Paling Popular
Terkini

Minggu lalu saya menulis bahawa semua yang berlaku dalam alam kita ini ada punca dan ada sebab. Ada akibat daripada sebab musabab ini.

Dalam politik tidak ada yang bergerak tanpa dirancang. Politik tidak pernah bergerak secara sendiri. Semua dirancang dan disusun untuk dijalankan.

Sama ada hasilnya seperti yang dirancang atau tidak, bukan itu perkara yang saya timbulkan. Yang saya timbulkan ialah semua gerak kerja politik dilakukan melalui perancangan.

Justeru lelaki Australia 28 tahun bernama Brenton Tarrant yang melakukan pembunuhan dalam masjid di Christchurch New Zealand itu adalah akibat daripada satu perancangan. Ianya bukan terjadi dengan sendiri.

Begitu juga kelahiran Osama bin Laden di Afghanistan atau Abu Bakar al-Baghdadi di Mosul, Iraq. Ia juga bukan wujud dengan tersendiri. Ianya hasil perancangan yang rapi.

Tarrant menulis satu manifesto setebal 74 muka surat. Di dalam manifesto itu dia menyebut nama Presiden Donald Trump dan juga pemimpin parti National Front Marie Le Pen dari Perancis.

Pada 16 Mei 2010 al-Baghdadi dilantik menjadi 'khalifah Islam'. Pada 8 April 2013 dia mengumumkan manifestonya ketika merangka penubuhan Islamic State of Syria dan Levant (ISIL). Dia menyebut dan merujuk kepada nama Allah dan nama Nabi Muhammad.

Brenton ada manifesto dan ada agenda. Al-Baghdadi juga ada manifesto dan ada agenda.

Tak menggalakkan berfikir

Maka mari kita kaji selidik apa agenda mereka. Dari mana agenda ini datang. Paling wajib kita rungkai: siapa di belakang agenda-agenda ini.

Dalam tulisan yang lalu saya telah melakar dan menunjukkan bagaimana gerakan Wahabi dengan Islam hafal dan Islam ritual digunakan oleh Amerika dan sekutunya untuk menentang Soviet Union.

Wahabi menjadi alat agenda Amerika. Fakta ini telah diakui sendiri oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Muhamad Bin Salman.

Wahabi dan agnda Amerika ini berlaku ketika Perang Dingin (1947-1991) berjalan. Perang Dingin ialah perang idealog. Perang di antara sistem ekonomi kapitalis yang dikepalai Amerika dengan sistem ekonomi sosialis yang dipimpin Rusia dan China.

Jelas dan terbukti bahawa gerakan Islam menghafal dan Islam ritual diteraju Wahabi bersekongkol dengan licik untuk menjalankan agenda jahat Amerika.

Hakikatnya Islam jenis Wahabi hanya menghafal dan beritual. Islam genre konservatif ini telah membantu memperkukuhkan sistem ekonomi kapitalis dalam era Perang Dingin.

Islam Wahabi tidak menggalakan berfikir. Islam Wahabi berlawanan dengan Islam berfikir Baitul Hikmah (786-1258) yang berkembang di Baghdad pada zamam pemerintahan Abbasiyah.

Justeru Islam genre Wahabi dengan senang menjadi senjata idealogi untuk sistem ekonomi kapitalis dalam perang melawan sistem ekonomi sosialis.

Perang ialah perebutan kuasa. Merebut kuasa bertujuan merebut punca-punca pengeluaran. Punca pengeluaran ialah harta kekayaan - tanah, hasil galian, buruh dan pasaran.

Politik juga perang untuk merebut kekayan dan punca-punca pengeluaran. Bezanya, ia dilakukan melalui pilihan raya. Jika politik pilihan raya gagal maka perang berbunuh-bunuhan akan muncul.

Hari ini Amerika masih lagi kuasa dunia. Hegemoni Amerika dalam ekonomi, ketenteraan dan diplomasi masih kukuh mengampuh dunia.

Pada masa yang sama garis politik kapitalis Amerika semakin mengarah ke kanan. Garis politik kanan ini juga semakin merebak ke dalam badan parti politik Eropah. Maknanya, politik kanan Amerika dan Eropah kini bertemu.

Apa dia politik kiri? Apa dia politik kanan?

Bukan kerana otak geliga

Mengikut takrifan, politik kanan menganut pandangan dunia konservatif tanpa kritikal. Politik kanan beridealogi kapitalis, bertuhankan keuntungan mengumpul harta kekayaan. Ini selari dengan idealogi Wahabi.

Politik kiri memiliki pandangan dunia yang progresif lagi kritikal. Politik kiri mengajukan sistem ekonomi sosialis berasakan kelas, bertuhankan keadilan untuk anak semua. Politik kiri melihat semua agama sama taraf sama darjat.

Tidak ada agama yang dipilih oleh Tuhan, justeru idealogi kiri menentang kaum Zionis yang mendakwa mereka adalah Bani Israel. Mereka adalah bani pilihan Tuhan.

Saya juga telah menulis bagaimana pemikir ulung kaum kanan Amerika Prof Samuel Huntington - dalam bukunya Clash of Civilisation - telah menujumkan bahawa pada kurun sekarang kita akan bertemu dengan pertempuran budaya.

Islam lawan Yahudi lawan Buddhist lawan Hindu lawan Kristian. Kristian pula lawan Islam lawan Yahudi. Semua bertempur. Pada realiti politik dunia hari ini pertempuran budaya sedang berjalan.

Apakah Huntington ini seorang nujum? Dia dapat meramalkan semua babak politik dengan tepat. Apakah fikrah profesor ini bergeliga hingga dia dijadikan pakar rujuk? Bukan. Bukan. Bukan.

Huntington bukan nujum tetapi salah seorang pemikir yang merancang garis politik Amerika untuk kaum pemodal. Justeru dia tahu arah mana politik dunia akan bergerak. Semua dirancang. Semua diatur.

Clash of civilisations atau pertempuran budaya ini memang dirancang. Pemikir dan beberapa kartel kumpulan kanan yang sama merancang dan menetaskan gerakan Islam hafal dan Islam ritual. Osama, Zarkawi dan al-Baghdadi adalah anak-anak didik mereka.

Bayangkan bagaimana rancangan licik dolar, riyal dan dinar berjaya melambak masuk untuk membantu kumpulan ISIS. Senjata diseludup masuk dari Turki, dari Jordan ke Iraq.

Malah Pak Cik Zionis dan Mak Cik Zionis menyediakan hospital dengan tilam empuk sekiranya Abang Wahabi dan Adik Wahabi terluka atau jatuh patah dibedil oleh soldadu Syria.

Apabila Iraq, Afghansitan dan Syria kacau bilau maka inilah taman subur untuk Wahabi berkembang maju. Dengan adanya soldadu kulit putih Amerika di Iraq, di Afghanistan maka Wahabi berjaya menjual labun bidadarinya.

Dalam sangkar yang sama

Dalam kacau-bilau kancah perang ini warga Arab lari menyelamatkan kaum keluarga. Mereka lari bukan ke negara Islam. Bukan ke Saudi atau Mesir atau Pakistan. Mereka lari mencari perlindungan di negara kafir saperti Sweden, Jerman, Itali dan United Kingdom.

Inilah masa dan ketika yang amat baik untuk kaum pemodal, politikus berhaluan kanan dan para profesor kanan untuk membina kumpulan politik kanan.

Eropah kini diganggu kedatangan pelarian Arab yang juga Islam.

Di Eropah parti-parti kanan mula mendapat udara baru. Kedatangan pelarian Islam adalah oksigen yang membantu dan menghidupkan agenda kumpulan politik kanan Eropah.

Di Eropah panglima politik kanan yang awal ialah Front National dari Perancis. Kemudian wujud Dutch Freedom Party dari Belanda, Austrian Party for Freedom, Norweign Progress Party, Italian Lega Nord, Sweden Democrat dan Alternative for Germany.

Semua ini parti berhaluan kanan di Eropah yang memiliki perwakilan dalam parlimen tempatan atau pun dalam parlimen Eropah.

Kumpulan parti politik kanan ini memiliki pandangan dunia yang sama. Kesemua parti politik ini anti-Muslim, antiimigran, antipelarian dan anti LGBT.

Kenapa Tarrant ada menyebut nama Trump dalam manifestonya?

Hubaya. Hubaya. Kalau Wahabi, Osama, al-Baghdadi hidup dalam sangkar Amerika, gerakan politik kanan Eropah juga hidup dalam sangkar yang sama.

Pembaca wajib mengenal susuk yang bernama Steve Bannon.

Sosok ini pernah menjadi penasihat strategik Trump pada tujuh bulan pertama Trump masuk ke Rumah Putih. Susuk ini adalah pemikir dan perancang kemenangan Trump.

Masuk tanpa pengumuman

Susuk ini pemilik Cambridge Analytical yang menyimpan berbilion data umat manusia. Tujuan data ini ialah untuk mengembangkan pengaruh politik kanan.

Kenapa saya timbulkan nama susuk ini walhal ramai lagi susuk kanan yang sedang merancang untuk menakluk dunia? Saya menimbulkan nama ini kerana pada Mei ini Parlimen Eropah akan mengadakan pilihan raya.

Pilihan raya ini akan menentukan garis politik dan masa depan Eropah.

Jangan lupa susuk ini juga adalah bekas pengerusi portal Breitbart berhaluan kanan yang telah dinobatkan sebagai salah satu dari 25 portal media politik yang terulung di Amerika.

Susuk ini secara terbuka mengumpulkan dana untuk membantu parti-parti politik berhaluan kanan di Eropah. Bannon mahu melihat Eropah menjadi benua kanan sama saperti Amerika di bawah Trump.

Bannon sedang merancang untuk memberi sokongan dana sebanyak AS$50 juta kepada Perancis, Sepanyol, Republik Czech, Hungary dan Finland. Juga susuk ini akan membantu parti politik kanan dalam 13 negara Eropah.

Mungkin penyaluran dana ini akan menemui halangan. Di Eropah ada perundangan yang melarang dana luar masuk dalam pilihan raya. Tetapi ini dana rasmi yang diumumkan akan masuk.

Bagaimana pula dana yang masuk masuk masuk tanpa ada pengumuman?

Satu lagi badan yang amat aktif membantu garis kanan di Eropah ialah National Christian Foundation (NCF). Ini badan bukan kerajaan yang kelapan terbesar di Amerika.

Pada 2017 NFC berjaya mengumpul dana sebanyak AS$1.5 bilion. Dilaporan lebih daripada AS$30 juta disalurkan kepada badan NGO dan parti politik berhaluan kanan.

Voila! Islam ada pelbagai bentuk kumpulan jihad yang menggunakan senjata. Ada al-Qaeda, al-Nusra, Abu Sayyaf, Boko Haram dan Al-Shabaab.

Eropah juga memiliki gerakan yang ganas saperti Greek Golden Dawn, English Defense Leaque, Britain First dan Italian Casa Pound.

Gerakan Islam mendapat bantuan dana dan senjata dari Amerika. Gerakan kanan Eropah juga mendapat dana dari Amerika. Melalui dana, senjata amat senang untuk dibeli.

Inilah dunia kita hari ini. Pembunuhan yang dilakukan Tarrant itu hanya jerawat kecil di muka. Penculikan yang dilakukan Abu Sayyaf di Sabah adalah kentut kecil. Keganasan Boko Haram juga hanyalah sakit gigi.

Kentut kecil, sakit gigi dan jerawat ini termasuk asuk dalam perancangan besar yang sedang disusun dan diatur. Tujuan untuk memastikan dunia hari ini terus dimiliki oleh kaum pemodal.

Perjuangan politik kiri yang berasaskan kelas dan keadilan kelas kini berjaya dialih untuk menjadi pertempuran budaya.

Apabila kedua-dua kumpulan budaya - Islam dan Kristian - wujud maka Prof Huntington dilihat cukup bijak. Dapat meramal masa depan dunia. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS