Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan yang berada di belakang kejayaan mendapatkan pengiktirafan kebudayaan silat daripada Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan budaya tidak ketara kemanusiaan (intangible cultural heritage in humanity) milik negara ini.

Ini merupakan kejayaan yang amat signifikan dalam mengangkat martabat kebudayaan negara di peta kebudayaan dunia. Dari sini, maka proses-proses pembangunan industri kebudayaan untuk faedah ekonomi rakyat dan negara, akan dapat dirancang dan dilaksanakan dengan betul. Tahniah sekali lagi kepada pasukan di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta Jabatan Warisan Negara (JWN).

Pada awal tugas saya sebagai exco yang memegang portfolio ekonomi kreatif, usaha untuk mengenal pasti potensi industri budaya ketara dan tidak ketara di Johor telah dimulakan.

Malah, saya telah berpeluang bertemu dengan wakil Unesco untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan usaha tersebut. Ia merupakan proses yang cukup panjang dan teliti, hingga ia membawa saya ke satu forum penting yang menjadi platform untuk saya mengenengahkan agenda rakyat khususnya anak muda.

Pada 10 Disember lalu, saya diberi peluang untuk menyertai Forum Pengintegrasian Ekonomi Asean ke-4 (AEIF 2019), di Bangkok, Thailand, yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di bawah agensi Economic and Social Commission Asia and the Pacific (Escap), bersama World Trade Institute (WTI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Forum ini bertujuan menyediakan platform yang membolehkan para pemimpin global dalam bidang sosial, industri, akademik dan kerajaan membincangkan penyelesaian inovatif dan menangani halangan yang dikongsi bersama oleh semua anggota AEC.

Forum AEIF 2019 ini berusaha untuk memperkenalkan identiti dan cadangan untuk merapatkan jurang pembangunan inter dan intra-serantau di rantau Asean, untuk menyumbang kepada pembuatan dasar yang meninjau pendekatan holistik dan bottom up di rantau ini.

Selain itu, forum ini juga adalah medan untuk mempromosikan wacana yang bermakna mengenai komuniti Asean yang melampaui imperatif ekonomi dan menonjolkan kepentingan daya sosial dalam mempromosikan komuniti Asean.

Saya berpeluang mengenengahkan idea serta inisiatif-inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan Johor. Agenda yang telah saya angkat dalam forum ini berkisar cabaran serta hala tuju pembangunan ekonomi dan sosial anak muda di Johor, negeri paling selatan di Malaysia.

Dalam sesi forum tersebut, saya berkongsi idea bagaimana pendekatan Johor dalam agenda pembangunan anak muda. Kami melihat bahawa perkara pokok dalam menggilap bakat dan potensi kepimpinan dalam konteks sosial dan ekonomi adalah peluang, ruang serta suasana yang kondusif, sebagai prasyarat untuk membolehkan anak-anak muda menyerlah dalam bidang mereka.

Golongan belia di Johor merangkumi 11.5 peratus daripada kira—kira 1.4 juta golongan belia di Malaysia. Ini merupakan jumlah yang cukup besar bagi sebuah negeri seperti Johor. Kejayaan mengurus dan memandu anak muda dalam sektor ekonomi atau industri adalah kunci kepada kejayaan reformasi ekonomi, sosial dan politik negeri, malah Malaysia amnya.

Maka, sebagai kerajaan yang mentadbir negeri hari ini, saya angkat Institut Integriti Kepimpinan dan Semangat dato Onn (Iklas), Johor Youth Development Centre (Joydec) dan Iskandar Regional Development Authority (Irda) sebagai contoh rakan kongsi penting bagi anak muda dan kerajaan negeri Johor. Agensi-agensi ini merupakan tulang belakang yang akan menyediakan infrastruktur, fasiliti serta program fokus untuk anak-anak muda dalam pelbagai bidang seperti kreativiti dan inovasi, keusahawanan/perusahaan sosial, pendidikan, kesukarelawanan serta kepimpinan.

Manfaat kepada komuniti

Pada masa sama, beberapa panel forum dari pelbagai negara turut berkongsi inisiatif di tempat masing-masing. Saya amat teruja dengan pendekatan perusahaan social oleh Dr Poonchai Chitanuntavitaya, Ketua Pegawai Perubatan Social Health Enterprise (SHE) daripada Thailand, dimana beliau menggunakan kepakarannya dalam bidang perubatan untuk membantu masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan Bandar (urban) untuk menghilangkan atau mengurangkan tekanan akibat keletihan berkerja.

Usaha beliau ini telah memberi manfaat kepada hampir 100,000 rakyat di ibu negara Thailand itu, yang berdepan tekanan atau stress dalam kerja harian mereka. Khidmat perubatan ini diberikan secara percuma. Apa yang paling utama dalam inisiatifnya ialah ia boleh berjalan dan diteruskan tanpa bantuan dana yang besar daripada kerajaan Thailand.

Selain daripada itu, seorang wakil daripada Kemboja bernama Nut Cham yang berkongsi bagaimana perusahaan Inap Desa beliau, menerusi pendekatan perusahaan social, bukan sahaja dapat dijayakan secara mapan dan lestari, tetapi telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan dan ekonomi penduduk kampung di komuniti Chambok, Kampong Speu, yang didiami oleh 910 keluarga petani atau pesawah.

Seorang lagi wakil pemimpin muda ialah Thanakorn Phromyos daripada Thailand yang menerangkan bagaimana usaha mereka mewujudkan ‘Age Hub’ iaitu Young Happy Space untuk warga emas di tengah-tengah kotar aya Bangkok. ‘Hub Warga Emas’ ini telah berjaya menyatukan dan memberikan khidmat kepada warga emas.

Program-program kesihatan, aktiviti seperti kelas bimbingan serta yang bersesuaian dengan mereka, telah mendapat sambutan yang sangat bagus. Kumpulan ini juga menyediakan aplikasi Young Happy Time Bank untuk membantu mana-mana warga emas menyertainya atau mendapatkan bantuan mereka secara atas talian.

Model-model sebeginilah yang harus kita terokai dan pelajari untuk membolehkan anak muda mendapat manfaat ekonomi dan pada masa sama, dapat menyumbang kepada pembangunan sosial di sekeliling mereka.

Saya kira, potensi ekonomi peringkat Asean khususnya Malaysia dan Johor mempunyai peluang yang cerah untuk dicapai pada masa hadapan. Saya bertekad dan yakin, kita kini berada di landasan dan arah yang betul dalam agenda anak muda. Ayuh, kita bekerja bersama dan fokus. Jaminan kejayaan hanya bagi mereka yang ke depan dan berusaha gigih. Kejayaan anak muda Johor adalah wajah kejayaan anak muda Asean.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS