Paling Popular
Terkini

Jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) merupakan petanda bahawa perlunya Amanah menilai semula kedudukan dalam PH. Penilaian semula itu perlu bagi menentukan kelestarian Amanah sebagai sebuah parti yang progresif dan dinamik.

Keputusan mahkamah mengenai ke Najib Razak mengocakkan semula perkiraan politik tanah air. Tambahan pula beberapa kenyataan pimpinan Umno terhadap keputusan tersebut memberikan gambaran jelas bahawa mereka sebenarnya hampa.

Umno juga akan menilai kembali pilihan politik yang ada pada mereka. Umno berasa tidak lagi selamat berada di bawah Muhyiddin Yassin. Pun begitu Umno dijangka akan kekal dalam kerajaan. Itulah lubuk mereka selama berdekad-dekad.

Kelmarin Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baru. Ini satu lagi ruang untuk Amanah membuat pilihan. Dalam sistem demokrasi, asasnya ialah kewujudan pilihan. Dan pilihan boleh dibuat secara bebas.

Demokrasi juga secara umumnya mengenai persoalan majoriti dan minoriti. Ia adalah berkaitan angka. Sangat objektif.

Umno dan PAS membuat pilihan untuk bersama dengan Bersatu. Amanah juga ada pilihan politik sendiri, tetapi Amanah sangat terikat dengan PH. PH pula merupakan pakatan politik yang sangat demokratik untuk anggotanya.

Laksanakan asprirasi perjuangan 

Justeru anggota PH boleh memanfaatkan semangat demokrasi yang ada dalam gabungan tersebut.

Berbeza pula halnya dengan politik. Politik sarat dengan perkara-perkara subjektif, spekulatif dan jangkaan masa hadapan. Dalam mengimbangi antara politik yang subjektif dengan demokrasi yang objektif, pemimpin tidak sekadar mesti bijaksana, tetapi perlu juga mempunyai 'hati kering' dan tegar membuat keputusan.

Ia biasanya tidak popular, tetapi mempunyai kesan jangka panjang yang baik untuk parti.

Amanah perlu membentuk pilihan yang ada untuk difikirkan bagi melakukan langkah tepat.

Pilihan itu tentu sahaja demi kelangsungan perjuangan parti dalam memperolehi kuasa politik bagi menerajui pemerintahan negara. Melalui kuasa politik, Amanah - sebagai sebuah parti - dapat melaksanakan aspirasi dan objektif perjuangannya.

Pilihan-pilihan tentu sekali akan berubah mengikut perubahan iklim politik semasa.

Parti baru yang ditubuhkan Mahathir nampaknya mengambil jalan tengah. Mereka tidak menyokong Perikatan Nasional (PN) tapi tidak pula memilih PH. Parti baru itu mahu jadi parti penentu kerajaan.

Berbekalkan enam anggota parlimen, kemampuan parti Mahathir tidak boleh dipandang ringan. Dia mungkin merealisasi  kerajaan perpaduan merangkumi pelbagai parti seperti pernah dilontarkannya di ambang kejatuhan kerajaan PH.

Apakah Amanah kekal dalam keadaannya seperti yang ada pada hari ini? Apakah Amanah akan meneruskan usaha mendapatkan jumlah ahli parlimen yang mencukupi untuk Anwar Ibrahim diangkat menjadi perdana menteri?

Pertanyaan kedua di atas merupakan pendirian utama PH. Itulah pilihan yang tertulis sama ada melalui dokumen perakuan bersumpah (SD) ataupun kenyataan media meskipun sehingga kini Anwar masih belum dapat menggapainya.

Amanah terus kekal bersetia pada pilihan tadi. Amanah sudah lama berada dalam kerangka pilihan berkenaan.

Pada masa sama Amanah dan DAP berhak untuk tidak bersetuju dengan keputusan PKR dan membuat penjajaran semua pakatan politik dalam PH. Itulah yang termaktub dalam Perlembagaan PH - memberi kuasa untuk setiap parti menetapkan pendirian.

Dalam perlembagaan ia tidak lagi menggunakan istilah "konsesus" ataupun "bersetuju untuk tidak bersetuju".

Macam telur di tanduk 

Istilah ini sangat mengikat dan kedinamikan politik terencat. Dalam keadaan terkenang begitu maka selama-lamanya Amanah akan dibayangi Anwar dan PKR.

Cadangan Mahathir untuk kombinasi Mohd Shafie Apdal - Anwar adalah suatu tolak ansur daripada bekas perdana menteri itu. Maknanya, kedudukan Mahathir sebagai perdana menteri hanyalah sementara bagi melakukan proses peralihan kuasa.

Sementara itu pilihan raya Sabah akan memberi peluang kepada Mohd Shafie mengubah landskap politik Malaysia. Pilihan raya negeri (PRN) itu akan menjadi serampang dua mata - untuk politik Sabah dan juga Malaysia.

Amanah juga boleh memilih untuk mewujudkan pakatan bersama Muhyiddin dengan mengekalkan dia sebagai perdana menteri. Ketika Umno terus memberi tekanan, bohonglah kalau kita percaya Muhyiddin enggan mencari jalan untuk memperkukuhkan kerajaan PN.

Dalam keadaan begitu Amanah boleh menjadi rakan yang memperkukuhkan kerajaan. Pilihan ini mungkin menyebabkan Amanah meninggalkan Mahathir.

Ia merupakan pilihan yang munasabah jika Amanah mahu memposisikan parti sebagai anggota kerajaan. Keadaan politik Muhyiddin tidaklah kukuh. Sesekali ia dilihat bagai telur di hujung tanduk Umno.

Mengenai Muafakat Nasional yang mahu memasukkan Bersatu bersama PAS dan Umno, ia boleh dianggap sebagai sebuah pakatan terdesak. Jika menjadi kenyataan, ia adalah kerjasama yang masing-masing saling mencurigai.

Ia hanya dapat ditenangkan dengan habuan jawatan dan kuasa saja.

Sebenarnya Muhyiddin lebih menerima Amanah jika dibandingkan dengan PKR dan DAP. Idea kerajaan tanpa DAP dalam PH dikemukakan sendiri oleh Muhyiddin kepada Amanah. Maka Amanah bukan ancaman kepada Muhyiddin.

Hanya pasrah saja

Pilihan ini memaksa Amanah duduk satu bakul dengan PAS, Bersatu dan Umno. Dalam politik, itu disebut sebagai kedinamikan. Bukan suatu patah balik atau pusingan U.

Ia pernah berlaku dalam politik, dan terus berlaku setiap hari. Berdekad-dekad PAS berkerat rotan berpatah arang dengan Umno, kini mereka bersatu bagai tidak boleh dipisahkan sehingga kiamat. Itulah Tuhan punya kuasa.

Bak kata Abdul Hadi Awang, kini PAS tidak boleh dipisahkan dengan Bersatu dan Umno.

Soal prinsip dalam politik adalah perkara furu’. Ia boleh diubah-ubah demi menggenggam kuasa. Hujah boleh diberikan atas tindakan yang diambil. Ada maslahah (kepentingan) ummah.

PAS ternyata lebih berani melakukan tindakan politik berbanding Amanah. Amanah teguh sebagai parti yang berprinsip pada falsafah perjuangannya. Inilah kelemahan Amanah yang tiada dalam PAS.

Amanah seharusnya mengambil pendekatan seperti PAS yang mampu menggunakan hujah agama demi mendapatkan kuasa politik. Ini kerana PAS sekian lama mendoktrinkan kepada orang ramai bahawa agama hanya dapat ditegakkan dengan kuasa.

Kepimpinan PAS berjaya mengepung pemikiran pengikutnya untuk pasrah saja atas segala apa keputusan pemimpin.

Itu yang berlaku pada Umno dan PAS. Langkah mereka sangat berkesan dilaksanakan dalam lingkungan masyarakat kurang membangun atau baru cuba membangun.

Mereka faham, pendekatan politik mestilah berasaskan tahap pemikiran semasa masyarakat. Pendekatan politik tidak boleh terlalu merujuk buku, sarjana ataupun idealis.

Maka Amanah juga bebas membuat pilihan membentuk pakatan dengan mana-mana parti atau ahli parlimen bagi membentuk pakatan baru. Pilihan ini bergantung kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kemampuan mengetuai pakatan bersama.

Sama ada dengan Mahathir atau Anwar atau Muhyiddin. Atau Amanah sendiri mengambil langkah mengetuai pakatan politik baru itu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, acap kali menyebut beliau sanggup tidak menjadi menteri jika Mahathir dan Anwar sepakat mengambil alih kerajaan.

Maknanya, beliau tidak berminat kepada jawatan. Amanah boleh namakan sahaja Salahuddin Ayub atau Dr Dzulkefly Ahmad atau siapa sahaja sebagai calon perdana menteri dari Amanah.

Jika Amanah membuat pilihan untuk menetapkan pendirian, Amanah lebih realistik dalam politik Malaysia. Apa yang ada kini, Amanah masih terawang-awang menanti sinar yang tidak kunjung tiba.

Amanah jangan buang masa dalam membuat keputusan.

Mungkin ada pilihan lain yang Amanah perlu ambil. Tapi mungkin juga tiada. Yang penting, Amanah mesti membuat pilihan. Tidak boleh berada di tengah-tengah atau orang tengah.


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei dan buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS