Paling Popular
Terkini

Cerita Raja Bersiong terdapat dalam naskhah Hikayat Merong Mahawangsa. Hikayat itu adalah sebuah karya persuratan Melayu klasik tentang kezaliman raja.

Hikayat berkenaan direkodkan R J Wilkinson pada 1898 dengan tajuk Salasilah Negeri Kedah Dar al Aman. Ia kemudian diterbit dan diedit semula oleh Siti Hawa Salleh pada 1991.

Cerita itu diperbaharui dalam bentuk filem oleh M Amin dengan menjadikannya sebagai karya yang dipapar pada layar perak pada 1968.

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman sendiri meminta cerita itu difilemkan. Cerita tentang Raja Bersiong berdiri sendiri sebagai sebuah kisah tersendiri dan berasing dengan cerita induknya, Merong Mahawangsa.

Dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, apakah hikayat klasik itu relevan untuk dilihat dari sudut politik masa kini?

Konsep raja berperlembagaan merupakan satu inovasi politik moden untuk memperbaiki beberapa kelemahan sistem yang sudah berakar umbi dalam masyarakat.

Sejarah pemerintahan semua tamadun mempunyai ciri yang hampir serupa iaitu sistem beraja. Maka tidak hairanlah dalam sejarah persuratan dan kesusateraan klasik dunia, ia dipenuhi dengan cerita raja dan golongan istana.

Salatus Salatin, Tajul Salatin, Hikayat Siak dan Misa Melayu adalah antara cerita yang memfokuskan kehebatan kerajaan dan raja. Jarang karya-karya lama menceritakan keburukan raja atau golongan istana.

Negara, rakyat tak aman

Dalam tradisi penulisan sastera Melayu, kritikan terhadap raja disampaikan secara tersirat. Contohnya peristiwa Temasik dilanggar todak adalah kritikan terhadap raja yang dikelilingi pembesar negara yang bodoh dan tamak.

Begitulah juga cerita Sultan Melaka meminang Puteri Gunung Ledang. Ia merupakan kritikan halus terhadap raja yang mementingkan diri sendiri dan menindas rakyat bawahan.

Namun kritikan itu disampaikan secara penuh dengan bidalan dan kiasan yang menuntut pemahaman mendalam.

Hikayat Raja Bersiong barangkali adalah satu-satunya karya Melayu klasik yang menceritakan kezaliman seorang raja secara terus terang. Ini merupakan salah satu keistemewaan hikayat berkenaan berbanding hikayat-hikayat lain.

Hikayat itu menceritakan tentang seorang raja yang kejam kerana membunuh rakyatnya sendiri untuk mendapatkan darah. Akibat ketagihan itu tiba-tiba gigi taring baginda memanjang menjadi bersiong di kedua-dua belah.

Negara dan rakyat dalam keadaan tidak aman kerana sentiasa diancam oleh raja mereka sendiri.

Kekejaman itu berakhir apabila rakyat bangkit menyingkirkan raja. Pepatah yang menyebut "menghisap darah" barangkali berasal dari cerita Raja Bersiong itulah.

Begitu juga pepatah yang menyebut: raja adil, raja disembah; raja zalim, raja disanggah.

Lagak seperti Raja Bersiong adalah lagak raja zalim. Dia raja yang menghisap darah, dan raja yang tidak boleh diberikan ketaatan padanya.

Bahkan jika menggunakan bahasa lebih radikalnya, raja itu wajar disanggah atau dilawan.

Dalam teori raja berperlembagaan, kemungkinan untuk raja berlaku zalim seperti Raja Bersiong adalah tiada. Namun sesuatu teori hanya termaktub dalam buku.

Nyaris jadi republik

Hakikat yang tidak boleh disanggah pula ialah, raja adalah manusia. Setiap manusia mempunyai keinginan berbuat baik dan juga nafsu kejahatan. Perlembagaan hanyalah peraturan yang dirangka oleh manusia.

Kedaulatan raja hampir-hampir saja tercabut sewaktu Malayan Union cuba diinstitusikan. Tindakan menghapuskan kedaulatan raja-raja Melayu bukan sahaja disebabkan oleh Inggeris.

Harus diingati juga Malayan Union ditandatangani oleh raja-raja Melayu yang merelakan kedaulatan mereka dihapuskan.

Raja - yang selama ini dianggap sebagai payung orang Melayu - pada saat mereka menandatangani persetujuan pembentukan Malayan Union tiada lagi memberi makna.

Ketika itu bukan sahaja raja-raja Melayu menzalimi umat Melayu bahkan menzalimi diri mereka sendiri apabila sanggup menukarkan kedaulatan bangsa dengan kepentingan material yang ditawarkan British.

Jika bukan gerakan rakyat yang menyedarkan akan bahana pada generasi akan datang, tanah air ini akan menjadi seperti Indonesia atau India yang mengamalkan sistem republik.

Institusi beraja kemudian tinggal dalam sangkar muzium sahaja.

Dalam sistem demokrasi, suara rakyat dimuliakan. Konsep tersebut diimbangi dengan konsep raja berperlembagaan yang mengekalkan raja pada takhta dengan syarat-syarat yang dipersetujui bersama.

Nilai undi seorang raja sama nilainya dengan undi rakyat biasa.

Nilai kemuliaan raja juga bergantung sejauh mana suara rakyat dimuliakan oleh raja.

Raja Bersiong dalam sistem demokrasi wujud bersama dengan kewujudan para pembesar, saudagar, birokrat, sarjana dan segala macam jawatan yang bersifat menindas rakyat bawahan.

Rakyat akan menghukum

Mereka saling bekerjasama menindas. Sifat menindas bukanlah sifat mulia.

Dalam peraturan sedia ada, raja tidak dibenarkan terlibat dalam urusan perniagaan dan menceburi arena politik. Peraturan tersebut dirangka bagi memastikan persaingan politik dan perniagaan dalam ekonomi negara berjalan dengan adil.

Namun peraturan itu tidak sepenuhnya terlaksana.

Apabila golongan raja terlibat dalam perekonomian dan politik, ia menimbulkan persaingan yang tidak seimbang. Persaingan ekonomi dan politik yang tidak seimbang akan membuka ruang penindasan.

Yang berpengaruh dan berkuasa mempunyai upaya yang lebih besar daripada rakyat biasa.

Ada sesetengahnya berlindung atas nama kemuliaan raja. Dan saat itu, kezaliman berlaku atas nama takhta dan kuasa.

Kejahatan yang dilakukan oleh sesiapa pun akan dianggap kejahatan, dan ia ditanggap tanpa sebarang kecuali.

Jika ada pemimpin yang dipilih secara demokrasi melakukan kejahatan, rakyat akan menghukum. Sama juga jika hal sama berlaku dalam kalangan raja. Rakyat akan menghukum.

Bezanya, mungkin pada cara hukuman yang tidak sama.

Yang pasti, Raja Bersiong dalam Hikayat Merong Mahawangsa melarikan diri ke dalam hutan menyelamatkan diri daripada dibunuh oleh tentera dan menteri baginda sendiri.

Takhta pun ditinggalkan. Begitulah akhirnya Raja Bersiong terhukum.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS