Opinion

Cabaran di sebalik pengiktirafan UEC

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kontroversi pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) mungkin tidak berlanjutan untuk berdekad-dekad seandainya diputuskan berdasarkan kelayakan akademik semata-mata. Soalannya mudah, apakah UEC memenuhi piawaian kualiti yang diperlukan? Jawapannya, ya atau tidak. Dan jikalau jawapannya positif, maka soal teknikal selebihnya yang menjadi penghalang, boleh diselesaikan kemudiannya. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Namun demikian, penyelesaian isu ini perlu mengambil kira faktor sentimen yang tidak boleh diperlekehkan, lebih-lebih lagi apabila dipolitikkan. Ia dikaitkan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemupukan semangat patriotik dan perpaduan negara.

Antara alasan yang sering diketengahkan, langkah mengiktiraf UEC tidak berlaku adil kepada lepasan SPM dan STPM yang memilih sistem pendidikan kebangsaan, terutamanya pelajar keturunan Cina – kerana mereka terpaksa bersaing dengan calon UEC untuk merebut peluang kemasukan universiti awam daripada kuota yang ditetapkan.

Saya berasal dari sekolah rendah jenis kebangsaan (Cina), memilih sekolah kebangsaan ketika melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Saya agak yakin, bahawa soal adil atau tidak andainya kami terpaksa bersaing dengan lepasan UEC untuk menempah tempat dalam universiti awam bukan pertimbangan utama – kerana kami sudah biasa dengan persaingan.

Malah dari pengamatan saya, saya tidak merasai ketidakpuasan yang ketara dalam kalangan pelajar Cina yang memilih sekolah menengah kebangsaan dalam hal ini. Mereka sedia akur, seandainya pesaing yang merebut peluangnya, terbukti lebih unggul daripadanya.

Cara menghapuskan SMPC

Pernah juga kami berjenaka sesama diri, sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) boleh dihapuskan seandainya sekolah antarabangsa menurunkan harga yurannya. Tidak dinafikan bahawa terdapat segolongan ibu bapa yang menghantar anaknya ke SMPC kerana mahu mengekalkan pendidikan bahasa ibunda, namun lebih ramai ibu bapa memilih SMPC pada zaman ini kerana mahukan kualiti pendidikan yang lebih baik untuk anak-anaknya.

Justeru itu, hujah yang mempertikaikan kewajaran kerajaan mengiktiraf UEC hanya kerana pilihan sesetengah ibu bapa, sebenarnya berasas untuk saya. Mereka sedia maklum akan risiko yang ditanggung seandainya membuat pilihan tersebut. Malah, boleh dikatakan bahawa mereka yang memilih UEC, sudah merancang untuk melanjutkan pengajian tinggi di institusi pendidikan swasta sama ada dalam atau luar negeri sejak awal lagi.

Jikalau ditanya pandangan peribadi saya, pengiktirafan UEC bukan penentu segala-galanya. Kontroversi ini hanya akan berakhir dengan dua kesudahan, sama ada iktiraf, atau tidak – dan kemudian mencetuskan kemarahan Melayu, atau Cina – kerana kita sudah lali dengan permainan zero-sum game – Melayu mesti kalah jika Cina menang, begitu juga dengan sebaliknya.

Hakikatnya, terdapat cabaran yang lebih sengit di sebalik keputusan ini. Izinkan saya untuk mengulas dari segi sentimen masyarakat Cina dalam isu ini, sebelum mengupas cabaran bersama kita pada masa depan.

Sementara fokus kita ditumpukan kepada UEC, jangan kita terlepas pandang istilah “pengiktirafan”. Perbahasan tentang semangat patriotik dari kalangan masyarakat Cina umpama perdebatan ayam atau telur yang duluan di bumi. Melayu akan mempersoalkan, bagaimana Cina diiktiraf seandainya mereka gagal membuktikan semangat patriotik mereka terhadap tanahair ini? Cina pula akan menyanggah, bagaimana Cina mencurahkan kesetiaan kepada tanahair ini, seandainya mereka tetap dipandang sebagai pendatang?

Lama-kelamaan, situasi menjadi semakin ketara apabila Melayu beranggapan Cina tetap menolak identiti sebagai rakyat Malaysia sungguhpun diberi layanan yang cukup baik daripada Melayu – kebebasan untuk mengelolakan sekolahnya, memperkembangkan medianya dalam bahasa Cina dan sebagainya; di samping Cina pula beranggapan bahawa Cina tetap dilayan sebagai warga negara kelas kedua sungguhpun menumpahkan kesetiaan mereka ke atas tanah yang dipijak ini.

Hakikatnya, perdebatan yang bermain dengan persepsi ini tidak akan menemui penghujungnya, jikalau kedua-dua pihak enggan mencari jalan keluar, sebaliknya menuding jari antara satu sama lain.

Penguasaan Bahasa Melayu

Persoalannya, bagaimana kita mengukur “patriotisme” seseorang warga negara Malaysia? Saya bersetuju bahawa penguasaan bahasa Melayu sebagai salah satu kayu ukurnya, tetapi terganggu sedikit apabila ia dijadikan satu-satunya kayu ukur. Jikalau kita pernah menonton temu bual media bersama Lee Chong Wei, bekas juara badminton Malaysia, kita akan mendapati beliau kurang petah ketika menyampaikan maksudnya dalam bahasa Melayu. Cuma, siapa antara kita yang layak mempertikaikan semangat patriotiknya terhadap tanah air ini?

Soalan seterusnya, apakah kejayaan Lee Chong Wei juga diiktiraf sebagai kejayaan Malaysia? Dan jikalau jawapannya ya, bukankah pengiktirafan ini juga didahagakan oleh mereka yang tergolong sebagai bukan bumiputera? Semua warga Malaysia menyimpan cita-cita agar kisah kejayaan mereka dicatat sebagai sebahagian kejayaan tanah air ini – begitu juga dengan pemegang UEC. Dan apakah Malaysia kehilangan sesuatu, andainya kejayaan semua anak Malaysia tidak kira etnik dan agama diiktiraf?

Justeru itu, apakah cabaran kita sebenarnya pada zaman ini, yang lebih sengit berbanding soal pengiktirafan UEC? Cabarannya adalah bagaimana kita tidak melihat warga Malaysia yang berbeza keturunan sebagai musuh, sebaliknya rakan seperjuangan untuk berdepan dengan persaingan di persada yang lebih luas, iaitu di dunia antarabangsa.

Berdepan dengan arus globalisasi

Suka atau tidak, Malaysia terpaksa berdepan dengan arus globalisasi yang menderas dan mengombak di depan mata. Cabaran bahasa Melayu bukan bagaimana ia bersaing dengan bahasa Cina atau Tamil untuk mempertahankan kedudukannya sebagai bahasa rasmi di Malaysia, tetapi bagaimana ia memposisikan dirinya sebagai bahasa pengantara untuk menimba ilmu. Sudah tiba masanya kita bertepuk dada dan tanya selera, apakah usaha kita selama ini untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu?

Dengan kata lain, apakah ilmu yang boleh saya kuasai, seandainya saya hanya menguasai bahasa Melayu? Ambil contoh Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur – bagaimana buku-buku yang dipamerkan di situ membuka mata pembacanya untuk mengenali dunia dari pelbagai sudut? Dari segi agama, jawapannya semestinya. Tetapi bagaimana pula dengan isu-isu seperti perubahan iklim, perancangan bandar, pembangunan seni-budaya, perdebatan falsafah, kesihatan dan perubatan, isu wanita dan kanak-kanak, jurang kaya miskin, fenomena imigran, diplomasi antarabangsa, kecanggihan teknologi maklumat dan sebagainya? Kesemua isu ini bakal mencorakkan wajah hidup kita pada zaman ini dan masa depan. Namun adakah bahan bacaan bahasa Melayu di Malaysia mempersiap-sediakan kita untuk menghadapinya?

Dan akhirnya ia berbalik kepada kualiti pendidikan, yang sering dibebankan dengan misi “perpaduan”. Kita seharusnya lebih peka dengan istilah “perpaduan”, kerana seringkali kita diperkudakan atas nama “perpaduan”. Mustahil sesebuah masyarakat “bersatu” hanya kerana dasar satu bahasa, atau satu agama. Manusia tetap akan bertelagah kerana kepentingan yang berlainan. Tiada masyarakat yang aman andainya perpaduan itu diwujudkan dengan satu “musuh” yang direka, sama ada dalam mahupun luar.

Masyarakat hanya bertamadun apabila pendidikan menerapkan nilai hormat-menghormati, belas kasihan, kemanusiaan, keadilan dan sebagainya dalam kalangan pelajarnya. Selain prestasi akademiknya, pendidikan mengajar kita untuk menghayati nilai sesama diri, menjalinkan persahabatan dan persaudaraan; mengikis ego dan prejudis dalam diri kita dan bersikap empati dengan apa yang berlaku ke atas orang lain.

Hakikatnya, nilai-nilai sedemikian yang memperkasakan sesebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Cuba kita mengimbas kisah bagaimana seseorang pelanggan menghargai perkhidmatan penghantar Grab Food ketika bulan puasa? Bagaimana seorang wanita Cina menghulurkan coklat yang dibelinya kepada Muslim yang terperangkap dalam feri ketika waktu berbuka puasa? Sudah tentu ia bukan terpengaruh dengan propaganda untuk “bersatu-padu”, tetapi empati yang lahir dari hati untuk memahami situasi orang di sekitarnya.

Dunia tidak sempurna. Saya tidak menafikan bahawa wujudnya kekurangan dan kelemahan dalam komuniti Cina, malah masyarakat Malaysia keseluruhannya sepanjang proses interaksi antara etnik yang berbeza. Ada yang gagal mengawal emosinya untuk berdialog secara rasional, ada pula yang bersifat chauvinis untuk memperlekehkan budaya dan bahasa yang lain. Femonena ini ada di mana-mana andainya kita mengikuti perbincangan dalam media sosial dalam pelbagai bahasa.

Apapun kita perlu membubuh noktah untuk perbalahan dan pergelutan sedemikian. Malaysia tidak akan ke mana seandainya kita semua berpeluk tubuh dan menunggu “pihak di sebelah sana” untuk mengorak langkah pertama. Apa yang pasti, bangsa yang berjiwa besar tidak keberatan untuk menunjukkan keikhlasannya. Bangsa Malaysia adalah bangsa yang berjiwa besar, bukan? 


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.