Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Takut apa boss ku. Ini pertanyaan yang sedang ditanyakan kepada Dsai – Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pertanyaan ini sedang berlegar di kepala ramai anak muda ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK). 

Soalan yang sama juga sedang bertempek di sana-sini daripada anak muda berparti dan yang tak kenal parti politik.

Malah ramai ahli-parti PKR – yang lama dan yang baru mengeluarkan pertanyaan yang sama. Suku-sakat dan kerabat dalam Pakatan Harapan juga sedang tertanya-tanya kepada Dsai - takut apa bossku?

Maknanya – takut apa bossku - ini sedang ditanyakan oleh anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Malaysia ini. Hakikatnya satu Malaysia sedang bertanya kepada Dsai: Takut apa bossku?

Gua sendiri pun sama terkejut kucing. Gua melompat terperanjat. Ini kerana blog gua – Tukar Tiub – terus dihujani oleh pertanyaan – takut apa bossku.

Semenjak petang raya sehingga ke hari ini, "soalan takut apa bossku" terus muncul. Ada saje Mamat dan Abdul Anonymous yang menghantarkan surat menimbulkan perkara yang sama.

Fikir punya fikir, gua rasa adalah adil dan demokratik untuk gua cuba menjawab dan menerangkan kepada orang ramai apa yang gua tahu. Ini untuk mencerahkan suasana.

Harap maklum - penerangan gua ini bukan bertujuan hendak tumpang semangkuk. Tidak. Gua tidak menumpang apa-apa. Gua hanya mahu membawa pencerahan dan memberi latar semolek yang dapat.

Soalan "takut apa bossku" ini muncul apabila Latheefa Koya dilantik untuk menjadi ketua pesuruhjaya baru SPRM. Pengumuman ini muncul pada petang raya.

Satu kenyataan pendek kepada media daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengumumkan perlantikan Latheefah.

Ketika kenyataan JPM terbit pada masa itu, gua sedang tidur. Tiba-tiba gua terbangun kerana diganggu oleh deringan telefon. Ciss gua tak tahu siapa yang menalipon. Tetapi ada pesanan ringkas daripada YB Elizabeth Wong.

"Latheefa Koya dilantik menjadi ketua SPRM." Khalas.

Telefon terus berdering dan pesanan ringkas terus masuk. Semua bertanya tentang Latheefa dan SPRM.

"Siapa Latheefa? Apa dan kenapa Latheefa? Mana Latheefa? Boleh percayakah Latheefa? Parti apa Latheefa?" Soalan bertalu-talu datang tidak putus-putus.

Telefon berdering lagi. Ciss… gua yang sedang lapar berusaha menahan marah. Gua marah kerana semua ini menggangu ritual ‘siesta’ gua. 

Lat dapat kerja baru kenapa gua dipaksa bangun tidur. Pukrak.

Opss.. hampir terlupa. Wajib gua beri tahu. Gua dan kawan-kawan tidak pernah menggunakan nama Latheefa. Kami panggil si Latheefah ini Lat. Untuk yang muda-muda mereka memanggil Latheefa Koya - Kak Lat. 

Malah gua baru sekarang tahu rupa-rupanya ada Beebi pada nama Lat. Amin.

Petang raya gua pulang ke Jelebu. Ertinya gua tak ada hubungan dengan internet atau blog. Ini kerana sistem telefon dan internet agak susah di Jelebu. 

Bukit-bukau di keliling kampung gua amat payah hendak ditembusi gelombang moden. Gua hanya ada Nokia klasik.

Tanda tangan desak letak jawatan

Di kampung pun Nokia juga terus sibuk. Gua diberitahu bahawa (MP PKR untuk Setiawangsa) Nik Nazmi Nik Ahmad sedang berupacara untuk mengumpul tanda tangan meminta Lat meletak jawatan. 

Gua hairan apa sangkut-paut Lat dan SPRM dengan Nik Nazmi.

Gua tahu dahulu semasa Khalid Ibrahim menjadi menteri besar Selangor, Nik Nazmi yang menjadi exco ada masalah dengan tanah riadah di kawasannya.

Gua tidak tahu apakah ada cukong atau ada gedebe samseng yang berminat untuk merembat taman riadah ini. Ketua ahli jawatankuasa tanah riadah Kelana Jaya ini budak sekolah lama gua.

Nik Nazmi juga datang dari sekolah yang sama. Justeru gua sebagai murid tua hulur tangan tolong-tolong selesaikan. Maka gua rasa kes tanah riadah ini sudah selesai. Jadi Nik Nazmi tak perlu takut dengan Lat dan SPRM.

Nokia gua terus berdering. Kali ini berita seorang minah oppss… bukan minah biasa tetapi seorang Minah YB dari Wangsa Maju pula buat lawak.

Minah YB ini memang kaki lawak. Ramai ketawa hingga terkentut apabila di hari penamaan calon PRU14, Minah YB ini lupa bawa kad pengenalan. Ini sebenarnya taktik lama MCA – cuba try.

Minah YB Wangsa Maju ini juga mahu buat upacara untuk menyunatkan dan memendekkan hari kerja Latheefa Koya. Yang ini gua faham kenapa Minah YB ini ada rasa takut. Maklumlah. Dulu dalam parti cukong.

Mana tahu jika Lat Koya – buka punya buka fail - tiba-tiba terserempak dengan fail ‘hartanah’ di Wilayah Persekutuan yang didakwa dirembat oleh seorang bekas menteri dengan gedebe samseng. 

Baca punya baca dalam fail ini, manalah tahu ada nama minah ini terselit sama. Ini boleh jadi parah.

Ini bukan kes besar. Ini hanyalah kereta seorang menteri pada ketika itu dengan gedebe samseng melintas lalu menggunakan jalan di Wangsa Maju. Dua malaon ini mahu melihat tanah yang hendak dirembat di mukim Setapak. 

Macam mana nama minah ini boleh terselit sama hanya Guru Nanak saja yang tahu. Tetapi ini hanya andaian gua. Jadi gua menjadi pelik kenapa minah ini takut.

Woit Minah YB pasal apa lu takut dengan Latheefa dan SPRM? Kah kah kah.

Latheefa di luar mahkamah ketika perbicaraan kes Dsai.

Apabila Dsai takut gua faham benar benar. Dsai takut kerana ada asas yang amat kukuh. Biar gua terangkan sejelas mungkin di sini agar satu Malaysia akan faham.

Latheefa Beebi Koya ini ialah peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim (Dsai) untuk kes liwat. Mahkamah telah membuktikan Dsai telah meliwat Saifol anak muda yang menjadi pembantu pejabat Dsai.

Dsai telah didapati bersalah dan masuk penjara. Ketika Dsai dalam penjara, ketika Dsai membuat rayuan ulang bicara si Latheefa inilah yang ke hulu ke hilir mempertahankan Dsai. 

Sebagai peguam utama Dsai, Latheefa telah turun-naik mahkamah bersama kumpulan peguam lain yang amat setia kepada Dsai.

Malah wajib juga pembaca yang budiman diberitahu bahawa Latheefa ini juga ialah ahli Parti Keadilan Rakyat. Malah satu ketika dahulu Latheefa pernah memegang jawatan ahli Majlis Tertinggi PKR. Jawatan ini bukan lantikan tetapi dipilih oleh ahli PKR. 

Daripada segi fakta sejarah PKR, Latheefa ini mendapat undi terbanyak dalam pertandingan merebut jawatan parti. Sah lagi sahih Si Latheefah ini bukan kecik anak dalam PKR.

'Dsai sabotaj Deklarasi Rakyat'

Setia Latheefa kepada Dsai tidak berbelah bagi. Biar gua surahkan satu babak sejarah. Gua amat kritikal terhadap sikap Dsai dalam isu gerakan Deklarasi Rakyat.

Kami sedang cuba mendirikan barisan bersatu (united front) dengan menggalang gabungan luas untuk menjatuhkan Najib. Malah gua telah berjaya menghasut Mahathir yang pada ketika itu masih antidemonstrasi. 

Mahathir bersetuju untuk turun berhimpun ke Istana Negara. Atas alasan untuk menyampaikan 1.2 juta tanda tangan rakyat yang mahu Najib berundur.

"Kalau macam itu... saya akan bawa lori ke hadapan pintu istana," ini kata-kata Mahathir dalam salah satu pertemuan membincangkan taktik strategi setelah lebih daripada 1.2 juta tanda tangan dikumpulkan melalui Deklarasi Rakyat.

Tup tup belum pun gua sempat susun demonstrasi ke Istana Negara, si Dsai telah mengeluarkan ‘wahyu’ dari Sungai Buluh meminta para politikus dalam Deklarasi Rakyat berwaspada. 

Ini potong stim. Kertas tanda tangan bertimbun-timbun – hasilnya tidak ke mana.

Gua naik bengang kerana Dsai sabotaj Deklarasi Rakyat. Lalu gua mengeluarkan kenyataan mengkritik Dsai yang duduk dalam penjara. Gua terangkan sesiapa duduk dalam penjara mustahil akan faham sepenuhnya apa yang berlaku di luar penjara.

Biarkan aktivis di luar melakukan apa yang perlu. Ini berasaskan pengalaman gua sendiri yang duduk di Kamunting. Sikap terbaik orang orang dalam penjara ialah 'shut the fak up’.

Wow! Lu tahu apa berlaku. Perang pecah. Latheefa Koya menyerang gua. Dia mempertahankan Dsai. Portal media telah melaporkan kenyataan Latheefa yang menerangkan bagaimana Dsai ini amat berilmu lagi cekap walau pun di dalam penjara. 

Dsai mengikut Latheefa lebih arif daripada politikus di luar penjara. Dsai tahu semua apa yang berlaku. Amin

Tidak cukup dengan kenyataan akhbar, si Latheefa ini menelefon gua dan memberi kuliah politik tentang betapa hebatnya orang yang bernama Datuk Seri Awar Ibrahim - anak guam Latheefa sendiri. Khalas.

Justeru gua faham kenapa Dsai takut apabila Latheefa Koya dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM. Gua amat faham. Gua sedar dan gua tahu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sosok yang jujur, lagi warak, lagi syumul, sembahyang tak tinggal dan ketika bercakap selalu menyebut hadis dan potongan ayat-ayat suci.

Dsai juga selalu menyebut kenalan baiknya terdiri daripada pada alim ulama seperti Yusof Al Qardawi dan ahli politik dunia seperti Paul Wolfowitz, maka Dsai menjaga reputasi dirinya daripada dituduh lantikan Latheefa ini adalah lantikan kroni Dsai.

Malah ketika Latheefa diumumkan sebagai ketua pesuruhjaya baru SPRM, gua difahamkan Dsai sedang berada di Mekah. Lihat betapa waraknya Dsai. 

Gua tak tahu apakah Dsai sempat memberi salam kepada makam Nabi SAW sama seperti apa yang telah dilakukan oleh Najib. Hebat. Dsai ini memang hebat Islamnya. Dsai tidak berputar-putar.

Justeru apabila Latheefa Koya dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM telah ada kedengaran tuduhan bahawa dia ialah kroni Dsai. Latheefa bekas peguam Dsai. Ketua SPRM baru akan berat sebelah. 

SPRM tutup mata terhadap salah laku pemimpin PKR. Ertinya SPRM akan ‘bias’ (berpihak) kerana Latheefa Koya bekas ahli PKR dan peguam Anwar.

Pada hemat gua semua ini menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim takut. Dsai takut dituduh melantik kroni. Apa nanti kata Qardawi. Apa nanti komen Paul Wolfowitz.

Dsai tidak mahu dirinya yang suci muci tercemar kerana bekas peguamnya dilantik untuk mengetuai SPRM. Amin.

Tapi gua katakan pada Dsai – takut apa boss ku – tak perlu takut bossku. Mulut tempayan boleh ditutup. Mulut Latheefa Koya lagi tertutup. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS