Paling Popular
Terkini

Selang beberapa minggu lepas, saya diberi penghormatan untuk mempengerusikan ucap utama Daim Zainuddin di Majlis Perasmian Siri Seminar Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang dianjurkan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Nampaknya, terdapat banyak reaksi balas yang sangat menarik terhadap kandungan ucapan tersebut.

Namun, dalam sekian banyak rencana balas itu, saya fikir tidak ada yang memberi tumpuan kepada salah satu sari penting ucapan Daim pada malam tersebut – tentang memajukan orang Melayu melalui pertanian. Pada fikiran saya, ini antara agenda besar yang sangat-sangat tepat pada masanya.

Sejak sekian lama, orang Melayu sangat mesra dengan pertanian (selain kelautan). Maka, jalan memajukan orang Melayu, dan Malaysia – kerana sebagaimana dijelaskan oleh Daim, mana mungkin dapat kita bangunkan Malaysia tanpa membangunkan Melayu – adalah melalui pertanian yang belakangan ini kurang diberi penekanan. Jika sebelum ini, pemertanian (peasantization) yang dialami oleh orang Melayu setelah bermulanya kolonisasi dilihat sebagai pemencilan dan peminggiran, sudah tiba masanya untuk situasi ini dibalikkan sebagai satu kelebihan dalam era perindustrian ini.

Sektor pertanian negara semakin mengecil berbanding ketika tahun 1970-an. Pada tahun 1970-an, pertanian membentuk hampir 60% ekonomi negara dan setelah bermulanya proses perindustrian, peratusan ini menurun kepada sekitar 25% pada tahun 1990 dan kini di bawah 10% sahaja – dan hampir separuh daripada angka ini datangnya daripada kelapa sawit. Malah, untuk beberapa tahun, sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan negatif daripada segi produktiviti.

Kedaulatan makanan

Maka, sejak sekian lama, negara sangat bergantung kepada negara lain bagi menampung keperluan rakyat Malaysia termasuk beras yang merupakan makanan ruji negara. Pengeluaran padi di negara ini hanya mencapai 70% keperluan negara, manakala baki 30% terpaksa diimport. Sayuran lebih ketara kerana pengeluaran dalam negara hanya dapat menampung sekitar 40% keperluan dalam negara dan selebihnya harus diimport. Pengeluaran daging lembu/kerbau pula kurang daripada 30% keperluan negara, manakala Malaysia terpaksa mengimport 90% keperluan kambing/biri-biri berikutan pengeluaran dalam negara yang kurang daripada 10%. Pengeluaran susu Malaysia pula hanya sekitar 5% berbanding keperluan negara.

Kebergantungan kepada import ini memberi dua kesan besar terhadap negara. Pertamanya, menyebabkan harga produk makanan menjadi sangat sensitif terhadap perubahan mata wang dan juga situasi ekonomi serta politik negara pengeksport – yang menyumbang kepada ketidakstabilan bekalan dan harga makanan dalam negara. Inilah yang berlaku kepada Malaysia waktu ini apabila penyusutan nilai ringgit menyebabkan peningkatan kos kepada produk makanan. Keduanya, kebergantungan kepada import ini mempunyai implikasi terhadap kedaulatan negara daripada segi keselamatan makanan (food security). Keselamatan makanan adalah isu kedaulatan bukan konvensional yang kini memerlukan perhatian khusus negara. Kuasa tawar-menawar negara akan berkurangan jika kita bergantung kepada negara lain untuk mendapatkan makanan.

Mujur apabila kerajaan Malaysia, di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani langkah proaktif untuk menangani isu ini dengan memperkenalkan Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 2019-2020 dengan penekanan khusus terhadap meningkatkan keselamatan makanan negara.

Potensi dan manfaat pertanian

Pertanian dan penternakan bukanlah industri untuk negara miskin. Pada tahun lalu sahaja, menurut Bank Dunia, industri pertanian, penternakan dan perikanan global bernilai RM12 trilion dengan kebanyakannya disumbangkan oleh negara-negara maju – termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Perancis, Jerman dan China. Negara-negara ini memiliki daya tahan dan kemandirian terhadap keselamatan makanan mereka.

Oleh yang demikian, adalah munasabah dan bijaksana untuk kerajaan kembali menekankan sektor pertanian ini. Melalui usaha ini, Malaysia bukan sahaja mampu untuk mempelbagaikan pengeluaran negara, malahan juga dapat membantu mengurangkan pemusatan berlebihan (over-sentralised) terhadap bandar-bandar utama di negara ini untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Pusat-pusat pertumbuhan ekonomi baharu ini sangat mustahak bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia, khususnya graduan, yang berdepan dengan underemployment akibat persaingan yang sengit dalam industri pekerjaan sedia ada.

Sektor pertanian dan penternakan juga akan menghasilkan industri hiliran dan perkhidmatan baharu yang mampu untuk merancakkan lagi ekonomi negara dan melegakan industri-industri sedia ada daripada segi persaingan pekerjaan. Pertanian bukan hanya tentang membanting tulang setiap pagi hingga petang di tengah sawah dan ladang tetapi juga berkaitan dengan kajian dan pembangunan (R&D), pemasaran, inovasi dan pengkomersilan, serta ekonomi kreatif.

Keusahawan Tani & Ekonomi Kreatif

Barangkali ramai yang tidak menyedari hubungan pertanian dengan ekonomi kreatif. Pada 2017, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pembangunan Industri (Unido) telah menghasilkan satu laporan mengenai integrasi antara bidang agro makanan, pelancongan dan industri kreatif. Antara program yang menggabungkan pendekatan ini ialah Delicious Montenegro yang bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil pertanian malahan juga pelancongan melalui eno-gastronomy. Sinergi antara bidang ini membolehkan setiap sektor saling menyokong keperluan antara satu sama lain.

Pertanian umpamanya menyumbang kepada bekalan bahan mentah untuk restoran dan juga industri makanan tempatan di samping menjadi tumpuan pelancongan itu sendiri. Maka secara tidak langsung, ladang-ladang dan perkebunan akan menjalankan pertanian yang mesra alam serta amalan penjagaan terbaik bagi mengekalkan kehadiran pelancong. Ini juga menggalakkan wujudknya kebun-kebun kecil yang dibuat untuk menambah pengalaman pelancongan. Pelancong dan restoran akan terus membantu sektor pertanian untuk memastikan permintaan berterusan terhadap bahan mentah mereka.

Hakikatnya, sektor pertanian di negara ini memiliki potensi besar untuk dimajukan, apatah lagi apabila diintegrasikan dengan sektor lain seperti pelancongan dan ekonomi kreatif. Semoga usaha kerajaan untuk mengukuhkan sektor pertanian negara ini mendapat sokongan padu daripada pihak swasta dan masyarakat, lebih-lebih lagi tenaga kerja muda negara. Mereka mesti membuka fikiran dan meneroka potensi besar yang ditawarkan dalam bidang ini. Pertanian adalah salah satu jalan keluar untuk Malaysia kembali menjadi Harimau Asia.


SHEIKH OMAR ALI merupakan Adun Paloh dan Setiausaha Publisiti DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS