Paling Popular
Terkini

Mengambil sesuatu yang biasa dan jadikan ia sebagai sesuatu yang luar biasa, kemudian ianya tidak mungkin kembali kepada kebiasaannya.

Dalam kata lain, kerja seorang seniman adalah memusnahkan sesuatu objek, misalnya, lalu menyediakan objek tersebut sebagai suatu benda yang mempunyai rohnya sendiri.

Demikian kata Syed Omar Syed Husain, budayawan serta pemerhati seni tanah air yang juga dikenali sebagai penternak ayam sabung terkemuka.

Kata-kata di atas tadi amat cocok kepada Ismail Zain. Pada 1988 Ismail telah mengadakan satu pameran hasil kerja menggunakan perisian komputer. Sesuatu yang amat baru pada masa itu.

Beliau mendapat kecaman banyak pihak termasuk daripada kalangan karyawan dan juga rakan rapat kerana mengangkat hasil cetakan komputer sebagai seni halus.

Untuk perhatian, Ismail bukanlah orang pertama yang menghasilkan karya menggunakan perisian komputer. Sebelum beliau sudah ada Kamaruzaman Isa.

Lebih kurang lima puluh karya beliau sedang dipamerkan di Balai Seni Negara di bawah judul (Mem)Bayang Maksud, dan ianya adalah pameran yang seharusnya diberi perhatian oleh para seniman sendiri dan juga masyarakat banyak negara ini.

Seolah-olah kerana dia

Secara umum kami dapati karya-karya Ismail berkisar kepada hal-hal sekitar kehidupan beliau ketika itu, yakni banyak menggunakan perlambangan dan juga ikon-ikon dunia hiburan yang terkenal sekitar tahun-tahun remaja dan juga semasa beliau.

Kita dapati beliau senang dengan Sharifah Aini, Sahara Yaacub serta siri TV, Dallas, dan Liza Minnelli misalnya.

Ikon-ikon itu muncul dalam banyak karya beliau, lalu seperti yang dinyatakan oleh Syed Omar tadi, Ismail menjadikan semua ikon itu sebagai milik beliau.

Seolah-olahnya jika tidak kerana beliau maka ikon-ikon ini tidak mungkin dikenali.

Kami mengandaikan bahawa beliau menggunakan ikon hiburan tempatan pada waktu itu hanya kerana tugas beliau di Finas, membuatkan beliau agak rapat dengan ikon-ikon tersebut.

Mungkin ada yang melihat ianya sebagai mewakili sesuatu yang lebih daripada itu, dan pemerhatian berkenaan tentu saja adalah benar. Namun seperti yang diketahui umum, kita sering dipengaruhi oleh persekitaran.

Karya-karya cetak beliau lebih menjurus kepada jenaka dalaman.

Kita ambil contoh karya berjudul Bruce Springsteen.

Imej penyanyi yang dikenali sebagai The Boss sedang bermain gitar dan ditambah dengan tulisan jawi yang berbunyi: "Bruce springsteen suatu fenomena rock naratif yang sensasional".

Perlambangan di sebalik manggis

Kurator pameran, Jaafar Ismail, membaca karya itu sebagai suatu tempelakan kepada bangsa Melayu apabila apa sahaja boleh dimelayukan hanya dengan sedikit tulisan Jawi.

Atau sesebuah bangunan yang dibina oleh arkitek zaman ini lalu ditambah dengan sedikit kerawang, maka secara otomatis ianya dianggap sebagai seni bina berteraskan kemelayuan.

Sehingga hari ini kita dapati usaha mengkosmetikkan apa juga yang dianggap Barat dilakukan demi menjadikannya suatu budaya tempatan.

Lihat bagaimana tanjak dan destar dipadankan dengan kemeja T dan seluar jeans lalu ianya dikatakan sebagai usaha menjatikan bangsa Melayu.

Namun demikian, Ismail juga menggunakan manggis sebagai perlambangan bangsanya.

Manggis adalah suatu jenis tanaman yang menghasilkan buah tanpa perlu adanya ‘jantan dan betina’.

Ianya adalah pokok yang disebut sebagai asexual yakni ianya bersenyawa secara bersendirian.

Dalam karya berjudul Al-Rumi, manggis dijadikan imej dengan petikan kata-kata Rumi yang bermaksud: "Aku telah hidup dengan asbab, menunggu jawapan, mengetuk pintu. Ia terbuka. (Rupanya) aku mengetuk pintu dari dalam".

Di sini seolah-olahnya Ismail mengatakan bahawa jawapan kepada apa saja ‘kelemahan’ bangsa manggis sebenarnya terletak dalam dirinya.

Manggis yang dikatakan berasal dari Kepulau Sunda itu barangkali mewakili bangsa Ismail sendiri, dan melalui karya itu dan Bruce Springsteen' bolehlah diandaikan bahawa Ismail adalah pentertawa dan pada masa sama amat simpati kepada bangsanya yang ketika itu - mungkin juga hingga kini - masih terkial-kial mencari jati diri.

Di samping karya-karya cetak, terdapat 10 karya catan yang dihasilkan menggunakan cat minyak dengan The Detribalization Of Tom Binti Cik Lat 1 menjadi tarikan utama.

Banyak yang mengatakan bahawa karya itu adalah mahakarya beliau selain Woman Bathing In A Stream After Rembrant.

Karya-karya itu seharusnya dilawati oleh semua sementara ianya dipamerkan. Selepas pameran itu, karya-karya tersebut disimpan dan entah bila pula ianya akan dipamerkan.

Hampir semua karya cat minyak beliau kelihatan tidak siap dan hanya atas tujuan untuk mewujudkan polemik - walaupun ianya dipertahankan oleh kurator pameran - kami secara peribadi mengandai bahawa memang sebenarnya karya-karya tersebut tidak siap.

Kami mengatakan sedemikian atas pengalaman sendiri sebagai seorang pengkarya dan kami disokong oleh budayawan dan pemerhati bebas dan pembekal ayam kampung ternama Syed Omar Syed Husain.

Ismail Zain (Mem)Bayang Maksud adalah satu pameran yang sepatutnya dilawati sebagaimana masyarakat meraikan pameran Leonardo da Vinci di Balai Seni Negara tempoh hari. Malah sepatutnya lebih meriah lagi.

Kami tidak dapat menyatakan betapa pentingnya pameran itu dan seperti yang dikatakan oleh pengarah filem terkenal U-Wei Haji Saari, ia memang sepatutnya sudah lama diadakan.

Ucapan terima kasih seharusnya diberikan kepada Jaafar Ismail, kurator dan penyelaras pameran.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis, penyair dan juga pemerhati seni yang tidak bertauliah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS