Paling Popular
Terkini

Saya pernah menulis bahawa kita manusia bercakap antara satu sama lain melalui tiga tahap. Pertama, tahap membawang. Membebel sesama sendiri tentang hal orang lain. Mengumpat dan bergosip. Kedua, tahap berlabun tentang kejadian. Berlabun dan membincangkan kejadian yang dilihat. Bersembang tentang benda yang tercacak di depan mata. Ketiga, tahap konsep dan inti pati – sebab musabab dan akibat.

Saya mahu membawa pencerahan dalam tulisan merakam sejarah jilid dua ini ke tahap ketiga, tahap kita bersurah, berlabun dan membincangkan konsep, struktur, sebab, akibat dan inti pati. Pada hemat saya pencerahan ditahap ini lebih bermanafaat untuk dijadikan ilmu pengetahuan.

Seratus tahun daripada hari ini, jika sesiapa mengkaji apa yang berlaku pada awal tahun 2020 akan mendapat pencerahan hendaknya. Malah siri Merakam Sejarah ini juga adalah pengumpulan pengalaman untuk dijadikan ilmu dalam usaha memupuk kelahiran negara bangsa.

Untuk sementara waktu kita tinggalkan manifestasi. Saya menolak pembawangan manifestasi dalam kuliah pencerahan politik ini walaupun membawang dilihat lebih menarik dan amat amat menghairahkan.

Saya boleh membawang panjang lebar tentang bagaimana Anwar merayu pada Mahathir untuk menjadi perdana menteri. Atau bagaimana titisan air mata Mat Sabu meminta Mahathir agar jangan berundur. Atau bagaimana sebaknya Lim Guan Eng apabila diberitahu Mahathir telah meletakkan jawatan. Atau bagaimana Eli menangis dalam telefon apabila bersurah kepada saya tentang bagaimana Mahathir menunggu tercegat di pintu istana.

Membawang memang mengghairahkan. Membawang politik tentang apa yang berlaku dua minggu dahulu memang seksi dan menggiurkan. Tapi saya tidak akan membawang, jauh sekali membawa peglipur lara. Amin

Bila saya menulis ini Muhyiddin telah menjadi perdana menteri. Ahli kabinet telah diumum petang kelmarin Isnin 9/3/2020. Dua minggu badai dan gelombang politik dilihat reda. Maka saya membuka sirah.

Apa sebenarnya telah berlaku?

Politik ialah kontradisi. Kontradiksi adalah pertembungan atau konflik. Kontradiksi inilah yang memacu pergerakan alam samesta. Alam samesta kita bergerak kerana kontradiksi. Hakikatnya kontradiksi ini adalah hukum alam – hukum sosial.

Hukum ini ditemui oleh ahli falsafah Jerman bernama Friedrich Hegel (1770-1831). Hukum sosial ini dinamakan sebagai dialektik. Karl Marx (1818-1883) memperluaskan teori dialektik Hegel ini untuk menjadi materialisme dialektik. Hukum sosial ini tidak beralih-alih dalam negara mana pun. Agama apa pun yang dipegang hukum sosial ini tetap wujud berjalan.

Kumpulan Anwar lawan kumpulan Dr M

Hakikatnya mereka yang bijak dan cekap berpolitik akan menggunakan teori ini untuk mara ke hadapan. Untuk kaum Marxis, kontradiksi dan dialektika adalah rukun yang wajib untuk difahami untuk memahami dunia. Pandangan dunia tanpa dialketik dan kontradiksi adalah pandangan dunia yang senget dan tidak tuntas.

Dalam kontradiksi ada konflik, ada pertempuran. Ada tesis bertembung dengan antithesis. Pertembungan ini akan melahirkan sintesis. Kunci di sini ialah bertembungan. Satu bertempur dengan dua untuk melahirkan tiga. Tanpa bertembungan satu dan dua tidak akan wujud tiga.

Di persada politik di mana pun dalam dunia ini akan wujud kumpulan-kumpulan yang berkepentingan. Malah tugas parti politik mewakili kepentingan tersebut. Semua kepentingan ini adalah kepentingan ekonomi yang dibalut oleh kepentingan kelas. Ini juga adalah hukum sosial yang hakiki dan tidak berubah. Hakikatnya dua kumpulan wajib dan sentiasa wujud untuk berkonflik.

Di Malaysia wujud dua kumpulan. Satu kumpulan mahu Anwar Ibrahim menjadi pengganti Mahathir Muhamad. Kumpulan ini menuntut agar Mahathir berundur dan Anwar dinobatkan sebagai perdana menteri Malaysia kelapan.

Satu lagi ialah kumpulan yang tidak suka, tidak berminat dan tidak mahu Anwar Ibrahim untuk menggantikan Mahathir Muhamad.

Kumpulan penyokong Anwar terdiri dari anak-anak muda PKR. Dari orang kampung yang terpesona dengan ucapan Anwar. Dari aparachik parti yang berharap jika Anwar menjadi perdana menteri maka mereka boleh berkenduri sama. Dari Yang Berhormat PKR yang berharap apabila Anwar menjadi perdana menteri mereka juga akan berjawatan. Ada yang bermimpi hendak menjadi menteri besar, ada yang bermimpi hendak menjadi menteri kecil dan ada ketua cabang bermimpi hendak menjadi calon. Ini hakikat dan hukum sosial perjalanan parti politik bukan hanya terjadi dalam PKR.

Jangan lupa dalam kumpulan penyokong Anwar ada para cukong dan para tauke yang sedia dan sedang melabur dana. Jika Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri maka masa depan perniagaan atas tanah atau perniagaan bawah tanah mereka akan melimpah ruah.

Dalam kumpulan pro-Anwar ini ada rakan setia Anwar dari zaman Reformasi 1998 yang berharap Anwar akan menjadi perdana menteri. Dalam istilah Perancis inilah raison d'être – tujuan wujudiah Otai Reformis samenjak mereka turun ke jalan raya pada petang 20 September 1998. Pada tahun 1998 Anwar telah dinafikan kerusi perdana menteri. Maka pada tahun 2020 mereka terus beratip, berdoa dan berwirid mahukan Anwar menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir. Khalas.

Kes liwat

Satu lagi kumpulan adalah kumpulan yang tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri. Malah mahu Anwar diundurkan dari persada politik Malaysia.

Sebab mereka tidak suka kepada Anwar Ibrahim jelas walau pun berrbeza-beza.

Ada kumpulan yang tidak suka Anwar kerana mereka menolak kelakuan Anwar yang pada hemat mereka melanggar ajaran hukum Islam. Ini bersangkutan dengan dua kali terpenjaranya Anwar atas tuduhan liwat. Kumpulan ini diwakili oleh parti Islam PAS.

Ada juga kumpulan yang merasakan masa depan politik mereka akan ditamatkan oleh Anwar Ibrahim dan suku sakatya. Mereka ini berada dalam PKR. Malah ada antara mereka ini telah diundi dan dipilih untuk memimpin PKR. Kumpulan ini merasakan bahawa masa depan mereka akan hancur jika Anwar menjadi perdana menteri. Kumpulan ini dimanifestasikan dengan nama Kartel dan dipayungi oleh Azmin Ali.

Azmin dan penyokongnya ketika masih bersama PKR

Dalam Kartel ini juga sama seperti dalam kumpulan penyokong Anwar wujud para YB yang berharap masa depan politik mereka akan bersinar di bawah payung Azmin. Ada juga aktivis muda yang berharap masa depan politik mereka untuk menjadi YB akan maju jaya bersama Kartel.

Ada lagi satu kumpulan yang merasakan bahawa jika Anwar menjadi perdana menteri maka besar kemungkinan keselamatan negara akan tergugat. Kuasa kuasa besar seperti China Merah dan Amerika akan mengugut Anwar kerana Anwar memiliki rekod ‘ gelap’ yang pasti dimiliki oleh intel mereka.

Media kapitalis luar negara dilihat cenderung untuk mengajukan agar Mahathir berundur dan Anwar mengambil alih. Ini menimbulkan lagi syak wasangka kumpulan ini bahawa Anwar adalah proksi mereka.

Juga peranan Singapura yang memiliki jaringan sokongan dalaman dalam politik Malaysia. Ini dilihat dengan cara dan lenggok media Singapura yang dibaca agak bersimpati terhadap Anwar Ibrahim.

Munculnya kes peras ugut kerana salah laku seksual Anwar Ibrahim bukan pekara baru. Anwar sendiri telah mengakui bahawa dia telah diperas ugut oleh Yahaya Ismail. Pada 20 Jun 2019, Malaysiakini telah melaporkan berita dakwaaan peras ugut ini. Malah Anwar sendiri telah membuat laporan polis.

Baca: Penulis: Saya tawar Anwar beli hak cipta manuskrip, bukan ugut

Ini baru peras ugut RM400,000 daripada seorang penulis buku. Bagaimana dengan China Merah yang mengintai kontrak, yang mahu pelabuhan tentera laut, yang mahu pangkalan tentera darat atau Amerika yang mahu Malaysia menjadi macai.

‘sohseh-sohseh’

Ada satu lagi kumpulan yang di luar PKR tetapi dalam Pakatan Harapan. Kumpulan dalam Bersatu. Kumpulan ini merasakan mereka terpinggir. Mereka melihat para menteri Pakatan Harapan yang sedia wujud amat lekeh. Mereka bekas pemimpin United Malays National Organisation yang masuk ke dalam Bersatu agak terlambat untuk mendapat jawatan. Mereka merasa diri mereka lebih layak. Justeru mereka tidak akan menyokong Anwar Ibrahim.

Dalam kumpulan anti-Anwar ini ada lagi satu kumpulan yang agak besar. Mereka ini benci kepada Anwar kerana mendakwa dikencing oleh Anwar. Pelik tetapi benar kumpulan ini pelbagai bentuk. Pada satu ketika sosok-sosok ini adalah penyokong tegar Anwar Ibrahim. Ada yang seangkatan dalam gerakan Angkatan Belia Islam. Ada ahli perniagaan mendakwa dijanjikan sesuatu oleh Anwar. Ada penyokong setia dari zaman pelajar. Hakikatnya semua mendakwa Anwar kaki putar dan kaki kencing. Amin.

Dua kumpulan ini – anti dan pro-Anwar - siap siaga menyusun untuk bertempur. Peluang bertempur ini menjadi cerah apabila si Anwar sendiri tidak sabar-sabar cuba menolak Mahathir.

Manifestasi dari ketidaksabaran Anwar ini amat jelas. Ada buku dilancar untuk menobatkan Anwar sebagai perdana menteri kelapan. Ada forum diatur. Ini manifestasi kegopohan Anwar yang dapat dilihat dan dibaca umum. Yang tidak dilapor media – yang hanya sohseh-sohseh – bergantang, bertimbun.

Dalam masa yang sama Anwar ke hulu ke hilir beratip “I have the number”. Maknanya Anwar mengakui bahawa dia memiliki jumlah YB yang lebih dari 112 orang untuk mengelincirkan Mahathir.

Malah dilaporkan bahawa telah wujud plan B untuk memaksa Mahathir menyerahkan kerusi perdana menteri kepada Anwar. Apakah butiran plan B hanya Guru Nanak yang tahu.

Dalam masa yang sama kumpulan anak muda penyokong Anwar, Otai dan YB PKR terus bersuara menuntut Mahathir menunaikan janji. Janji di mana Mahathir akan melepaskan jawatan kepada Anwar setelah dua tahun menjadi perdana menteri.

Ketika semua ini berlaku, di belakang babak-babak ini ada lagi dua kumpulan. Ini adalah kumpulan gergasi perniagaan. Seperti yang telah saya nyatakan awal tadi bahawa semua konflik ialah konflik perebutan punca-punca ekonomi.

Kumpulan pro-Anwar dan kumpulan tidak menyokong Anwar semuanya mendirikan united front – barisan bersatu. Mereka bergabung untuk menibai satu sama lain. Hakikatnya medan konflik – kontradiksi telah sedia terbuka.

Di belakang hujah modal, di belakang hujah peras ugut wujud lagi satu inti pati yang merangkumi semua. Ini ialah persoalan nasional yang belum selesai. Dalam persoalan nasional ini peranan DAP maju mendadak. Apa peranan DAP? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


BERKAITAN:
Merakam sejarah – jilid dua

Lihat Komen
ADS