KOLUM

Khianat hari-hari kurungan

Faisal Tehrani

Diterbitkan
0

1. Terdapat satu genre dalam sastera, ia dinamakan “Sastera Ajaib”, khusus untuk menceritakan tentang negara di Lautan Hindi, dan Asia Jauh, ketika di Zaman Proto Sejarah. Ia mengetengahkan kisah luar biasa, separa dongeng, penuh magis dan keanehan daripada kaca mata pengembara atau pelayar Arab. Kadang kala cerita itu juga mengenai kebebalan.

Jadi terdapat kisah mengenai Sarandib (dalam bahasa Arab), atau nama Sanskritnya, Swarnnadwipa bererti ‘Pulau Emas’. Ia merujuk Semenanjung Tanah Melayu sekitar kurun kelapan sehingga ke sepuluh Masihi. Sebuah negeri bernama Sailendra di alam Melayu, pada masa lampau sedang berada di kemuncak keemasan. Satu ketika, seorang pengembara Arab yang terkenal tiba di Sailendra, seperti mana ditemukan dalam catatan-catatan oleh Abu Zaid, Abu Dulaf, Biruni, Ya’qubi dan Buzurg. Tatkala itu, negeri ini sedang berhadapan dengan wabak hawar yang menakutkan. Terlalu ramai rakyat jelata yang terkorban.

Adalah dikisahkan raja Sailendra tidak melakukan banyak. Jarang sekali kelihatan di khalayak kecuali sekali-sekala. Kegemarannya bermain-main menghabiskan masa di taman loka. Ibaratnya barangkali permainan golfa di zaman ini. Manakala patinggi yang ada, leka keluar berburu landak dan napuh. Isteri pembesar retis memilih kain cindai dan pulikat yang turun dari kapal di pelabuhan untuk diperaga menjadi baju. Menteri yang menjaga pelabuhan, kesurupan melihatkan kematian tikus yang banyak, ia nanar dan berada dalam kebuntuan. Padahal ia menjaga dagang, tetapi tidak mengerti apa-apa kecuali memanggil rakyat jelata mengisi pengetahuannya. “Sastera Ajaib” sering juga bercerita tentang kebebalan.

Pengembara Arab itu amat kehairanan melihat santainya pemerintah Sailendra di saat itu. Dia diberitahu bahawa Tabib diraja tidak melakukan apa-apa. Hanya mencadang agar rakyat biasa meminum air panas yang banyak untuk mematikan penyakit di dalam badan. Sungguh kuno sekali permintaan dan rawatan.

2. Apakah yang dipesan oleh nenek moyang kita yang terdahulu mengenai khianat?

Orang Melaka dahulu kala suka berdondang sayang. Ada sebuah pantun dinyanyi dalam dendang tradisi itu. Bunyinya begini;

Dilipat-lipat daun lepat,

Malam hari rebus ketupat,

Kalau hasrat dengki khianat,

Memang negeri mendapat laknat.

Dr Rais Yatim, orang gagah parti Bersatu yang keluar Pakatan Harapan bulan lalu, pada tahun 2004 ada menulis prakata buku himpunan ‘1000 Pantun Dondang Sayang‘. Ketika itu beliau Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Tulis Dr Rais, “Biarpun zaman dan generasi berubah, pantun Dondang Sayang masih boleh dijadikan sumber pengajaran terhadap generasi muda hari ini.”

Kita di luar parti Bersatu harus menyahut beramai-ramai nukilan Rais itu dengan teriak, ‘Betapa benar sekali.’

Pantun Dondang Sayang Melaka itu tidaklah banyak bezanya dengan Syair Riau yang dikutip oleh almarhum Pak Tenas Effendy. Bunyinya seingat saya begini;

Wahai ananda luruskan niat

Perangi oleh kerja maksiat

Lawan olehmu dengki khianat

Mati pun engkau berolah rahmat

Rangkap ini ada termuat dalam ‘Tunjuk Ajar Melayu’. Pak Tenas dalam mengutip syair seperti ini menyatakan, “Syair ini adalah syair di bawah kategori ‘syair Melayu yang dikenal dengan tunjuk ajar.’ Yang tidak belajar, maka kurang ajar.”

Mujur sungguh beliau bukan ahli majlis parti Bersatu.

Bukan sahaja di Melaka dan Riau, Melayu dipesan agar jangan khianat. Di Aceh yang mendapat jolokan Serambi Mekah itu, pantun dan syair lama ada memesan, agar khianat dihindari kalau tidak mahu rosak negeri. Saya kutip empat rangkap pantun perihal khianat.

Di pajoh manyet didalam jerat

(hancur mayat di dalam kuburan)

Rezeki ulat bak asoe hamba

(rezeki ulat pada daging setiap hamba)

Yang paling rayeuk ureung khianat

(yang paling besar orang khianat)

Di pengeut rakyat lee penguasa

(Ditipu rakyat oleh penguasa)

Pantun ini menunjukkan bagaimana pemerintah yang mengkhianat dengan sambil lewa dan sewenangnya menipu rakyat. Akan tetapi bukan nama pantun Melayu Islam kalau tidak mengingatkan pemerintah dengan agama. Maka pada pembayang pantun dipesan bahawa kalau pernah berbuat khianat, dalam kubur nanti bersiagalah.

Hana tom salah buet malaikat

(Tidak pernah salah perbuatan malaikat)

Bandum geucatat rampak sinenah

(Semua perbuatan akan dicatat)

Dosa seumenget deungoen khianat

(Dosa menipu dengan khianat)

Sampe me upat tuwoe ge hana

(Sampai dosa mengumpat tidak lupa)

Watee geutanyoe malaikat peurap

(Waktu kita didatangi malaikat)

Nyawong sikejap laju kelua

(Dalam sekejap nyawa akan keluar)

Rugo biet that-that ureung khianat

(Rugi sekali orang khianat)

Yang peunget rakyat lee penguasa

(Yang menipu rakyat oleh penguasa)

Dua rangkap pantun Aceh di atas kalau dihayati memang berupa nasihat, ingatan dan teguran keras supaya jangan berbuat khianat, dan pantun ini dengan sengaja menghubungkan pemimpin yang khianat dengan kematian, dan catatan malaikat. Tidakkah pengkhianat takutkan mati, hei pengkhianat?

Beutegah-tegah bek roh khianat

(Berhati-hati jangan sampai khianat)

Dak bacut rakyat beu adee rata

(Walaupun sedikit rakyat harus sama rata)

Bek roh menyesai uroe akhirat

(Jangan sampai menyesal di hari akhirat)

Didalam jirat soe tulong hana

(di dalam kuburan tidak ada yang bisa menolong)

Maka, hak rakyat yang dikhianati menurut pantun Aceh ini akan membawa kepada penyesalan yang tidak terhingga. Di alam kuburan kelak tiada pertolongan. Inilah ingatan Melayu Islam. Maka kita tidak berbangga jika ada orang Melayu yang menyebut begini untuk menghalal khianat; ‘Sudah tentu dengan tersingkirnya DAP dari tampuk pimpinan negara sangat melegakan umat Islam. Orang Melayu harus bersujud syukur atas anugerah Allah ini.’ Sebabnya, elok lagi tukang karut Dondang Sayang dari penyokong khianat. Kerana tukang pantun pun lagi reti agama, “Kalau hasrat dengki khianat, memang negeri mendapat laknat.”

Agaknya negeri ini sedang mendapat bala yang bertiarapan ekoran dengki tipu dan pengkhianatan.

3. Melayu menggariskan sifat pemimpin sejak 960 masehi bahawa seorang cakravantin (pemimpin) sepertinya Raja Shri Jaya Indravarmadeva punya empat caturupaya (pendekatan) dalam bertindak terhadap kawan, lawan dan orang yang tidak berpihak. Justeru dalam politik Melayu, kita melihat pendekatan yang sama berulangan. Mereka menggunakan sama (perbincangan), danda (kutukan dan serangan), memanfaat bedha (atau perselisihan) dan paling rendah menggunakan upapradana (ganjaran atau habuan) yang, malang sekali sering terjadi. Sama jarang dilakukan tetapi upapradana adalah selalu. Hari ini kita mengenalnya sebagai rasuah.

Melayu itu sejak Zaman Proto Sejarah sudah mempercayai raja itu utusan Tuhan. Jika ia Buddha, raja itu seperti Dharmaraja - manusia pilihan. Seandainya ia itu Hindu, raja itu seperti Devaraja - pilihan Tuhan. Apabila ia Islam, raja itu masih terpilih oleh Tuhan, tetapi menjadi bayang-bayangnya (dzilullah fil ard). Akan tetapi Melayu dahulu kala itu ada bertanya, adakah raja yang memiliki tiga puluh dua sifat Buddha? Yang antara lain adalah senjata sulitnya ‘dalam sarung’, dengan ‘bulu mata seperti seekor lembu jantan’, dan ‘kepalanya berserkup’; selain suara seperti ‘Brahma dan selembut tekukur’.

Apakah akan ada raja Melayu yang azali berani, belas kasihan semua makhluk, berdarjah bestari yang tinggi dan saksama, yang mana saksama itu terdapat tiga cakupan bahawa ia artha (berguna), dharma (budiman dan baik) serta kama (membahagiakan).

Namakan sebelas pemimpin hari ini yang kalian tahu mereka itu artha, dharma serta kama? Tidak ada bukan? Melainkan ditemui tujuh puluh orang yang sedang kesurupan.

Maka pengembara Arab di Sailendra, satu masa di zaman lampau, yang terlongo melihat pemerintahnya tidak pun menyelamat dan melindungi rakyat dari wabak hawar hanya mampu beristighfar dan mengulas, ‘Beritahu berapa ramai raja yang tidak khianat dan menyedari bahawa “jasad dan segala keseronokan ini bersifat sementara”, beritahukan.’

4. Duduk di rumah adalah pilihan yang sukar kalau memang kerjanya kami secara harian mengais di pagi, dan mengais di petang dengan upah seratus lebih sedikit, sedang anak menganga di rumah tujuh orang bersesak dalam ruang kecil dua bilik, di perumahan kumuh dan besi jeriji tangganya berkarat. Kalau bersandar pada jeriji itu, anak-anak kami akan jatuh melayang ke bawah menghempas otak dan badan. Kami tiada surau dalam rumah yang indah, kolam dengan air dingin kebiruan, permainan video mencemaskan, hiburan Netflix bikin kaget, dan internet untuk menghubung insan yang dirindui. Jurang kekayaan itu serius. Duduk di rumah itu adalah pilihan yang mewah kalau memang nasib gelandangan.

Dalam “Sastera Ajaib”, pengembara Arab di Sailendra tersebut amat kehairanan melihat tenangnya pemerintah negeri di saat itu. Dia diberitahu betapa Tabib diraja tidak melakukan apa-apa. Hanya mencadang agar rakyat biasa meminum air panas sebanyaknya untuk mematikan penyakit di dalam badan. Sungguh kuno sekali permintaan dan rawatan.

Manakala makin ramai rakyat bergeletak menjadi mayat di perkarangan. Kita Dondang Sayang beramai-ramai di kala kurungan; ‘Kalau hasrat dengki khianat; Memang negeri mendapat laknat.’ Kemudian dek kedahagaan, minumlah air panas. Sungguh kuno sekali permintaan dan rawatan.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.