Paling Popular
Terkini

Mac dan April tahun ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan sepuluh keping gambar perkahwinan yang memaparkan imej bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan bekas isterinya yang berbangsa Rusia. Foto-foto tersebut tersebar di platform media sosial, Instagram selepas ia dimuat naik oleh seorang jurugambar Rusia, Maxkoliberdin.

Foto-foto majlis perkahwinan mewah tersebut melongokan untuk rakyat dari Kuala Kroh sehinggalah ke Pasir Gudang. Hari ini perasaan longo atau tercengang itu terjadi, tentu, kerana kewujudan media sosial yang dapat diakses rakyat terbanyak.

Akan tetapi pada tahun 1906, ketercengangan rakyat untuk sebuah majlis perkahwinan yang mewah tentulah sukar diungkapkan, dan sayangnya ia tidak dapat ditunjukkan kembali sebagai satu renungan sejarah yang bermakna. Tidak ramai yang tahu butiran ini sehingga sejarawan arus perdana menulis naratif berbeza.

Namun demikian mujur, pada tahun 1958, Syed Mohammed Syed Hassan Shahaeudin dan MG Knowles telah sempat mewawancara seorang pegawai kerajaan bersara yang pernah hidup ketika era itu bernama Che Mohamed Deli, dan menyaksikan perkahwinan mewah diraja tersebut. Dokumen lisan yang ditulis kembali itu diterbitkan dalam sebuah jurnal The Malaya in History pada tahun 1958.

Perkahwinan diraja yang dimaksudkan adalah siri perkahwinan diraja di istana Kedah pada tahun 1906 yang mengambil masa sehingga tiga bulan, iaitu apabila lima orang anak-anak Sultan Abdul Hamid melangsungkan perkahwinan.

Setiap daerah di Kedah dititahkan untuk menyumbangkan bekalan makanan seperti beras, ayam hutan, lembu malahan bekalan kerbau dibawa dari Siam. Bukan itu saja, untuk menambahkan kemeriahan setiap daerah dalam Kedah dikerah untuk menaikkan balai di Alor Setar iaitu di Padang Court dengan rekaan tersendiri. Balai ini untuk kegunaan tetamu terhormat. Tenaga kerja juga didatangkan dari seisi negeri untuk membersihkan jalan, dan pembinaan beberapa bangunan untuk kegunaan ketika majlis perkahwinan tersebut. Rakaman dalam jurnal tersebut menyatakan “this labour was unpaid” meskipun diberikan makanan.

Makanan, pakaian dan pelbagai barangan dibawa dengan kuantiti yang besar ke Alor Setar. Malahan, bekalan lilin sahaja datang di dalam lima buah kapal wap dari Prichard di Pulau Pinang. Lima kapal lilin dan pelbagai lagi ini tentu sahaja membuatkan perut kita senak memikirkannya. Ketika itu jambatan Bumbong Lima merentangi Sungai Merbok belum lagi dibina dan semua bekalan yang dibawa dengan pengangkutan dari Pulau Pinang itu kemudiannya dipunggah dan disimpan di sebuah sekolah di Jalan Baharu. Kenyataan lisan Che Mohamed Deli menyatakan tingkat atas sekolah tersebut turut runtuh akibat tidak dapat menampung barangan yang terlalu banyak.

Champagne, cerut Mesir

Bekalan kain yang dibawa dari luar itu adalah untuk dijahit sebagai pakaian seragam baharu buat pegawai, pengawal, atendan dan orang gaji kelak. Pembesar pula dititahkan agar mengenakan busana gaya Eropah.

Perkahwinan pertama adalah untuk Tunku Ibrahim, putera sulung yang dihadiri oleh raja-raja dari negeri lain atau wakil mereka. Raja Siam turut berangkat dan ditempatkan di istana Anak Bukit yang lama.

Istiadat perkahwinan ini bermula dua tahun sebelum iaitu pada 15 Jun 1904 dengan istiadat meminang. Ketika itu para tetamu yang hadir telah diarak dan dilindungkan dengan Payung Ubor-Ubor Hijau. Rombongan pengantin diraja terdiri dari pembantu seramai lima belas orang.

Untuk majlis perkahwinan, pengantin diinaikan di sebuah balai diberi nama Tambak Inai yang didirikan di sebelah balai besar. Majlis berlimau dan berinai ini dilakukan setelah acara perarakan keliling kota selama tiga malam berturut-turut.

Acara bersanding pula diadakan di rumah pelamin yang mana sebuah sayap baru didirikan di Istana Kota Lama. Untuk upacara berlimau, sebuah menara setinggi tujuh tingkat bernama Pancha Persada ditegakkan semata-mata untuk acara merenjis air wangi.

Perkahwinan Tunku Ibrahim berlangsung selama dua minggu. Setelah itu berturut dengan perkahwinan Tunku Abdul Rashid, Tunku Jamjam, Tunku Rokiah dan kemudian Tunku Jora. Sepanjang itu tetamu kehormat dilayani dan dijamu dengan makan minum yang tidak terhingga di Balai Besar.

Che Mohamed Deli pegawai istana yang bertanggungjawab untuk majlis tersebut, yang tatkala itu berumur lewat 90-an, memberitahu Syed Mohammed Syed Hassan Shahaeudin dan MG Knowles terdapat dewan-dewan berbeza untuk tetamu makan minum dibahagikan menurut gelaran. Misalnya dewan makan minum untuk mereka yang mempunyai gelar Syed dan Wan berbeza pula dengan dewan untuk kaum haji. Selama tiga bulan tetamu dimakan tanggung, dan 40 ekor ternakan ditumbangkan setiap hari untuk mereka. Minuman keras seperti Champagne dan cerut Mesir turut diedarkan. Saya harus memetik rakaman tulisan mereka di sini:

The principal guests were entertained in the Balai Besar which served as Balai Rong. For as long as they stayed they were provided with all their meals, breakfast included, and any refreshments they might want at any time. Unlimited champagne and Egyptian cheroots were among the luxuries provided, and it is said that 30 cases of champagne were consumed daily.

Untuk catatan para agamawan, Islam telah masuk ke Kedah sejak Syeikh Abdullah al-Yamani mengislamkan Maharaja Derbar Raja II (yang memakai gelar Sultan Muzaffar Shah I) pada tahun 531H (1136M). Sultan Abdul Halim yang berbelanja besar untuk majlis perkahwinan anak-anak baginda ini berjasa mengukuhkan pentadbiran Agama Islam dengan lebih sistematik (baca: menginstitusikan Islam) dan berpejabat di Limbung Kapal, Alor Setar.

Opera Cina, India dalam bahasa Siam

Sudah tentu tetamu siri majlis perkahwinan ini harus dihiburkan. Setiap petang akan ada pementasan bangsawan yang berbeza dari sebelumnya, termasuklah pementasan Opera Cina, India dan dalam bahasa Siam. Terdapat empat pentas ronggeng untuk tari-menari yang mana tujuh penari kelasan dihadirkan dari Pulau Pinang. Hampir setiap masa akan ada persembahan hadrah, wayang kulit dan silat.

Perbelanjaan keseluruhan siri majlis perkahwinan ini adalah antara tiga juta ke empat juta. Oleh sebab istana Kedah tidak mampu, mereka terpaksa meminjam dari kerajaan Siam. Sebanyak 2.6 juta dipinjam tetapi sudah tentu dengan syarat tertentu.

Salah satunya adalah persetujuan untuk melantik penasihat kewangan Inggeris bernama Dr Hart yang memang bertugas dengan raja Siam. Pada tahun 1909, apabila penjajah Inggeris mulai “bertanggungjawab” di Kedah, hutang kesan dari majlis perkahwinan tersebut diambil alih urusannya oleh Inggeris.

Hutang dan perbelanjaan besar keluarga diraja Kedah tatkala itu bukanlah rahsia dan sudah dikaji oleh aneka sejarawan. Misalnya Mahani Musa melihat surat-menyurat Sultan Abdul Hamid Halim Shah antara lain mengenai “perangai berhati-hati” baginda dengan wang. Padahal kita pun tahu “kewaspadaan” tersebut berlaku di tengah kenduri kahwin yang berbulan-bulan lamanya itu. Kita misalnya mengesan terdapat pekerja Inggeris yang dibayar gaji besar, dan keluarga diraja menagih dana untuk membaiki rumah, dan isu kenaikan pendapatan Sultan:

Despite the Sultan's generosity, it is clear that Kedah elites were cautious in terms of handling monetary problems in the state. Che' Muhammad Ariffin had even sent a letter to department heads inviting them for a meeting to discuss a proposal to borrow money from Siam on 8 Rabiulawal 1323 (12 May 1905). On 12 Syaaban 1324 (30 September 1906), Sultan Abdul Hamid wrote a letter to crown prince Tunku Abdul Aziz to seek clarification on his action to employ three Englishmen in the state administration who were paid high salaries at a time when the government was facing severe financial problems. Many applications by members of the royalty to fix their houses were postponed due to the lack of state fund. Of interest is the application from Che' Muhammad Ariffin to crown prince Tunku Abdul Aziz who was also President of the State Council on 20 Zulhijjah 1324 (3 February 1907) to increase the Sultan's expenditure (from Rial 5,300.00 monthly) which was postponed until the return of Dr Hart from his European vacation.

Rakaman Syed Mohammed Syed Hassan Shahaeudin dan MG Knowles hasil wawancara dengan pegawai istana Che Mohamed Deli ini wajar direnung kembali. Ini kerana terdapat banyak tulisan sejarah secara akademik mengenai pemerintahan Sultan Abdul Halim yang menyebut kononnya baginda tertekan diasak British dan Siam. Walhal angkara baginda sendiri yang membolehkan masuknya Inggeris dan Siam kerana keborosan seperti tercermin pada siri majlis perkahwinan yang melongokan.

Perbelanjaan sebanyak tiga juta lebih, dengan dua juta dalam bentuk hutang untuk siri majlis perkahwinan ini tentulah skandal kewangan yang luar biasa ketika itu. Hanya siri perkahwinan tiga juta itu tidak terdokumentasikan dalam Instagram atau media sosial seperti hari ini.




FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS