Paling Popular
Terkini

Dengan surat tawaran kerja yang sudah ditandatangani, saya merasa lega dan berpuas hati dengan apa yang ditawarkan. Memulakan kerja bulan Julai. Saya pulang sebentar ke Malaysia untuk menemui isteri dan anak-anak yang sudah bergembira untuk menjalani kehidupan di kota Dubai.

Saya melihat ke belakang, peristiwa di Kota Riyadh yang sentiasa bermain dalam fikiran. Pelbagai tawaran kerja yang saya tinggalkan dan kebaikan orang terhadap saya. Dari setia usaha bos saya, seorang lelaki muda dari Syria. Saya memang baik dan rapat dengan beliau walaupun baru berkenalan. Hampir setiap hari bersama beliau.

Saya mula mendatangi kota Riyadh sebaik selepas raya tahun 2000 dengan penuh keazaman. Untuk melarikan diri dari Malaysia yang sudah tidak selamat dengan keadaan politik yang berubah. Daripada anggapan saya, agak huru-hara dan kelam-kabut.

Saya pernah diberitahu oleh SB yang ramai di TV3 bahawa tiada majikan yang akan mengambil saya bekerja. Saya sepatutnya lari keluar negara untuk menyelamatkan diri. Waktu itu kerja saya digantung dengan pejabat besar, tetapi tiada kerja yakni cold storage.

Ada lima orang wartawan yang melapor diri kepada saya, juga tanpa kerja dan tugas dan asyik melepak. Datang jam 9 pagi dan balik pukul 5 petang. Kemudian wartawan itu meletakkan jawatan kerana boring.

Ini adalah berkaitan REFORMASI yang mana saya terlibat di TV3. Saya pergi ke mana-mana ceramah dan menjadi seorang pemimpin di daerah Rompin semasa pilihan raya. Saya dijejaki oleh SB yang ada di mana saya berada.

Dalam pilihan raya saya berucap berulang kali di Rompin untuk menunjukkan pertentangan saya. Saya sudah membenci Umno sepenuhnya kerana menganiaya Anwar Ibrahim. All out. Biarpun saya ingat untuk menduduki kerusi pengurus TV3 saya terpaksa akur dengan Umno, mengangkat sumpah untuk terus setia dengan Umno.

Saya bukan lagi ahli Umno dan mengaku sahaja seorang ahli untuk bekerja di TV3. Bos saya membenarkan sambil gelak. Saya mengangkat sumpah dalam upacara rahsia antara kami sahaja yang berkenaan.

Akhirnya saya diberi gaji buta, ditukarkan tanpa jawatan dan dalam cold storage. Diberi nama, “Pengurus Besar, Tugas-Tugas Khas” dengan seorang setiausaha dan kereta persendirian. Dikacau oleh SB dengan kata-kata yang menyakiti hati setiap berjumpa supaya saya berhenti kerja. Tetapi saya berkeras untuk menyambung kerja dan buat muka seposen.

Saya dipanggil oleh pengarah urusan baru, dia berjanji untuk membetulkan keadaan. Dia hanya bercakap kerana selepas itu dia terpaksa pergi juga. TV3 pada masa itu jadi rebutan dua kem politik yang bertarung untuk mengambil alih. Saya terpelanting dalam cold storage tanpa pekerjaan dan tidak tahu ke mana. Saya rasa mungkin sepuluh orang atau ramai lagi yang dibuang.

Baca semua akhbar, tonton 2 set TV

Datang baca semua akhbar dan menonton dua set televisyen. Lima orang yang laporkan diri pada saya pun sama, ada di ofis untuk balik pejabat sebelum meletakkan jawatan. Sebelum itu, kami menjalankan tugas ikut suka hati dan ikut suka rasa.

Saya mencari kerja melalui Internet serata dunia. Entah macam mana saya mendapat kerja di Arab Saudi melalui seorang kawan yang pernah bekerja di TV3. Dia bekerja di Arab Saudi dan membantu saya untuk mendapatkan kerja.

Sementara itu saya berkawan dengan ramai orang dengan menghabiskan masa di kala terluang. Salah seorang seorang yang mengaku pengikut Nabi Khaidir. Saya mulanya rapat dengan beliau selepas berkenalan di Chow Kit dan bersalaman, dia akui saya orang yang di cari-cari. Saya tergamam dengan kelakuan beliau yang menceritakan kisah hidup.

Dia adalah bekas pergerakan Umno yang melupakan dirinya sebagai jutawan kerana wang tidak bersih. Dia tinggal di dalam flat dengan isteri, hidup seadanya. Saya pergi ke flat beliau dan melihat kehidupannya.

Dia mengajak saya bertemu dengan ‘malaikat’ wakil Nabi Khaidir. Saya terkejut tetapi mengambil peluang ini untuk melihat ke arah mana akan dibawa. Saya terpesona.

Dia pun membawa saya ke masjid Bangsar bersama tiga orang rakannya yang semuanya pengikut Nabi Khaidir. Selepas Isyak dan salah seorang dari yang bertiga menjadi orang tengah dengan malaikat.

Pertama kali angin kuat menderu, katanya malaikat datang. Di bawah sebatang pokok tempat orang duduk. Kuat angin sehingga saya menggigil.

Saya cukup terperanjat. Hairan.

Hanya dia mendengar suara malaikat itu, katanya. Angin bertiup kencang kemudian reda.

Dia mula bercerita tentang saya, dari malaikat yang didengarnya. Dia bercakap dan berhenti untuk mendengar dari malaikat.

Dia bercerita kisah hidup saya semenjak kecil hingga saat itu. Berapa orang teman wanita sebelum kahwin, satu persatu diceritanya mengejutkan saya. Setiap patah perkataan benar belaka termasuk pertalian dari negara China. Saya mempunyai keturunan dari China.

Saya diam mendengar.

Saya tidak tahu hendak buat apa mendengar ceritanya. Semua benar belaka dan malaikat itu melalui dia memberitahu saya akan keluar negara. Saya lagi terkejut kerana tidak tahu akan berada di Riyadh dan Dubai.

Malam itu saya cukup terkejut dan terperanjat. Tidak dapat untuk berkata-kata. Semua rahsia saya diceritakan secara terus terang. Saya hampir telanjang dibuatnya.

Seakan imiginasi

Kami berpisah setelah hampir tengah malam, dan angin menderu kembali sebaik malaikat pergi. Daripada percakapan malam itu buat saya berfikir. Seakan imiginasi. Semua lelaki itu biasa dengan kehidupan yang tidak bekerja.

Saya dibuang kerja oleh TV3 selepas malam itu, hari terakhir tahun 1999.

Kebetulan sebelum dibuang kerja, saya dipanggil untuk bekerja dengan PrimeNet Arab Saudi dan dibayar tiket penerbangan dan tempat tinggal di hotel.

Lantas saya menerima tawaran itu. PrimeNet memerlukan seorang subscriber management system kerana mahukan sistem yang baru untuk pelanggan yang semakin ramai. Sistem lama hanyalah sesuai untuk stand alone dan tanpa rangkaian.

Syarikat sudah maju dan ramai pelanggan baru yang berminat dengan Internet di tahun 2000.

Saya mulanya janggal kerana tidak banyak mengetahui sistem itu tetapi mengaku pandai sahaja untuk mendapatkan kerja. Saya dihantar untuk interviu dan mengambil pekerja baru sambil belajar subscriber managenent system. Berapa minggu saya belajar sistem ini daripada empat vendor.

Duduk Riyadh tanpa famili menjemukan. Dari hotel saya masuk bekerja awal daripada orang lain dan balik malam. Selalu keluar dengan geng Syiah dari Bahrain yang bekerja di tempat yang sama.

Saya berkawan dengan ramai orang Arab Saudi termasuk geng antiraja. Mereka ini bercakap perlahan sambil mengutuk keluarga diraja. Ada saja yang mereka bencikan terhadap keluarga diraja. Mereka juga menggodam atau hack komputer untuk mengakses lawan web yang diharamkan kerajaan Arab Saudi.

Saya turut menggodam komputer suka-suka dan mencari pengalaman. Pada suatu malam kawan saya itu ditangkap oleh polis Arab Saudi. Saya terus berhenti menggodam komputer.

Saya banyak menulis secara online di Riyadh, salah satu ialah “Learning from Malaysia mistake in developing Cyberjaya”.

Artikel saya itu mendapat perhatian Mehboob Hamza dari Dubai yang memajukannya untuk Hamid Kazem. Saya mendapat kerja di Dubai Internet City disebabkan tulisan itu yang memberitahu kesilapan pihak MDC terhadap Cyberjaya.

Saya menulis adakah tidak patut MDC menyuruh syarikat seperti Microsoft memohon dengan mengisi kertas kosong tentang maklumat kewangan, agenda dan sebagainya. MDC patut meminta Microsoft untuk datang dengan tangan terbuka tanpa komitmen dan rasa rendah diri. Microsoft cukup kaya dan perlukan rakan yang seimbang. Dia perlukan MDC untuk merasa rendah diri.

Hamid Kazem sukakan idea saya dan terus mengambil saya kerja di Dubai Internet City. Beliau waktu itu sebagai CEO yang dipinjamkan dari Arthur Andersen.

Itulah permulaan yang benar-benar menguja saya di Riyadh!

Bersambung...


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS