Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Tulisan ini khusus digarap untuk sambutan hari raya. Tulisan ini bertujuan untuk membuka pebincangan dan pencerahan tentang apa itu Islam budaya. 

Kelahiran tulisan ini juga dibidani oleh babak berbuka puasa di gurdwara Sikh di Johor Bahru.

Babak gurdwara ini menjadi heboh. Maka saya rasa inilah masa dan saat yang tepat untuk saya membuka sekali lagi pencerahan tentang mazhab Islam budaya.


BACA BERKAITAN:

Sultan Johor tegur MP Johor Bahru berbuka di gurdwara Sikh

Luahan rasa Akmal Nasir selepas kontroversi berbuka di gurdwara

Isu iftar di gurdwara: Ikut sunnah nabi bukan tafsiran sendiri - Saifuddin


Babak berbuka puasa di gurdwara ini saya tonton dalam klip di YouTube. Klip ini bertajuk: Isu berbuka puasa di kuil Kuliah Dhuha terbit pada 28 Mei 2019. 

Seorang lelaki bertaraf ustaz memberi kuliah dalam Masjid Al-Falah Subang Jaya. Saya belum pernah melihat muka ustaz ini. Mungkin pendatang baru dalam YouTube.

Saya rajin dan selalu mengekori ceramah-ceramah ustaz You Tube. Saya mengekori ustaz YouTube ini sebagai fenomena baru. Hasil daripada teknologi algoritma.

Malah banyak lawak jenaka dalam ceramah-ceramah yang disampaikan oleh sang ustaz dalam YouTube. 

Justeru dalam blog Tukar Tiub saya namakan episod ceramah ustaz YouTube ini sebagai lawak duduk. Ini kerana sang ustaz duduk ketika melawak, berceloteh dan berseloroh. 

Larang guna otak

Lawak duduk ini berlawanan dengan lawak berdiri atau stand up comedy yang banyak boleh ditoton dalam YouTube. Terima kasih Ronald Reagan. Amin.

Dalam klip ustaz yang melarang berbuka puasa di kuil ini untuk saya juga adalah satu contoh lawak duduk. Klip 4 minit 55 saat bermula dengan menolak manusia daripada menggunakan akal fikiran.

'"Nak jugak fahamkan agama ikut faham otak sendiri mana jadi..." Kata ustaz ini dengan serius.

Ustaz ini melarang kita menggunakan otak. Untuk saya kenyatan ini cukup lawak. Untuk penganut Islam budaya ini komedi. Daripada pandangan ilmu sains sosok yang tidak menggunakan otak ialah orang gila.

Malah sosok gila pun menggunakan otak. Yang berbeza hanya terjemahan bacaan otak orang gila dengan otak orang siuman. Hakikatnya ustaz ini melarang kita menggunakan otak. Ini lawak. Kah kah kah.

Sang ustaz ini juga lupa bahawa alat pembesar suara, rakaman video yang diguna pakai ketika memberi kuliah semua nya hasil daripada otak manusia. Ini kerja manusia kafir yang berfikir. 

Malah munculnya sang ustaz di YouTube adalah kerja otak manusia.

Wajib diberitahu kepada umum bahawa tanpa komputer tidak ada internet. Tanpa internet susah untuk ditularkan lawak sang ustaz. Pereka dan pemula komputer pertama dalam dunia ialah lelaki Inggeris bernama Alan Turing.

Wajib juga sang ustaz dan para pembaca diberitahu bahawa Alan Turing ini seorang homoseksual. Alan Turing menggunakan otaknya untuk mencipta konsep komputer dan algoritma.

Apakah selepas diketahui bahawa komputer ini pada mulanya direka oleh seorang gay yang kafir maka sang ustaz akan tidak lagi menggunakan internet untuk menyebarkan lawaknya? Saja tanya jangan marah. Kah kah kah.

Sistem Waze – peta jalan dan mencari alamat yang kita gunakan untuk mencari surau, masjid, rumah awek, atau rumah pelacur – adalah rekaan dua orang Yahudi di Israel. Syarikat Yahudi ini kemudian menjualkan sistem Waze ini kepada Google. 

Apakah sang ustaz dan pengikutnya akan mengharamkan umat Islam daripada menggunakan sistem Waze? Saja tanya jangan marah kerana dua ekor Yahudi ini telah menggunakan otak.

Justeru rukun pertama mazhab Islam budaya ialah mengunakan otak. Menggunakan otak dan pemikiran adalah sine qua non (tunjang yang diperlukan) dalam mazhab Islam budaya. 

Tanpa penggunaan otak kita semua tidak wujud. Kita wujud kerana kita berfikir. Kita befikir apabila melihat alam dan dunia di sekeliling kita. Wujudiah dan fikrah tidak dapat dipisah.

Justeru pada ajaran mazhab Islam budaya adalah tidak masuk akal yang kita membuat satu kesalahan apabila kita berbuka puasa di kuil atau di gereja atau di gurdwara.

Akal yang rasional akan membenarkan kita membuat kebaikan dan kebajikan di mana sahaja. Kebaikan dan kebajikan kita agihkan kepada sesiapa yang memerlukan tanpa mengira agama atau bangsa.

Para ustaz YouTube wajib disedarkan bahawa membuat baik dan membuat kebajikan bukan monopoli penganut Islam sahaja jauh sekali monopoli bani Melayu. Khalas.

Sang ustaz atau sesiapa sahaja yang melarang berbuka puasa di gurdwara ini wajib menonton satu klip YouTube yang bertajuk – Iftarin Gurudwara, What? Klip ini baru muncul pada 30 Mei 2109 ini.

Dalam klip ini kita digambarkan bagaimana sebuah gurdwara bernama Gurunanak Darbar Sikh Tempel di Dubai telah menjemput penganut Islam, anak semua bangsa dan bangsa semua agama untuk datang berbuka puasa dalam gurdwara ini.

Semenjak bermulanya bulan Ramadan tahun ini, gurdwara ini telah beberapa kali mengadakan majlis jamuan berbuka. Kadang kala seribu yang datang. Ada ketika 10 ribu yang datang. Jamuan berbuka puasa ini ditaja oleh gurdwara Sikh ini.

Malah salepas berbuka puasa ada diperlihatkan dalam klip ini beberapa orang penganut Islam bersembahyang. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah - apa yang berlaku di gurdwara ini adalah ciri-ciri Islam budaya.

Kepada sang ustaz yang melarang berbuka puasa di gurdwara di Johor Bahru, saya hendak beri maklumat bahawa Dubai ialah sebuah negara di Teluk Farsi. Dubai ini negara Arab. Justeru di Dubai, bahasa Arab ialah bahasa utama.

Ini bermakna warga Dubai lebih bijak membaca Quran, lebih memahami Quran kerana ini adalah bahasa ibunda mereka. Ini sama saperti bani Melayu menghayati pembacaan pantun atau gurindam.

Jika Arab Dubai mendapati perbuatan berbuka puasa di gurdwara salah atau ada dilarang dalam Quran maka pasti majlis berbuka ini dilarang. Atau Gurdwara Gurunanak ini ditutup.

Semangat kemanusiaan

Berbuka puasa di gurdwara di Johor Bahru itu adalah tanda bahawa penganut Islam budaya ini ramai. Islam budaya ini ada di mana-mana.

Islam budaya tidak mengakui bahawa Islam sahaja yang memiliki kebenaran. Islam budaya tidak memonopoli kebaikan. 

Islam budaya mahu merayakan roh dan semangat kemanusiaan untuk anak semua bangsa dan bangsa semua agama. Malah kepada yang tidak beragama dan tidak percaya kepada agama pun Islam budaya menjemput mereka merayaan kemanusiaan.

Akal. Akal. Dan meggunakan akal ialah kunci Islam budaya. Islam budaya menolak semua yang karut lagi marut. Menolak semua yang tidak masuk akal.

Pembonsaian fikrah adalah larangan dalam Islam budaya. Fikrah wajib terus berkembang, belayar untuk mencari ilmu pengathuan. Islam budaya tidak meyakini sesuatu kerana itu menurut si mamat ini atau itu menurut si minah ini. 

Tidak ada hegemoni kuasa dalam Islam budaya. Tidak ada kata penamat dalam pencarian kebenaran. Akal dan fikrah manusia adalah kunci Islam budaya.

Pada petang Isnin 4 Jun 2019 berita melaporkan bagaimana mufti Wilayah telah menaiki Menara Kuala Lumpur untuk melihat anak bulan.

Melalui teropong sang mufti telah mencari-cari bayangan si anak bulan. Petang kelmarin hujan lebat. Justeru berkabus.

Hasilnya anak bulan tidak kelihatan. Maka diumumkan, kita warga Malaysia – anak semua bangsa dan bangsa semua agama akan menyambut hari raya pada Rabu 5 Jun 2019. Amin

Tup tup pagi ini berita tersebar bahawa di Arab Saudi dan beberapa negara Arab telah berhari raya pada 4 Jun 2019. Sehari lebih awal dari Malaysia.

Opsss… bagaimana pula jika ada orang kafir ketawa melihat hari raya orang Islam ini berbeza-beza kerana bulan. Ada yang nampak bulan. Dan ada negara yang tak nampak bulan.

Malah sang kafir akan berhujah bahawa orang Islam ini kolot kerana mereka masih mencari-cari bulan. Walhal Neil Armstrong dan Buzz Aldrin – dua orang kafir kelahiran Amerika Syarikat - telah memijak kaki di bulan pada 20 Julai 1969 jam 20.17 UTC (waktu tetap dunia).

Malah bertingkah hari sambutan raya sering berlaku. Satu ketika dahulu sebelum kesampaian radio dan televisyen – negeri-negeri di Malaysia pun berbeza-beza hari sambutan hari raya. Johor raya awal dan Perlis raya lambat. Ini sering berlaku.

Amerika Syarikat sudah sampai ke bulan tapi  kita masih mencari-cari bulan dari Telok Kemang ke Menara Kuala Lumpur.

Kenyataan ini memilukan. Apa yang berlaku keliatan komedi. Kenapa ini berlaku? Apakah bulan di Malaysia lain dan di Saudi lain? Mustahil – ini tak masuk akal.

Justeru kuncinya ialah akal. Kuncinya menggunakan akal. Setiap sosok wajib menggunakan akal. Jangan menjadi pak turut. Jangan menjadi tukang ikut kerana diberitahu bahawa si mamat ini lama duduk di Mekah.

Si mamat ini fasih bahasa Arab. Si mamat ini pandai merujuk kitab al-kitab. Atau si mamat ini berserban macam benggali roti. Gunakan akal dan fikir sendiri. Masuk akal atau tidak masuk akal perkara yang dikuliahkan oleh ustaz itu.

Jangan merasa takut jika kita ditakut-takutkan dengan ijazah dan kelulusan. Hanya kerana mamat ini ada Phd maka apa saja cakapnya diterima betul. Atau mamat ini sembahyang tak tinggal, janggut panjang dan bertasbih sepanjang masa, maka kita harus tunduk kepada dia.

Janggut atau tasbih atau ijazah tidak ada apa-apa makna. Yang sah dan sahih ialah apakah yang dituturkan oleh si mamat itu masuk akal atau tidak?

Mari kita tengok tahun depan apakah ada lagi larangan yang tidak masuk akal. Apakah akan muncul lagi larangan dari pak lebai melarang kita mengucapkan Merry Christmas, atau Kong Fee Fat Chai atau selamat menyambut Deepavali.

Jawapan kepada pak lebai yang suka melarang ini ialah: Pak lebai kami tak ada masa untuk mendengar lawak bodoh. Kami sudah berani menggunakan akal. 

Kami ini dari mazhab Islam budaya, maka kami akan ucapkan selamat bergembira kepada semua umat manusia. Selamat hari raya. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS