekang oleh kuasa asing. 

Sebarang tindakan yang bersifat campur tangan dalam hal ehwal negara perlu mendapat perkenan Majlis Raja-raja.

 Amalan ini berlaku sejak zaman sebelum merdeka lagi, malah British pun meminta perkenan raja dalam pelbagai perkara yang melibatkan hal ehwal kerajaan Melayu.

Soal sama ada baik atau buruknya peruntukan dalam Statut Rom adalah perkara yang perlu dipersembahkan terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja. 

Oleh yang demikian, dalam hal ini, jemaah menteri hendaklah membuat rundingan dengan Majlis Raja-Raja seperti yang termaktub dalam Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan kerana punca kuasa berkaitan kedaulatan terletak di situ dan perlembagaan negeri baginda masing masih tertakluk.

Perkara 38(4):

"Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja."

Kabinet Mahathir

Saya tidak bercadang untuk menuding jari kepada mana-mana pihak dalam soal Statut Rom ini kerana ia sudah pun berlalu. Apa yang saya ingin tekankan ialah Majlis Raja-Raja bukanlah suatu institusi yang biasa tetapi mempunyai kuasa yang amat besar dan mempunyai pengaruh yang kuat dalam menentukan polisi negara.

Institusi Raja bukanlah sebuah institusi yang boleh diremeh dan dihina tetapi institusi ini mempunyai kuasa penentu dalam isu-isu negara.

Jadi, janganlah kita menjadi rakyat yang beremosi semata-mata tanpa memahami kuasa raja dalam konteks perlembagaan dan perundangan negara.


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS