Malaysiakini
KOLUM

Gundala, adiwira sebelah sini

Faisal Tehrani

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Jan 2020, 4:35 pagi

Sukar untuk membayangkan Bront Palarae, yang saya minati lakonannya dalam filem-filem seperti Bilut (2006), Ombak Rindu (2011), Bunohan (2012), Hanyut (2016), Pengabdi Setan (2017) dan One Two Jaga (2018) menjadi seorang ketua samseng, kepala mafia, penjenayah agung dalam Gundala.

Sebagai Pengkor, atau Bapak kepada anak-anak yatim teraniaya yang menyimpan dendam kepada aturan kelas dan feudalisme, Bront membibitkan resah, benci, sakit dan kejahatan yang berlapis-lapis. 

Meski bukan bintang dalam filem ini, penjelmaan Bront selaku Bapak sangat terasa. Malaysia beruntung mempunyai bakat yang diraikan di sana.

Gerombolan lakonan yang kuat, silau memancar seperti kilat pada watak-watak Sancaka lakonan Abimana Aryasatya, Lukman Sardi sebagai Ridwan Bahri, Tara Basro menjadi Wulan, dan Ario Bayu selaku Ghazul. Sancaka tergambar memendam sendu, rindu, murung dan sepi. Sementara itu, Lukman Sardi serasa wibawa terutama apabila memilih untuk akhirnya menjadi negarawan dan bukan sekadar pemimpin biasa.

Di atas semua itu, saya sangat tersentuh oleh kehadiran Ken Zuraida, yang pernah saya temui terlalu lama dahulu. Beliau muncul sekejap, dengan beberapa bait puitis sebagai penyair di atas bas. Ken, masih memukau seolah-olah seluruh tampang teaterikal beliau hadir menyambar bagai petir. 

Nah, inilah erti lakonan. Apa gunanya punya seluruh dialog dalam sebuah filem untuk diri sendiri tetapi gagal dikuasai dan dimanfaatkan?

Gundala, sebuah filem adiwara yang cemerlang (untuk standar Indonesia) diarah dan ditulis oleh Joko Anwar. Ia diadaptasi dari komik Gundala kraf Hasmi Suraminata (1969). Di Indonesia, ia beroleh pulangan AS$4.78 juta.

Di Malaysia, kelihatannya, mungkin kerana waktu tayangan yang salah, ia dicuaikan oleh ramai. Gundala, sayang kurang beroleh sambutan.

Mungkin, Gundala bukan siri Avengers atau filem aksi adiwara Hollywood yang melimpah aksi dan CGI, maka ia serasa kurang memanggil di sini. Barangkali juga, filem ini kurang dapat dinikmati rakyat Malaysia yang perlawanan kelas dan penentangan terhadap feudalisme masih kurang sebati berbanding di Indonesia.

Mungkin Malaysia seperti Sancaka fasa pertama, bungkam melihat ketidakadilan sedangkan Sancaka fasa kedua sudah berkembang di Indonesia iaitu melawan secara kolektif setiap kezaliman yang terlihat harian.

'Penyambung Telinga Rakyat'

Untuk sebuah filem dengan mesej kuat, lapis falsafah yang bernilai, dan rujukan politik kontemporari yang menyengat; Gundala “cuba” ditangani dengan penuh kesungguhan. 

Pilihan slogan Djakarta Times iaitu ‘Penyambung Telinga Rakyat’ dengan telinga Sancaka yang robek sejak kecil sendiri merupakan satu isyarat. Gundala menjauhi perlawanan dengan alien (seperti Marvel) kerana makhluk asing tiada apa ertinya untuk kemanusiaan apatah lagi Indonesia. 

Namun Gundala menonjolkan persaingan kelas menjolok mata, perjuangan buruh tertindas, anak-anak jalanan melarat, seniman terbuang dan paling terkehadapan, korupsi dalam kalangan politikus. Semua itu bergumul dengan padat.

Ia memberi isyarat ‘jangan percaya orang kaya’ ibarat kata Awang, yang mengajar Sancaka seni mempertahankan diri.

Gundala mengisahkan anak seorang pemimpin buruh, Sancaka yang kematian ayahnya oleh pengkhianatan teman sendiri. Hidup terperuk getir setelah pembantaian tersebut, ibunya pula hilang di kota setelah keluar mencari kerja. Sancaka hidup gelandangan dan sempat mengenal Awang yang mengajarnya untuk melawan tetapi dengan pesan, jangan campuri urusan orang. 

Di tengah itu tersimpan rahsia Sancaka yang mempunyai kekuatan luar biasa tiap kali dipanah petir kilat. Sancaka cepat menjadi dewasa, bekerja di Djakarta Times sebagai pengawal keselamatan kilang akhbar itu dan berkenal dengan jiran sebelahnya yang merupakan suara peniaga kecil di pasar basah. 

Dia berpegang kepada pesan Awang, abaikan permintaan tolong orang. Tak mengapa pentingkan diri asal selamat. Padahal Sancaka punya bakat dan kekuatan untuk campur tangan. Di sini dorongan untuk Sancaka akhirnya keluar menjadi pahlawan tidak cukup menolak. Ia kekurangan nyata tetapi tak mengapa.

Tersulam oleh kegoncangan hidup kelas bawah itu ditampilkan noda dan dendam Pengkor yang juga anak buangan dan tampang tertindas secara jahil. Pengkor adalah samseng, ketua mafia yang menyogok hidup mewah setiap politikus. Wajahnya membuat kita benci. Bront berjaya membuat kita beralih punggung menyampah. 

Kita melihat YB Ganda Hamdan misalnya yang kerjanya menggali-gali dan membikin kerja kotor kepada semua samseng khusus Ghazul. Kejahatan Pengkor (yang dimanjai oleh pengikutnya sebagai Bapak) melampaui benak biasa manusia. Seolah seluruh kegeraman yang menerjang dalam semangat pembikin komik asal Gundala tercurah di situ. Dan ingat, Indonesia ketika itu (1969), bukan sebebas hari ini untuk bersuara.

Plot seluruhnya bersimpang siur antara watak-watak yang banyak ini, dan lama-kelamaan sukar dikawal kerana ramai dan sedikit riuh rendah. Ia harus disumbat dalam 123 minit lama masa.

Gundala akan lebih berlemak dan kita pulang manis jikalau suntingannya lebih rapi, dan cermat. Benarlah bikin filem itu kerja bersama-sama dan gotong royong yang sulit menjadi kalau ada satu aspek terkucilan. Pun, mujur Gundala bukan ‘filem bunga api’. Ia lebih dari mercun yang berselerak di langit tinggi. Di Indonesia oleh makna dan hantaran mesejnya ia menjadi bom yang menggegar bingit seperti pancaran petir.

Seharusnya Malaysia menyambut Gundala dengan hangat; ahli parlimen dan menteri kita bukankah menjawab kepada pemaju, kapitalis, feudal elitis, pedagang judi kasino dan samseng mafia. 

Bukankah entiti keselamatan atau sekuriti kita tidak menjawab kepada orang kebanyakan? Terlupakah kita sosok seperti Amri Che Mat, kematian dalam tahanan, penembakan jarak dekat di lampu trafik dan pengeboman Altantuya yang terbenam di bawah sekalian lapis skandal politik dan kewangan?

Tapi ya, Malaysia belum, cukup peduli. Anggap Malaysia sedikit lewat. Persis Sancaka fasa pertama, yang diam melihat ketidakadilan dalam masyarakat dengan satu alasan, jangan mencampuri urusan atau kesusahan orang jika tidak mahu mendapat payah.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.