Paling Popular
Terkini

"Sebab makanan OK," kata sahabat kami apabila ditanya, tidakkah dia jemu datang ke Kuantan pada setiap hujung minggu.

Anak sahabat kami itu sedang belajar di bandar paling tak tentu arah di sebelah Pantai Timur Malaya ini.

Sebelum itu izinkan kami menerangkan mengapa kami rajin menulis mengenai Kuantan.

Bukan kerana Pahang itu negeri pembangkang dan oleh kerana kami ini "barua DAP" maka menjadi tugas kami untuk mencari keburukan negeri-negeri yang diperintah oleh partai bukan PH.

Sebaliknya sebab utama adalah kerana kami ini berasal dari bandar porak-peranda menentukan indentitinya, dan tentu saja kami tahu serba sedikit memgenai perkembangannya.

Tentu kami tidak boleh menulis mengenai bandar atau negeri lain kerana kami tidak ada ilmu mengenainya.

Begitu juga apabila kami menulis mengenai kebodohan orang Melayu. Walaupun kami kelihatan seperti orang putih jika dibaca hanya pada nama, namun kami ini Melayu yang tahu sedikit sebanyak tentang bebalnya bangsa yang kerjanya tidak lain adalah mengaku malang kerana sering dibimbang-bimbangkan mengenai kehilangan hak ke atas tanah yang didakwa milik datuk nenek mereka ini.

Semua dari luar

Untuk makluman, kami telah beberapa kali menulis mengenai Kuantan yang sentiasa keliru. Sekejap bandar palma, sekejap bandar kekwa dan selalunya bandar entah apa-apa, tergantung siapa yang dipertua majlis perbandarannya.

Kami juga beberapa kali menulis mengenai betapa Melayu itu satu bangsa yang diajar bahawa dengan tidak berbuat apa-apa, segala harta yang keluar dari muka bumi ini adalah milik mereka hanya kerana mereka dilahirkan di Malaya ini, dan tidak kebetulan dilahirkan sebagai orang Melayu lama sebelum kamu semua ditipu oleh partai politik yang kamu puja-puja.

Kami agak terkejut apabila sahabat itu mengatakan bahawa tarikan utama beliau ke Kuantan adalah makanannya kerana apa yang ada di Kuantan hampir semuanya datang dari luar.

Kuantan pernah dikenali sebagai bandar ikan kering. Ramai pelancong datang ke Kuantan untuk mendapatkan ikan kering, namun sebetulnya Kuantan bukanlah sebuah bandar yang mengeluarkan ikan keringnya sendiri.

Memang benar terdapat satu perusahaan ikan kering di Beserah dan ianya menjadi terkenal kerana di kawasan berkenaan terdapat sekumpulan nelayan menggunakan seekor kerbau untuk menarik hasil tangkap nelayan naik ke pantai.

Kerbau itu menjadi ikon bagi kawasan berkenaan untuk beberapa lama sehinggalah ianya dijual. Kini ia berkerja menarik tandanan kelapa sawit disalah satu kawasa Felda.

Perusahaan ikan masin di Beserah adalah dalam skala kecil. Kerana itu peniaga terpaksa membawa hasil laut dari negeri lain untuk dipasarkan di Kuantan.

Walaupun masih terdapat kedai-kedai ikan masin dan masih ramai pelancong yang datang untuk membelinya - seperti yang kami katakan - hasil laut yang dijual bukanlah produk asli bandar ini.

Begitu juga dengan kedai yang menjual masakan ikan patin, misalnya. Orang Kuantan adalah orang laut, maka makanan mereka adalah ikan laut. Mok kami sendiri sehingga hari ini tidak makan ikan patin.

Belum ada lagi di mana-mana

Patin ini makanan orang darat seperti Temerloh, Kuala Lipis, Raub dan sebagainya. Maka kerana itu masakan ikan patin bukanlah makanan asli Kuantan.

Lalu apa makanan asli orang Kuantan?

Seperti yang kami katakan tadi, Kuantan adalah bandar cacamarba dan kesetiaan orang asal Kuantan adalah kepada Terengganu.

Kamu akan dapati nasi dagang di Kuantan disediakan oleh mereka yang berasal dari Terengganu. Mereka adalah pelaut yang suatu ketika dulu datang berteduh dan akhirnya menjadikan Kuantan sebagai tempat tinggal.

Namun demikian, kami akan cuba untuk menamakan beberapa makanan yang kami kira sebagai asli Kuantan.

Ikan bakar petai yang terkenal di Tanjung Lumpur itu bolehlah dikatakan sebagai produk asli Kuantan kerana sebelum adanya gerai berkenaan, kami tidak pernah bertemu dengan mana-mana gerai yang menyediakan makan tersebut.

Kini gerai berkenaan telah berkembang maju sehingga ke Bangi.

Setakat hari ini, itulah satu-satunya bahan eksport Kuantan yang paling terkenal dan berjaya.

Jika ada negeri yang menyediakan ikan bakar petai sebelum ianya dipopularkan oleh orang Kuantan, mohon betulkan kenyataan kami.

Satu lagi yang mungkin ialah mi chalong. Ia sejenis mi yang direbus di dalam sup ikan. Yang terbaik tentulah mi chalong yang bebola ikannya disediakan sendiri oleh pembuatnya, bukan menggunakan bebola ikan yang dibeli di pasar-pasar.

Kami suka mi chalong Lang. Gerai beliau terletak betul-betul bersebelahan dengan pasar lama Kampung Beserah.

Terdapat juga sebuah kedai menjual nasi ayam Hainan di gerai Kemunting Jalan Gambang. Ia adalah nasi ayam Hainan yang paling hampir seperti yang disediakan oleh gerai-gerai yang tidak halal.

Nasi ayam Hainan bukanlah asli Kuantan namun kerana kami berasakan ianya adalah nasi ayam yang lazat, maka kami masukan ke senarai ini.

Lebih inti dari angin

Kemudian daripada itu terdapat dua gerai yang menjual mi sup perut. Satu di pantai Taman Gelora, manakala yang satu lagi pula di pusat makanan Taman Cenderawasih.

Kedua-dua gerai itu adalah pecahan daripada satu gerai di Pasar Besar Kuantan lama dulu. Ianya adalah berasal dari utara, bukannya asli Kuantan.

Di Taman Gelora juga tersapat sebuah gerai yang menjual karipap yang sedap. Sudah lebih 15 tahun gerai itu beroperasi. Jaminan daripada kami ialah, karipap mereka adalah lebih inti berbanding angin.

Para pureist akan mengatakan bahawa karipap itu tidak lagi seperti dulu, namun kami pula beranggapan ianya masih lebih baik jika dibandingkan dengan mana-mana karipap yang di jual di Kuantan.

Nasi lemak yang lazat pada selera kami masih lagi nasi lemak Restoran Zaman. Ianya dibungkus dengan daun pisang - amalan yang diteruskan sejak 1980-an.

Kami masih perlu beratur untuk menikmatinya.

Setakat hari ini, itu saja makanan yang terlintas di fikiran kami. Mungkin orang Kuantan sendiri setuju dan mungkin juga tidak, dan mungkin nanti kami akan menyambung menulis mengenai makanan dan apa-apa yang menarik mengenai bandar kuchalana ini.

Kuantan akan mencapai taraf bandar raya dalam masa terdekat ini dan sayugialah dicadangkan supaya ianya tidak muram seperti sebelum ini.

Para hipster yang berkumpul di Jalan Besar itu perlukan sedikit sokongan. Hiasi lorong belakangnya yang hanyir. Perindahkan ia seperti apa yang dilakukan di bandar Sungai Besi ataupun Muar.

Lorong belakang yang bersih akan menarik perkara yang baik, sedang lorong belakang yang gelap akan menjadi sarang maksiat.

Lorong Kunyit di kawasan Pasar Besar Kuantan - jika dibersihkan dan dihiasi dengan cantik - tentu saja akan memaksa mereka yang menjual tubuh keluar dari kawasan berkenaan.

Begitu juga dengan kawasan Wong Ah Jang yang terkenal sebagai pusat persundalan itu.

Bersihkan semua kawasan-kawasan yang jahat itu dan jadikan Kuantan sebuah bandar yang benar-benar lestari seperti yang diinginkan oleh YDP majlis perbandaran yang entah ke berapa dulu.

Kita tidak lagi mahu bandar ini menjadi terkenal sebagai pusat sumber hiburan yang kotor kepada mereka dari negeri-negeri yang berjiran.

Dengan makanan yang baik dan bandar yang cantik serta bersih Kuantan mampu menjadi sebuah bandar yang dibanggakan.

Minta nasihat daripada mereka yang tahu fasal masa kini dalam hal menghias bandar kerana hanya generasi hari ini yang tahu apa yang mereka mahukan.

Bukan terus-menerus bergantung kepada perancang bandar yang keluar universiti pada 1978.


ABDULLAHJONES ialah si romantis yang sering dikecewakan oleh bandar kelahirannya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS