Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Benarkan kita dalam keadaan darurat? Benarkah kita memerlukannya? Darurat menurut pengertian yang diberi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka adalah satu ‘keadaan yang mencemaskan atau menyusahkan, dan berlaku dengan tiba-tiba atau dengan tidak disangka-sangka.’ Selain itu Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka juga menyebutkan yang darurat adalah ‘keadaan serba sulit, iaitu huru-hara, tidak aman dan sebagainya, yang disebabkan oleh ancaman musuh.’

Adakah penularan atau wabak Covid-19 ini sudah mencapai maksud dan pengertian di atas? Benarkah pihak berkuasa sudah hilang kawalan dan memerlukan pengisytiharan darurat untuk mengawal rakyat dan berfungsi? Berapa banyakkah negara di dunia yang kerajaannya sangat tidak cekap, tidak cekatan, tunggang terbalik dan huru-hara sehingga memaksa keadaan darurat dalam mendepani Covid-19?

Hal-hal inilah yang perlu ditanyai kembali jika darurat benar-benar diisytiharkan.

Kemudian terdapat pula kenyataan bahawa ‘darurat politik’ diperlukan untuk melandaikan keluk Covid-19 yang tinggi mendadak ekoran penularan wabak ini selepas pilihan raya negeri Sabah.

Apakah darurat politik? Kononnya ia bermakna parlimen digantung, kegiatan ekonomi dibenarkan. Tidakkah itu aneh? Ini kerana parlimen adalah mercu tanda demokrasi. Jika benar tunjang Malaysia itu masih demokrasi, parlimen perlu dibenarkan berperanan. Malah dalam dunia diungguli kehebatan sains teknologi, parlimen digital tidak mustahil untuk digerakkan.

Harus diingatkan, keluk Covid-19 mencanak kembali ekoran gangguan politik yang dicetuskan oleh ahli politik. Ia mengakibatkan kerajaan negeri Sabah pimpinan Mohd Shafie Apdal terpaksa membubarkan Dewan Undangan Negeri. Terdapat beberapa pilihanraya kecil ketika keluk Covid-19 sudah landai lagi reda, tetapi dengan pematuhan SOP; pengundi dan Suruhanjaya Pilihan Raya dapat mengawal dan mengendalikan segala-galanya dengan berjaya. Keluk wabak hanya menjadi-jadi semula ekoran ketidakcekapan pihak tertentu yang membenarkan ahli politik pulang dari Sabah untuk tidak berkuarantin, dan bukan itu saja; ada ahli politik yang mengitar ke lima buah negeri dan tiga IPT dalam keadaan positif Covid-19. Mereka, ahli politik adalah punca.

Mengapa pula punca ini yang dibiarkan bebas berkeliaran dan tiada halangan dan sekatan ke atas mereka? Ini adalah soalan yang sedang diajukan oleh rakyat jelata. Mereka ahli politik adalah sebab atas akibat bahana ini, mengapa pula mereka terus dibenarkan membuat keputusan lagi?

Meskipun Covid-19 dapat diibaratkan sebagai musuh berbahaya; akan tetapi ia bukanlah sejenis musuh dan ancaman yang pernah kita hadapi antara tahun 1948 sehingga 1960. Kekosongan kuasa setelah pemergian Jepun ekoran kalah Perang Dunia Kedua telah menyebabkan keadaan huru-hara di mana pihak asing telah mengintai negara ini. Terdapat keganasan berlaku secara meluas yang menurut teks sejarah hari ini, dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Sebaik sahaja undang-undang darurat diisytiharkan, kerajaan British Malaya pada waktu itu paling tidak mempunyai perancangan yang jelas, itu termasuklah parti politik radikal telah dilarang, mereka yang disyaki Komunis telah dibuang negeri, malah terdapat hukuman bunuh terhadap mereka yang bersubahat.

Bukan itu sahaja, Harold Briggs ditugaskan menggubal satu rancangan untuk mengekang Malaya terus terjerumus di tangan musuh. Rancangan Briggs itu termasuklah antara lain aneka rancangan untuk menghapuskan aktiviti komunisme di mana berlakunya penempatan semula orang Cina secara besar-besaran. Ini kerana majoriti ahli PKM adalah orang-orang Cina. Kampung atau penempatan untuk mereka ini diberi nama "Kampung Baru". Setelah Pengisytiharan Darurat diangkat pada 31 Julai 1960, adalah dilaporkan sepanjang 12 tahun perintah darurat itu dilaksanakan, lebih 11,000 nyawa terkorban dan ini dipercayai termasuk 2,500 orang awam.

Saya masih ingat trauma darurat itu masih dibincangkan sehingga hujung tahun 1970an. Istilah Kawasan Putih dan Kawasan Hitam misalnya masih disebut-sebut. Pengenalan sistem kad pengenalan demi memudahkan seseorang itu dikenal pasti juga diketengahkan dan saya terbiasa dengan pengawal kampung, balairaya dan pihak polis yang memantau.

Covid-19 sama sekali berbeza. Peperangan ini akan melibatkan antara lain pasukan dan petugas kesihatan dengan musuh yang halimunan. Untuk ini kita tidak memerlukan pasukan bersenjata untuk berada di barisan hadapan. Yang kita perlukan ialah sebuah pentadbiran dan kerajaan yang cekap.

Jika kerajaan British-Malaya mempunyai rencana jelas untuk melawan komunisme termasuk dengan rancangan Harold Briggs, kegusaran kita adalah darurat politik yang hendak diseru ini tidak pun mempunyai rancangan munasabah. Mengapa kita rakyat ragu dengan rancangan munasabah untuk melawan pandemik? Ini kerana, tiada rancangan munasabah, mahupun munasarawak, apatah lagi munasemenanjung. Kita dalam keadaan tunggang terbalik.

Kerajaan yang cekap dalam darurat adalah kerajaan yang tidak sibuk berpolitik, tidak berlumba mendapatkan angka, tidak bertanding siapa lebih pandai untuk mendapatkan kuasa, dan tidak jatuh menjatuhkan. Kerajaan yang cekap mestilah kebal dari penjenayah dan terdakwa yang korup.

Oleh demikian jika sesebuah kerajaan tidak lagi mampu dan tidak lagi cekatan - dalam erti kata lain lemah - atau ibarat kata Mashoodi al Buaya dalam Ahmad al-bab sebagai baghal dan bodoh, maka kerajaan itu harus pergi, dan meletakkan jawatan.

Ketua Negara boleh melantik seorang atau beberapa orang dari ahli parlimen yang paling kurang sekali berpolitik, tetapi dapat dilihat cekap untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan yang terdiri dari para profesional sementara menanti keluk Covid-19 kembali landai.

Pemimpin kerajaan sementara ini eloklah terdiri dari kalangan pemimpin muda. Saya membayangkan Prabakaran Parameswaran (Batu), Kasthuriraani Patto (Batu Kawan), Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman (Muar), Mohd Azis bin Jamman (Sepanggar), dan Yeo Bee Yin (Bakri) sebagai muka yang boleh dipertimbangkan. Saya ingin menyebutkan nama-nama dari Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional tetapi tiada kelihatan orang muda. Ketua negara mesti mengakui politikus tua-tua inilah yang lebat berpolitik dan kekencangan poltiik merekalah yang menyebabkan keluk landai cobid19 kembali mencuar tegak. Di parlimen mereka mencarut dan mengejek. Di parlimen mereka tidur. Atau mereka ponteng parlimen.

Apabila seruan berhenti berpolitik dicanangkan, ia bukanlah bermaksud mengekalkan pentadbiran yang tidak cekap agar negara ini makin runtuh dan dirosakkan oleh ketidakcekapan mereka.

Kita mesti ingat rasa mual, jelak dan jengkel rakyat oleh Tiada Tindakan Lagi (NFA), dan kesemberonoan ahli politik tidak kuarantin lantas merayap seluruh negara; sudah tidak boleh dilandaikan lagi keluk kemarahannya. Bukan itu sahaja arahan dan keputusan yang sangat bertentangan hari demi hari kian mengelirukan rakyat. Dalam masa yang sama pula ekonomi terjejas teruk dan rakyat mencungap mengah hampir karam kelemasan.

Kita menanti kebijaksanaan itu terjadi. Darurat bukan penyelesaian. Ia mungkin melandaikan keluk Covid-19 sementara, tetapi ia juga hanya memanaskan suhu percakaran dengan lebih hangat. Rakyat negara ini tidaklah terlalu naif. Sama sekali tidak naif. Diam, rungut kecil dan omelan geram tidak bererti rakyat ini tidak senekad rakyat Thailand, Filipina atau Indonesia. Tambahan pula di tengah-tengah itu ada politikus terlepas dari hukuman, atau orang miskin ditertawakan; dan mereka yang keliru untuk bekerja atau tidak digelakkan kecil.

Kebijaksanaan diperlukan agar negara ini dapat diselamatkan. Kebijaksanaan bukan sekadar bermaksud pengisyiharan darurat, yang membolehkan game politik terus digerakkan di belakang tabir wayangan. Yang kita maksudkan dengan gencatan politik ialah benar-benar gencatan di mana rakyat diberi keutamaan.

Rakyat memerlukan kepimpinan anak muda.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS