Paling Popular
Terkini

Apabila saya menulis mengenai Tiger Beer pada bulan Ramadan yang mulia ini, tiada sedikit pun terlintas di hati saya untuk mempromosikan arak - minuman haram yang cuma setitis saja ditelan akan menyebabkan "segala amal ibadat tidak diterima selama 40 hari".

Syarikat minuman keras yang dimiliki Heineken itu pada 2017 bekerjasama dengan SapientRazorfish, sebuah firma teknologi AI (kepintaran buatan) di Singapura dan agensi kreatif berpangkalan di Sydney, Australia, Marcel bagi menjalankan kempen kesedaran antiperdagangan haram harimau liar.

Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), jumlah harimau liar merosot daripada 100,000 ekor pada abad lalu menjadi 3,890 sekarang, manakala di AS saja terdapat 5,000 harimau belaan berada dalam kurungan.

Berdasarkan angka 3,890 ekor itu, Tiger Beer kemudian mencipta laman web 3890Tigers.com yang membenarkan pelawat memuat naik swafoto dan bertukar menjadi imej yang berilhamkan harimau dengan hasil seni yang dijana AI serta boleh memilih penuras (filter) khas yang direka enam seniman terkemuka dunia.

Seniman itu ialah Kenji Chai dari Malaysia, Mademoiselle Maurice (Perancis), Nootk (Russia), Nick Gentry (UK), Hua Tunan (China) dan Tran Nguyen (AS).

Stail karya seniman itu akan dijana secara automatik dengan cara unik setiap kali pelawat memuat naik swafoto mereka.

"Lebih banyak harimau belaan dalam kurungan berbanding harimau liar di alam semula jadi.

"Kenapa kempen kami (Tiger Beer) menggunakan tanda pagar 3890? Ini kerana tinggal 3890 ekor sahaja haiwan itu di seluruh dunia," kata narator dalam video kempen Tiger Beer dengan kerjasama WWF itu.

Bagaimanapun, dengan menyorot kempen Tiger Beer itu, saya tidak berniat memperkecilkan segala usaha suci murni yang telah, sedang, mahupun akan diikhtiarkan pihak-pihak berkaitan bagi menangani isu kepupusan harimau di dunia.

Tetapi ada baiknya pada bulan Ramadan yang penuh hikmah ini kita bersama-sama merenung tentang alam ini sebagai bukti kekuasaan Yang Maha Esa.

Wajar juga kita bertanya, adakah terbit keinsafan bahawa kerosakan alam sekitar yang menyebabkan masalah perubahan iklim dan kepupusan ekosistem ini berpunca daripada tangan kita sendiri, dan adakah kesedaran serta iltizam kita untuk berubah?

Kagum, hormat pada harimau

Adakah dasar dan perancangan pentadbiran PH hari ini benar-benar menitikberatkan soal pemuliharaan alam sekitar seperti disebut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika menyambut Hari Bumi pada 20 April lalu:

"Kita telah melihat kesan akibat daripada pembangunan yang tidak teratur dan hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata.

"Perlu kita sedari, usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan tercapai atau diiktiraf jika apa yang boleh kita perlihatkan adalah bangunan-bangunan pencakar langit tetapi sungai-sungai kita tercemar, hutan belantara kita hanya tinggal tanah yang tandus dan udara yang kita hirup teruk tercemar."

Saya boleh katakan orang Melayu - terutamanya generasi nenek moyang dahulu - amat mengagumi dan cukup menghormati harimau yang pada suatu waktu merajai tanah ini.

Makanya, ada kepercayaan di Semenanjung dan di Sumatera bahawa, jika di hutan seseorang tidak boleh menyebut nama haiwan berkenaan secara langsung tetapi mesti merujuknya sekadar melalui gelaran: pak belang.

Dalam masyarakat Melayu, sering juga kita dengar cerita-cerita mengenai saka harimau, menurun semangat harimau, malahan ada juga senaman dan gerak silat yang direka bersumberkan ilham mamalia berkenaan.

Lihatlah betapa harimau diagungkan menjadi cogan kebanggaan negara lambang carta Malaysia, logo polis dan tentera. Hal itu kerana ia menjadi simbol kegagahan dan keberanian.

Memang layaklah semangat pak belang menyerap pada setiap derap pantas larian dan kelicikan gelecek langkah para jaguhan skuad Harimau Malaya untuk merembat gol kejayaan buat negara.

Apabila Mahathir - dan kemudian Menteri Kewangan Lim Guan Eng - serta menteri lain bercakap mengenai harapan untuk melihat Malaysia kembali menjadi Harimau Asia, saya cuma tersenyum.

Amat bergantung pada alam

Ini kerana kalau menurut statistik yang disebutkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar pada sidang parlimen Mac lalu, spesies Harimau Malaya kemungkinan akan pupus dalam tempoh hanya lima hingga 10 tahun akan datang.

Ia boleh berlaku sekiranya tiada tindakan drastik dilakukan bagi melindungi haiwan berkenaan.

Beliau berkata populasi haiwan berkenaan kini berada pada tahap membimbangkan dengan kurang daripada 200 ekor dikesan melalui Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan pada 2016 hingga 2018.

Begitulah nasib harimau Malaya - semangatnya dipuja, tetapi wujudiah dan kelangsungan spesis itu menghadapi ancaman kepupusan.

Renungkanlah, badak sumbu telah pupus dari rimba Malaysia akibat aktiviti pemburu haram dan kehilangan habitat berpunca daripada penebangan hutan.

Perlu dimaklumkan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ada menyiapkan laporan penilaian mengenai kepupusan ekosistem dan kepelbagaian bio dunia setebal 1,800 halaman yang dikumpulkan sepanjang tiga tahun lalu oleh 450 saintis dan diplomat.

Badan PBB, Platform Dasar-Sains Antara Kerajaan Mengenai Kepelbagaian Bio dan Khidmat Ekosistem (Ipbes) menerbitkan laporan itu di Paris pada 6 Mei lalu.

Didapati di dunia ini untuk makan, minum, mendapatkan air bersih serta menyerap gas karbon dioksida, manusia sangat bergantung kepada alam semula jadi.

Laporan Ipbes itu bolehlah diibaratkan sebagai suatu pemeriksaan tahap kesihatan ekosistem bumi dan diagnostiknya cukup menakutkan.

Sejuta spesies tumbuhan dan haiwan berhadapan ancaman kepupusan dan sebagai akibatnya manusia juga akan pupus, lapor The Guardian mengenai dapatan Ipbes.

"Daripada terumbu karang di lautan ke belantara yang ditanduskan pembalakan menjadi tanah gersang, alam semula jadi musnah pada kadar ratusan kali ganda lebih tinggi berbanding purata kemusnahan yang berlaku sepanjang 10 juta tahun yang lalu.

"Dari segi ekonomi, kemusnahan ini cukup mengejutkan. Kepupusan haiwan pendebunga akan meletakkan keluaran hasil tuaian pertanian bernilai AS$577 bilion dalam risiko, manakala degradasi tanah akan menyebabkan produktiviti tanah di seluruh dunia berkurangan sebanyak 23 peratus," lapor The Guardian, memetik Ipbes.

Di zaman hipermoden ini, saya rasa kita tidak perlulah menyembelih harimau hanya kerana kononnya ada manfaat kesihatan untuk ubat kuat seks, atau taring dan kukunya menjadi tangkal kebal.

Pada 2019 ini juga ingatlah akan hakikat yang kita sudah tidak ada lagi rimba. Lihatlah peta di Google jika tidak percaya.

Jadi, tak cukup-cukup lagikah menarah balak? Kata, Malaysia Baru, takkan tak kenyang-kenyang lagi hendak mentekedarah hutan simpan dan taman negara yang tersisa!


RAHMAT HARON ialah wartawan Malaysiakini.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS