Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya mula tahu watak Robin Hood sejak kecil, sebelum zaman persekolahan. Kisahnya diceritakan kepada saya oleh allahyarham bapa saya.

Pada zaman televisyen hitam putih saya tonton kisah Robin Hood setiap minggu di kaca TV. Masa itu saya sudah ke sekolah rendah. Siri Robin Hood antara kegemaran saya dan kawan kawan yang tinggal di Jalan Daud Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Robin Hood, Robin Hood, Riding through the glen, Robin Hood, Robin Hood with his band of men”.

Begitu bunyi lagu tema siri itu di TV hitam putih. Betapa mendalamnya kesan kisah itu sehingga sampai sekarang saya masih ingat lirik lagu tema itu.

Menurut folklore atau kisah rakyat Inggeris, Robin Hood seperti semua tahu ialah watak wira di England. Bersama kumpulan orangnya, yakni “his band of merry men”, mereka merompak golongan kaya dan beri hasil rompakan kepada orang miskin.

Lalu Robin Hood diangkat sebagai wira oleh masyarakat khususnya orang miskin. Namun hakikatnya tindakan merompak adalah salah. Lantas hasil rompakan yang diberi kepada si miskin adalah tidak bersih. Ikut istilah kita, “haram.”

Pun begitu masyarakat tidak menghiraukan itu semua. Boleh dikatakan tindakannya “dihalalkan “rakyat marhaen ketika itu”.

Sebabnya? Robin Hood dan orang orangnya menentang kezaliman si pemerintah iaitu Sheriff of Nottingham yang menindas rakyat.

Sheriff of Nottingham adalah sekutu Putera John yang memerintah England (dengan kejam) ketika raja yang sah iaitu Raja Richard berperang dengan tentera Islam di Jerusalem, yang mereka anggap the holy land atau tanah suci.

Kisah Robin Hood banyak diceritakan melalui buku, komik dan filem khasnya terbitan Hollywood. Pelbagai versi diterbitkan, sehingga ke era ini.

Kesimpulannya Robin Hood bukan penjenayah. Sebaliknya dia seorang wira kerana dia “robs the rich and gives to the poor.”

Di tanah air, pada lewat tahun 70-an ada seorang ketua kumpulan kongsi gelap yang terkenal kerana melakukan rompakan nekad dan dramatik khususnya di Kuala Lumpur .

Biasanya dia dan geng merompak kedai emas ternama dan melarikan barang kemas bernilai ratusan ribu.

Rompakan Kelab Lumba Kuda KL

Pernah juga mereka merompak hasil kutipan judi di Kelab Lumba Kuda Kuala Lumpur yang dulunya terletak di lokasi KLCC sekarang. Hasil rompakan itu, ratusan ribu wang tunai diperoleh.

Lalu dia disenaraikan sebagai orang yang paling dikehendaki polis ketika itu. Namanya Wong Swee Chin. Atau lebih dikenali sebagai Botak Chin.

Semasa “kehebatan” Botak Chin diceritakan, saya baru diterima bekerja oleh akhbar The New Straits Times sebagai pemberita yang membuat liputan kes jenayah.

Terus terang saya nyatakan oleh kerana saya pemberita baru saya tidak berpeluang membuat liputan rompakan besar yang dilakukan Botak Chin.

Botak Chin

Saya juga tidak membuat liputan serbuan polis ke atas kilang papan di Jalan Ipoh di mana dia ditangkap setelah sekian lama diburu.

Setelah dibicarakan dan didapati bersalah mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Botak Chin.

Ketika menunggu tarikh hukuman dijalankan, Botak Chin mengamuk di Penjara Pudu dan mencederakan beberapa orang termasuk pegawai penjara. Insiden itu saya liputi. Pengalaman berharga buat saya.

Tapi itu bukan ceritanya untuk artikel ini. Yang ingin saya utarakan di sini ialah pernah saya bersama beberapa pemberita meja jenayah akhbar lain, bertanya pegawai polis yang dikagumi ramai ketika itu, mendiang S Kulagsingam dan Kenny Woodworth.

Sama ada Botak Chin boleh dilihat sebagai Robin Hood kerana kami ada dengar orang beranggapan demikian.

Kedua-dua pegawai polis berkenaan (yang merupakan ace crime buster atau pembanteras jenayah terunggul zaman itu) menolak anggapan sedemikian kerana Botak Chin kata mereka adalah seorang penjenayah, perompak dan pembunuh kejam.

Dan dia melakukan segala bentuk jenayah di negara yang mengamalkan peraturan antijenayah dan mempunyai sistem perundangan dan kehakiman.

Saya simpulkan apa yang mereka katakan seperti ini: “Botak Chin melakukan jenayah untuk meraih keuntungan diri sendiri dan bukan menentang rejim zalim (seperti yang dilakukan Robin Hood)”.

Botak Chin, Pablo Escobar

Bagi kedua-dua pegawai polis itu, menggelar Botak Chin sebagai Robin Hood adalah mengagungkan jenayah.

Bercakap mengenai jenayah, drug lord atau raja dadah Columbia yang ganas lagi kejam tetapi terkenal, Pablo Escobar juga pernah digelar sesetengah pihak sebagai Robin Hood.

Pablo Escobar 

Mungkinkah dia ada membuat sumbangan hasil aktiviti jenayah kepada orang miskin di negaranya?

Di negara ini ada pemimpin masyarakat dan pemimpin politik terkenal yang melakukan jenayah. Biasanya rasuah. Ada yang ditangkap dan dijatuhi hukuman setelah dibicarakan.

Contohnya pada lewat tahun 70-an ada pemimpin politik yang didapati bersalah melakukan rasuah dihukum penjara. Ketika dia ditangkap ramai penyokongnya mendakwa kes itu berkaitan politik mengikut agenda pihak yang memusuhinya .

Apabila bukti dibentang di mahkamah yang akhirnya mendapati pemimpin itu bersalah penyokong malah masyarakat setempat percaya atau diyakini pihak tertentu dia mengambil wang rasuah bukan untuk dirinya.

Sebaliknya mereka percaya rasuah dilakukan dan digunakan untuk membantu rakyat.

Lantas mereka maafkan si pemimpin dan seolah-olah “menghalalkan’ rasuah yang dilakukan. Rob the rich give to the poor ala Robin Hood gamaknya.

Anggapan atau kepercayaan seperti itu masih boleh kita dengar hingga sekarang apabila pemimpin politik terutama mereka yang “popular” didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

Cuma mereka yang memegang pendirian demikian tidak bertanya, daripada jumlah yang disonglapkan itu berapa percent diguna untuk sendiri, berapa percent untuk “disedekah” kepada golongan miskin dan susah?

Teringat filem Nujum Pak Belalang lakonan P Ramlee dan Bat Latif. Ada satu adegan penyamun bernama Badan bersama rakannya bernama Nyawa (lakonan Aziz Sattar dan S Shamsudin ) membahagikan hasil percurian mereka .

Lalu kiraan dibuat dengan berkata: “Satu untuk kau, satu untuk aku.”

Begitu jugakah perkiraan yang dibuat para pemimpin politik rasuah semasa “membahagikan” wang songlap antara mereka dengan rakyat yang percaya si pemimpin tidak bolot semua?

Atau mungkin ada kira cara lain?


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS