Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Baru-baru ini seorang teman saya menerima hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahannya di tempat kerja. Hukuman itu pun dijatuhkan tanpa proses keadilan yang lengkap di mana tiada proses menasihat, merunding ataupun dialog.

Hanya yang datang bertalu-talu adalah siri surat tunjuk sebab daripada majikannya. Surat-surat dan tindak-tanduk itu dengan jelas sekali adalah untuk mendera perasaan dan emosi teman saya tersebut, agar kelak dia mengalah dan meletakkan jawatan.

Apatah lagi teman saya itu sudah ditohmah macam-macam. Meskipun, menurut saya, satu-satu kekurangan teman saya itu (kalaupun boleh dikatakan satu kekurangan) ialah beliau beragama Bahai yang diasaskan di Iran.

Sudah, sebagai seorang yang terbuka, merdeka, dan cukup liberal; saya percaya memilih apa kepercayaan pun bukanlah satu kejahatan.

Damien teman saya itu pernah duduk di kerusi belakang sewaktu bersekolah rendah sama di Jalan Dato’ Palembang, Melaka.

Apabila teman saya itu datang menangis menceritakan kejahatan dan kezaliman yang dilakukan oleh majikannya, saya tersandar. Ini kerana nama majikan beliau itu bukanlah calang orang. Bos teman saya itu dikenal orang sebagai alim-alim sedikit (meskipun bebalnya diketahui ramai), lebai-lebai sedikit (meksipun miangnya boleh tahan), dan sopan-santun sedikit (meskipun sebetulnya jahat, pacat, zalim dan penyapu).

Teman saya itu meminta saya melakukan ruqyah terhadapnya. Dia bilang dia terlalu depresi, rasa terperuk ingin mati.

Meskipun saya tidak pernah menuntut di mana-mana pusat rawatan atau perubatan Islam, akan tetapi, teman sekolah saya itu pun tahu; bahawa di Gombak, perkhidmatan saya sering digunakan untuk membakar setanggi dan mengusir hantu yang disimpan di hujung ekor ikan pari.

Apabila teman saya itu sambil menangis mengatakan bosnya itu penyapu, dan lintah; saya serta-merta teringatkan satu bahagian yang ditulis oleh Munshi Abdullah dalam Hikayat Abdullah, termuat di dalam bab Darihal Holanda Dalam Melaka.

Ceritanya begini, ketika pemerintahan Belanda di Melaka, Munshi merakamkan kisah seorang pentadbir Holanda yang jahat, pacat, zalim dan penyapu. Nama majikan bedebah dan fasik ini adalah Bamgoor. Munshi menyifatkan Bamgoor sebagai ‘maka ada pula seorang sekretarisnya yang bernama Bamgoor itu. Ia itulah lintah yang meminum darah hamba Allah.’

Bamgoor ini mempunyai empat orang mata-mata, yang saya rujuk sebagai tukang jilat Melayu. Seni jilat Melayu memang banyak bunga dan buahnya.

Empat orang mata-mata Bamgoor ini kerjanya hanyalah mengeyakan dan menjilat Bamgoor. Empat orang mata-mata ini jika dibantah dan disangkal mungkin akan membalas bagai itik ayam, ‘apa dapat kita lakukan, inilah sistem’.

Empat orang mata-mata ini ialah abdi hamba sistem. Meskipun sistem itu sangat kejam.

Kekejaman sistem itu antara lain adalah denda dan cukai tidak adil, telah didokumentasikan oleh Munshi begini:

‘Sebermula, maka tersebutlah perkataan darihal negeri Melaka yang telah diserahkan oleh Inggeris ke tangan Holanda itu. Maka adalah pada tiap-tiap hari ditukarnya segala adat dan perintah dan hukuman Inggeris itu.

‘Maka dalam itu banyaklah aniayanya kepada orang-orang miskin. Maka tiap-tiap hari adalah orang kena denda. Maka seperti cukai-cukai pun ditambahnya, yakni yang mana tiada dicukai oleh Inggeris, dibubuhnya. Sampai tiada boleh orang membuat perigi baharu, itu pun dipintanya cukai dan orang membangunkan rumah pun bercukai.

‘Maka tiadalah aku teringat akan perkara-perkara yang bercukai itu. Segala sekoci yang pergi ke laut bercukai dan sebagainya.’

Mata-mata durjana si Bamgoor ini kita semua tahu ada dalam setiap pejabat dan syarikat.

Mereka inilah penerus, pelaksana dan tangan kejahatan majikan-majikan kejam dan zalim.

Munshi merujuk mata-mata empat orang si Bamgoor itu sebagai ‘maka adalah ia menaruh empat orang mata-mata. Maka sekalian mata-matanya itu seperti pacat melompat; barang di mana bertemu manusia atau binatang dihisapnya darahnya, karena ia segera hendak menjadi ular sawah.’

Ketahuilah untuk setiap majikan lahanat, akan ada orang bawah pengampu bersifat iblis syaiton.

Inilah yang diperikan Munshi.

Kerja mata-mata Bamgoor ini mencari salah orang, agar Bamgoor dapat cekatan menindas.

Apabila dibantah, mata-mata persis ular sawah ini akan memerintah mereka yang tertindas itu merayu, dengan pongahnya. Meskipun rayuan itu pun sebetulnya sesuatu yang tidak masuk akal.

Mereka akan bilang, ia adalah undang-undang konon bahawa ia adalah sistem.

Mata-mata ini seperti dalam kes yang dirakam Munshi Abdullah kerjanya menyiasat kesalahan orang, dan setiap kecuaian atau perkara kecil akan ditiup bagi besar dan dilaporkan kepada Bamgoor.

Munshi menyatakan mata-mata atau ular sawah ini, ‘maka apabila didapatnya sedikit kudis sahaja, maka dibesarkannyalah, katanya, “Engkau kelak nanti menjadi tokak,” dengan beberapa gertak. Maka oleh sebab orang itu ketakutan, diberinyalah upah akan dia. Maka diamlah ia. Pergi ia memberitahu kawannya. Maka ia pun datanglah pula menggertak orang itu, kepadanya pula diupah sedikit.

Demikianlah halnya hamba Allah kena aniaya pada zaman itu di Melaka. Maka masing-masing pun memaki dan menyumpah serta ia mengerang. Pada tiap-tiap hari tiada berputusan orang kena denda itu; tidak satu, satu dibuatnya.’

Bamgoor ini lagi menurut perihal Munshi Abdullah, dipanggil orang sebagai ‘tuan penyapu’. Ini kerana setiap kali Bamgoor mengelintar di kota Melaka mencari tuan kepada halaman rumah yang boleh didenda, pemilik kediaman akan kelam-kabut keluar menyapu lingkungan masing-masing.

Oleh kerana hingar-bingar orang di kota keluar mengemaskan rumah sebelum Bamgoor tiba dengan kudanya, dia pun dilekatkan dengan gelar ‘tuan penyapu’:

‘Barang di mana ia berjalan, adalah riuh orang menyapu. Dalam demkikian pun, setelah pulanglah ia, adalah tiga empat orang kena denda.

Demikianlah halnya pada tiap-tiap hari, sampai digelar orang namanya Tuan Penyapu. maka apabila orang hendak menyebut namanya, dikata Tuan Penyapu sudahlah orang mengerti. Maka senegeri-negeri itu segala bangsa menyumpah dan memaki akan dia, seperti kata Melayu: Pisau dan parang itu tumpul, maka mulut manusia terlebih pula tajam, adanya.’

Menurut Munshi, perangai Tuan Penyapu si Bamgoor dan mata-matanya, ular sawah empat ekor itu sungguh jijik, ‘telah terlampaulah daripada adat. Perkara-perkara yang tersebut itu makin sehari makin lebih aniayanya dan zalimnya.’

Akan tetapi orang-orang yang dianiaya di Melaka itu tidak punya pilihan lain. Kepada Damien, teman Bahai saya itu, saya menenangkan. Menurut Munshi Abdullah lagi, ramailah orang akhirnya memilih jalan untuk mengadukan kepada Allah; ‘maka sebab itulah menjadi tergerak hati segala hamba Allah, maka tiadalah kuat kuasanya hendak membalas itu, melainkan diadukannya kepada Allah.’

Saya pun memberitahu teman saya bahawa oleh kuasa Tuhan, oleh sebab doa orang teraniaya itu lambat laun akan makbul, maka Bamgoor pun ditimpa musibah.

Munshi mencatat kejadian tersebut secara penuh glory begini; ‘Maka berserta pula dengan kehendak Allah dalam sedikit hari, belum tiga bulan keempatnya, Tuan Penyapu itu pun sakit, seperti laku orang gila, duduk dengan ketakutannya, menjerit-jerit, katanya dipukul orang akan dia.

Maka beberapa doktor mengubati, tiada juga sembuh, makin bertambah terjerit-jerit. Maka apabila ia duduk seorang- seorang, ia terjun ke sana ke mari, hendak lari sahaja. Maka pada suatu malam, orang tidur, ia terjun dari atas loteng ke bawah, jatuh di tengah jalan, lalu mati ia dengan membawa nama yang keji adanya.’

Mata Damien kelihatan bercahaya seraya mengesat air mata.

Bukan sahaja Bamgoor itu habis dalam keadaan mengaibkan, doa laknat orang Melaka yang teraniaya itu sungguh kuat direstu Tuhan sehingga turut menimpa keluarganya.

Tulis Munshi lagi:

‘Sebermula, setelah didengar oleh segala orang Melaka bahawa Tuan Penyapu itu sudah mati, maka masing-masing pun menadahkan tangan ke langit mengatakan, “Amin Ya Tuhan, inipun belum cukup.

‘Raja Holanda ini pun jikalau mati baharulah sentosa negeri Melaka ini!” Maka adapun Tuan Penyapu itu sudah mati. Maka anak bininya pun berlayarlah dari Melaka hendak pulang ke Betawi. Maka khabarnya pula bininya itu pun matilah di laut dan seorang anaknya sakit payah sampai Betawi.’

Selepas saya membacakan bahagian Bamgoor dari Hikayat Abdullah itu kepada Damien, teman saya yang beragama Bahai itu pun bertanya; ‘Maka kamu tak mahu tolong aku Zal, tolong disetanggikan majikan bedebah aku ini.’

Saya hanya tertawa, ini kerana perkhidmatan saya yang laris di Sri Gombak itu hanya untuk mengusir hantu jin upahan manusia jahat. Akan tetapi manusia yang memang jahat itu sendiri, saya tiada kuasa; kerana saya sendiri selalu diperbuat orang-orang dengan nama agama.

Saya hanya berdaya memesan agar Damien berdoa kepada Allah dan mengadukan nasib kepada Saidatina Fatimah. Ini kerana menurut saya, Fatimah Zahra itu nasibnya sering dianiaya, dan memang dikhianat dan didiskriminasi dengan hebat sekali sebelum wafatnya. Fatimah adalah permaisuri kepada semua mereka yang dizalimi.

‘Adulah kepada Allah, dan bertawasul dengan Fatimah. Sesungguhnya Majikan Penyapu dan penjilat ular sawah memang ada dalam semua zaman, dan semua sistem.’

Saya percaya, kisah Munshi tersebut adalah satu surat untuk semua pekerja atau buruh yang tertindas; dalam konteks Munshi mengulas mengenai Bamgoor, ia adalah pujukan buat mereka yang dihukum atau didenda tidak setimpal. Doa adalah senjata orang terperuk dipukul dengan penyapu.

Saya ingin menasihati semua anda yang tertindas oleh majikan, bahwa teman saya si Bahai itu pun percaya, masakan anda tidak?

Makanya jika anda dipijak Majikan Penyapu, tadahlah tangan seperti mana orang Melaka, dan menurut saya adukan kepada Allah seraya menyebut nama Fatimah Zahra, puteri Rasulullah saw.

Jangan lah berasa khuatir membaca doa laknat untuk majikan ala Firaun, yang adjektif untuk mereka adalah jahat, zalim, dan penyapu. Juga jangan kecualikan mata-mata yang meminjam Munshi Abdullah, ibarat ular sawah. Janganlah teragak-agak untuk membisikkan kepada Tuhan Rabbul Jalil dengan penuh keazaman.

Sesungguhnya doa orang teraniaya itu bukan setakat jatuh menimpa si pelaku jahat, ia malah turut menempias ahli keluarga yang berbuat jahat keji tersebut.

Jika ia berlaku kepada Bamgoor, ia akan berlaku kepada majikan anda yang juga penyapu itu.

Saya ingin menutup nota kecil mengenai teman Bahai saya yang teraniaya itu dengan satu perenggan didaktik Munshi mengenai kisah Bamgoor ini.

Munshi mengingatkan agar jika seseorang menjadi majikan atau mempunyai kuasa, janganlah angkuh berlindung di sebalik sistem yang tidak adil. Atau menyalahgunakan kuasa. Munshi memesan begini:

‘Adapun segala perkara yang tersebut di atas itu sekaliannya bahawasanya patutlah kiranya diambil akan tauladan oleh orang yang mempunyai akal. Telah nyatalah baginya adapun balasan Allah itu bukannya dengan dipalunya dengan kayu atau batu atau senjata, melainkan dengan tiada disangka datangnya. Kepada barang siapa yang berbuat baik, dibalasnya baik, dan yang berbuat jahat pun demikian, adanya.’

Damien pun pulang dengan hati lapang dan doa yang saya ajarkan; ‘Sesungguhnya ya Zahra, ratu umat teraniaya; seperti mana Allah membinasakan Bamgoor sasau sehingga terjun dari atap rumah, daku memohon agar kamu yang suci Zahra, ikut membinasakan majikan bangsat Damien dan menghancurkan semua majikan di dunia ini, berserta mata-matanya, yakni mereka yang jahat, pacat, zalim dan penyapu.

Mohon agar mereka tidak kau berikan syafaat di laluan sirat kelak ya Zahra. Amin ya Ilahi. Atas haknya Muhammad dan keluarga Muhammad.’

Damien, si Bahai percaya; masakan anda tidak percaya?


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS