Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | 'Kita mogok!'

Muhaimin Sulam

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Okt 2020, 1:03 pagi

Susuk seniman serba boleh bernama P Ramlee memang selalu diceritakan orang. Selain seorang penggiat seni anak kelahiran Pulau Pinang itu juga diingat kerana daya kepimpinannya serta berjiwa sosialis.

Cuma hal sebeitu jarang dikongsikan orang ramai walaupun karya-karya P Ramlee sarat dengan sindiran dan pengajaran buat masyarakat.

Kerana itulah filem-filem P Ramlee sering diselitkan dengan kritikan sosial berdasarkan situasi semasa dan ia digarap dengan baik di sebalik jenaka yang bersahaja.

Kritikan P Ramlee kepada golongan kaya yang bersifat kapitalis banyak dijadikan bahan dalam filem-filemnya. Misalnya melalui Antara Dua Darjat, Penarik Beca dan Labu Labi.

Pada masa sama, kehidupan P Ramlee di luar layar perak merupakan tokoh yang sangat peduli kepada kebajikan masyarakat bawahan, pekerja dan golongan yang tertindas.

Dalam catatan Abdullah Hussein, Sebuah Perjalanan yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka cetakan 1984 menceritakan bagaimana P Ramlee memimpin kesatuan sekerja di Singapura.

Pertubuhan itu diberi nama Persatuan Artis Malaya (Persama) dan Salleh Ghani dilantik menjadi sebagai setiausahanya.

Majoriti anggota persatuan terdiri daripada artis yang berada bawah Malay Film Production (MFP), iaitu syarikat miliki Runme Shaw dan adiknya Run Shaw dan beroperasi di Jalan Ampas.

Larang artis sertai pertunjukan

Ramai pelakon terkenal bekerja secara kontrak dengan syarikat tersebut. Selain P Ramlee artris yang bekerja secara kontrak di situ termasuklah Saadiah, Sarimah dan S Shamsuddin, manakala yang lain bekerja dan dibayar gaji berasaskan lakonan dalam sesebuah filem.

Artis yang diikat secara kontrak juga mendapat bayaran tambahan - sekiranya filem mereka siap - dan bonus jika ia mendapat sambutan. Kadar bayaran artis ketika itu bergantung kepada peranan yang dimainkan dalam filem.

Namun biasanya tidak melebihi RM1,500 bagi satu filem yang memakan masa tiga bulan untuk disiapkan.

Sebagai pemimpin persatuan artis yang bertujuan menjaga kebajikan ahlinya, P Ramlee - melalui pertubuhan itu - mengadakan pertunjukan amal di New World Park. Mereka juga mendapat kerjasama daripada MFP.

Tempat pertunjukan itu pula memang milik Shaw Brothers juga.

Tetapi setelah kesatuan mereka mengadakan pertunjukan berkenaan di Happy World Park, MFP mengeluarkan larangan kepada artis yang berada di bawah syarikat itu daripada menyertai majlis tersebut.

P Ramlee sendiri menerima surat amaran daripada majikannya tetapi dia tetap meneruskan persembahan bagi mengutip derma untuk tabung kebajikan ahli persatuan.

"Biar dia seret saya ke mahkamah. Saya tidak peduli. Saya bermain untuk persatuan saya," kata P Ramlee seperti yang dicatat oleh Abdullah Hussein dalam memoirnya.

Ketika itu, artis lain yang berada di bawah MFP seperti Sarimah, Mariam dan lain-lain juga membuat persembahan.

Selepas itu, hubungan mereka dengan MFP agak dingin. Ia bertambah tegang apabila kontrak P Ramlee tidak disambung. P Ramlee kemudian ditawarkan oleh Cathay Keris menjadi artis di bawah syarikat tersebut.

Suruhanjaya Buruh campur tangan

Pada masa sama Musalmah - pelakon dan bendahari persatuan - dipecat oleh syarikat. Omar Rojik yang menjadi orang kuat persatuan pula tidak disambung kontraknya.

Tekanan kepada artis terbabit memaksa Persama membuat pertemuan. Satu mesyuarat diadakan di rumah Musalmah di Tembeling Road bagi membincangkan isu tersebut.

Mereka kemudian memutuskan untuk menghantar protes dan menuntut kenaikan gaji. Jika majikan enggan memenuhi permintaan itu, mereka akan mogok.

Bagaimanapun, P Ramlee menyuarakan rasa tidak setuju dengan tindakan mogok itu. Ini kerana, bagi dia, ia akan menyulitkan keluarga sekiranya mogok berpanjangan.

P Ramlee sedar jika mogok itu gagal mencapai matlamatnya ada risiko besar kepada artis baru seperti sukar mendapat pekerjaan. Namun ahli-ahli Persama tetap mahu mogok.

Akhirnya P Ramlee akur dengan keputusan ramai. "Kita mogok!" katanya.

Keputusan itu adalah detik sejarah dalam dunia kesenimanan. Sebelumnya cuma pekerja sektor pengangkutan dan kilang saja berani melancarkan mogok.

Mogok Persama mendapat liputan meluas dan sokongan umum. Banyak bantuan makanan dan sokongan moral diberikan kepada pekerja yang mogok. Namun majikan tetap enggan memenuhi permintaan kesatuan itu.

Hanya selepas Suruhanjaya Buruh ikut campur tangan barulah MFP bersetuju ke meja rundingan. Seorang peguam, T T Rajah mengiringi wakil Persama - diketuai P Ramlee, disertai Rohaizat, Ahmad Kecik, Jamil Sulong dan Abdullah Hussein - untuk bertemu dengan pihak majikan.

Lebih banyak berpolitik

Namun tidak semua artis ketika itu menyokong tindakan Persama. S Kadarisman antara yang dikatakan sebagai promajikan. Dalam temu bual dengan Mohd Yusuf Ahmad yang disimpan dalam Arkib Singapura, S Kadarisman berkata kewujudan kesatuan sekerja menyebabkan kerjasama secara pasukan berkurangan di MFP.

Katanya, masing-masing bekerja berdasarkan ruang lingkup yang diberikan sahaja.

Bagi S Kadarisman, syarikat itu banyak memberi kebajikan kepada artis termasuk menyediakan rumah kepada sebahagian daripada mereka di Boon Teck Road.

Dia berpendapat kesatuan sekerja lebih banyak bermain politik daripada menjaga kebajikan ahli.

Tidak cukup dengan membawa kes tersebut ke Suruhanjaya Buruh juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman.

Singapura pada masa itu adalah sebahagian daripada Malaysia. P Ramlee bersama yang lain-lain berkereta dari Singapura ke Kuala Lumpur. Antara yang menyertai rombongan tersebut ialah Norizan yang juga isteri P Ramlee.

Dalam pertemuan dengan Tunku Abdul Rahman itu, P Ramlee sendiri menyuarakan tuntutan mereka.

Tunku Abdul Rahman berjanji untuk meminta MFP mempertimbangkan tuntutan mereka dengan sewajarnya. Perdana Menteri itu melantik Senu Abdul Rahman sebagai wakil bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Akhirnya Shaw Brother akur dengan tuntutan kesatuan dengan mengambil kira campur tangan Tunku Abdul Rahman.

Omar Rojik dan Musalmah diambil bekerja oleh MFP dan gaji pekerja juga dinaikkan. Proses itu berlangsung selepas rundingan secara mendalam diadakan di antara pimpinan Persama dengan MFP.

Namun P Ramlee enggan bertemu dengan bekas majikannya itu.

Tidak diketahui alasan dia berbuat demikian. Setelah berpindah ke Kuala Lumpur, karya-karya P Ramlee sedikit demi sedikit merosot sehingga dia dilihat disisih dalam dunia hiburan.

Begitulah akhirnya riwayat hidup seorang Seniman Agung bernama P Ramlee.

Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah.


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei dan buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.