Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
Kakitangan kerajaan dan Bantuan Prihatin Nasional

Dilaporkan RM250 billion dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumum kerajaan sebagi susulan impak wabak Covid-19, RM1.17 billion daripadanya diperuntukkan buat kakitangan kerajaan.

Ringkasnya mereka akan menerima pembayaran sekali atau bayaran one off RM500 tiap seorang. Oleh kerana negara mempunyai 1.5 juta kakitangan kerajaan manakala jumlah golongan pesara pula ialah 850,000 peruntukan sebesar RM1.17 bilion diperlukan.

Lantas bekas pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Azman Ujang mengaju persoalan wajarkah kakitangan dan pesara kerajaan menerima bantuan itu?

Walaupun sebuah badan berkanun, Bernama ialah agensi berita milik kerajaan yang diletak dibawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (dulu Kementerian Penerangan). Maka pekerjanya dilihat sebagai kakitangan kerjaan.

Oleh itu saya tertarik dengan persoalan itu kerana ia dikentengahkan oleh seorang yang sendirinya layak menerima bantuan berkenaan selaku kakitangan kerajaan. 

Pendapatan pekerja k'jaan terjamin

Kagum juga kerana beliau mempunai pilihan untuk berdiam diri dan menikmati wang tambahan RM500 yang akan menyusul. Mungkin juga sudah pun masuk dalam akaun bank beliau.

Sebaliknya beliau memilih untuk memberi pandangan yang boleh mengundang pelbagai reaksi termasuk kemarahan khusus daripada kakitangan kerajaan sendiri dan golongan pesara .

Pada 3 April lalu Azman menulis artikel untuk akhbar bahasa Inggeris The Sun Daily mengenai perkara itu. Menerusi artikel itu beliau memberitahu Perbendaharan Negara membayar RM10 billion setiap bulan untuk gaji kakitangan dan wang pencen untuk pesara .

Lalu tanya beliau "apa perlunya kerajaan membayar tambahan RM1 billion lebih sebagai wang bantuan ini?" (What’s the ugent need for this one off thing?)

Menurut Azman berbeza dengan kakitangan atau pekerja swasta, kakitangan kerajaan tidak menghadapi risiko hilang pekerjaan seperti skim pemberhentian kerja atau retrenchment dan sebagainya. Pekerjaan kakitangan kerajaan terjamin. Mereka tetap “selamat.” Bila bersara ada pencen setiap bulan.

Maksudnya setiap bulan dalam apa juga keadaan (termasuk ketika wabak Covid-19 ini) kakitangan kerajaan akan tetap menerima gaji dan pesara akan tetap menerima pencen. Pencen kata beliau dibayar seminggu sebelum akhir bulan. Tentulah beliau tahu apa yang beliau katakan ini kerana beliau sendiri penerima pencen.

Kata Azman lagi, RM500 yang diperuntukkan dalam pakej rangsaan ekonomi merupakan “wang saku tambahan” untuk penerima semasa Perintah Kawalan Perjalanan berkuatkuasa.

“Tapi bagi kakitangan kerajaan perbelanjaan duit poket mereka semasa PKP sudah berkurangan kerana kebanyakkan mereka ada di rumah. Mereka sudah jimat perbelanjaan transport dan makan diluar," menurut beliau.

Ganjaran kakitangan rendah

Memberi mereka duit poket umpama beri wang tambahan untuk orang yang bercuti di rumah.

Selain itu kata Azman agak pelik kakitangan yang bergaji RM8 ribu atau RM10 ribu sebulan diberi tambahan RM500 walaupun untuk sekali sahaja.

“Adalah lebih baik jika RM1.17 billion itu digunakan untuk bayar mereka yang berada dibarisan hadapan atau frontliners seperti kakitangan kementerian kesihatan dan lain lain frontliners yang sedang bertarung nyawa berdepan dengan virus corona,“ kata beliau.

Benar, setiap frontliner kita mesti diberi ganjaran. Dan jika saya boleh menambah, selain wang bantuan kepada petugas barisan hadapan, perlu diberi juga kepada kakitangan kerajaan yang bergaji rendah. 

Maknanya bukan semua kakitangan kerajaan layak dapat. Yang bergaji RM10 ribu harus dikecualikan.

Sebenarnya panjang lagi yang ditulis oleh Azman tapi rasanya cukup setakat ini. Kita faham yang cuba beliau sampaikan .

Saya akhiri dengan satu persoalan daripada seorang kawan. Beliau bertanya adakah semua ini bertujuan mendapat undi kakitangan kerajaan? Kerana durian runtuh seperti ini katanya ialah satu langkah populis.

Jawab saya wallahualam. Pilihan raya kan lama lagi? Sekurang-kurang tiga tahun daripada sekarang. Perlu kah kempen awal? Fokus semua sekarang ialah wabak yang menakutkan ini. Bukan begitu?


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS