Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semasa Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri, beliau perkenalkan gagasan "Islam Hadhari". Walaupun tujuan perkenalkan itu ramai anggap bermotifkan politik, tetapi sedikit sebanyak memberi kesan pada pemikiran Muslim di Malaysia.

Ketika itu, Islam dalam penafsiran PAS, dikatakan bersifat jumud - sehingga dipanggil sebagai parti surau dan parti kopiah putih. Makanya, diperkenalkan Islam Hadhari dalam pendekatan keterbukaan.

PAS sedar bahawa gagasan Islam Hadhari yang diperkenalkan itu untuk melawan naratif Islam penafsiran mereka. Dengan itu, mereka melawan gagasan tersebut sedemikian rupa. Bukan sekadar siri ceramah yang menjadi acara tradisi PAS, malah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menulis sebuah buku bertajuk Hadharah Islamiah, bukan Islam Hadhari.

Di peringkat awal, strategi Abdullah memperkenalkan Islam Hadhari berjaya mengalahkan PAS. Buktinya, pada tahun 2004, Terengganu yang dikuasai PAS jatuh ke tangan BN balik dan Kelantan yang terkenal dengan negara kuat PAS pun dalam keadaan gawat - majoriti satu kerusi sahaja.

Dari sudut lain pula – dengan serangan PAS terhadap gagasan Islam Hadhari, PAS mendakwa bahawa gagasan itu sebagai merbahaya kepada akidah umat Islam. Juga turut melabelkan bahawa Islam Hadhari sebagai gagasan Islam Liberal dalam jenama yang baru.

Abdullah Ahmad Badawi mengetengahkan idea Islam Hadhari ketika pemerintahannya 

Sebagai respons terhadap pendekatan Islam Hadhari yang dilabel liberal, tanpa disedari bahawa lahir gerakan-gerakan yang menggunakan watak Islam yang mengambil pendekatan konservatif.

Pendekatan konservatif itu semakin berkembang sehingga dalam era Najib Razak menjadi perdana menteri. Ia berjaya menjadikan pembangkang defensive. Apatah lagi, mereka mula didanai oleh kerajaan atas nama badan-badan tertentu, antaranya Iksim untuk melawan naratif pembangkang.

Dengan itu, kelihatan Islam dalam tafsiran sempit. Islam disempitkan dalam wajah perkauman Melayu. Turut tersebar juga amalan label dengan tuduhan kafir, munafik, Islam liberal, pluralisme agama terhadap kalangan yang berbeza pendapat agama.

Respons

Selalunya, manusia bertindak berdasarkan respons terhadap apa yang telah terjadi.

Fikrah Syiah tidak akan berlaku kecuali respons terhadap persaingan politik selepas peperangan antara dua sahabat besar – Saidina Muawiyah dan Saidina Ali, yang di pihak Saidina Ali kalah dalam persaingan tersebut.

Fikrah ahli al-Sunnah wa al-Jamaah tidak akan lahir kecuali respons terhadap aliran Muktazilah yang mengangkat wacana bahawa Kalamullah adalah makhluk.

Lukisan bertajuk Battle of Karbala yang dipamerkan di Muzium Brooklyn. Gambar hiasan.

Kepercayaan Muktazilah bahawa Kalamullah adalah makhluk tidak akan terjadi kecuali berlaku perdebatan teologi antara Muslim dan Kristian berkenaan status Nabi Isa, apakah tuhan atau tidak?

Kerana respons terhadap sesuatu kejadian, melahirkan satu tindakan. Kadangkala melahirkan sesuatu ideologi. Demikianlah berlaku pada mereka yang respons terhadap gagasan Islam Hadhari.

Sekular

Manusia menerima sekular ada banyak faktor. Yang sering kedengaran, sekular diterima dari orang yang antiagama. Tetapi, tidak kurang juga, orang menerima sekular dari kalangan mereka yang tidak sanggup lihat agama dipergunakan orang politik sedemikian rupa.

Idea sekular lahir kerana respons terhadap kerosakan sistem kepadrian dan kebobrokan gereja. Ia lahir dari perlawanan dengan golongan gereja yang menguasai politik.

Di zaman kegelapan Eropah, golongan gereja menggubal polisi politik yang menindas. Rakyat pula terhalang dari membuka mulut untuk membantah. Membantah juga, akan diberikan seribu satu label agama - tuduhan kafir, munafik dan fasik dalam naratif gereja. Tidak sedikit juga kejadian sebilangan rakyat dihalalkan darah dengan alasan arahan Tuhan.

Atas respons kebobrokan golongan gereja di kala itu, lahirnya idea sekular. Politik perlu dipisahkan dari orang-orang agama. Jika orang agama mahu masuk politik, mereka tidak boleh peralatkan agama demi kepentingan politik. Mereka hanya boleh amalkan agama untuk diri mereka sahaja. Kalau berpolitik, mereka perlu amanah, perlu adil, perlu hormati hak manusia, perlu tunaikan hak rakyat – yang semua itu adalah tuntutan sejagat yang perlu mereka buat, walaupun tidak diberikan jenama agama.

PAS-MCA

Dari sudut sejarah pun, PAS sejak dahulu lagi mempunyai penafsiran agama yang tidak konsisten. Apatah lagi dalam perkara yang melibatkan kepentingan parti mereka.

Terdekat, keputusan BN meletakkan calon MCA dalam PRK Tanjung Piai, membuka pekung PAS dalam melihat agama. Disebabkan kepentingan politik, sikap PAS terhadap calon bukan Muslim ternyata berubah berbanding dalam PRK Cameron Highlands pada Januari lepas.

Semasa bersama dengan Pakatan Rakyat dahulu pun, PAS menggunakan hujah agama untuk mempertahankan calon bukan Muslim dari DAP. Semasa berbalah dengan DAP pula, PAS telah mengubah hujah agama untuk membuat keputusan sebaliknya.

Calon BN di Tanjung Piai Wee Jeck Seng

Tindakan PAS ini, sedikit sebanyak memberikan kesan yang tidak baik dalam manusia melihat agama Islam, terutama dari kalangan masyarakat bukan Muslim.

Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil respons yang bakal diberikan adalah, suatu masa nanti manusia akan merasakan bahawa sekular sebagai pendekatan yang terbaik dalam berpolitik.

Mungkin yang mahukan pendekatan itu bukan dari kalangan orang yang antiagama, tetapi datang dari orang yang kuat beragama. Mereka mahukan pendekatan itu bukan kerana mereka mengatakan agama terpisah dari politik, tetapi mereka tidak tergamak melihat agama diperalatkan oleh ahli politik sedemikian rupa.

Ketika itu, PAS wajar dipersalahkan.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS