Paling Popular
Terkini

Bulan ini ialah bulan yang sangat bermakna bagi kita semua. Kita tidak akan sesekali melupakan 31 Ogos. Kita tidak akan melupakan setiap jasa dan pengorbanan yang telah tumpah mendatari sejarah negara sehingga ke hari ini.

Pada saya, kemerdekaan mengajar kita satu nilai yang sangat besar dan bermakna, iaitu saling mencintai antara satu sama lain. Kemerdekaan memberitahu kita bahawa hanya dengan cinta, negara ini terus bangun, megah dan terdorong mulia di persada dunia. Hanya dengan cinta, kita terus bekerja, mendidik dan melahirkan generasi yang cintakan negara, yang bertanggungjawab dan berakhlak mulia.

Di sinilah pokok pangkalnya kenapa kita kembali melaksanakan pendidikan sivik. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, sivik bererti ilmu tata rakyat, atau perasaan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Asasnya ialah untuk membentuk seorang warganegara yang yang mengetahui hak, bertanggungjawab dan berakhlak mulia bagi menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan global.

Mengungkap kepentingan pendidikan sivik ini, Bertrand Russell pernah berkata, “Without civic morality communities perish; without personal morality their survival has no value.”

Bertrand Russell 

Ketika saya dilantik oleh YAB menjadi menteri pendidikan, perkara utama yang sering Tun nasihatkan kepada saya ialah untuk menumpukan nilai-nilai murni kepada para pelajar. Kata Tun, sekarang ibu bapa sibuk bekerja, tidak punya waktu lagi untuk mendidik anak-anak. Maka, guru di sekolah terpaksa memainkan peranan tersebut.

Maka, dengan sukacitanya saya ingin memaklumkan, bermula Jun 2019, Pendidikan Sivik telah mula diperkenalkan di semua sekolah seluruh Malaysia. Segala modul, konsep dan pendekatan baharu telah dilaksanakan secara menyeluruh. Impian dan nasihat Tun, KPM sedang laksanakan!

Anak-anak kita akan mengenal nilai-nilai murni dan etika. Mereka juga akan diajarkan apakah itu pengetahuan kewargangeraan? Apakah itu karakter yang tepat bagi seorang warganegara? Dan apakah bentuk-bentuk tindakan tepat yang boleh diambil sebagai seorang warganegara, yang akhirnya mampu memberikan kesan kepada pembangunan negara.

Bukan itu sahaja, anak-anak kita akan belajar integriti, amanah, rajin bekerja, berdisiplin, membenci rasuah dan salah guna kuasa, bahayanya buli, pentingnya menghargai golongan OKU, pentingnya saling menghormati perbezaan satu sama lain, pentingnya memelihara perpaduan di negara ini, malah lebih daripada itu, mereka belajar mencintai tanah air sekaligus berfungsi sebagai seorang warganegara yang baik.

Pelaksanaan Pendidikan Sivik dilakukan secara bersepadu dan holistik dengan memberi penekanan terhadap LITERASI SIVIK (dalam bilik darjah) dan AMALI SIVIK (luar bilik darjah). Pelaksanaannya akan melibatkan pihak sekolah, komuniti, swasta dan kementerian.

Kita mestilah ingat bahawa pendidikan untuk semua dan tanggungjawab semua pihak.

Literasi Sivik adalah rangkuman pengetahuan kewarganegaraan, sosioemosi kewarganegaraan dan tindakan kewarganegaraan yang tersurat dalam kurikulum dan perlu dikuasai oleh murid. Sementara itu, Amali Sivik pula memberi ruang dan peluang kepada murid untuk mengaplikasikan literasi sivik secara praktikal. Pengaplikasian literasi sivik dilaksanakan dalam perhimpunan sekolah, aktiviti kokurikulum, dan program sekolah.

Saya perlu memberikan kredit kepada KPPM yang telah mengembangkan idea ini sehinggalah ia berada di tahap ini. Hasil dari lontaran idea dan perbincangan lumat mesyuarat-mesyuarat post-cab, akhirnya apa yang direncanakan telah Berjaya diterjemahkan ke dalam realiti.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Pendidikan Sivik, KPM telah menetapkan Pendidikan Sivik dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah. Kita cuba mengelakkan berlakunya pertambahan waktu yang kemudiannya menjadi beban kepada para guru dan murid.

Anak-anak kita di prasekolah pula akan diajarkan pendidikan sivik selama 30 minit. Dan dalam masa yang sama, Pendidikan Sivik turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kokurikulum.

Pelajar sebuah sekolah di Putrajaya, gambar hiasan

Pihak KPM telah menyediakan Perincian Pemetaan Pendidikan Sivik dan membangunkan Modul Exemplar Pendidikan Sivik, Manual Perhimpunan Sekolah dan Amalan Nilai Murni serta Manual Amalan Pendidikan Sivik dalam Kokurikulum untuk membantu guru melaksanakan pendidikan sivik seperti yang dihasratkan. Yang pasti, guru diberi ruang untuk melaksanakannya secara kreatif mengikut keperluan dan kesesuaian.

Beberapa pihak swasta juga telah tampil untuk membantu mempromosikan nilai-nilai sivik yang diajarkan di sekolah agar dapat dipromosikan di luar sekolah. Iklan-iklan, papan-papan tanda dan PSA akan dihasilkan oleh pihak-pihak swasta demi bersama-sama KPM untuk menyebarluaskan pendidikan sivik ini.

Harapan saya jelas, iaitu untuk menyedarkan masyarakat bahawa Pendidikan Sivik bukan menjadi tugas sekolah semata-mata tetapi semua pihak perlu mendokongnya secara bersama. Keterlibatan masyarakat dalam menjayakan pembudayaan kesedaran sivik ini amatlah penting bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan.

Dari pendekatan ini, kita mensasarkan agar majoriti rakyat Malaysia yang berjiwa dan berminda sivik dapat dilahirkan menjelang tahun 2030.

Akhir kata, saya mewakili seluruh warga KPM mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Tun kerana sudi hadir melancarkan Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 semalam. Tidak lupa juga, ucapan terima kasih kepada Bahagian Pembangunan Kurikulum selaku Urus Setia dan pihak yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini. Kementerian Pendidikan Malaysia amat menghargai segala usaha dan kerjasama semua pihak terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Sebelum berakhir, saya ingin menyeru kita semua agar sama-sama menghayati makna merdeka sedalam-dalamnya. Dan ingin saya ulangi semula kenyataan saya semula; kemerdekaan telah mengajar kita untuk lebih saling mencintai antara satu sama lain.

Bak kata Soren Kierkegaard, “Love is all, it gives all, and it takes all.”


MASZLEE MALIK bertugas sebagai menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS