Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tulisan ini saya garap pada hari Selasa 26 Mei 2020. Bulan puasa telah berlalu. Yang berpuasa telah selamat berpuasa. Hari itu hari raya ke tiga. 

Lemang, ketupat, rendang dan tapai masih ada lagi. Raya tahun ini kita berkhalwat kerana memerangi koronavirus. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuat kuasa. Walau pun PKPB wujud ini tidak menggangu kita untuk berhari raya.

Di Malaysia Hari Raya Aidilfitri seperti Hari Krismas, Dewali, Tahun Baru China ada cuti umum. Maka semua warga tahu bila puasa bermula dan bila hari raya sampai. Wajib diketahui – jangan pura-pura buat tidak tahu - bahawa di Malaysia ini ada pelbagai genre Islam. Semuanya genre-genre Islam ini akan merayakan hari raya.

Genre Islam yang saya maksudkan ini bukan Sunni dan Shiah. Bukan Wahabi atau Salafi. Di Malaysia ini ada genre lain. Dari pemerhatian empirikal , saya memberi genre Islam Malaysia kepada Islam Kahwin, Islam Kontrek, Islam Pangkat, Islam Politik, Islam Ekonomi dan Islam Kad Pengenalan.

Islam Kahwin ialah mereka yang memeluk agama Islam kerana mahu berkahwin. Ini kerana di Malaysia sesiapa yang bukan penganut Islam diwajibkan menjadi Islam dahulu jika ingin berkahwin dengan wanita atau lelaki yang beragama Islam.

Naik pangkat dan warna kulit

Menganut Islam Kahwin ini diwajibkan untuk mendapat surat nikah. Untuk melarikan diri dari dianggap mengadakan hubungan seksual tanpa kebenaran Jakim – Jabatan Agama Islam Malaysia atau apparatcik agama di negeri-negeri. Penganut Islam Kahwin ini memeluk Islam untuk mendapatkan lesen halal seks. Amin.

Islam Kontrek pula ialah bila mana seseorang yang bukan Islam mahu mendapat kontrak dan peluang perniagaan yang lumayan. Ini berlaku ketika Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan dan mengampoh.

Dengan menganut agama Islam maka kontrak dan ruang perniagaan terbuka luas. Jika sesudah masuk Islam susuk ini pergi naik Haji dan mendapat gelaran Datuk walau pun dibeli maka taraf keIslaman susuk genre ini akan melonjak naik. Perniagaan jadi kaya raya.

Islam Pangkat terdapat banyak dalam jabatan kerajaan, dalam tentera, polis dan dalam GLC – syarikat berkaitan kerajaan. Juga di kalangan ahli perniagaan. Dasar cenderung bumiputera yang diamalkan oleh United Malays National Organisation akan lebih bersimpati kepada susuk bukan Islam yang memeluk agama Islam.

Dalam jabatan kerajaan pencapaian susuk bukan Melayu tidak mungkin boleh maju hingga ke kemuncak. Pegawai kerajaan bukan Melayu mustahil akan sampai ke tahap setia usaha kerajaan. 

Hakikatnya dasar kenaikan pangkat bukan berasaskan ‘qualification’ tapi berasaskan ‘kulitfication’. Dengan menjadi Islam warna kulit akan berubah dan pangkat akan berlunjur datang. Amin.

Merempat, papa kedana

Islam Politik ini dilakukan untuk tujuan meluaskan ruang berpolitik. Politik ini bukan hanya menjurus kepada pilihan raya tetapi ada yang ngelencong ke arah ini.

Paling banyak terjumpa Islam Politik di kalangan dunia akademia. Ahli-ahli akademik yang bergelar Doktor memiliki ijazah Phd tapi bukan Islam tidak akan dipedulikan. 

Jika mahu dilihat sebagai pakar rujuk dalam media dan televisyen atau pandangan didengar oleh United Malays National Organisation maka jalan pintas ialah memeluk agama Islam.

Sementara itu, Islam Ekonomi sering berlaku di kalangan keluarga bukan Islam yang miskin. Yang merempat dan papa kedana. Yang malang menimpa berkali kali. Mereka melihat dan menyedari dasar kerajaan United Malays National Organisation dan apparatcik agamanya akan lebih bersimpati kepada saudara baru. 

Sebelum memeluk agama Islam susuk yang miskin merempat ini tidak dipandang, jauh sekali dianggap saudara.

Tup tup. Apabila si miskin ini memeluk agama Islam maka dengan serta merta mereka ditakrif sebagai saudara baru. Justeru saudara baru akan mendapat bantuan ekonomi. Amin.

Penganut Islam Budaya

Islam Kad Pengenalan ini adalah Islam paling ramai. Islam Kad Pengenalan ini wujud kerana di Malaysia agama Islam wajib dipakai pada lengan baju. Maka cara yang sopan ialah agama di cap di kad pengenalan masing-masing.

Saya bukan penganut Islam Kahwin, Islam Politik, Islam Pangkat atau Islam Kontrek. Bukan. Bukan. Bukan. Tapi agak tidak salah walau pun tidak tepat jika saya ditakrif sebagai Islam Kad Pengenalan.

Tepat lagi benar - saya adalah penganut Islam Budaya. Sebagai penganut Islam Budaya saya juga bersama merayakan budaya berhari raya. Pasti ramai kurang arif, tidak tahu apakah dia Islam Budaya. Malah tidak sedar walau pun hakikat di Malaysia dan di negara majoriti Islam – penganut Islam Budaya adalah yang teramai.

Yang indahnya ramai para penganut Islam Budaya ini sendiri tidak sedar bahawa mereka itu sebenarnya adalah penganut Islam Budaya. Mereka tahu apa yang mereka lakukan tapi tidak tahu mereka tergulung dalam konsep dan takrifan Islam Budaya.

Dalam dunia ini wujud penganut Kristian Budaya, Yahudi Budaya atau Hindu Budaya. Hakikatnya majoriti umat manusia dalam dunia ini mengamalkan pelbagai bentuk agama berbudaya.

Takrifan Islam Budaya ialah sesiapa saja yang mendahului dan merayakan budaya asal usul mereka. Anutan budaya mereka amat primodial. Wujud berakar jauh dari zaman kuno ratusan ribu tahun. 

Budaya turun temurun disampaikan dari zaman nenek moyang. Dari mulut ke mulut. Dari generasi ke generasi. Dari gaya hidup ke gaya hidup.

Justeru mereka memilih Islam sebagai agama rakyat. Mereka tidak memeluk agama Islam. Datuk nenek moyang mereka sedia Islam. Mereka dilahirkan dalam keluarga Islam. 

Mereka mungkin agnostik, pemikir bebas mahu pun ateis. Tetapi mereka tidak akan meninggalkan budaya kolektif dan pengalaman kesedaran kolektif dari alam di sekelililing mereka.

Hakikatnya Islam Budaya bukan Islam Ritualis. Jauh sekali mereka menerima budaya Arab secara total yang dijual sebagai budaya Islam tanpa tapisan fikrah yang rasional.

Islam Budaya menerima budaya Arab bukan kerana ianya Arab. Tidak juga menolak budaya Arab kerana ianya Arab. Islam Budaya rasional. Mengambil yang terbaik sebagai modal perjalanan.

Dalam masa yang sama Islam Budaya secara terbuka akan menerima dan mengguna pakai apa sahaja ciri dan pola budaya dunia dari anak semua bangsa yang merayakan kehidupan umat manusia

Islam Budaya membebaskan diri daripada kongkongan Islam yang telah dilembagakan oleh kuasa daulah. Islam Budaya menolak Islam Daulah yang berasaskan kuasa dan kuat kuasa. Islam Budaya melihat dengan jelas bagaimana lembaga-lembaga agama diwujudkan dan diberi kuasa Tuhan dalam usaha mempertahan daulah atas nama Tuhan.

Penganut Islam Budaya sedar bagaimana Islam malah apa sahaja agama telah digunakan oleh daulah untuk mengawal umat manusia. Pengalaman tamadun dari wilayah dan bangsa lain meyakinkan bahawa agama hanyalah alat yang digunakan oleh daulah untuk memperkuat kuasa.

Atas nama Yahwe, atas nama Buddha, atas nama Isa dan atas nama Allah atas nama Krishan kita melihat bagaimana agama ini telah dipergunakan demi mengumpul kuasa untuk menjarah harta kekayaan.

Di Israel, Yahwe dikatakan telah memberi ayat persetujuan untuk menjarah tanah Palestin. Di Myanmar Buddha dikatakan telah bersetuju agar warga Rohingya dibantai dan dihalau keluar dari Myanmar. 

Di Eropah nama Isa telah menghalalkan darah sesiapa sahaja yang bukan berkulit putih. Di Bharat India, darah bertabur dan mayat penganut Islam bergelimpangan atas nama Krishna.

Di Nigeria, Mali, Syria, Pakistan, Kurdistan, Allah dikatakan telah mengeluarkan ayat-ayat untuk bersetuju agar dibunuh, dibakar atau diledakkan sesiapa sahaja yang dianggap tidak bersetuju atau membawa ajaran sesat.

Penganut Islam Budaya menolak semua ini. Islam Budaya tidak mengakui bahawa dirinya lebih atas dari yang lain. Atau lebih bawah dari yang atas. Islam Budaya menganjurkan kesaksamaan umat.

Islam Budaya melihat bahawa anak semua bangsa dan bangsa semua agama adalah sama sedarjat. Bumi ini adalah Ibu Pertiwi. Bumi manusia ini milik anak semua bangsa dan bangsa semua agama.

Tolak terima, tapis, pakai

Di Malaysia ini, bayangkan betapa meriah dan indahnnya kehidupan jika kita bersama-sama merayakan pelbagai perayaan dari Krismas, Dewali, Tahun Baru China, Gawai. Hidup ini adalah perjalanan. Dalam perjalanan kita singgah menyinggah. Kita tumpang menumpang. Kita ambil mengambil. Kita tolak terima. Tapis dan pakai.

Ketika saya kanak-kanak, konsep duit raya tidak wujud di kampung-kampung. Ini fenomena beraya di bandar. Bila kedudukan ekonomi kampung bertambah baik budaya ini menjalar ke kampung.

Akhirnya kita temui bagaimana budaya Tionghua memberi sampul merah Ang Pau pada sambutan pesta Tahun Baru Cina telah diubah suai oleh Islam Budaya untuk menjadi sampul hijau – duit raya. 

Budaya sampul hijau datang dengan sendiri. Tanpa arahan. Tanpa ayat. Tanpa warta Jakim atau Jais. Inilah indahnya Islam budaya.

Bagitu juga main mercun, bunga api dan meriam buluh. Membakar mercun dan bunga api pasti datang dari budaya Tionghua. Di kampung di mana modal kurang anak anak membakar meriam buluh. 

Budaya membuat bising ketika berpesta daripada budaya Tionghua kini menjadi ikutan anak semua bangsa. Dewali mercun meletup, Krismas dan perayaan Tahun Baru Cina mercun dan bunga api meletup. Berkahwin dan menyambut pengantin pun mercun dibakar.

Perlu diberitahu bahawa lemang dan ketupat yang menjadi simbol yang amat penting dalam Islam Budaya datangnya dari cara memasak Sakai. Hingga ke hari ini Orang Asli masih menggunakan buluh untuk memasak nasi atau ubi.

Tapai. Jangan kita lupakan tapai. Tapai adalah simbol ulung tanda mercu keagungan Islam Budaya. Pada satu ketika dulu diberitakan ada niat untuk mengharamkam tapai. Ini kerana tapai ini mengandungi alkohol. Satu tangga lagi untuk menjadi samsu. Gawai itu adalah pesta menuai – pesta air tapai

Inilah contoh ciri dan bentuk budaya yang menyerap masuk daripada pelbagai bangsa. Masa dan suasana menjadi Tok Mudim dan Mak Andam untuk menyambut kelahiran ciri budaya baru ini.

Sebagai penganut Islam Budaya dalam suasana memerangi Covid-19 tahun 2020 ini saya berhari raya dengan lemang, rendang dan ketupat. Untuk pertama kalinya dalam dua dekad ini saya berhari raya tanpa tapai. Amin. 


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS