Paling Popular
Terkini

Ada seorang wali Allah. Namanya Ali Zainal Abidin. Beliau merupakan cicit Rasulullah SAW, dari jalur Saidina Hussain. Turut dikenali dengan nama as-Sajjad atau yang selalu sujud. Dalam erti kata lain, beliau itu sering beribadah. Si penggemar sujud ini juga sering bermunajat. Segala rintih dan ratap doa beliau dalam sujud itu terhimpun dalam sebuah kitab diberi nama Shahifah Sajjadiyyah.

Dalam tahun 2016, pengasas kumpulan Islam Liberal di Indonesia, Ulil Abshar Abdalla diberi kesempatan menekuni Shahifah Sajjadiyyah ini. Apakah yang pendiri Jaringan Islam Liberal (JIL) atau gerakan Islam Liberal Indonesia itu rasai saat menghabiskan masanya menatap teks yang penuh kesujudan itu? Dalam blognya, Ulil pernah mengarang begini:

“Saya berhadapan dengan al-Shahifah al-Sajjadiyyah dengan perasaan gentar dan tertegun-tegun. Sebab di sana, saya membaca sebuah teks yang lahir dari intensitas iman yang berdarah-darah, iman yang memantik gejala demam ‘spiritual’ yang akut (meminjam istilah yang ciamik dari William James dalam The Varieties of Religious Experience). Teks ini nyaris mustahil lahir dari orang dengan iman yang biasa-biasa saja. A dull habit, kebiasaan yang mentah, kata James. Teks semacam ini agaknya sulit lahir dari kesunyian British Museum Library di mana dulu Karl Marx menghabiskan hari-harinya untuk menyiapkan naskah Das Kapital. Teks semacam ini hanya bisa lahir dari iman yang secara mendalam menghayati ‘encounter’ atau perjumpaan dengan --meminjam istilah Rudolf Otto, seorang teolog Lutheran dari Jerman-- Yang Suci (The Holy) yang memiliki tiga sifat utama: misterius (mysterium), menggetarkan (tremendum), menakjubkan (fascinans).”

Saya harus mengingatkan diri saya, dan yang lain, bahawa menjadi seorang Liberal di Indonesia tidak semestinya identik dengan kelonggaran hukum, jahil syariat, sasau tafsir atau tidak tahu berbahasa Arab. Ulil misalnya adalah seorang ustaz, ulama, atau agamawan yang nuraninya tulus. Maka atas sebab itu, hati bersihnya dapat menghadam kitab atau beliau namakan ‘teks suci’ dengan terbuka dan penuh kejujuran. Akan tetapi beliau bukan liberal sia-sia. Beliau liberal misalnya, kerana beliau itu mengerti duduknya agama di pangkuan agamawan yang nubarinya ikhlas, sedang agama sekali-kali tidak wajar duduk di dampingan agamawan menadah tangan berdoa di sisi penyamun, di atas sofa nan tenggelam bontot.

Sebab itu bila kita bandingkan saranan Ulil - seorang liberal - dalam blognya itu dengan seruan Khalid Jaafar, juga dalam tahun 2016, kita tidak menemukan kegetaran. Pernah ada satu laporan daripada Khalid agar Liberalis bersuara ‘melawan’ Islamis agar liberalisme dapat diamalkan. Tetapi melawan apa itu kita tidak pernah faham, kerana hanya dipetik begini:

Khalid urged liberalists in the country not to give up and continue to persuade others on the reasons to practise liberalism. ‘The voice of Islamists in the country has been loud for too long. Liberalists have to speak up. They also have to be prompt with their arguments.’”

Liberat Barat lwn Liberal Indonesia

Liberalisme Barat setahu kita adalah mengenai kekuatan mengurus siasah, keluhuran perjalanan pilihan raya, keadilan untuk minoriti, memenuhi janji politik, mencambah budi kepada negara dengan hak asasi. Jadinya, liberalisme bukan malapetaka dan perencanaan membawa kekucar-kaciran kepada negara. Jadi liberal ala Islam tidak. Liberal ala sekular lagilah tidak.

Nah, nampak bagaimana langit dan bumi kita dengan iklim liberal di Indonesia? Sebab liberal di sana ada muatannya. Bukan sembereno.

Sujud as-Sajjad seperti dinukil Ulil dalam tulisannya di blog itu mendorong kekaguman, kesayuan, dan kesentakan hati sehingga rasa dipagut oleh keaslian. Sebab itu Ulil mengatakan untaian tangis as-Sajjad dalam sujudnya bukan dibuat-buat sebagai puisi sufi ala Kemala atau Faisal Tehrani. Ia bukan rintih sujud yang terdesak puitis. Akan tetapi ia terpancar dari getaran jiwa yang fana.

Salah satu munajat As-Sajjad yang luar biasa ialah terdapat pada untaian doa atau rintih beliau yang keempat belas.

Ia berbunyi seperti ini: “Engkau tahu, ya Ilahi, apa yang aku derita. Kerana perbuatan fulan bin fulan yang telah kau larang. Kerana merampas hakku yang telah Kau haramkan. Dia tidak berterima kasih dengan apa yang Kau berikan. Dan tertipu dengan apa yang Kau tahan. Ya Allah, sampaikan salawat kepada Muhammad dan keluarganya dengan kekuatan-Mu. Tahanlah orang zalim dan musuhku untuk tidak menzalimiku, dengan kekuasaan-Mu, tumpulkan pedangnya dariku. Sibukkan dia dengan urusan di sekitarnya, sehingga kembali menghadapi musuhnya. Ya Allah, sampaikan salawat kepada Muhamad dan keluarganya. Jangan mudahkan baginya menzalimi aku. Berikan kepadaku bantuan menghadapinya. Jagalah aku supaya tidak berbuat seperti yang dilakukannya. Jangan tempatkan aku dalam keadaan yang dialaminya.”

Inilah contoh untaian rasa yang dilafaz as-Sajjad ketika bersujud. Itu lah sujud cicit Nabi.

Hari ini, sujud suci atas syukur atau bicara hati, atau rintih nestapa seseorang demikian sudah dirasai biasa. Semua gara-gara rendahnya tujuan sujud. Seumpama sujud serasa sudah jatuh nilainya bila seorang pemain berjaya menendang bola masuk ke dalam gawang. Tentu ia satu kesyukuran. Gol-gol itu bersamaan 35 juta pound.

Maka sujud jadi hanya satu ekspresi suka, semacam stunt satu gol satu gincu di padang. Untuk orang yang tidak mengerti, terlihat ia sebagai aksi menonggeng yang menimbulkan kemusykilan. Tentu, kita tidak bermaksud untuk menghakimi nilai sujud itu di sisi Tuhan. Kita hanya ingin memperkatakan perihal sujud yang sudah menjadi fesyen.

Dalam bahasa mudah kita tidak akan sujud untuk sesuatu yang maling, atau sujud untuk sesuatu yang enteng. Kita tidak akan sujud mensyukuri nikmat ayam KFC misalnya melainkan kita memang kebuluran.

Lanun pun tidak mustahil sujud

Sujud kini menjadi satu selebrasi yang selalu. Kerana jadi selalu, ia teranggap lumrah. Sedang sujud itu satu manifestasi kerendahan diri, dan ketulusan demi keimanan. As-Sajjad selalu sujud. Maka ia sudah lumrah. Tetapi sujud yang selalu dan lumrah itu bertahan mutunya. Seperti kata Ulil, ia bukan dull habit atau kebiasaan yang mentah.

Jadi meskipun beribu kali as-Sajjad itu sujud, ia masih terasa luar biasa. Malah, bacaan dalam sujudnya sangat magis. Ia membawa kita melayang ke kaki arasy.

Jangan juga dialpakan, bahawa kita juga tahu sujud dapat jadi pertunjukan. Saddam Hussein, diktator Iraq yang jahat, penyamun, pengkhianat, dan penjahanam negara itu misalnya sampai tergamak memanifestasikan sujud dengan membina sebuah istana yang diberi nama ‘al-Sujud’. Kubahnya biru, menghadap Tigris. Tamannya digayakan dengan bukaan burung merak. Besarnya menyamai Buckingham di London. Akan tetapi sujud yang penuh kepongahan ini akhirnya hancur. Sujud yang niatnya jahat, akan diakhiri secara jahat. Al-Sujud roboh dua kali, pada tahun 1998, dan 2003. Di tangan tentera Amerika Syarikat.

Hari ini kadang-kala kita akan terbaca berita, kisah pencopet yang kerjanya menanti orang sujud di saf dalam masjid, dan tatkala itulah pencuri ini akan membawa lari beg tangan jemaah kelalaian. Jadi sujud juga, silap haribulan seperti hari 29 Februari yang datang jarang-jarang, dapat membuka kepada kecurian.

Makanya, jangan terpedaya dengan sujud. Saddam juga sujud. Malah lanun pun tidak mustahil sujud. Jikalau seseorang bersujud kerana dapat berdampingan dengan perompak, dan pengkhianat; kita tidak dapat tidak harus mengawasi dan berhati-hati. Ini bukan sujud persis as-Sajjad. Memang kita tidak tahu nilainya dengan mata kasar. Pun, kita bukan menghukum dan berprasangka; tetapi kita mesti ingat betapa bapa as-Sajjad atau Ali Zainal Abidin yang mengarang Shahifah Sajjadiyyah ini kenal macam-macam sujud. Pembunuh bapanya juga bersujud, tetapi pembunuh itu melibas tengkuk cucu Nabi, iaitu al-Hussein.

Ada satu cerita tentang menteri sujud yang saya pernah temukan dalam karangan Sa’di al Shirazi, penyair klasik Parsi, termuat dalam Gulistan. Dalam hikayat itu, Shirazi menceritakan perihal seorang raja yang dihadiahkan hamba dari China. Raja tersebut, dalam mabuk, ingin menyetubuhi hamba yang baru diperolehnya. Hamba Cina itu menolak kerana bau masam arak sang raja. Maka raja menjadi murka dan mengusir hamba itu kepada hamba lelakinya yang hodoh. Adalah dikatakan hamba lelaki itu, bibir atasnya memuncung. Bibir bawahnya terjuih ke bawah. Menurut Sa’di hamba itu seperti iblis Sakhrah, manakala ketiaknya busuk “umpama bangkai yang bertindanan”.

Hamba itu mendapat isyarat salah bahawa raja memberinya perempuan Cina yang masih dara tersebut. Maka hamba hodoh itu menyetubuhi pemberian majikannya. Apabila raja sedar dan waras, ia mencari kembali hamba Cina yang patut menjadi jamahannya. Tatkala dia menyedari hamba hodohnya ‘salah info’ meniduri hamba Cina tersebut, serta-merta raja menjadi baran dan menghukum supaya kedua-duanya dilempar dari puncak bangunan.

‘Wahai Tuhan, jauhi kami dari sujud melalaikan’

Ketika inilah menteri masuk dan bersujud di hadapan raja. Dalam sujudnya menteri memberitahu; “Bukankah biasa raja memberi sesuatu kepada hambanya?”

Raja dalam marah membalas dengan titah, “Bukankah dia boleh menangguhkan keseronokan itu?”

Menteri yang masih dalam sujud memberitahu raja begini: “Tidakkah tuanku pernah mendengar; bila seorang yang dahaga terserempak saliran jangan dia pedulikan gajah yang sedang beramukan. Jika seorang yang tiada akhlak dan adab sedang kelaparan, jangankan fikir dia pedulikan Ramadan.”

Kata-kata begitu bertenaga dalam sujud menteri itu mencambuk akal raja. Maka baginda pun mengatakan, “Baiklah ambil sahaja hamba itu sebagai habuanmu duhai budak hitam. Kerana apa lagi yang beta dapat lakukan dengannya?”

Menteri masih dalam sujud bersuara, “Jika hamba Cina itu - ibarat - sesuatu yang direbutkan, ketahuilah ia umpama sebahagian yang telah dijamah anjing.”

Menteri itu bersujud bukan kerana mensyukuri sesuatu yang dimungkiri. Menteri ini bersujud memberitahukan hikmah, betapa batilnya apa yang direbut, dan kemudian masih diingini. Bukan perempuan Cina itu yang batil, tidak. Sebaliknya ia dapat menjadi satu lambang betapa mualnya merebutkan kekuasaan. Jadi, kita sebagai contoh boleh bertanya diri; apakah nilai sujud setelah berjaya menggerigit bahagian dari anjing?

Kita berlindung dari sebarang sujud yang datang dari perebutan habuan sehingga terlihat dek rakyat seperti penghaus yang terdesak meneguk di saliran meskipun gerombolan gajah sedang beramukan. Kita berlindung dari sebarang sujud yang datang dari perebutan habuan sehingga terlihat dek rakyat seperti orang nanar lapar kebuluran yang sudah hilang akhlaknya sehingga tidak lagi memikirkan ketetapan agama; seperti kata Sa’di - jika seorang yang tiada akhlak dan adab sedang kelaparan, jangankan fikir dia pedulikan Ramadan.

As-Sajjad, wali Allah yang saya sebutkan di awal tulisan ini bagaimanapun kebalikan dari sujud-sujud batil ala istana Saddam di atas. Dalam salah satu sujudnya, seperti dirakam dalam Shahifah Sajjadiyyah begini berbunyi:

“Ya Allah, setan telah menerkam kami. Ketika kami mengikutinya dalam maksiat kepada-Mu. Maka sampaikan salawat kepada Muhammad dan keluarganya. Jangan biarkan setan menerkam kami lagi. Setelah kami tinggalkan dia kerana-Mu. Setelah kami jauhi dia kerana kerinduan kami kepada-Mu.”

Wahai Tuhan, jauhi kami dari sujud yang melalaikan. Jauhi kami dari sujud yang mensyukuri keingkaran dan pengkhianatan. Engkau yang akan mengajar keangkuhan. Sungguh Engkau yang menerima sekian sujud yang datang dari jiwa yang paling dalam. Kita rakyat bersujud dan menutur kembali rintih as-Sajjad; “Tuhan, jangan biarkan setan menerkam kami lagi. Jangan biarkan setan menerkam kami lagi. Jangan Tuhan.”


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS