Malaysiakini
KOLUM

Merakam sejarah - Gelita 14

Hishamuddin Rais

Diterbitkan
0

Tarikh 14 April merupakan hari Gelita 14 atau juga dikenali sebagai Black 14. Semalam ialah hari ulang tahun ke-19 Gelita 14. Pada 14 April 1999 Anwar Ibrahim dipenjara selama enam tahun atas tuduhan salah guna kuasa dan meliwat.

Justeru untuk mengingatkan kembali babak politik ini maka saya menangguhkan tulisan rakaman sejarah saya mengenai Covid-19. Ini kerana saya mahu anak semua bangsa bersama-sama memperingati Black 14. Terutama saya mahu generasi muda hari ini memahami babak-babak dan perjalanan sejarah bagaimana kita sampai ke tahap politik hari ini.

Hubaya hubaya.

Untuk diri saya Gelita 14 ini amat amat berkait rapat dengan berkurung, terkurung dan dikurung. Pada hari Selasa 10 April 2001 - 19 tahun dulu - saya telah dikurung.

Saya dikurung bukan bertujuan menjaga kesihatan orang ramai seperti kita berkhalwat hari ini. Tetapi saya dikurung untuk menjaga kesihatan United Malays National Organisation yang semakin sakit tenat.

Pada ketika itu Malaysia telah diserang oleh satu wabak. Bukan wabak virus karona. Pada 2001 Malaysia sedang diserang oleh wabak anti-Mahathir dan wabak antiparti ketuanan Melayu. Wabak itu merebak dan mengampuh.

Pada petang Selasa, 10 April 2001, saya berada di pejabat di Jalan Kamuja Bangsar Utama. Saya telah tidur malam di pejabat walaupun bilik tumpangan saya di Taman Seputeh tidak jauh letaknya.

Saya yang tidak memiliki kenderaan menapak setiap hari dari rumah ke pejabat. Sesekali saya tidur di pejabat.

Babak kurung dan dikurung

Berapa minggu sabelum itu Tian Chua, Malek Hussin, Pak Din, Nasir Taxi, Kak Yus, Pak Abu, Lat Koya dan saya mengadakan beberapa pertemuan. Kumpulan kami bertemu dan berbincang di pejabat Tian Chua di Jalan Kurau, Bangsar.

Kami menyusun, mengatur dan merancang untuk mengadakan satu perhimpunan besar-besaran di hadapan pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Jalan Raja Laut pada 14 April 2001. Hari Sabtu jam 4 petang.

Agendanya ialah: Mengahantar memo kepada Suhakam. Kumpuan kami ini secara tidak rasmi adalah kelompok di luar Parti Keadilan Nasional. Susuk-susuk ini tegas dan bersetia menjadi penyokong Anwar Ibrahim.

Pada ketika itu kami percaya dan yakin Anwar sedang dizalimi Mahathir Mohamad. Justeru memo kami mahu hantar ke Suhakam.

Kami tidak percaya bahawa Anwar - pemula Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), susuk yang warak, yang alim, yang berucap dengan bismillah, yang sering menggunakan ayat-ayat Quran - telah meliwat Azizan, Sukma dan Munawar Anees.

Mustahil Anwar berkelakuan sedemikian. Kami tidak percaya. Untuk kami Anwar telah dizalimi. Malah ramai warga Malaysia anak semua bangsa pada ketika itu percaya bahawa Anwar Ibrahim dizalimi Mahathir. Khalas.

Tapi tulisan ini bukan tentang kes liwat Anwar atau kes Anwar dizalimi yang ingin saya rungkai. Saya mahu merungkai babak kurung dan dikurung.

Pada 10 April 2001 - dalam jam 4 petang - saya telah turun untuk minum di Restoran Maidin di bawah pejabat saya. Dalam restoran itu saya ternampak ramai pelanggan. Saya tak ambil pot. Setelah selesai minum saya kembali ke pejabat.

Ketika itu saya sedang menterjemah The Good Woman of Setzuan. Ini teater garapan Bertold Brecht (1898-1956). Brecht dramatis tersohor Jerman dari jalur merah.

Saya menterjemahkan teater itu kerana saya terlibat dengan arwah Krishen Jit. Dramatis ulung bekas pensyarah Universiti Malaya itu berniat untuk mementaskan teater Brecht dalam bahasa Melayu.

Bukan kali yang pertama

Saya memelayukan The Good Woman of Setzuan untuk menjadi Perempuan Baik Dari Kampung Baru. Pada petang itu saya mengulang baca dan membuat pembetulan akhir. Selesai ulang baca saya menghantar terjemahan teater berkenaan kepada Krishen Jit.

Ketika itu saya menggunakan email [email protected] Saya memasukkan skrip teater ke e-mel dan terus menekan butang send. Pada ketika itulah pintu pejabat saya diketuk kuat. Mata saya memandang pintu.

Kemudian mata saya beralih memerhati Perempuan Baik Dari Kampung Baru meninggalkan Bangsar Utama menuju ke alam maya.

Saya membuka pintu. Masuk mata-mata berpangat. Dua mata-mata biasa. Dan seorang memakai pakaian biasa. Empat orang mata-mata tercongok dalam bilik saya.

"Hishamuddin Rais… kamu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri," ucap dari mata-mata yang berpangat. Saya lihat iras mata-mata berpangkat itu macam muka Cina.

Saya telah pernah mendengar ucapan: " … Hishamuddin Rais.. kamu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri…"

Pada petang 10 April 2001 itu hanya ulangan. Tiga hari sesudah saya pulang dari berkelana selama 20 tahun dahulu, saya juga ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Itu pada 1994.

Mata-mata mengeluarkan gari. Ia juga bukan kali pertama saya digari.

"Boleh saya padamkan komputer saya?" saya meminta.

Pada ketika itu bayaran internet bukan tetap seperti hari ini. Penggunaan internet mengikut masa, sama seperti kita membuat panggilan telefon. Jika internet tidak saya padamkan, saya khuatir bil telefon saya akan bertimbun.

Permintaan saya tidak dipedulikan. Saya digari. Dibawa keluar. Betul betul di tepi tangga ada sebuah kereta Proton hijau menunggu. Saya terus dibawa masuk.

Tidak ada siapa yang melihat kerana dari anak tangga akhir saya terus ditekan masuk ke kereta. Saya duduk dengan diapit dua mata-mata.

Saya dibawa ke Rumah Pasung Sentul. Saya dibogelkan. Ini juga bukan kali pertama saya dibogelkan. Mata-mata yang mengambil butir badan saya kelihatan hairan.

Saya memakai seluar pendek. Saya tidak memakai seluar dalam dan hanya berselipar Jepun.

Sebenarnya semenjak saya meninggalkan Eropah, saya tidak lagi memakai seluar dalam dan stokin. Seluar dalam dan stokin mengingatkan saya pada musim sejuk yang amat saya benci.

Baju biru, baldi merah

Seluar pendek dan selipar Jepun bagi saya adalah nikmat cuaca panas. Amin.

Dari Rumah Pasung Sentul saya dibawa ke luar dan dimasukkan ke sebuah van putih. Van kecil itu tidak bertingkap. Saya terperosok seorang diri dalam van. Saya tidak nampak siapa pemandu.

Van itu bergerak meninggalkan rumah pasung. Saya cuba mengagak ke mana saya akan dibawa. Gagal. Kerana van itu awalnya berjalan seperti dalam bandar. Kemudian berjalan laju saperti di lebuh raya.

Kemudian perlahan melintasi "bum" seperti dalam taman perumahan. Kemudian laju kembali. Akhirnya setelah hampir 40 minit berlalu, van pun berhenti.

Saya dibawa keluar dan dimasukkan ke sebuah bilik. Seorang mata-mata duduk di meja menunggu saya. Sekali lagi saya dibogelkan. Tinggi, warna rambut, berat badan dan parut dibadan dinotakan.

Saya menandatangani harta pusaka - seluar pendek, baju kemeja, tali pinggang dan dompet - saya yang ada dalam saku saya. Saya diberi pakaian seluar dan baju biru. Sebuah baldi merah yang didalamnya ada satu selimut, berus gigi yang telah dipendekkan dan sahelai tuala Good Morning.

Mata saya ditutup. Saya merasa tangan saya dipegang. Saya dibawa keluar. Saya ikut berjalan. Kaki saya meraba-raba takut jatuh. Kami sampai ke satu bangunan. Saya dengar suara lelaki Melayu. Saya dengar pintu besi dibuka.

Saya dibawa masuk. Mata saya dibuka. Saya melihat pintu bilik tempat saya akan dikurung. Amin.

Pada 10 April 2001 - 19 tahun dahulu - saya dikurung dalam sebuah bilik seluas 4 kaki lebar dan 12 kaki panjang. Satu pangkin batu menjadi tempat tidur. Di hujung bilik ada jamban cangkung dan pili air.

Saya dikurung seorang diri dalam bilik kecil. Fikiran saya merayau-rayau. Saya teringat pada rutin saya. Saya teringat pada gaya hidup saya. Saya teringat pada rokok keretek.

Saya teringat pada dunia luar yang baru saya tinggalkan. Kemudian saya menyedarkan diri bahawa saya sedang dikurung.

Semalam, 14 April 2020 ialah hari ulang tahun ke-19 Black 14 dan hari ulang tahun saya dikurung. Pada hari ini juga saya sekali lagi sedang dikurung di Le Chateau.

Kali ini bukan kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri. Akta ini telah dihapuskan. Kali ini saya berkurung atas perintah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berkurung 19 tahun dahulu dan berkurung hari ini amat jauh bezanya. Dalam bilik kecil tempat dikurung dulu, saya tidak memiliki apa-apa kecuali ingatan dan akal fikiran. Malah hendak bercukur pun saya wajib menghulurkan muka saya ke lubang pintu seluas muka saya.

Bagitu juga untuk memotong kuku. Saya hulurkan tangan. Makanan dan minuman dihulurkan melalui lubang sama. Amin.

Dalam bilik kecil itu fikrah saya merayau. Siapa lagi agaknya yang kena kurung. Apakah Tian Chua dikurung? Apakah Malek Hussin dikurung? Apakah Pak Abu dan Pak Din dikurung sama? Fikrah saya mencari cari. Mustahil saya akan mendapat jawapan kerana saya dikurung berseorangan.

Boleh tonton filem koboi

Sekarang saya berkurung kerana perentah kawalan pergerakan (PKP) atas arahan MKN. PKP amat berbeza daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri. MKN amat berbeza daripada KDN (Kementerian Dalam Negeri) yang memberi arahan agar saya dikurung ISA.

KDN melaui ISA mengurung saya agar falsafah dan hasutan pengaruh saya tidak tersebar luas. Saya dikurung supaya wabak anti-Mahathir yang cuba saya sebarkan tidak akan menjangkiti anak-anak muda.

Saya menghasut anak-anak muda untuk bangun keluar berdemo ke jalan raya menyokong Anwar. Mengurung saya bermakna kerajaan menjauhkan diri saya daripada mempengaruhi orang lain untuk bangun melawan.

Ia dibuat untuk menyelamatkan Mahathir dan United Malays National Organisation. Khalas.

Hari ini MKN melalui PKP mengurung saya agar saya selamat daripada jangkitan Covid-19. Saya bersetuju untuk dikurung bukan seperti 19 tahun dahulu.

Kini satu Malaysia dan ada 180 buah negara sedang berkurung untuk menyelamatkan diri daripada Covid-19.

Dikurung oleh MKN amat lumayan. Saya boleh memasak. Saya boleh memesan makanan. Saya boleh membawa Ezi dan Tak Tak - anjing piliharaan saya - berjalan di kawasan kubur Kwantung di belakang blok flet Le Chateau.

Saya membaca. Saya menulis. Saya melihat komputer. Kunci flet saya ada pada saya. Saya membuka internet. Saya boleh menonton filem koboi atau melihat filem lucah dari YouTube. Semua terpulang kepada cita rasa saya.

Saya berhubung melalui telefon dengan ramai kawan - dalam dan luar negara - bertanya khabar kerana mereka juga berkurung. Malah saya sering memukul telefon bertanya khabar pada Tian Chua.

Aduh! Berkurung hari ini bukan seperti berkurung 19 tahun dahulu. Berkurung kali ini saya tahu di mana saya berada. Sembilan belas tahun dulu hingga ke hari ini saya masih tidak tahu di mana tempatnya saya dikurung.

Justeru saya merakam pengalaman dikurung itu dalam teater Bilik Sulit. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.