Paling Popular
Terkini

Perumahan Pak Mahat di Kuantan ialah petempatan penduduk yang berpendapatan rendah. Sebahagian besar penduduk di kawasan perumahan itu adalah bekas penduduk setinggan sekitar bandar Kuantan.

Apabila kawasan perumahan mereka huni dulu dirobohkan untuk dibangunkan, penduduknya dipindah dan dikumpulkan di Perumahan Pak Mahat.

Seperti mana-mana kawasan yang dihuni oleh golongan perkerja, persekitaran Perumahan Pak Mahat amat tidak sesuai untuk tumbesaran kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Kami pernah ke kawasan berkenaan dan mendapati betapa kanak-kanak masih berkeliaran bermain dan membuang masa walaupun jam sudah 12 tengah malam.

Kanak-kanak yang di bawah umur persekolahan juga didapati masih bermain-main dan melakukan aktiviti masing-masing ketika waktu itu mereka sepatutnya berehat.

Seluruh kawasan berkenaan juga agak kotor. Sampah-sarap boleh dilihat ada di merata-rata tempat, sementara laluan di beberapa tingkat rumah pangsa berkenaan dicemari najis kucing.

Mungkin hal najis kucing itu boleh diatasi apabila ada undang-undang dikuatkuasakan bagi menghalang penduduk membela binatang peliharaan.

Namun membela nasib kanak-kanak yang menghabiskan banyak masanya tanpa melakukan perbuatan faedah hanya dapat dilakukan dengan memberi mereka pelajaran.

Dapat sambutan baik

Dengan pelajaran mereka mempunyai sedikit peluang untuk keluar daripada kitaran hidup yang seolah-olahnya akan terus-menerus menjadi nasib malang dalam seluruh kehidupan mereka.

Menyedari hal ini, sebuah NGO mula membuka sebuah kelas bimbingan akademik secara percuma kepada kanak-kanak di kawasan Perumahan Pak Mahat.

Segala perbelanjaan dan tenaga kerja diusahakan oleh kumpulan NGO berkenaan.

Pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kemudian sudi membenarkan NGO berkenaan menggunakan sebuah bilik pentadbiran yang tidak digunakan sebagai pusat bimbingan tersebut.

Kelas berkenaan mendapat sambutan yang baik daripada kanak-kanak sekitar kawasan terbabit.

Memikirkan yang mereka yakni NGO itu hanya berada di kawasan berkenaan sekitar sekali dalam seminggu, maka satu idea untuk menyediakan perpustakaan buat kegunaan penduduk tempatan dilahirkan.

Maka usaha ke arah itu segera digerakkan.

Kerja-kerja mengumpul dana untuk membeli sebuah kontena terpakai untuk dijadikan perpustakaan dilakukan. Kerjasama daripada beberapa pihak juga telah diterima.

Pihak Perpustakaan Awam Negeri Pahang juga bersetuju untuk membantu manakala keputusan untuk meletakan kontena tersebut juga telah dipersetujui oleh pihak MPK.

Perlu dapat kerjasama

Malang sedikit apabila setelah semua usaha mula membuahkan hasil; sewaktu kontena tersebut mahu diletakkan di tempat yang dipersetujui; pihak MPK meminta kerja-kerja itu dihentikan.

MPK meminta pihak NGO terbabit supaya membuat perbentangan atau taklimat khas sebelum kelulusan untuk meletakkan kontena tersebut diberikan.

Syed Azimal Amir, wakil NGO yang bertanggungjawab ke atas projek tersebut mengatakan bahawa apa yang berlaku itu sedikit sebanyak membuatkan pihaknya berasa kesal.

Kontena sepanjang 40 kaki tersebut terpaksa dipindahkan ke suatu tempat lain sementara menunggu kelulusan yang baru daripada MPK.

Mencari satu kawasan yang boleh memuatkan kontena berkenaan dalam masa yang singkat tentu saja adalah mustahil manakala ianya juga memerlukan belanja yang agak besar.

Mengangkut dan memindahkan kontena bukanlah sama seperti mengangkut dan memindahkan bagasi menteri yang baru balik melancong di Turki.

Birokrasi seperti yang dialami NGO itu tentu saja akan melemahkan pihak-pihak yang mahu melakukan kerja amal tanpa membawa bersama mereka sebarang agenda tersembunyi.

Pihak yang berkenaan sepatutnya memberikan kerjasama kepada mana-mana badan yang - jika kita sedar - sedang melakukan tugas yang sepatutnya dikerjakan oleh kerajaan.

Semua foto untuk artikel ini diambil dari Facebook REACh Malaysia.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS