Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kebanyakan persatuan seni lukis di Malaya ini adalah kumpulan yang hanya mengharapakan kerjasama daripada pihak kerajaan. Jarang sekali mana-mana persatuan seni lukis negeri mendapat kerjasama pihak swasta.

Ini mungkin kerana mereka yang berada dalam persatuan telah sekian lama hanya tahu berurusan dan mahir dengan kehendak badan-badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Namun begitu sering didapati apa yang berlaku dalam mana-mana kerjasama, keadaan yang berlaku seringnya berat sebelah.

Pihak persatuan - yang sememangnya mengharapkan kerjasama itu - sering diperkotak-katik oleh badan-badan yang sepatutnya berkerja keras meningkatkan lagi keberadaan persatuan-persatuan negeri.

Badan-badan kerajaan - yang sepatutnya bertindak dengan adil - sering kali membuli persatuan negeri sehingga persatuan negeri biasa seperti terpaksa mengikut apa saja kehendak badan-badan berkenaan.

Untuk satu-satu kerjasama, menjadi amalan biasa badan-badan kerajaan bermesyuarat. Dan tentu saja persatuan negeri berasa terpanggil untuk menyertai pelbagai mesyuarat itu hanya kerana bimbang dikatakan tidak memberi kerjasama.

Segala kos yang ditanggung oleh ahli persatuan akan dibayar dengan teh O atau kopi O panas berserta sedikit bihun goreng dan karipap kentang, sedangkan semua pekerja badan kerajaan itu tadi menerima gaji tetap setiap bulan.

Swasta lepas tanggungjawab

Tidak kurang dari lima hingga enam kali mesyuarat diadakan bagi melicinkan sesuatu program yang hendak dilaksanakan. Ahli persatuan - yang sememangnya tidak dibayar oleh persatuan untuk datang mesyuarat tersebut - tentu saja terpaksa mengeluarkan belanja sendiri di samping masa yang mereka luangkan.

Sepatutnya sesiapa pun yang dalam kerajaan itu memiliki sedikit rasa belas kepada penggiat persatuan kerana - jika mereka mahu tahu - semua ahli persatuan di mana pun negeri berkerja tanpa sebarang bayaran.

Selain kerana minat mereka itu adalah manusia yang melakukan kerja-kerja seni hanya kerana mahukan karya tempatan dilihat orang banyak dan mungkin dengan cara itu akan mendapat sedikit rezeki daripadanya.

Pada masa sama, adalah elok jika badan-badan bukan kerajaan mula memandang kepada persatuan seni lukis negeri untuk menyalurkan dana bagi memajukan lagi suasana seni lukis negara ini.

Mungkin kerana persatuan negeri selama ini hanya menganggap bahawa kelestarian persatuan mereka hanya bergantung kepada kerajaan, maka pihak swasta melepaskan tanggungjawab mereka.

Namun apa yang perlu diketahui oleh mereka di pihak swasta ialah, kerajaan menyediakan pengecualian cukai kepada mana-mana wang yang dibelanjakan untuk tujuan kesenian dan pemilikan karya seniman tempatan.

Apabila sesuatu kerjasama diwujudkan, maka diharapkan agar semua pihak melaksakan tanggungjawab mereka dengan benar.

Lakukan sepenuh hati dan hanya kerana mahu melihat seni lukis bertambah maju, bukannya atas tujuan kenaikan pangkat - jika kamu anggota kerajaan - atau hanya untuk memenuhkan jadual persatuan, misalnya.

Apa yang dilihat hari ini adalah badan-badan yang diamanahkan untuk membantu persatuan seni lukis mengambil persatuan dan ahlinya hanya sebagai batu loncatan kepada pegawai-pegawai dalam perkhidmatan kerajaan.

Persatuan dipanggil untuk mengisi ruang dan setelah itu mereka kembali kepada asal sehingglah mereka diperlukan lagi dan dipanggil bermesyuarat lagi.

Ini adalah perbuatan jahat yang perlu segera diberhentikan.

Selalu buat bengkel 

Zaman berkerja untuk diri sendiri sepatutnya telah lama berakhir. Kini adalah masa untuk kita semua sama-sama memajukan negara ini.

Usah pedulikan politikus yang bodoh itu kerana setelah siapa pun yang dipilih untuk memerintah, menjadi tugas kita sendiri untuk menjadikan negara ini lebih baik dari sebelumnya, bukan mereka.

Rumah Seni Selangor (Russel) dan juga Port di Ipoh sana adalah contoh terbaik bagaimana pihak kerajaan boleh membantu menjayakan kegiatan seni tanah air.

Seperti Russel dan Port, semua negeri sepatutnya memiliki ruang seumpama sama bagi memberi dorongan kepada seniman sesebuah negeri bergerak dengan lebih bergaya.

Di kedua-dua lokasi tersebut disediakan sebuah petempatan - dalam kes ini, mereka diberikan sebuah rumah kerajaan - dan sedikit dana untuk bergerak.

Hari ini Port sedang mengadakan apa yang dipanggil Pesta Kesenian Antarabangsa Ipoh dengan penyertaan datang dari dalam dan luar negara, manakala Russel pula tidak henti-henti mengadakan pelbagai bengkel kesenian.

Adalah diharapkan semua negeri mempunyai sebuah pusat kesenian seperti yang disebut di atas dan ianya perlulah ditadbir oleh generasi muda. Jangan pula disibukan mereka dengan agenda ahli politik.

Kita tahu apabila sesebuah organisasi itu ditunjangi ahli politik maka dosa pertama yang mereka lakukan adalah mencari jalan untuk menaikkan nama sendiri.

Ini tentu saja akan menjadi barah kepada apa saja gerakan yang diketuai mereka. Dan lambat laun semuanya akan mati.

Semua foto adalah dari pameran At The End Of The Day, Even Art Is Not Important oleh pelukis pelbagai disiplin, Ahmad Fuad Osman.

Pameran yang dikatakan sebagai tempat membawa pelukisnya ke suatu tahap yang lebih tinggi ini sedang berlangsung di Balai Seni Negara. Semua dijemput hadir dan masuk adalah percuma.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang tidak diundang ke Ipoh International Art Festival. Baser.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS