Paling Popular
Terkini
story images
story images

Sejak penularan Covid-19 di awal tahun 2020 ini, secara tiba-tiba kegiatan terrorisme kelihatannya berkurangan dan tidak menjadi ancaman kepada masyarakat dunia seluruhnya. Apa yang terjadi sebenarnya? Adakah terroris ini takut kepada virus Covid-19 atau terrorism sudah lemah dan menanti masa untuk ditamatkan riwayatnya.

Di Malaysia pula kes tangkapan terroris menjadi ‘sifar’ dan sirna. Adakah kerana berlakunya perubahan kepimpinan di pihak PDRM terutamanya dengan rombakan di unit E8 termasuklah penukaran bekas pengarahnya, Dato Ayob Khan. Malah landskap politik dengan perubahan kerajaan BN kepada PH dan seterusnya kepada PN juga sedikit sebanyak mengubah cerita terrorisme di negara ini?

Saya cuba menjelaskan keadaan ini dengan melihat aspek global dan lokal agar dapat difahami dengan tuntas dan mudah. Harus disedari sebenarnya terrorisme tetap berlaku dan mencengkam dunia, akan tetapi ia menjadi agak kurang sensasi apabila tumpuan media dunia adalah lebih kepada isu berkaitan Covid-19. Keselamatan industri makanan dan keselamatan industri kesihatan mengatasi isu-isu pertahanan dan keganasan.

Covid di mata terroris

Terroris juga melihat dan meyakini ancaman Covid ke atas mereka. Maka mereka sebolehnya cuba mengelakkan pelbagai aktiviti yang boleh mendedahkan mereka kepada virus ini secara langsung. Keadaan ini lebih kepada yang mengikut jalur Al-Qaeda, kelompok ini lebih sederhana dalam memberi reaksi terhadap Covid-19. 

Al-Qaeda cuba menggelakkan apa sahaja jenis pertembungan dan serangan secara bersemuka, mereka meyakini serangan virus ini menyerang semua manusia tanpa mengira pegangan agama dan aliran pemikiran. 

Pada ketika Covid ini, Al-Qaeda lebih memfokuskan kepada mendalami asas akidah, syariah dan objektif perjuangan melalui tarbiah (pendidikan) sama ada secara langsung di firqah-firqah yang dimiliki di Afghanistan dan Syria. 

Pada masa yang sama juga, propaganda Al-Qaeda terus dikembangluaskan melalui media sosial untuk melahirkan pimpinan seterusnya sebagaimana yang dinyatakan dalam RAND Corp Report tahun 2020.

Bagi ISIS pula, mereka masih aktif melakukan pelbagai bentuk serangan di lokasi-lokasi panas seperti di Iraq, Syria, Nigeria dan Sudan. Kelompok ini melihat virus bukan ancaman tetapi tentera Allah kepada musuh-musuh Islam. Ini jalur yang berbeza dengan Al-Qaeda. 

Kelompok ISIS kelihatannya amat senang dengan Covid yang dilihat sebagai bantuan terutamanya untuk membunuh komunis China di atas segala bentuk kekejaman yang dilakukan ke atas masyarakat Muslim Uyghur. 

Malah Covid-19 ini juga dilihat sedang membunuh masyarakat Barat iaitu Amerika yang senantiasa memusuhi Islam. Sekurang-kurangnya 12 majalah dan buletin dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris seperti Naba dan Dabiq telah diterbitkan ISIS dalam proses indoktrinasi masyarakat massa di musim-musim Covid ini. 

Malah ISIS juga dilihat amat aktif melakukan pelbagai serangan dan aktiviti terrorisme di pelbagai kawasan konflik seperti Iraq, Syria, Afghanistan, the Philippines, India, Bangladesh, Thailand, Indonesia, Myanmar, Mali, Zambia, Nigeria, Somalia, Libya and Morocco. 

ISIS juga direkodkan telah menggalakkan pengikut-pengikutnya untuk melakukan serangan di tempat atau negara masing-masing akibat daripada sekatan perjalanan yang berlaku kerana Covid ini. Agen risikan Amerika, CIA merekodkan kenaikan lebih 800 peratus perekrutan terrorisme yang berlaku melalui media-media sosial di seluruh dunia.

Dasar luar Amerika dan Israel 

Kesan besar mengapa terrorisme merudum pada musim Covid ini adalah dasar luar dua negara utama dunia ini. Dasar luar Amerika pada masa ini sudah beralih 360 darjah, fokusnya bukan lagi kepada terrorisme sebaliknya Presiden Donald Trump sedang bergelut untuk mempertahankan kerusi presiden yang akan ditandinginya buat kali kedua pada November nanti. 

Dasar luar Amerika di zaman Trump ini dilihat lebih memfokuskan kepada perjanjian damai Israel dengan negara-negara Asia Barat termasuklah UAE dan Bahrain. 

AS juga dilihat lebih menumpukan pembangunan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyatnya berbanding melakukan provokasi ke atas negara- negara yang dimusuhinya seperti Iraq, Sudan, Korea Utara dan Cuba. 

Malah kebangkitan Turki sejak akhir-akhir ini juga menyebabkan Amerika memperlahankan hegemoninya ke atas negara-negara lain. 

Permusuhan dengan China dalam perang perdagangan ketika ini juga menjadikan Amerika semakin sibuk menangani apa yang disebut penjajahan terancang China ke atas ekonomi Amerika termasuklah melalui syarikat telekomunikasi Huawei, industru makanan, pembuatan dan lain-lain lagi. 

Kelemahan ekonomi Amerika di masa pentadbiran Trump ini juga menyebabkan industri persenjataan menjadi semakin perlahan dan permintaannya semakin berkurangan.

Seperkara yang harus difahami masyarakat dunia adalah landskap geopolitik Asia Barat. Pada masa ini, Israel juga berada pada posisi yg cukup selesa atas kelemahan musuh-musuhnya seperti Iraq dan Lebanon serta Hamas. Ditambah pula dengan hubungan diplomatik bilateral antara Israel dengan negara-negara Arab dan kejayaan mendapatkan pengiktirafan dari negara-negara besar untuk mengiktiraf Baitul Maqdis @ Jurusalem menjadi ibu negara Israel. 

Perjanjian yang telah termeterai di antara Israel dgn UAE dan Bahrain serta beberapa negara teluk lainnya akan menjadikan Israel lebih selamat dari ancaman serantau. 

Israel juga akan mengurangkan provokasi dan peranan egen risikan Mossad yang beroperasi di Iraq, Syria, Libya, Morocco, Mesir dan Iran. Tiada keperluan yang mendesak buat masa ini bagi Israel memporak-perandakan negara-negara jirannya serta membiayai aktiviti pengganas kerana ancaman dari Palestin sangat lemah dan negara-negara teluk lainnya telah menjadi sekutu mereka.

Maka sebenarnya aktiviti terrorism tidak pernah berkubur malah sentiasa berevolusi sesuai dengan zaman dan agenda politik yang dibawa. Apabila negara atau pihak-pihak yang berkepentingan sibuk dengan agenda lokal, maka agenda terrorisme dikesampingkan sebentar. 

Apabila keadaan menjadi pulih dan agenda internasional diperlukan, maka terrorisme akan mendepani semua isu dan menjadi tajuk utama di media-media dunia. Terrorisme adalah merupakan agenda besar yang tidak akan dimatikan. Selagi kepentingan politik dan ekonomi diterajui oleh kelompok tersebut, maka selagi itulah terrorisme akan dibiayai dan diperlukan. 

Apabila agenda seperti melemahkan sesebuah negara dan menguasai ekonomi tercapai, maka ativiti terrorisme akan diperlahankan. Maka dunia akan berterus-terusan menghadapi ancaman terrorisme dan hanya menanti masa untuk meledak semula. 


DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS