Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | Sebuah masjid di tepi bendang

Muhaimin Sulam

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Feb 2021, 2:45 pagi

Cerita sebuah masjid ini bermula selepas sebuah masjid baru bernilai RM4.2 juta didirikan di tapak masjid lama. Projek merobohkan masjid lama dilakukan sebelum pilihan raya umum.

Setelah Pakatan Harapan (PH) menang, sibuk timbul khabar angin PH enggan menyambung projek masjid baru kononnya kerana menteri kewangan orang Cina. Sempat juga ada pihak tertentu membakar dan terbakar emosi.  

Kini masjid itu siap dibina dan mula digunakan, tetapi wabak Covid-19  menyebabkan aktiviti pengimarahan masjid menjadi agak terhad.

Dalam beberapa tulisan lepas, saya menyentuh antropologi politik kampung di mukim Sungai Manik dari 1951 hingga 2013.  Kajian ini cuba melihat persaingan politik dalam masyarakat sebelum merdeka hingga pascamerdeka.

Masjid meski sebuah institusi agama tetapi dalam persaingan politik, ia sering menjadi medan untuk meraih pengaruh dan wadah mengekalkan kuasa.

Masjid yang baru di Parit 17A Sungai Lampam itu mempunyai reka bentuk seperti Masjid Muhibbuddin Shah di Ipoh. Ia adalah reka bentuk Arab-India seperti Taj Mahal yang mempunyai kubah dan menara.

Keluasan masjid baru boleh menyediakan ruang sehingga 800 orang dalam satu masa. Ada tingkat atas yang dikhususkan untuk jemaah perempuan. Dengan kadar kelahiran sedia ada, mungkin bertahun-tahun lagi barulah seluruh ruang dalam dewan sembahyang itu boleh penuh.

Ini tidak termasuk kehadiran jemaah pada musim cuti atau semasa hari raya. Itupun belum dikira kadar penduduk yang keluar mencari kehidupan di luar kampung.

Lambang taat pada agama

Kampung kini bukan lagi tempat yang boleh menawarkan pekerjaan. Pertanian semakin moden dan hampir semua tugas di sawah menggunakan jentera. Membaja dan meracun padi pun sudah menggunakan dron.

Masjid al-Mansor asalnya dikenali sebagai Masjid Jamik Sungai Lampam. Namanya itu bersempena nama Kiyai Haji Mansor Mat Taib, pengasas yang mewakafkan tanah untuk dibina masjid.

Berdasarkan kepada ukiran pada tiang utama masjid asal itu, bangunan tersebut dibina pada 1947. Namun menurut cerita orang tua-tua di kampung, sebelum itu sudah ada binaan yang digunakan untuk bersembahyang.

Sejak awal pembinaannya, masjid berkenaan mengalami pindaan besar pada 1974 dan tambahan beberapa kali selepas itu. Namun ia masih mengekalkan reka bentuk asal.

Pembinaan masjid biasanya dikaitkan dengan lambang ketaatan dan komitmen ahli kariah terhadap agama. Kewujudan masjid juga memberi makna kewujudan sistem berkuasa agama di kawasan tersebut.

Dalam keadaan petempatan yang masih baru ketika ia dibina dulu, kewujudan masjid sebagai salah satu pusat masyarakat berkumpul membentuk kuasa baru di tempat tersebut.

Bermula dari masjidlah lahirnya madrasah dan kegiatan sosial di kampung tersebut.

Jika istana atau parlimen dikaitkan dengan kuasa politik di peringkat negara, masjid pula adalah kuasa agama di peringkat kampung atau kariah. Menguasai masjid bermakna menguasai masyarakat setempat. Ia adalah lambang status, politik dan kesejahteraan dalam masyarakat.

Luahan rindu pada kampung

Masjid adalah salah satu tempat yang paling awal dibina oleh Nabi Muhammad SAW selepas baginda berhijrah. Kemudian baru tempat kediaman dan selepas itu pasar.

Masjid yang nabi bina sangat ringkas. Ia adalah binaan yang berasaskan dahan dan pelepah kurma. Evolusi Masjid Nabawi hingga dijadikan sebagai salah satu taman syurga  dan makam Rasulullah adalah ibrah untuk kita semua.

Selepas sistem residen diperkenalkan di Perak melalui Perjanjian Pangkor 1874, segala hal ehwal agama dan adat istiadat terletak di bawah kuasa sultan. Pada 10 Ogos 1947, satu perjumpaan alim ulama dari seluruh Perak diadakan di Kuala Kangsar.

Perjumpaan tersebut menghasilkan resolusi mengenai kepentingan penubuhan sebuah majlis agama Islam di Perak bagi menyelia hal ehwal agama.

Semenjak itu, organisasi pentadbiran agama Islam mula diwujudkan dan dikenali sebagai Balai Syarak yang berpusat di Kuala Kangsar. Susulan daripada perjumpaan tersebut, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak ditubuhkan pada 2 Ogos 1949.

Makenisme inilah yang bertanggungjawab dalam hal ehwal masjid di Perak. Perlu disedari bahawa ketika itu berlaku pertembungan kuat di antara kaum muda dengan kaum tua.

Gerakan kaum muda di Perak mempunyai nilai politik kerana tokoh-tokohnya merupakan pemimpin kiri pada masa itu.

Masjid al-Mansor yang asal mempunyai reka bentuk Masjid Demak. Ia tidak menghairankan kerana ramai penduduk Sungai Lampam itu berasal dari daerah Ponorogo di Jawa Timur. Manakala Ponorogo menerima Islam daripada usaha para pendakwah Demak.

Membina masjid dengan mengambil inspirasi Masjid Demak adalah suatu luahan rindu orang Sungai Lampam kepada kampung asal mereka di Jawa.

Masjid adalah mercu tanda sesebuah kampung yang baru mencari identiti. Identiti itu dizahirkan dalam pertukangan dan proses pembinaan masjid tersebut.  

Kubahnya berbentuk piramid empat segi dan di hujung puncaknya terdapat lambang bulan sabit yang diperbuat daripada besi nipis. Ia sebuah masjid kayu berbumbung zink yang mengalami pindaan beberapa kali sehinggalah pada 2019.

Pada tahun itu dibina masjid yang lain. Masjid lama dirobohkan dengan hanya empat tiang seri masjid binaan lama dikekalkan sebagai tanda ingatan.

Air penawar penyakit

Walaupun binaan asal begitu sederhana namun padanya terkesan tenang dan sangat berkarismatik. Ia dibina dengan wang titik peluh para ahli kariah yang ingin ikhlas menunaikan ibadah di rumah Allah.

Masjid lama al-Mansor nyata memiliki aura dan kenangan tersendiri kepada mereka yang pernah membesar di sekeliling masjid berkenaan.

Di hadapan mihrab terdapat sebuah kolam yang digunakan sebagai tempat mengambil air sembanyang ketika musim kemarau. Masjid itu mengandungi beberapa bahagian selain bahagian utama yang menjadi dewan sembahyang.

Di bahagian mihrab masjid terletaknya mimbar kayu dan almari menyimpan al-Quran.

Masjid itu dikelilingi sawah bendang menghijau dan tali air yang mengairi kawasan tersebut. Mereka juga membina pancuran air dan ditadah dalam satu takungan yang diperbuat daripada simen. Air ini digunakan terutama semasa musim kemarau.

Masjid itu mempunyai tujuh pintu kayu besar. Tiga pintu berada di hadapan dan dua lagi berada kiri kanan bangunan utama masjid. Di hadapan masjid terdapat balai lintang sebelum kolah besar. 

Air kolah juga boleh jadi air penawar sebarang penyakit walaupun sebenarnya air kolah diperolehi dari air hujan. Kolah itu dibersihkan setahun sekali. Ia dilakukan secara bergotong-royong menjelang Ramadhan setiap tahun. 

Namun setelah berlaku pembaikan masjid pada 1990-an, kolah tersebut telah dipecahkan dan diganti dengan kaedah tangki.

Sebuah beduk dan kerantung digunakan sebagai alat memaklumkan kepada anak kampung mengenai masuknya waktu sembahyang, atau pemakluman sesuatu perkara kepada ahli kariah.

Masjid al-Mansor sebelum dirobohkan pada 2018.

Biasanya kerantung itu akan dipukul - dengan cara berbeza berbanding semasa memberitahu masuknya waktu sembahyang - untuk memaklumkan tentang kematian salah seorang anak kariah.

Bagi memaklumkan kematian orang lelaki, cara ketukannya tiga kali berturut-turut sebanyak tujuh kali. Jika kematian orang perempuan, cara ketukannya tiga kali berturut-turut tetapi hanya sebanyak lima kali saja.

Hubungan masjid, surau

Kini kita gunakan WhatsApp. Namun walaupun orang itu sedang nazak tetapi kadang-kadang sudah bertebaran makluman kononnya dia sudah meninggal dunia. Semuanya akibat ghairah hendak menjadi pemberi maklumat segera.

Beduk dan kerantung juga digunakan sebagai detik meraikan solat tarawih 40 rakaat selesai dilakukan oleh jemaah. Ketika itu, orang kampung khususnya anak-anak muda diberikan kebebasan memukul beduk dan kerantung hingga larut malam.

Namun amalan itu tidak diteruskan pada penghujung 1970-an. Kerantung yang masih ada diperbuat pada 1966. Pembuat kerantung itu mengukir tahun tersebut di bawah kerantung sebagai rekod.

Bumbung masjid diperbuat daripada zink. Mungkin pada peringkat awal pembinaannya, mereka menggunakan atap nipah. Tiada siapa yang boleh mengesahkan.

Empat tiang seri di dalam masjid disumbangkan oleh dua suku utama Sungai Lampam - Jawa dan Mandailing. Mereka sendiri mencari kayu di hutan untuk dibuat tiang. Ia juga lambang kesatuan ahli kariah yang ketika itu masih dipisah-pisahkan kerana perbezaan suku.  

Di hadapan masjid terdapat padang permainan badminton untuk pelajar Madrasah al-Ibtidaiah dan orang kampung. 

Pada musim menuai sebelum wujudnya jentuai, bapa saya dan orang kampung menggunakan padang itu untuk mengeringkan padi sebelum disimpan dalam kepuk.

Selain masjid, penduduk kampung Sungai Lampam juga mempunyai beberapa buah surau. Antaranya di Parit 18A, Parit 18B hujung, surau di hadapan rumah Mat Kidin, surau Parit 21A, surau Parit 15A dan surau Parit 15A hujung.

Sekarang ada antara surau itu sudah tiada. Kesemua ahli jemaah surau mengerjakan sembahyang Jumaat di Masjid al-Mansor manakala beberapa imam dan bilal surau-surau berkenaan dilantik juga sebagai imam dan bilal masjid.

Ini bagi memastikan wujud hubungan antara masjid dengan surau-surau di sekelilingnya.

Masjid yang baru dilengkapi dengan penyaman udara, sistem bunyi yang baik dan berpermaidani indah. Tidak seperti masjid asal yang lantai simennya hanya bertikar jerami dan rimbunan pokok yang meredupkan hawa dalam masjid.

Cabaran besar buat ahli kariah ialah untuk mengimarahkan masjid tersebut.


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei dan buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.