Paling Popular
Terkini

Setahun lalu, ramai yang teruja atas pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan Malaysia. Satu Malaysia sedia maklum, bahawa menteri pendidikan antara jawatan yang terpenting dalam kabinet, malah portfolio yang secara tradisinya wajib dipegang oleh mereka yang berpotensi untuk menerajui tampuk kuasa sebagai perdana menteri pada masa depan.

Apa tidaknya, selain perdana menteri Malaysia pertama, almarhum Tunku Abdul Rahman, kesemua perdana menteri seterusnya pernah menyandang jawatan menteri pendidikan sebelum menjejak ke puncak kuasa. Tetapi hakikatnya, nama-nama menteri pendidikan dua dekad kebelakangan kurang mengujakan, apatah lagi ada yang menghunus keris ketika kementerian pendidikan berada dalam sarungnya.

Justeru itu, susuk Maslee Malik disandarkan harapan yang tinggi setelah diumumkan sebagai menteri pendidikan. Beliau berasal dari latar belakang akademik, juga seorang tokoh yang berpengaruh dalam gerakan Islam di Malaysia. Kekaguman masyarakat terhadapnya bertambah apabila beberapa klip video wawancara lamanya tersebar semula di laman media sosial, berkongsi idealismenya tentang Islam, dunia intelektual, malah pendidikan khas.

Imej sedemikian cukup memberangsangkan. Akhirnya Malaysia menemui seorang menteri pendidikan yang boleh dibanggakan. Kepetahan beliau berbahasa Inggeris, Melayu, Arab, dan sedikit bahasa Cina, cukup mencuit hati. Penampilan Maszlee Malik mencerminkan Malaysia sebagai masyarakat majmuk yang meraikan kepelbagaian. Maszlee Malik membuktikan sendiri bahawa perbezaan bukannya satu beban, tetapi aset kepada Malaysia.

Cetus kontroversi

Bagaimanapun, tidak kurang juga yang mempertikaikan Maszlee Malik kerana latar belakang gerakan Islamnya. Mereka menyamakan Islam dengan konservatif, jumud, malah ekstremis, dan khuatir seandainya unsur-unsur ini disuntik oleh Maszlee Malik ke dalam sistem pendidikan. Perdebatan ketika itu menyaksikan bagaimana satu pihak yang lain cuba memecahkan stereotaip dan prejudis terhadap gerakan Islam, malah cuba meyakinkan masyarakat (khususnya non-muslim) bahawa Islam juga boleh mengajukan idea-idea progresif dan inklusif (keterangkuman), sebagaimana yang pernah dilakukan Maszlee Malik.

Dua bulan kemudian, Maszlee Malik mengundang kontroversi apabila mengumumkan keputusan pemakaian kasut hitam di sekolah, dalam satu wawancara bersama Sinar Harian. Untuk berlaku adil kepada Maszlee Malik, beliau mengulas isu yang lebih penting dalam 95 peratus kandungan wawancaranya – dari speaker corner, kebebasan akademik hinggalah pendidikan khas, memberi komitmennya untuk mengurangkan berat beg sekolah, menekankan nilai kasih dan sayang dalam pendidikan dan sebagainya.

Sama ada wartawan mahu melondehkan kebodohan wartawan sendiri, ataupun mahu menggambarkan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan yang bodoh – isu kasut hitam diperbesarkan, malah dilanjutkan hingga ke stokin hitam. Ada juga yang tetap mempertahankan Maszlee Malik, kerana bersimpati kepada beliau yang dimangsakan oleh media – sungguhpun hampir semua bersetuju bahawa isu remeh seperti kasut hitam tidak perlu diulas oleh Maszlee Malik selaku menteri pendidikan– memadailah jikalau ia diumumkan oleh ketua pengarah. Ramai antara kita yang bertoleransi dengan keterlanjuran sedemikian sering bergurau, Maszlee Malik yang terkenal sebagai tetamu atau panelis dalam forum sebelum 9 Mei 2018 masih terbawa-bawa dengan perangai “terlebih cakap” di atas pentas. Kami cuma berharap agar beliau semakin matang setelah mengambil iktibar daripada kesilapan (demi kesilapan) yang dilakukan.

Malangnya keterlanjuran sedemikian seolah-olah gagal dikawal. Sama ada Maszlee Malik benar tersasul, mahupun dikenakan media, hakikatnya gelagat beliau sering menguji kesabaran pihak yang bersyak wasangka terhadapnya. Sesetengah cadangan yang nampaknya dilontar tanpa berfikir panjang, misalnya untuk hotel membuka kolam renang kepada pelajar, tidak mencerminkan kebijaksanaan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan. Barangkali beliau dipetik di luar konteks, tetapi persepsi ini telah memahat kerut di dahi orang umum. Ada juga langkah-langkah reformasi sistem pendidikan yang terlaksana, tetapi ditenggelamkan berita-berita sebegini.

Tersepit di tengah-tengah

Masa tidak menunggu Maszlee Malik. Yang menunggu beliau adalah cabaran yang jauh lebih sengit daripada mainan persepsi media. Isu pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) meletakkan menteri pendidikan ini dalam dilema. Sementara masyarakat Cina menuntut agar Pakatan Harapan menepati janjinya sebagaimana yang termaktub dalam Buku Harapan, masyarakat Melayu pula menentang keras tuntutan ini kerana dikhuatiri menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Hakikatnya, isu ini jauh lebih besar daripada sekadar pengiktirafan UEC. Ia mengheret isu peruntukan dana untuk sekolah pelbagai aliran (Bahasa Cina dan Tamil), malah perdebatan turun-temurun sama ada kewujudan sekolah pelbagai aliran itu penghalang perpaduan nasional. Perdebatan ini kembali hangat lantaran ruang kebebasan bersuara yang lebih luas. Suara pelbagai spektrum memasuki gelanggang untuk mengasak kerajaan dari kiri dan kanan. Sekali lagi, Maszlee Malik tersepit di tengah-tengah, dijadikan sasaran oleh kedua-dua spektrum suara berbeza yang saling menyerang.

Jikalau kita meletakkan diri pada kedudukan Maszlee Malik, kita akan sedar bahawa misi yang digalasnya cukup berat. Beliau perlu merungkai perbahasan yang menghantui Malaysia untuk sekian lama, tanpa jalan keluar yang mendapat restu semua pihak. Kaum minoriti tetap mempertahankan hak asasinya untuk pendidikan bahasa ibunda, di samping nasionalis Melayu bercita-cita untuk membentuk identiti Malaysia yang bertunjangkan Melayu.

Ia bertambah rumit apabila menular kepada isu peluang pendidikan, yang akhirnya tidak terpisah dari dasar ekonomi. Kesemua ini menuntut satu penilaian semula, dan naratif yang lebih segar. Sudah tentu imej stereotaip seperti Cina kaya dan Melayu miskin perlu dikaji semula – kerana setelah hampir setengah abad Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, lanskap ekonomi telah berubah. Ia telah menjadi pengetahuan am di Malaysia bahawa bukan semua Cina kaya dan bukan semua Melayu miskin. Mengulangi retorik lapuk tidak membawa kita ke mana-mana pada 50 tahun akan datang.

Senjata makan tuan

Tatkala kita tercari-cari muafakat untuk matlamat bersama pada masa depan, Maszlee Malik mencetuskan pertikaian sekali lagi dengan kenyataannya untuk bermain dengan sentimen perkauman ketika mempertahankan dasar kuota matrikulasi pada kadar 90:10. Sememangnya Maszlee boleh mengolah dengan lebih baik ketika menjawab soalan dari kalangan siswa-siswi, tetapi beliau mengambil jalan mudah untuk memperkukuhkan imej stereotaip, dengan melontarkan andaian bahawa Cina berjaya masuk ke universiti kerana kedudukan ekonomi yang lebih baik, malah mengaitkan “pekerjaan yang bersyaratkan penguasaan bahasa Cina” yang tidak berkenaan dengan isu dalam hujahnya.

Bayangkan, Cina (juga India) yang berhempas-pulas untuk melanjutkan pengajian ke universiti, juga keluarganya yang menggadaikan segala-gala semata-mata untuk menghantar anaknya ke universiti – sudah tentu geram dengan kenyataan Maszlee Malik. Isunya kelas ekonomi, golongan berpendapatan rendah – tetapi saja dikupas dengan andaian simplistik, bahawa Cina lebih ramai di universiti kerana mereka lebih kaya – di depan siswa-siswi dalam menara gading.

Tiada lagi dari kalangan Cina yang mempertahankan Maszlee Malik kali ini, kerana nampaknya beliau telah dimanjakan untuk sekian lama – beliau dipertahankan ketika tersasul, malah pernah dibela veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai menteri pendidikan terbaik dalam sejarah Malaysia, tatkala Maszlee diserang dalam masyarakat Cina.

Lebih parah, pertikaian yang dicetuskan Maszlee Malik mengundang impak negatif terhadap PH. Pertama, naib canselor, dan ahli akademik universiti mula tampil untuk mempertahankan Maszlee, sama ada dipanggil mahupun terpanggil untuk membela menteri pendidikan. Andainya mereka “dipanggil” untuk berbuat demikian, maka ia bercanggah dengan prinsip autonomi universiti yang diuar-uarkan Maszlee Malik sebelumnya. Andainya mereka “terpanggil” untuk berbuat demikian, “kesetiaan” yang ditunjukkan oleh ahli akademik ini agak menggusarkan.

Kedua, rakan sekutunya, sama ada menteri kabinet mahupun partinya kini perlu tampil membelanya. Misalnya, menteri Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dari Parti Amanah Negara tampil mempertahankan beliau secara terbuka, dan menyeru agar semua pihak tidak lagi mengulas isu kuota. Sementara itu, hubungan PH dirobekkan kerana tiada muafakat antara parti komponen dalam PH. Didesak penyokongnya, DAP perlu menyatakan pendiriannya dengan tegas, sementara parti komponen PH yang lain juga mahu menjaga hati masyarakat Melayu. Masing-masing tidak mahu dilihat sebagai “boneka kepada parti lain”, lantas mereka menjuarai isu ini dengan dua hala tuju yang berbeza.

Paling dahsyat, kenyataan Maszlee Malik menyuburkan semula wacana perkauman. Masyarakat Cina kini melepaskan kegeramannya terhadap PH dengan menuntut agar Maszlee Malik dipecat, di samping masyarakat Melayu pula mempertahankan Maszlee Malik dengan syarat beliau tidak berganjak apabila berdepan dengan tuntutan masyarakat Cina. Petisyen atas talian menyaksikan bagaimana kedua-dua kuasa ini bergelut, dengan komen-komen yang berbaur perkauman dari kedua-dua pihak.

Persoalannya, apakah ini yang mahu dilihat oleh Maszlee Malik ketika beliau mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam politik? Apakah ini perubahan yang ingin dibawa oleh Maszlee Malik sebagai ahli intelektual untuk Malaysia pada 50 tahun akan datang, atau Maszlee sebenarnya telah diubah sebelum Maszlee sempat mengubah Malaysia? (tamat)


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS