Opinion

Pengerusi media Arab yang mabuk

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sementara menanti isteri dan anak-anak saya sentiasa berjalan di sekitar Dubai. Saya pergi ke Sharjah dan Ajman dengan bas di hari minggu, melihat Emiriyah Arab Bersatu dengan lebih dekat dan jelas. Namun saya tidak pergi ke Abu Dhabi, ibu negara, kerana jaraknya dan tiada siapa yang saya kenal di sana. Di Dubai saya masih berseorangan.

Orang India adalah majoriti penduduk yang sentiasa memenuhi pandangan dan berada di mana-mana. Mereka bercakap slang yang mulanya saya tidak faham sepatah haram. Ada juga yang bagus berbahasa Inggeris. Tetapi lebih ramai yang buat saya ternganga dan cuba mengerti. Kedai-kedai dimiliki dan dikawal oleh mereka. Seakan berada di Mumbai. Mungkin kawasan saya duduk majoriti orang India.

Di pejabat di Plaza Crowne pada suatu pagi saya diarahkan bertemu dengan Reuters. Pegawai Dubai Internet City yang berhubung dengan saya baru pulang dari Amerika Syarikat. Saya memerlukan kereta beliau untuk membawa saya ke pejabat Reuters.

“Maaf! Kereta saya kecil sahaja!”

Dia beriya-iya meminta maaf. Saya seperti biasa. Teringat mungkin dia membawa Kancil sahaja. Saya tidak kisah kereta apa sahaja.

Apabila kereta sampai, saya terkejut. Lama saya berdiri dan memandang ke arah kereta.

Dia memandu Porsche Boxster yang baru dibeli kerana dia baru balik dari Amerika Syarikat. Dia ketawa berdekeh-dekeh. Geli hati dengan reaksi saya.

“Kereta kecil sahaja!”

Kami terus pergi ke pejabat Reuters dengan laju sekali. Saya lihat meter dekat 180 km/j. Saya memegang kerusi kerana tidak biasa. Dia ketawa sahaja, usia dia baru 23.

CEO Reuters dan pegawai tinggi Reuters telah menanti. Saya rasa tergamam kerana hanya seorang pengurus. Dari perbincangan, mereka bersetuju untuk pindah ke Dubai Internet City. Saya rasa berbesar hati dan terus bersalaman.

Itulah kejayaan pertama, membawa Reuters dengan kumpulannya yang beratus orang ke Dubai Internet City. Tentu berita ini menggembirakan. Reuters adalah kumpulan media terbesar di UAE.

Hari di nanti telah tiba. Keluarga saya tiba di lapangan terbang waktu malam pada hari Khamis. Kami terus ke hotel. Waktu itu, Saifullah, 7 tahun, Faidhi, 6 tahun dan Muhaimim, setahun. Rasa gembira apabila keluarga dapat bersama.

Berikrar sama-sama bekerja

Saya pindah ke apartmen beberapa hari kemudian. Minggu pertama kami tiada perabot dan kebetulan bulan Ramadan. Hari pertama ada tetamu. Tengah hari diberitahu, rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Mohd Kamal Hassan, Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Prof Dr Anuar Zaini dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Ir Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali akan ke rumah berbuka.

Saya menyuruh isteri saya membeli meja makan dan isteri saya sempat membeli waktu petang kerana kedai tutup tengah hari. Saya pulang dan meja makan masih belum tiba. Kami menelefon dan sejam sebelum berbuka baru sampai. Dua tiga minit para tetamu pun tiba.

Kami berbuka dengan apa yang sempat dimasak oleh isteri. Kemudian bila tiba waktu solat Prof Dr Mohd Kamal menyuruh saya sebagai tuan rumah menjadi imam. Saya serba salah namun saya kuatkan semangat.

Saya pernah menjadi imam solat Jumaat di masjid Hamilton, New Zealand sewaktu menjadi pelajar. Saya setahun lebih menjadi imam dan berbahasa Arab membaca khutbah. Saya pernah menjadi tukang azan di masjid Wellington, Auckland dan Hamilton. Kemudian di TV3 menjadi tukang azan hampir setiap kali, bergilir dengan rakan-rakan.

Tetapi menjadi imam kepada rektor UIA adalah perkara baru. Saya menghormati beliau sebagai tokoh pendidikan yang disegani. Beliau adalah tokoh hebat yang perlu dihormati.

Selepas habis makan, ketiga tetamu pun beredar. Malam pertama Ramadan sentiasa saya ingat kerana tetamu yang terkenal itu.

Saya bekerja seperti biasa di pejabat. Pada suatu hari, saya dipanggil oleh seorang Arab. Saya lupa namanya. Panggil saja AK. Tiga orang dipanggil. Saya bersama wanita Palestin yang cantik dan seorang lain yang saya lupa. Saya mulanya tidak menyangka apa-apa. Terus ke pejabat yang terletak di bahagian lain

AK memberitahu dia kini CEO Dubai Media City dan kami adalah pengasas Dubai Media City. Saya terkejut besar. Tugas saya ialah ketua kejuruteraan. Saya lagi terkejut. AK menerangkan tugas setiap orang. Gadis Palestin itu adalah pengarah pembangunan bisnes. Saya lupa namanya, kita panggil RS dan seorang lagi saya tidak pasti. Gadis Palestin itu adalah lulusan Universiti Harvard.

Kami berempat bersalaman dan berikrar untuk sama-sama bekerja.

Saya tidak pasti sebagai ketua kejurutaraan kerana saya graduan sains komputer dan matematik. Mungkin dia membaca CV saya dari TV3 Malaysia. Ini adalah tugas yang berat untuk saya pikul. Saya tidak pernah menjadi ketua kejuruteraan untuk sebuah entiti media. Saya sempat bertemu Dr Osama untuk mengucapkan selamat tinggal. Dia terkejut tetapi keputusan telah diambil. Dubai Media City adalah rakan dan pesaing Dubai Internet City. Saya berhijrah ke ofis baharu dan kerja baharu. Setiausaha kami kongsi masa itu.

Mana tempat minum?

Saya diberitahu oleh AK ada tetamu akan datang subuh esok dan meminta saya menyambutnya di lapangan terbang. Dia adalah pengerusi syarikat media Arab besar yang terletak di kota London, kepunyaan Arab Saudi. Pengerusi itu dari London untuk datang ke Dubai menemui kami. Dia adalah putera raja Arab Saudi. Namanya Prince BD.

Saya pergi ke lapangan terbang hampir subuh dan bersolat di situ. Kemudian dengan surat saya mendapat pas masuk untuk ke kapal terbang. Saya berjalan seorang diri dalam ramai orang.

Saya tidak kenal Prince BD dan bagaimana rupanya. AK tidak memberitahu apa-apa. Saya menanti dengan tenang di pintu keluar. Mengantuk pun sama.

Apabila pintu dibuka, setelah beberapa ketika seorang Arab yang bermata merah muncul. Dia mabuk. Bau dari mulutnya sungguh kuat. Saya rasa beliau Prince BD. Dia tidak menegur saya, terus bertanya.

“Mana tempat minum?”

Saya terkejut. Dia melihat saya, mungkin tahu ada penunggu beliau.

“Prince BD?” Saya bertanya hairan.

Dia mengangguk.

“Mana tempat minum?” tanyanya lagi.

Waktu subuh lapangan terbang masih tutup. Saya pun belum tahu sama ada dijual minuman keras atau tidak. Hati saya beristighfar. Saya tidak tahu apa perlu di buat. Tetapi Prince BD perlu dilayan.

“Saya tidak tahu. Kita pergi hotel dahulu!” Ujar saya.

Dia berkeras mahu mencari tempat minum. Kami berjalan sekitar, tiada satu pun kedai dibuka subuh hari. Saya telefon AK yang tidur. Memberitahu dia Prince BD mahu minum awal-awal pagi. Dia menyuruh telefon saya diberikan pada Prince BD. Dia bercakap agak lama dalam bahasa Arab.

Menyerahkan balik telefon dan bersetuju ke hotel.

“Awak bayar minuman saya ya?”

Saya terkejut. Tidak tahu apa reaksi!

Bersambung...


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.