Sindrom pasca Perdana Menteri (Bhg I)
Selepas membaca sedutan temubual Bernama dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang disiarkan pada 10 Jun 2006 dalam akhbar Utusan Malaysia yang jelas membela Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, rasanya bertemulah buku dengan ruas sama-sama keras dan tajam kritikan masing-masing.
Musa telah awal-awal lagi menegaskan bahawa temubual tersebut hanya pandangan peribadinya. Beliau menafikan dirinya "penasihat Pak Lah". Namun sebagai seorang yang begitu rapat dengan Perdana Menteri dan "boleh mengkritik Pak Lah dengan lantang dan terus terang" seperti yang diakuinya sendiri, maka tidak dapat dielakkan, kritikannya akan dianggap sebagai jawapan bagi pihak Pak Lah.
Musa menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai telah mengetepikan segala tatasusila atau tradisi dan protokol Umno dan orang Melayu apabila beliau begitu keras, lantang dan secara terbuka mengkritik Perdana Menteri.
Namun pada waktu Dr Mahathir menjadi ketua pentadbiran dan ketua parti, Musa meminta ahli Umno yang hendak mengkritik kerajaan supaya membuatnya mengikut saluran-saluran tertentu.

Kritikan ini diselar Dr Mahathir: "Sebenarnya Tun kita yang baru itu yang tidak ikut tradisi Umno. Dia (Musa) seharusnya sedia maklum kerana yang dialah orangnya yang tidak menuruti tradisi Umno kerana berundur dari kerajaan dan menyerang saya serta menggesa Tengku Razaleigh Hamzah menentang saya."
Tidak dapat dinafikan Dr Mahathir, Musa, malah Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim, ketika mempertahankan kepentingan politik masing-masing atau memberontak demi merampas kuasa semuanya bukan calang-calang manusia yang dapat dikongkong oleh apa yang dinamakan "tradisi dan protokol" parti yang lebih menguntungkan yang berkuasa dan status quo.
Implikasi negatif
Tentang kritikan Dr Mahathir bahawa Pak Lah bukan pilihan pertamanya untuk jawatan Perdana Menteri sebaliknya Najib yang mendapat undi terbanyak lebih layak, Musa berpendapat ia boleh membawa implikasi yang negatif.
Kenyataan Dr Mahathir itu katanya seolah-olah memberitahu Najib: " Sebenarnya saya suka awak. Awak lebih baik bukan Pak lah."
Tidak dapat dinafikan jika Dr Mahathir masih berpengaruh, dan Najib pula tidak berpuashati dengan kedudukan orang nombor dua sekarang, ia boleh diinterpretasi sebagai Dr Mahathir telah memberi isyarat lampu hijau kepada Najib untuk menuntut haknya sebagai Perdana Menteri.
Bagi mereka yang mencintai Umno dan perpaduan orang Melayu, mengadu-dombakan hubungan Abdullah-Najib boleh mengakibatkan perpecahan parti atau membahayakan kedudukan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Justeru itu, Musa mengatakan isu ini telah memberi kesan, malah menunjukkan tanda kemudaratan dan perpecahan dalam parti. Musa gembira Pak Lah memilih untuk memdiamkan diri, dan Najib telah membuat kenyataan yang konstruktif dengan menyeru semua pihak supaya memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri dan kepimpinannya.
Senario ini, menurut Musa, akan mempunyai impak di peringkat antarabangsa, kerana penganalisis ekonomi dan para pelabur akan membuat andaian bahawa "ada suatu perkembangan yang tidak baik sedang berlaku dalam Umno parti paling penting di negara ini."
Dr Mahathir mendakwa kritikannya dibuat atas 'kepentingan negara' dan Musa dengan sinis sekali berhujah: "Saya tidak fikir tafsiran atau terjemahan apakah itu kepentingan negara adalah "sesuatu yang boleh dimonopoli oleh hanya seorang lelaki yang dinamakan Dr Mahathir."
Oleh itu menurut Musa, Dr Mahathir terpaksa menghormati apabila Perdana Menteri dan kabinetnya turut melakukan sesuatu 'atas kepentingan negara' dan bukan mengganggap sebaliknya.
'Tikam dari belakang'
Semua kerajaan yang berkuasa apabila melaksanakan sesuatu dasar, tentu atas nama kepentingan negara, sekalipun dasar terbabit hanya menguntungkan segelintir kroninya.
Tentang dakwaan Dr Mahathir bahawa beliau telah ditikam dari belakang, kritikan Musa cukup tajam sekali: " Pada hemat saya, Dr Mahathir ialah seorang yang berkeyakinan tinggi terhadap dirinya sendiri, terhadap kemampuannya, sehingga beliau tidak jumpa orang yang lebih baik daripadanya.
"Pada hakikatnya beliau mempunyai empat Timbalan Perdana Menteri dan setiap orang mungkin beliau dakwa telah menikamnya dari belakang!
"Kalau dikatakan Perdana Menteri sekarang menikam beliau dari belakang, maka cara dia bertindak sekarang adalah tikaman belakang bertubi-tubi kali terhadap Perdana Menteri sekarang."
Tidak dapat dinafikan imej Umno dan kerajaan Barisan Nasional telah terjejas dengan tuduhan atau hakikat tikam-menikam antara pemimpin Umno dan kerajaan, termasuk bekas Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang.
Bagaimanapun, kritikan Musa bahawa Dr Mahathir diganggu sindrom pasca Perdana Menteri, mungkin tepat juga. Jika tidak, mengapa hingga sekarang masih diungkit perkara yang sudah menjadi sejarah seperti pilihan pertama atau kedua, dan tentang tabiatnya memilih orang yang salah? Adakah beliau masih berura-ura hendak menggantikan Abdullah dengan Najib? (bersambung)