Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Di hari pertama saya bekerja sudah meluluskan projek berharga 90 juta dirham. Projek prasarana IT Dubai Internet City yang dilaksanakan pertama kali dan agak bersejarah. Saya tidak tahu terperincinya kerja-kerja tersebut.

Saya mengambil risiko dengan memberi kepada syarikat Mehboob yang saya tahu kemudian, tidak pernah mendapat projek sebesar itu. Dia melitupi tiga bangunan awal Dubai Internet City. Bangunan belum pun dibina lagi dengan kerja-kerja penyegaraan sedang di jalankan.

Dr Osama terus mengambil keputusan saya dan menyerahkan kepada pihak yang berwajib. Dia tidak membaca pun laporan saya. Sekadar melihat dan terus berkata iya. Tiada masa dengan kesibukan yang mengejar.

Dia jarang ada di pejabat dan menyerahkan tugas-tugas kepada saya. Saya tidak tahu apa lagi yang perlu di buat.

Hari kedua dan ketiga tiada apa-apa kerja. Saya duduk dan memasang komputer. Saya lantas mencari rumah sewa kerana hotel diberi percuma seminggu sahaja. Mencari rumah sewa bukan mudah. Apalagi di Dubai terpaksa membayar untuk setahun. Sewa rumah dua bilik lebih kurang 40 ribu dirham.

Saya tidak kenal sesiapa di Dubai kecuali Hamig Kazem dan Meboob Hamza. Takkan hendak menghubungi mereka dan bertanya tentang rumah sewa. Biarkan dia orang dengan kerja yang tentunya banyak.

Di hari kedua pihak bank menelefon untuk datang berurusan dengan saya. Saya terkejut kerana pihak bank telah kenal saya kerana pertalian dengan Dubai Internet City. Pihak bank terus datang tengah hari untuk membuka akaun. Saya lagi terkejut kerana di Malaysia saya terpaksa pergi ke bank untuk urusan.

Apabila bank datang dengan dua orang staf, kedua orang perempuan muda. Saya diberitahu Dubai Internet City menyimpan USD$800 juta di dalam bank tersebut. Saya lagi terkejut kerana wang yang besar untuk projek itu.

Sebab itulah mereka datang melayani pelanggan dan saya tidak perlu ke bank. Saya tidak tahu di mana pun bank tersebut.

Apabila membuka akaun, terus sahaja boleh digunakan dengan segera. Diberi ATM dan kad kredit. Saya bertambah terkejut dengan wang 80 ribu dirham yang tiba-tiba masuk ke dalam akaun. Saya bertanya kepada staf bank, saya tidak pernah meletakkan wang sebanyak itu.

Staf itu ketawa. Saya hairan.

“Itulah wang pertukaran atau perpindahan kerja kepada staf yang datang dari luar negara dibayar oleh Dubai Internet City!”

Saya cukup terkejut kerana tidak diberitahu oleh sesiapa!

Bisikan rasis

Alhamdulilah. Dengan wang itu dapatlah saya mencari rumah untuk keluarga yang bakal datang pada bulan Ogos. Tidak payah menghantar duit dari Malaysia. Tidak sangka sebanyak itu duit yang dibayar oleh Dubai Internet City.

Saya mencari rumah sewa sekitar bandar raya Dubai berhampiran dengan pejabat. Ada dua tiga pilihan kawasan dari pemerhatian. Saya membeli akhbar waktu itu tiada lagi online pada tahun 2000.

Saya mencari tempat tinggal sementara dahulu untuk sebulan lebih. Saya berjalan dari hotel ke hotel, mencari hotel yang murah. Selalu untuk beberapa kilometer kerana tidak pasti untuk menggunakan bas atau teksi.

Saya tidak kisah kerana dapat melihat Dubai dari dekat. Pelbagai bangsa tinggal di Dubai. Orang Arab tempatan tinggal sesama mereka. Rumah besar-besar dengan segala kemewahan. Hanya 10 peratus penduduk tempatan, yang lainnya orang luar. Ekspatriat.

Salah satu kawasan yang saya suka ialah Al Mankhool yang baru diwujudkan dan hanya sedikit bangunan. Kosong dan tiada orang. Ia terletak di sebatang jalan yang terus ke pejabat dengan bas. Naik bas waktu itu cukup murah, 1 dirham sahaja.

Saya melilau di Al Mankhool. Terjumpa satu hotel berhampiran dan segera ke sana. Pekerja hotel memberitahu hotel itu baru di buka kerana jalan ke hotel itu pun masih di bina. Sebuah hotel di kawasan gurun. Saya bertanya kalau untuk duduk sebulan berapa harga.

Pekerja itu memberi diskaun hampir 50 peratus. Saya tanpa berfikir terus mengambil hotel tersebut dan membayar duit muka. Saya lega kerana hotel tiga bintang itu masih baru dan perlukan pelanggan. Hanya untuk tidur.

Tugas saya seterusnya mencari tempat tinggal. Tidak kisahlah flat pun tidak mengapa. Ada beberapa kawasan yang perlu dilawati. Ada kawasan yang dibanjiri orang India dan Filipina. Saya berhati-hati untuk memilih kawasan.

Saya terpaksa menggunakan agen untuk mencari rumah yang kosong dan terbuka untuk disewa. Kepala pening juga apabila membuka akhbar dengan pilihan yang banyak. Saya perlu mencari rumah dalam masa sebulan.

Kebanyakan agen adalah orang India. Dari gaya percakapan kadang tidak faham. Tetapi apa kan daya terpaksa berurusan dengan mereka.

Seorang agen membawa saya ke Al Mankhool kerana kawasan ini masih baru dengan tiga bangunan yang telah siap. Bangunan lima tingkat dengan 40 apartmen itu hanya ada lima penyewa. Semuanya orang putih.

Setelah selesai melihat apartmen dia, seorang India berbisik, “Bangunan ini untuk orang bukan India!”

Naif, Satwa hanya untuk India

Saya terkejut dengan omelan itu kerana tidak sangka Dubai juga rasis. Ada kawasan yang orang putih menyewa tidak mahu orang India.

Sebab itu orang India yang majoriti di Dubai kontrol kawasan tertentu. Naif, Satwa dan beberapa kawasan tertentu misalnya, hanya orang India!

Kemudian agen lain membawa saya berhampiran Al Mankhool. Sebuah apartmen di padang pasir. Tiada jalan. Hanya bangunan itu sahaja. Naik kereta terpaksa meredah padang pasir.

Bangunan itu dengan tiga tingkat dan 30 apartmen. Baru ada lima orang penyewa, semua mat salih. Baru beberapa bulan siap.

Saya melihat apartmen itu yang agak besar dengan dua bilik. Keadaannya menarik walau tanpa jalan raya. Ada beranda. Berhampiran jalan besar untuk ke pejabat dengan menaiki bas. Berjalan lebih kurang 10 minit. Ada kolam renang. Bagus.

Saya bertanya harga dengan tidak sabar.

Setelah ditolak diskaun dia meletakkan harga.

Melihat harga itu saya terus menerima. Untuk setahun saya telah memilih apartmen di Al Mankhool!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS