Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Studio pelukis yang proper pertama kami lawati ialah studio milik Hasnee Abdul Rahman. Kami percaya Hasnee sendiri sudah lupa akan peristiwa itu.

Kami pergi bersama Khairul ‘Kucing’ - sahabat kami yang jika kamu tersilap cakap dan tersebut fasal kucing, maka seluruh topik perbualan selama mana kamu bersama dia akan hanya berkisar sekitar kucing.

Terdapat sebuah poster hadiah daripada HSBC di kedai bingkai Citracita milik Eddie - iaitu arwah sahabat kami - dan poster tersebut adalah hasil lukisan Hasnee.

Khairul mengatakan bahawa beliau mengenali pelukis poster berkenaan. Kebetulan semasa kami ke Kuala Lumpur, Khairul telah mengajak kami untuk melawat studio Hasnee.

Studio Hasnee pada waktu itu terletak di sebuah rumah dua tingkat. Dan kami menghabiskan masa beberapa lama di situ.

Seperti studio-studio pelukis lain, tempat Hasnee berkerja penuh dengan kanvas, cat, berus dan juga segala peralatan yang diperlukan untuk menghasilkan karya.

Sebagai seorang yang baru mahu berjinak dengan lukisan waktu itu, kami berasa sangat teruja. Mungkin dari situlah datangnya minat yang mendalam untuk kami terus kekal dalam kerja yang tidak berfaedah ini.

Pergilah lawat studio

Sejak itu kami sering ke studio pelukis lain sehingga ke hari ini. Kebanyakan pelukis memang akan sentiasa gembira apabila studio mereka dilawati seseorang.

Dari situlah lami memgenali ramai seniman yang hebat, dan ada antara mereka menjadi sahabat kami (walaupun kami rasa ramai antara mereka yang menyesal berkawan dengan kami).

Orang ramai juga sepatutnya meluangkan masa untuk melawat studio pelukis yang ada di sekeliling mereka kerana kebanykan studio itu terletak di taman-taman perumahan.

Mungkin dengan lawatan yang diadakan kita semua akan lebih memahami betapa golongan yang sering dilihat sebagai 'orang luar' ini sebenarnya adalah manusia biasa seperti orang lain juga.

Sengaja kami menulis mengenai pengalaman masa lalu untuk melalaikan kamu semua daripada kebisingan yang dibawa oleh 'kerajaan Melodi' sekarang ini.

Ia dianggap begitu keraja sekarang kerajaan hanya memikirkan sensasi,  meletupkan berita-berita yang tidak membawa faedah kepada kita semua.

Apa untungnya kita - jika benarlah - Najib dimarahi isteri? Segala pertuduhan sepatutnya dibuktikan di mahkamah, bukan jadi bahan bualan yang tidak mendatangkan hasil.

Lalu nanti jika Najib didapati bersalah atau dibebaskan daripada semua pertuduhan yang sedang dihadapi, apakah kehidupan kita semua akan berubah menjadi lebih baik?

Lihat bagaimana setelah Marcos dan Imelda dijatuhkan di Filipina, negaranya masih seperti itu juga.

Gila menjadi popular tanpa perlu berbuat apa-apa ini adalah penyakit, dan ianya menghempap kepala ahli politik. Malangnya mereka tidak berasakan ianya satu beban, malah dengan senang hati mereka menjunjung berat mahu popular itu dengan hati terbuka.

Apakah tidak ada rasa malu apabila kita meletakkan papan tanda dengan wajah kita terpampang sebesar gergasi di tepi jalan-jalan utama hanya kerana kita boleh?

Semua politikus sudah menjadi terlalu bodoh demi kerana mahu kekal berkuasa.

Hasnee Rahman masih lagi giat menghasilkan karya, sementara Khairul kekal aktif dalam persatuan-persatuan kucing peliharaan. Khabarnya beliau pernah memegang jawatan sebagai presiden persatuan kucing di Malaya ini.

Eddie telah lama meninggal dunia, dan dia meninggalkan seorang anak lelaki - Muzzammil namanya - yang kata orang saling tidak tumpah seperti arwah bapanya.


ABDULLAHJONES ialah pelukis penulis dan juga seorang pelupa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS