Paling Popular
Terkini

Saya tidak tahu bagaimana suasana budaya dan politik tahun-tahun tiga puluhan, empat puluhan atau bulan, minggu atau hari-hari sebelum pecahnya Perang Dunia Kedua. Saya dilahirkan ketika Perang Dunia Kedua tamat.

Ketika saya membesar, sebelum ke sekolah, saya memasang telinga mendengar surah-surah perang dari emak, abah, pak cik dan datuk. Surah-surah makan ubi kayu, makan keledek, lari dari Jepun masuk ke dalam hutan untuk selamat, surah tak berkain dan tak berbaju. Surah-surah ini diperawikan ketika kami sanak saudara dan jiran tetangga orang sekampung berkumpul kenduri makan beras baru atau doa selamat sebelum menyemai benih padi.

Pada tahun 1958 ketika saya dalam darjah dua di Sekolah Umum Batu Serambai, Ulu Kelawang, Jelebu saya bertemu dengan buku Leftenan Nor pahlawan gerila hasil garapan Abdul Aziz bin Zakaria. Dalam tahun yang sama saya terjumpa buku Nyawa di hujung pedang hasil tulisan Ahmad Murad Nasaruddin. Pada tahun 1967 saya bertemu dengan Sungai Mengalir Lesu karya Samad Said. Inilah latar belakang perang dunia kedua yang saya alami.

Perang Dunia Kedua

Bila saya masuk ke universiti saya meluaskan pembacaan untuk memahami politik. Pemahaman politik memerlukan latar belakang sejarah. Akhirnya saya diterima masuk ke Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Sayangnya pada ketika itu saya meninggalkan kuliah sejarah kerana saya sendiri ingin membuat sejarah.

Ketika berkelana pembacaan saya makin melebar luas. Bila sampai ke Eropah pemahaman saya tentang politik, seni, ekonomi dan sejarah semakin jelas. Dengan menggunakan pendekatan Marxis, pandangan dunia saya semakin jelas dan cerah. Hari ini saya terus bertukang dengan menggunakan tukul, sabit dan paku Marxis.

Di Eropah saya bertemu dengan For whom the bell tolls, a farewell to arms tulisan Hemingway. Ketika dalam perjalanan ke Barcelona, Sepanyol pada tahun 1986 saya membaca Homage to Catalonia oleh George Orwell.

Di Kampung saya di Wavre, Belgium, saya mendengar surah-surah perang Dunia Kedua dari mulut generasi kedua warga Eropah. Di sempadan Belgium-Jerman, saya terlihat tembok-tembok batu Tentera Berikat yang cuba menghalang kereta kebal Hitler. Di tepi pantai Belgium saya ternampak bangkai-bangkai kereta kebal Hitler.

Robin - Yahudi dari Luxembourg

Saya bertemu dan berkawan dengan Robin dari Luxembourg, seorang guru. Kami bertemu di Pakistan dan persahabatan disambung apabila saya sampai ke Eropah. Robin seorang Yahudi bersurah bagaimana semua suku sakatnya hilang dalam Perang Dua Kedua. Hanya ibunya yang masih kecil sempat melarikan diri.

Semua ingatan ini masih segar. Justeru apabila alaf ini beralih saya melihat dengan jelas rupa bentuk dunia dan zaman yang saya tinggalkan.

Di Malaysia dunia politik dan budaya yang saya tinggalkan dikenali sebagai zaman Pop Yeh Yeh. Di Eropah zaman ini dikenal sebagai zaman generasi enam puluhan. Di zaman ini pop, rock, politik dan gaya hidup muda berganding bahu. Politik dan rock disira pula dengan terbukanya pintu yang memenjara keberahian seksual. Tahun-tahun muda yang penuh keindahan bersalut dengan pancutan nikmat di sana sini.

 Inilah zaman dunia muda selepas perang. Inilah zaman anak muda cuba mengubah dunia.

Selepas perang Dunia Kedua kita memasuki zaman Perang Dingin. Perang politik antara kaum kiri dengan kaum kanan. Perang Dingin ialah perang ideologi antara dunia kapitalis yang dikepalai oleh Anglo-Amerika dengan dunia sosialis yang dipimpin oleh Rusia-China.

Di zaman Perang Dingin saya melihat dunia melalui tukul Marxis dengan jelas. Musuh dikenal pasti dengan jelas. Kalau kamu tidak kiri maka kamu akan dilihat kanan. Jika kamu kiri kamu dilihat cool dan couter culture penuh dengan budaya melawan budaya. Jika tidak kamu akan dilihat square, poyo dan bebal. Amin.

Kenapa saya menulis perkara ini?

Saya menggarap mukadimah ini kerana kebelakangan ini saya terus membaca dan melihat bagaimana dunia kita ini sedang berubah ke kanan. Gelombang kanan sedang berkumpul.

Ombak penelitian kemunculan garis kanan ini semakin banyak saya temui dalam portal Internet. Ini bukan tulisan cabuk. Ada tulisan para pemikir dari generasi Perang Dingin, ada datang dari public intelektual generasi 60-an dan ada digarap oleh sosok-sosok yang melihat kedatangan Perang Dunia Kedua dan kemunculan Perang Dingin.

Media arus perdana dunia dalam semua bahasa sering melaporkan berita-berita tentang kesampaian ombak kanan.

‘Hubaya-hubaya, Obama lebih banyak mengebom’

Tulisan dan berita-berita ini menggambarkan suasana kita hari ini seakan-akan kembali ke suasana tahun 30-an, ke tahun tahun sebelum Inchek Hitler menang pilihan raya untuk menjadi Canselor Jerman.

Apakah ini betul?

Rumah Putih di Amerika sentiasa diduduki oleh garis kanan. Rumah Putih adalah kubu yang mewakili mazhab kaum kanan. Kalau di zaman Perang Dingin seteru Rumah Putih ialah Kremlin di Rusia dan Peking di China.

Garis kanan Rumah Putih sentiasa berlapik dan berbidai dengan jubah demokrasi dan hak asasi manusia. Tetapi semuanya makin berubah. Lihat sahaja di zaman Obama. Sosok ‘kulit hitam’ digunakan oleh kaum kanan untuk membantai sesiapa sahaja yang dianggap tidak membawa keuntungan kepada kaum pemodal.

Rumah Putih

Hubaya-hubaya, umum wajib diberitahu bahawa Barack Obama lebih banyak mengebom negara Dunia Ketiga berbanding dengan Bush atau Reagan. Barack Obama juga banyak membunuh orang biasa yang bukan soldadu atau pengganas termasuk mendrone mati warga Amerika sendiri.

Apabila Trump menjadi presiden kaum kanan dan garis kanan tidak lagi berselindung. Dengan jelas, dengan terbuka tanpa berlapik demokrasi atau hak asasi Trump terus membelasah negara mana sahaja yang dianggap menghalang perjalanan modal.

Saya yakin ramai warga dunia melihat presiden Amerika yang ke-45 sebagai pelawak dunia. Tapi awas, di belakang perangai Trump yang tidak menentu ini wujud satu kumpulan pemikir bermazhab kanan. Kaum pemikir mazhab kanan ini telah lama mengeram di Rumah Putih. Di zaman Bush Junior mereka menetas dan hasilnya ialah perang.

Amerika melancarkan perang ke atas Iraq kemudian Afghanistan. Kemudian Syria, lalu mengelencong ke Libya. Semua ini adalah projek kaum kanan.

Kaum kiri – kaum Marxis berpendapat perang dan kapitalisme adalah isi dengan kuku – seperti kentot dengan berak. Tidak dapat dipisahkan. Selagi sistem ekonomi kapitalis wujud maka dunia akan terus berhadapan dengan bencana perang.

Kenapa begini?

Rukun kapitalis

Analisis kiri membuktikan bahawa perang adalah salah satu dari rukun sistem ekonomi kapitalis. Kapital atau modal akan terus mencari keuntungan. Mencari tanah jajahan. Mencari dan menjarah hasil bumi. Memperluas pasaran. Mengumpul kekayaan. Justeru perebutan punca-punca ekonomi ini akan mengakibatkan perang.

Apabila sistem ekonomi kapitalis menghadapi masalah besar maka kaum pemodal dan para pemikir kanan akan merancang perang. Dalam sistem ekonomi kapitalis perang akan menjadi jalan keluar yang lumayan.

Sayugia diingatkan sejarah bagaimana Perang Dunia Kedua pecah. Puncanya ialah krisis ekonomi dan perebutan tanah jajahan.

Pada tahun 1929 bermulanya Tahun Kemelesetan atau Great Depression di Amerika. Ekonomi dunia jatuh meleset. Tahun-tahun 30-an warga Amerika kelaparan dan merempat. Keadaan ini berjalan hingga ke tahun 1939. Kemudian apa terjadi?

Bantahan orang ramai pada 1931 di Amerika Syarikat selepas bank mereka ditutup akibat kemelesetan ekonomi. Gambar Wikipedia.

 Eropah dan Asia pada masa yang sama bergolak. Ekonomi Eropah meleset. Hitler dengan parti Nazi telah menguasai Jerman pada tahun 1933. Merebut tanah jajahan menjadi agenda pada ketika itu. Jepun menyerang China pada 7 Julai 1937. Pada tahun 1938 Hitler menakluk Austria dan Czechoslovakia. Akhirnya Perang Dunia Kedua pecah pada 1 September 1939.

Apabila perang pecah maka ekonomi mula pulih. Perang menjadi penjana dan bahan bakar untuk menghidupkan ekonomi yang meleset. Manusia diperlukan untuk menjadi soldadu. Kilang senjata muncul – membuat peluru, senapang, kereta kebal, kapal laut dan kapal terbang. Kilang besi, kilang pakaian, kilang makanan bangun untuk menyokong projek perang. Tenaga manusia diperlukan. Soldadu,lelaki dan perempuan direkrut. Kerja. Kerja. Kerja.

Ekonomi kapitalis kembali pulih. Tahun-tahun 50-an selepas perang ialah zaman membangunkan kembali Eropah yang hancur. Perang telah memulihkan kembali ekonomi Amerika yang merosot. Inilah zaman lumayan. Inilah zaman rock n roll. Inilah zaman dunia dilihat cerah. Inilah zaman Pop Yeh Yeh. Inilah zaman saya mula mendapat pencerahan politik. Zaman saya bertemu dengan tukul dan sabit Marxis.

Tiga novel, cari dan baca

Muncul 2019. Tetiba para pemikir mula mengatakan bahawa kita sedang kembali ke zaman 30-an. Kita sedang menuju ke zaman meleset. Dunia kapitalis sedang berhadapan dengan krisis yang maha besar. Ombak kanan sedang berkumpul.

Betulkah kenyataan ini?

Ketika saya menggarap tulisan ini dua pekara telah berlaku. Pertama, pada Ahad 7 Julai 2019 Parti Syariza tewas dalam pilihan raya Greece. Syariza adalah parti arus kiri yang menjadi kebangaan kaum kiri. Kini Greece jatuh ke tangan arus tengah – Parti New Democracy.

Kedua, pada Isnin 8 Julai 2019, Duetsche Bank yang beribu pejabat di Frankfurt, Jerman memberhentikan 18,000 pekerja. Bank pengurus dana untuk pelaburan ini mempunyai 91,500 pekerja di 58 buah negara. Bank ini adalah yang ke 15 terbesar dalam dunia.

Apakah ini satu petanda baru?

Sebenarnya inilah bukti bahawa suasana tahun-tahun 30-an sedang datang kembali. Kalahnya Syariza di Greece adalah petanda bahawa arus kanan sedang mengombak. Orang ramai terutama warga Eropah mula menyisir ombak kanan.

Pemuda Syariza dalam sebuah ada pada 2007. Gambar Wikipedia.

 Krisis Duetsche Bank inilah hanyalah permulaan. Jangan lupa sejarah, pada 15 September 2008 Lehman Brothers jatuh muflis ini diikuiti dengan krisis dalam Bank of Scotland, Merill Lynch dan beberapa lembaga kewangan yang jatuh muflis.

Apakah perang dunia akan pecah?

Siapa yang bertanya soalan ini maka mulut sosok ini wajib dilumur dengan lada. Soalan seperti ini datangnya dari sosok-sosok yang tidak memahami dan gagal menganalisa politik dunia kontemporari.

Fahamlah bahawa perang Dunia Kedua TIDAK tamat. Ia bersambung dengan Perang Dingin. Sambugan Perang Dunia Kedua dimanifestasikan dengan Perang Korea (1950-1953) disambung dengan Perang Vietam dan Indo China (1955-1975). Ini diikuti hingga ke hari ini oleh perang Iraq, Afghanistan dan Syria.

Analisis kaum kiri tepat, betul dan saintifik. Kalau analisis kaum Marxis ini tepat kenapa ombak kanan mula mengampuh. Sebelum menjawab soalan itu kita wajib mengetahui apakah pola dan ciri garis kanan. Apa dia falsafah garis kanan?

Untuk jawapan kepada soalan-solan ini sila tunggu minggu hadapan. Ketika menunggu jawapannya sila cari buku – Nyawa di hujung pedang, Leftenan Nor pahlawan gerila dan Sungai mengalir lesu. Cari dan baca. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS