Ramai pendamba perubahan dan pencari kebenaran merintih. Bahawa terdapat satu u-turn bahaya yang kelajuannya sungguh celaka sedang memecut. Kelajuan itu meletakkan kita - rakyat - dalam satu kenderaan jenazah. Bahawa kita akan menabrak sesuatu yang agam dan kemudian hancur berderai, sangat tidak dapat dielakkan. Yang mati kelak akan rakyat, bukan orang-orang bahagia di atas sana.
Maka begini, biar kita berlipur lara. Orang yang dikhianati, jangan merasa lemah. Tidakkah kalian mengetahui kisah Maryam? Dia sedang sarat mengandung, terjelepok di bawah pohon kurma, dia Maryam merintih. Dia mencari talian kasih, “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang telah dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” (19:23).
Akan tetapi Allah menitah Maryam agar tidak lemah. Maryam boleh lelah, tetapi jangan lemah.
Allah memerintahkan, “Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak!” (19:25).
Lihat, duhai orang yang dikhianati. Kalian diizin berasa lelah. Namun jangan sekali-kali lemah. Maryam itu pun diminta berusaha sebelum Tuhan datang menyelamatkan.
Kunci Maryam adalah usaha dengan dua tangannya yang tidak berdaya. Supaya dapat menggoncang sepenuh tenaga, kurma di atas pohonan. Pernahkah kalian melihat pohon kurma? Ia tidak dapat dilakukan dengan mudah. Maryam sedang bertarung untuk melahirkan.
Jika kalian - kita - tidak menghentikan pengkhianatan ini, ia akan membawa kepada malapetaka besar dan bala bencana untuk negara. Ia ibarat berada di dalam kenderaan yang laju, kecepatannya pasti akan melanggar dan sangat memusnahkan.
Terdapat satu ceritera untuk dilipurkan. Pernahkah kalian mendengar apa yang terjadi kepada bangsa Melayu pada abad ke-sebelas masihi. Ini saya garap kembali dari catatan sejarah Paul Wheatley (1964) dalam Impressions of the Malay Peninsula in Ancient Times.
Ketika itu terdapat satu pakatan yang baik antara kita, menerusi Maharaja Sailendra dengan kerajaan Cola di India.
Raja Melayu itu bernama Sri Mara Vijayattunga-varman, manakala Raja Cola adalah Rajaraja 1. Mereka sama-sama mengusahakan sebuah pusat peribadatan Buddha di Negapatam. Setiap keturunan raja-raja ini akan memperbaharui dan memurnikan pakatan.
Khianat seorang patinggi
Dalam senyap, Srivijaya yang kian tumbuh menyaingi kedua-dua kerajaan ini. Akan tetapi itu tidak hingga membuatkan Sailendra dan Cola berkelahi. Tetapi kemakmuran akan mendorong sejumlah bangsawan untuk membahagi kekayaan sesama sendiri. Dan apa sahaja kritikan cendekiawan akan jatuh ke telinga yang tuli.
Begini, dalam sejarah, pada tahun 1025; Rajendra Cola 1 telah mengamuk dan menghantar bala tentera ke Srivijaya, jantung pemerintahan talasokrasi, lantas menculik Raja Sri Sangrama Vijayattunga-varman.
Rajendra melanggar Sumatera kemudian Tanah Melayu. Di Langkasuka berlaku perang nan dahsyat di Takkola. Ia berdepan dengan teknologi Melayu. Di Tambralinga sungguh gagah di medan tempur dan di Kedah, atau Kalah; perlawanan sengit di lautan. Akan tetapi semua, jatuh ke tangan Tamil. Sayang tiada prasasti yang dapat dirujuk untuk memahami apa sebenar terjadi, cuma satu kata kunci yang sempat ditinggalkan untuk kita menerokai.
Kata kunci itu adalah pengkhianatan. Benar, khianat. Untuk khianat terjadi, perlu ada pengkhianat.
'Betapa mudahnya mengacum'
Peperangan yang berlaku itu dapat dielakkan tentunya. Akan tetapi ia memang direncana dalam senyap oleh pengkhianat. Seorang patinggi, gemindra di Sribhoga berhasrat dan mengidam-idamkan takhta. Untuk itu ia memperdayakan Raja Sri Sangrama Vijayattunga-varman bahawa Sailendra harus mengingkari pakatan dengan Cola. Penghasut itu adalah watak paling bahana sekali. Sejak dulu sampai sekarang sejarah bangsa Melayu memang tidak terlepas oleh pengkhianatan. Nasib bangsa Melayu memang buruk.
Sailendra harus beperikatan dengan kerajaan Molayu yang sudah kukuh di Jambi. Kerana pakatan itu harus melibatkan semua negeri mandala di seluruh Nusantara.
Kepada Cola, diangin-anginkan yang Sailendra terancam oleh kekuatan Sribhoga dan Kutei. Bahawa Molayu sedia membaham seluruh mandala. Padahal kuasa Molayu tidak secanggih mana. Pun Cola yang termakan umpan penghasut datang meluru menyerang Sailendra dan pertempuran dahsyat itu terjadi.
Kedua-dua raja bertembung, berdepan antara satu sama lain dengan menunggang gajah yang perkasa. Seluruh alam Melayu dirata untuk memuaskan kehendak gemindra. Negeri hangus dan tersebar kematian rakyat sungguh lara untuk diungkap. Penghasut itu sendiri bersembunyi di saat pertempuran memuncak. Dia membiarkan rakyat dilanyak. Kita - rakyat umat - dilumat dilanyak.
Rajenda Cola hanya berhenti setelah Sri Sangrama Vijayattunga-varman terkorban dalam tahanan. Patinggi penghasut itu akhirnya terpilih menjadi penguasa Sailendra, “Beta adalah Raja”, ujarnya penuh sombong sambil mendakap puteri-puterinya di sisi kiri kanan. Dan dia malah pergi jauh dengan pengkhianatan itu.
Gemindra mengambil Puteri Onang Kiu negeri Sailendra dan ‘menghadiahkannya’ kepada Rajendra Cola. Hanya setelah itu barulah Raja Cola itu pulang ke Kalinga dan kempen kemusnahan Cola dihentikan. Aib Melayu. Aib seorang perempuan Melayu.
Lihatlah betapa mudahnya mengacum dan bermain api. Sebuah kerajaan dengan pakatan boleh runtuh oleh pengkhianatan seorang patinggi yang mengimpi dan merakusi kuasa. Ia adalah pengkhianat paling celaka sekali. Sebab bila ia tidak berhenti, yang mendapat padah ialah rakyat. Betul rakyat murbawan tidak sedar, dan yang paling lelah sekali; persis Maryam, adalah kelompok kecil cendekia yang berusaha mengingatkan, dan menjagakan. Tetapi akan malang, rakyat terbawah inilah yang akan paling teraniaya tidak sedar kerana suka menyerahkan nasib.
Ibarat nukilan Tun Seri Lanang, “berat..., maka fakir memperkejutkan diri.” Kalau malang, cendekiawan dan seniman membatu diri tidak bersuara. Ada sebuah puisi Sabar Bohari judulnya Kata Mereka untuk mengetuk tepat hati rakyat terbawah yang akan paling teraniaya namun tidak sedar kerana suka menyerahkan nasib. Saya petik seluruh puisi yang terbit dalam kumpulan Dari Derita Bangsa yang diselenggarakan oleh almarhum Sasterawan Negara Usman Awang bersama-sama Dino SS. Begini puisinya:
Jangan engkau hairan
Kalau pencuri, penyamun dilayan istimewa
Jangan engkau hairan jikalau
Penjenayah kolar putih, disanjung, dipuja dan dibela.
Kerana kita semua tahu siapa mereka.
Jangan engkau bertanya siapa mereka
Jikalau engkau mahu selamat, tenteram
Dengan keluarga
Jangan engkau turut demonstrasi
Yang bakal menelanjangi dirimu
Duduklah sahaja di rumah
Membaca akhbar
Menonton tv
Yang telah didustai.
Jangan engkau banyak bicara
Engkau rakyat biasa
Cukup makan cukup pakai
Kerana engkau bertuah
Negerimu makmur dan mewah.
Jika kalian - kita - rakyat tidak menghentikan pengkhianatan ini, ia akan membawa kepada malapetaka besar dan bala bencana untuk negara. Nusa ibarat berada di dalam kenderaan yang laju, kecepatannya pasti akan melanggar dan sangat memusnahkan.
Kita sedang memulai semula era “kalau pencuri, penyamun dilayan istimewa” dan “jangan engkau bertanya siapa mereka, jikalau engkau mahu selamat, tenteram; dengan keluarga.”
Akan tetapi kita tidak akan selamat semudah itu. Cucu-cicit kita akan dirompak. Kita malah akan terjual seperti era Sailendra. Ada pengkhianat sedang galak di tengah kita. Kita semua sedang berada di halaman sejarah paling geruh. Sejarah sedang berulang kembali: Penyamun dilayan istimewa.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
