Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setelah berkerja makan gaji sebagai pengarah seni dan juga sub-editor sebuah akhbar, pada usia yang agak lewat - yakni 45 tahun - Haris Ribut mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang seni lukis sepenuh masa.

Mungkin ada yang beranggapan usia selewat itu adalah telah terlalu lambat untuk menukar karier, namun Haris berpendapat, apa saja yang mahu kita lakukan boleh saja berjaya dengan syarat kita tekun mengusahakannya.

Haris berkata walaupun bermula agak lewat, beliau sebenarnya mula mengumpul pelbagai maklumat mengenai dunia seni lukis lama sebelum itu.

Semasa masih berkerja, beliau mula meninjau-ninjau ke studio rakan-rakan pelukis di samping mengumpul wang untuk membeli buku-buku mengenai lukisan sebagai bacaan.

Setelah yakin dengan pengetahuan yang ada barulah beliau berani memulakan karier sebagai seorang pelukis.

Pada awal penglibatannya, Haris berkarya seperti artis lain iaitu melahirkan karya yang dianggap menepati cita rasa orang ramai.

Maka dilukisnyalah bunga-bunga, burung-burung dan permandangan alam yang memang sentiasa akan ada pengemarnya.

Namun setelah lama, beliau berasakan bahawa perlu ada suatu subjek yang mewakili dirinya sendiri. Haris mahu lari daripada dikenali sebagai pelukis yang hanya mahu menjual karya atau cuma berkarya mengikut permintaan pasaran.

Tak harap apa-apa

Namun begitu, mencari kelainan dalam dunia seni lukis yang sudah ratusan tahun diusahakan oleh ribuan pelukis adalah sesuatu yang mencabar. Sehinggalah suatu hari apabila beliau memutuskan untuk pulang ke kampung untuk menziarahi ibunya.

Setibanya di kampung, yang pertama dilihat Haris ialah ibunya yang sedang berkemban sambil menjemur kain. Dari situ lahirlah siri-siri perempuan gemuk yang menjadi identiti karya-karya beliau.

Bertitik tolak daripada pengamatan itu beliau tidak lagi memandang ke belakang. Dan mungkin memang menjadi rezeki beliau apabila karya-karya itu menjadi buruan ramai pengumpul lukisan dari dalam dan luar negara.

Karya-karya Haris juga menjadi simpanan hampir semua bank dalam negara, selain pengumpul karya ternama dari dalam dan luar negara.

Hari ini - setelah lebih 30 puluh tahun berkecimpung mengharungi susah dan senang menjadi seorang pelukis - Haris tidak lagi mengharapkan apa-apa selain terus mahu meningkatan mutu kerjanya.

Mungkin dah jadi jaga

Karyanya terjual atau pun tidak, bukan lagi merupakan tujuan utama beliau berkarya.

"Kita sudah melalui semuanya. Masa susah, masa senang, kita tempuh semuanya dari mula hingga sekarang.

"Tak ada apa lagi yang mahu dikejar selain menghasilkan karya sebagai warisan kepada isteri, anak-anak dan mungkin juga cucu," kata Haris apabila ditanya apa yang beliau mahukan lagi setelah lama menjadi seorang seniman.

Haris juga memberi kredit kepada penolong dan juga penyokong nombor satu beliau, iaitu isterinya sendiri.

Fauziah Ismail berdiri tegak di samping Haris dari detik beliau mula membuat keputusan berhenti kerja dan terjun ke dunia seni lukis yang tidak menjanjikan apa-apa.

Namun dengan dorongan dan sokong yang berterusan, hari ini Haris Ribut adalah seorang pelukis yang disegani ramai.

Beliau menolak digelar seniman kerana menurut beliau, kalau kita jujur pada diri sendiri, kita akan mengakui bahawa kita masuk ke dunia seni lukis adalah untuk mencari makan. Mahu menjual karya.

Jika ditakdirkan kita melukis dan gagal menjual karya, mungkin kita ini sudah lari keluar dan menjadi jaga kerana yang penting pada kita adalah menyara keluarga walau apa cara sekalipun selagi ia halal.

Tapi kerana kita melukis dan mujur ada yang membeli maka kekallah kita dalam dunia ini.

"Seniman penamanya kita ini kalau begitu kita ini, hahahahaha," katanya.

Studio Haris Ribut terletak di Kompleks Kraf di Jalan Conlay, Kuala Lumpur. Beliau akan berada di sana saban hari untuk menghasilkan karya.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis, penyair dan juga seorang pengamal ilmu hitam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS