Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya bernasib baik kerana selama saya hidup ini, saya kena tipu dengan bukan Muslim hanya sekali, iaitu ketika saya membaiki handphone yang rosak lapan tahun lalu. Selain itu, semua kawan-kawan saya yang tidak beragama Islam adalah baik.

Mereka boleh berkongsi idea dan pandangan, tidak kurang juga sering menawarkan bantuan dan sering bertanya khabar berkenaan kesihatan dan kewangan saya. Pengalaman itu menjadikan saya tidak prejudis kepada bukan Muslim.

Barangkali nasib saya tidak seperti kawan-kawan Melayu yang lain – mungkin mereka pernah kena tipu dengan warga bukan Muslim.

Dalam sejarah hidup saya, berkali-kali saya kena tipu adalah orang bangsa saya sendiri. Saya bukan sekadar ditipu, malah dimanipulasi untuk mendapatkan wang oleh orang yang berpendidikan agama dan keluarga beragama.

Pengalaman buruk itu, saya sebagai Melayu tidak menjadikan saya membenci orang Melayu dan orang berpendidikan agama. Pada saya, salah seorang individu Melayu tidak mewakili seluruh Melayu. Salah seorang agamawan tidak mewakili seluruh agamawan.

Prejudis

Sejarah pertembungan antara Muslim-bukan Muslim amat lama. Bermula dari tajuk kenegaraan sehingga membawa kepada peperangan.

Perang salib yang melibatkan seorang tokoh bernama Salahuddin al-Ayubi membawakan kesan besar dalam benak Muslim melihat penganut Kristian, dan penganut Kristian melihat Muslim.

Kita tidak nafikan, mungkin konteks ketika itu peperangan sukar dielak. Setiap pihak berusaha untuk saling menakluki. Dengan sebab itu, sikap prasangka dan prejudis amat kuat.

Dalam era kini, suasana perang sebegitu sudah tidak ada lagi. Kita tidak berperang kerana perbezaan agama. Perbezaan anutan agama boleh diselesaikan dengan perdebatan dan kebijaksanaan sahaja.

Namun, dalam realiti yang berbeza ini, sikap dan cara fikir orang di era perang salib masih membeku dalam benak kita, sama ada Muslim terhadap bukan Muslim, ataupun bukan Muslim terhadap Muslim.

Agama, kaum dan mazhab

Saya kadangkala terfikir, prejudis di negara kita bukan sekadar antara Muslim-bukan Muslim, tetapi sudah merebak sesama Muslim hanya kerana perbezaan aliran pemikiran dan mazhab.

Orang yang dituduh Wahabi prejudis dengan orang yang dianggap Asyairah. Apatah lagi, antara Sunni dan Syiah, walhal sesama mengaku Allah sebagai tuhan yang Esa, dan Nabi Muhammad sebagai utusan Allah.

Di Malaysia, ada tiga perkara: agama, mazhab dan kaum – amat mudah kedengaran dalam masyarakat kita. Ia umpama api yang dijirus petrol. Ia mudah membesar dan kadangkala membahayakan. Persoalannya, kenapa begitu?

  • Beban sejarah pertembungan berasaskan kaum, agama dan mazhab begitu lama.

  • Terdapat pihak yang anggap menanamkan tiga perkara ini dalam diri rakyat Malaysia sebagai tuntutan kenegaraan dan agama.

  • Ia dijadikan modal politik bagi pihak yang mahu mendapat kuasa dan mereka yang mahu mengekalkan kuasa.

  • Beban pergaduhan agama dan mazhab di negara luar, diimport melalui ceramah dan kuliah agama di tempat kita.

Cara berfikir secara kekelompokan masih menebal dalam budaya masyakat kita. Kesannya, apabila ada seorang Cina bersalah, maka kita menilai semua orang Cina begitu; hanya seorang Melayu yang malas, maka kita tuduh semua Melayu malas; hanya kerana seorang India yang suka buat kotor, maka kita simpulkan semua bangsa India pengotor.

Kenapa kita tidak fikir secara rasional. Kalau individu Shah Rukh Khan yang salah, itu salah Shah Rukh Khan yang tidak mewakili seluruh warga India. Demikianlah, jika kesalahan itu dilakukan oleh individu Jackie Chan dan Aaron Aziz.

Macam kita dalam mahkamah. Misalnya apabila mahkamah putuskan Tengku Adnan terlibat dengan rasuah, tidak bermakna seluruh bangsa Melayu itu kaki rasuah. Itu kesalahan Tengku Adnan, yang tidak ada kaitan dengan orang Melayu lain. Demikianlah, ketika kita melihat bangsa Cina dan India.

Kita perlu menjadikan negara kita dikagumi dunia. Soal kaum tidak wajar diperbesarkan. Orang Cina, jangan prejudis kepada Melayu dan India. Orang Melayu, jangan prejudis kepada Cina dan India. Orang India, jangan prejudis kepada Cina dan Melayu.

Saya menganjurkan setiap kita hayati firman Allah ini: “Wahai manusia, kami ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berbangsa dan berpuak adalah untuk kamu saling mengenali”.

Ya, saling mengenali.


WAN JI WAN HUSSIN ialah seorang pendakwah dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS