Opinion

Jenayah dan kekayaan

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Minggu lalu saya telah memetik tulisan Mario Puzo dalam bukunya The Godfather (1969). Mario Puzo telah menulis: "Behind every great fortune lies a great crime. Every great fortune begins with a crime" (Di sebalik harta kekayaan ada jenayah besar. Setiap kekayaan bermula dengan jenayah).

Minggu ini saya menterjemahkan makna di sebalik kata-kata Mario Puzo ini dalam kerangka politik Malaysia dan politik dunia. Saya lakukan ini kerana saya amat yakin Kak Bibah, Mat Husin dan Alang Dusin tidak melakukan apa-apa jenayah justeru mereka tidak kaya-kaya.

Apabila saya menyebut jenayah maka anak semua bangsa di Malaysia ini akan teringat kepada Botak Chin (1951-1981) atau Bentong Kali (1961-1993). Dua watak ini menjadi mitos jenayah untuk disebut-sebut dan disurahkan turun-temurun kepada cucu-cicit.

Bentong Kali dan Botak Chin menjadi watak romantik untuk kita semua. Ini sama seperti pasangan penjenayah Amerika yang dikenali sebagai Bonnie dan Clyde - Bonnie Parker (1910-1934) dan Clyde Burrow (1909-1934) atau Al-Capone (1899-1947).

Boleh difahami kenapa watak-watak ini diingati. Mereka dilihat ganas. Dalam masa yang sama dilihat kool. Media pula memainkan peranan menyebarkan lejen watak-watak ini. Kisah dan drama Botak Chin dan Bentong Kali ditambah pula dengan ‘aji-no-moto’ dari labon kedai-kedai kopi. Ini menjadikan watak ini amat romantik.

Tetapi jenayah dalam tulisan saya ini bukan jenis jenayah yang bersangkut dengan keganasan. Yang keganasan itu dapat dilihat dan mudah difahami. Mayat tergelempang mudah ditafsir. Darah melimpah senang dibaca. Jenayah yang akan saya surah di sini adalah keganasan dalam sistem ekonomi kapitalis yang halus lagi licik di mana mayat bergelimpang gagal dibaca sebagai jenayah.

Bulan lalu anak semua bangsa di Malaysia terbaca berita seorang towkay Cina memberi rasuah dua juta ringgit kepada Tengku Adnan Mansor untuk merembat tanah kerajaan di wilayah Kuala Lumpur.

Chai Kin Kong dari nani Cina ini diberi taraf Tan Sri. Yakinlah jika Pakatan Harapan tidak mengambilalih kuasa dari gerombolan United Malays National Organisation kita tidak akan terbaca dan sedar tentang penjarahan dan jenayah towkay Cina ini.

Hakikatnya di sebalik darjat Tan Sri, si towkay ini telah merompak tanah-tanah milik kerajaan. Rompakan ini tidak dibaca ganas seperti apa yang telah dilakukan oleh Bentong Kali atau Botak Chin.

Hakikatnya jenayah towkay Cina ini telah membawa mudarat malah mudarat dan kemusnahan yang dibawa oleh Tan Sri ini sejuta kali lebih ganas dari mayat bergelimpangan mangsa Botak Chin atau Bentong Kali.

Tanpa melakukan jenayah rasuah saya yakin Chai Kin Kong tidak akan dianugerah Tan Sri. Taraf kehidupan Chai Kin Kong dengan Kak Bibah, Mat Husin dan Alang Dusin pasti sama.

Punca jenayah

Ini hanya satu jenayah yang menjadi punca membawa kekayaan yang kita ketahui. Kita tidak tahu bagaimana dan apa jenayah Lim Goh Tong hingga berjaya menjarah Bukit Genting. Kita juga tidak tahu apa jenayah yang telah dilakukan oleh towkay Cina hingga tergadai tanah KTM di Sentul. Atau apa jenayah di belakang tanah Lapangan Terbang TUDM di Sungai Besi.

Kita masih tidak tahu berapa banyak tanah wilayah Kuala Lumpur telah dijarah. Kita tidak tahu berapa juta hektar hutan dara telah dirompak oleh towkay balak. Kita tidak tahu bagaimana tanah rizab Melayu melalui jenayah rasuah telah bertukar tangan. Tanah bani Melayu menjadi milik bani Cina.

Kampung Abdulah Hukum dan Kampung Pantai Dalam hanyalah dua contoh yang kita ketahui. Bukan sahaja kampung ini telah menjadi harta bani Cina malah nama asal usul bani Melayu pun telah diubah. Jika ini bukan jenayah maka Hishamuddin Rais bukan dari suku Biduanda.

Pelik – amat pelik. Towkay yang memberi rasuah bebas. Yang menerima rasuah didakwa. Sebenarnya punca jenayah ini bermula dari si pemberi yang memiliki niat untuk melanggar undang-undang. Biasanya sosok-sosok seperti Lim Goh Tong atau Ting Pek Khing atau Chai Kin Kong yang mahu menjadi kaya bukan sosok seperti Kak Bibah atau Mat Husin yang terus menjadi mangsa.

Mario Puzo dalam The Godfather tepat sekali apabila berkata: di belakang kekayaan ialah jenayah. Kekayaan ini bermula dengan jenayah. Amin.

Jika masih ada pembaca yang percaya bahawa jika kita kuat bekerja, jika kita rajin bekerja, jika kita jimat cermat maka kita akan jadi kaya raya. Jika masih ada pembaca yang percaya kepada ayat-ayat hampeh ini maka taraf fikrah pembaca itu sama dengan fikrah Lokman Adam.

Kenapa Eropah maju

Ketika saya dalam tingkatan enam (1969) ada mata pelajaran wajib yang dipanggil General Paper – Kertas Am. Tujuan mata pelajaran ini adalah untuk membuka minda pelajar tentang itu dan ini yang bersangkutan dengan kehidupan.

Setiap minggu kelas akan membuka perbincagan untuk mengasah fikrah. Saya masih ingat lagi salah satu dari tajuk yang dibuka untuk perbincangan ialah: kenapa negara barat Maju. Guru yang mengendalikan perbincangan in ialah Desmond Tate – bekas soldadu Inggeris yang menjadi guru import.

Maka timbul pelbagai pandangan kenapa Britain, Amerika atau German menjadi negara maju dan kaya raya. Ada kawan sadarjah berhujah bahawa warga Eropah rajin bekerja . Ada yang berhujah warga Eropah terpaksa bekerja kuat kerana iklim yang ganas. Salju yang tebal menjadikan mereka rajin. Mereka dikatakan berdisplin, pandai beratur dan suka membaca.

Bayangkan – guru kami Desmod Tate - yang saya yakin pada ketika itu – tahun 1969 - tahu apa yang sebenarnya berlaku kerana dia bekas soldadu Inggeris. Tetapi dia telah membiarkan kami merayau-rayau dengah hujah-hujah bangang lagi bodoh yang tidak membawa pencerahan.

Pada tahun 1971 saya terserempak dengan jawapan sebenar kenapa Eropah maju. Ini apabila secara gelap saya dapat membaca tulisan Karl Marx – Theories of Surplus-Value – teori lebihan nilai tenaga dan masa - yang menjadi punca kekayaan. Bukan rezeki, bukan kerja kuat, bukan musim sejuk, bukan salji tapi eksploitasi dari lebihan nilai tenaga dan masa kerja orang lain – inilah punca kekayaan. Amin.

Saya mula sedar bahawa Eropah maju dan kaya kerana mereka menjarah dunia. Semua negara Eropah: Sepanyol, Belanda, Portugis, Itali, Inggeris dan German memiliki tanah jajahan. Lebihan nilai tenaga kerja dan masa dari anak tanah jajahanlah yang menjadikan Eropah kaya.

Kota London menjadi kota London ialah hasil kuasa pemodal Inggeris menjarah 52 buah negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Kini negara ini masih berpayung di bawah bendera British Commonwealth. Semua lebihan nilai tenaga dan masa kaum buruh dan kaum tani di negara tanah jajahan dikumpulkan untuk menjadi harta Baginda Queen – Ratu terkaya dalam dunia. Lebihan nilai masa dan tenaga ini jugalah yang dan menjadi harta kekayaan kaum pemodal Inggeris yang menjadi modal pelaburan untuk menjarah dunia.

Jangan sesekali kita terpegun dengan kekayaan multinasional milik Orang Putih. Syarikat Jardin Metterson Holding pada satu ketika dahulu cukup angkuh dan memiliki harta berselirat di Asia Tenggara. Tuan empunya syarikat ini William Jardin (1784-1848) membuat kekayaan atas kesengsaraan warga Tanah Besar China. Jardin memulakan perniagan candu lama sebelum kemunculan Pablo Escobar (1949-1993) dari Madellin Colombia.

Ini hakikat. Ini fakta. Fakta dan hakikat ini disorokkan dari pengetahuan kita. Sama seperti pada tahun 1969 guru saya - bekas soldadu Inggeris- senyap membisu tidak memberikan pencerahan secara jujur kenapa Inggeris kaya dan kita miskin.

Sistem ekonomi kapitalis

Hingga ke hari ini anak semua bangsa dilarang dari mengetahui hakikat sabenar dari mana harta kekayaan datang. Paku, tukul dan teori Marxis untuk membaca dunia terus dilarang hasilnya kita terus tak faham bagaimana Lim Goh Tong, Vincent Tan, Ananda, Daim, Syed Mokhtar, Francis Yeoh atau Halim Saat jadi kaya. Kita terus mengejek Kak Bibah, Mat Husin dan Alang Dusin sebagai pemalas dan tidak rajin bekerja. Justeru mereka terus tidak kaya-kaya.

Kekayaan bermula dengan jenayah. Sistem ekonomi kapitalis yang kita anuti ini asasnya ialah jenayah. Sistem kapitalis ini diperkenalkan kepada alam Melayu oleh kuasa penjajah.

Jika masih tidak yakin mari kita fahami sejarah dunia kapitalis yang terbesar dalam dunia – Amerika Sarekat. Kepala segala kapitalis. Negara yang dipanggil Amerika Syarikat ini bermula dengan jenayah, hidup dengan jenayah dari permulaan hingga ke saat ini.

Orang Putih sampai ke benua Amerika bermula dari Jamestown Virginia pada tahun 1602. Orang Putih ini merampas tanah-tanah subur tempat kerbau Bison merumput. Kerbau ini dibunuh, tanah rumput dijarah dan tuan pemilik dibunuh. Ini permulaan sejarah Amerika Syarikat. Jika ini bukan jenayah maka Ratu Elizebeth masih lagi anak dara.

Tidak cukup dengan ini dari tahun 1650 hingga ke 1900 lebih dari 10 juta Orang Hitam dari Afrika telah ditangkap, dijual untuk dijadikan hamba abdi di Amerika. Orang Hitam dari Senegal, Gambia, Ghana, Ivory Coast dijadikan hamba bekerja di ladang tebu dan ladang kapas di Amerika.

Ini bukan lebihan nilai tenaga dan masa buruh. Ini buruh paksa di mana semua tenaga dan masa buruh ini dimiliki oleh tuannya. Dari sinilah bermulanya harta kekayaan negara yang dipanggil Amerika Syarikat. Jika ini bukan jenayah maka tempoyak bukan berasal dari durian.

Tetapi pada satu ketika dahulu Ah Chong, Mutu, Maniam dan Goh Tong datang ke Tanah Melayu sehelai sepinggang. Apakah mereka semuanya menyamun untuk jadi kaya? Sabar. Sila tunggu pencerahan minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.